Lebih baik Rafidah tawar dir bertanding daripada kelirukan rakyat


ALOR SETAR  – “Ruang paling baik bagi menutup malu dan aib penipuan ini adalah untuk Rafidah menawarkan diri bertanding dalam PRU ke-14.

“Rafidah berpeluang melihat sendiri bagaimana rakyat akan menolak bekas pemimpin yang gemar menipu dan mengelirukan rakyat,” kata Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin.

Beliau berkata, cadangan supaya bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu bertanding adalah lebih baik daripada Rafidah terus membuat serangan bertujuan menjatuhkan kerajaan.

Katanya, jawapan diberikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sudah merungkai segala tuduhan dibuat terhadap kerajaan.

“Soalan dan konon-kononnya pendedahan Tan Sri Rafidah sudah dijawab dengan kemas dan tuntas oleh YB Menteri dan Kementerian Pertahanan.

“Tuduhan Rafidah tidak berasas langsung malah layak dianggap sebagai “penipuan fakta” yang sangat ketara,” katanya dipetik daripada portal www.malaysiagazette.com

BACA: http://malaysiagazette.com/v2/blog/2018/04/11/elok-rafidah-juga-masuk-bertanding-pru14/

Shaiful membidas Rafidah sebagai tersepit apabila masih cuba memainkan isu tersebut sebagai modal menghentam kerajaan dan mencabarnya untuk bertanding dalam pilihan raya umjm jika beliau masih mahu menyerang kerajaan.

“Rafidah pada hakikatnya tersepit dan terhimpit dengan penipuan fakta yang beliau ciptakan sendiri. Tidak ada asas yang mewajarkan isu ini diteruskan,” ujarnya.

Menurut Shaiful, kerajaan tidak perlu melayan serangan Rafidah, sebaliknya fokus ke arah menjaga kepentingan rakyat.

Rafidah baru-baru ini mendakwa kerajaan membentangkan rancangan untuk memajak ribuan hektar tanah milik Kementerian Pertahanan dan tentera kepada sebuah syarikat swasta milik 3 individu.

Kementerian Pertahanan menafikan dakwaannya, mengatakan rancangan pembangunan di tanah milik tentera dilaksanakan mengikut prosedur.

Rafidah juga menunjukkan sokongan secara terbuka kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi enggan mengatakan sama ada beliau akan mengikut jejak langkah bos lamanya itu menyertai PPBM, parti serpihan yang ditubuhkan. – theRakyat



Source link

read more

Artificial Intelligence bantu pantau data peribadi pengguna FB



WASHINGTON: Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg terus menjawab soalan daripada anggota Kongres pada hari kedua pendengaran kes perbicaraannya berhubung kebocoran maklumat Cambridge Analytica.

Zuckerberg berulang kali menjawab bahawa teknologi Artificial Intelligence (AI) boleh memantau data peribadi pengguna di Facebook.

Menerusi sesi pendengaran itu, salah seorang anggota Kongres Pete Olson mempersoal bagaimana masalah kebocoran data masih terjadi sedangkan separuh daripada pekerja di Facebook dilatih untuk mengamalkan tahap keselamatan yang tinggi.

“Kepelbagaian kandungan yang terdapat di Facebook membuatkan pekerja yang dilatih tidak mampu memantau keseluruhan kandungan ini,” kata Zuckerberg.

Namun Zuckerberg terus menekankan bahawa syarikatnya itu akan membina dan bergantung kepada teknologi Artificial Intelligence (AI) bagi memantau kandungan yang terdapat di laman media sosial tersebut.

Tambahnya dengan adanya AI, ia akan membantu kandungan-kandungan yang disebarkan oleh kumpulan pengganas seperti Daish diturunkan serta merta.

Sesi soal jawab terus berlangsung apabila seorang lagi wakil kongres David McKinley bertanya mengenai aktiviti penjualan dan pengedaran dadah yang menggunakan platform berkenaan secara aktif.

Menurut Zuckerberg, aktiviti berkenaan adalah bertentangan dengan terma dan syarat laman berkenaan namun McKinley terus menghangatkan keadaan dengan menunjukkan beberapa keping gambar aktiviti tersebut yang berleluasa di Facebook.

Menjawab persoalan tersebut, Zuckerberg sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa AI akan mampu membantu menyelesaikan segala masalah tersebut.



Source link

read more

Adakah Rafidah seorang cybertrooper sebelum ini, soal Eric


KUALA LUMPUR – Tan Sri Rafidah Aziz hari ini ditanya sama ada posting surat terbuka kepada perdana menteri di laman Facebook baru-baru ini benar-benar hasil tulisannya atau pun sekadar meletakkan namanya sendiri untuk menunjukkan kononnya dakwaan ke atas Kementerian Pertahanan itu adalah sahih.

Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Datuk Eric See-To berkata, terdapat keraguan ketulenan posting Rafidah kerana isi kandungan yang serupa telah berlegar di Whatsapp dan dikongsi oleh beberapa pihak sejak lebih sebulan lalu.

“Adakah Rafidah menulis dakwaan tersebut di Whatsapp sebelum ini sebagai seorang cybertrooper atau beliau meletakkan namanya sekarang ini untuk menunjukkan bahawa dakwaan tersebut adalah sahih? ” soal Eric.

Mengulas lanjut, katanya, sebaik sahaja membaca tuduhan-tuduhan Rafidah mengenai MINDEF di Facebook, beliau teringat pernah menerima dakwaan yang serupa dikongsi oleh seseorang menerusi Whatsapp pada 10 Mac lalu dan bersedia berjumpa dengan Rafidah untuk menunjukkan bukti penerimaan.

Tuduhan-tuduhan tersebut, katanya, adalah tidak masuk akal, tidak benar dan melampau.

Eric berkata,Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal masih di dalam Kabinet sehingga tahun 2015 justeru kedua-dua pemimpin itu sepatutnya berkongsi perkara tersebut dengan Tun Dr Mahathir Mohamad tiga tahun sebelum Rafidah membuat pendedahan.

“Tambahan pula perkara-perkara spesifik seperti nama syarikat atau siapa tiga individu yang MINDEF telah memindahkan tanah tidak dinyatakan. Seperkara lagi, jika perkara ini sahih tentunya ada kalangan kakitangan MINDEF telah lama membuat pendedahan.

“Adakah kerana pilihan raya semakin hampir maka anda (Rafidah) melemparkan tuduhan-tuduhan ini (sama seperti kes 40,000 warga Bangladesh) kerana masa yang singkat untuk kerajaan respon?” soalnya lagi.

 

Menurut Eric, MINDEF telah menafikan segala tuduhan yang tidak masuk akal itu, justeru mungkin Rafidah sepatutnya tampil dengan bukti dan bukannya sekadar melemparkan tuduhan palsu. – theRakyat

Dakwaan Rafidah pembohongan yang nyata – Hishammuddin

MINDEF jawab Rafidah

Lebih baik Rafidah tawar dir bertanding daripada kelirukan rakyat



Source link

read more

Akta Antiberita Tidak Benar diwarta – Perdana Menteri


KUALA LUMPUR – Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara awal bulan ini, digazetkan hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata akta itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Berucap pada majlis pelancaran Hari Wartawan Nasional (HAWANA), beliau menolak kebimbangan sebilangan para wartawan kononnya akta baharu itu akan digunakan untuk menyekat kebebasan mereka dalam melaporkan berita.

“Tetapi saya ingin maklumkan, pandangan ini tidak tepat lagi, tidak benar kerana antaranya, di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, melalui Seksyen 8A telah menjadi kesalahan untuk menyiarkan berita palsu.

“Meskipun terdapat peruntukan undang-undang sedia ada, masalah bagi membendung penyebaran berita tidak benar, tidak dapat dikawal secara efektif dan menyeluruh, berikutan perkembangan semasa teknologi maklumat yang semakin pantas serta kompleks,” katanya.

Najib berkata akta tersebut adalah berpaksikan kepentingan rakyat bertujuan melindungi orang awam daripada penyebaran berita tidak benar selain ia berunsur pencegahan yang mana setiap individu hendaklah bertanggungjawab terhadap perkongsian maklumat yang benar dan sahih.

Beliau berkata akta itu juga tidak akan berkompromi dengan penyebaran berita yang memudaratkan ketenteraman awam atau keselamatan negara.

Bercakap di hadapan kira-kira 1,000 pengamal media dari seluruh tanah air, perdana menteri menegaskan kerajaan sentiasa memberi ruang kepada kebebasan bersuara dan telah melaksanakan kebebasan media melalui pelbagai langkah transformasi.

Katanya ia termasuk pelaksanaan transformasi undang-undang seperti melalui pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, memperkenalkan Akta Perhimpunan Aman 2012, selain transformasi media dengan memansuhkan lesen mencetak dan permit percetakan.

“Ini ternyata berbeza dengan track record kebebasan bersuara di zaman pemimpin utama pembangkang masa kini, yang dulunya pernah memerintah negara ini selama 22 tahun,” katanya.

Sebagai contoh, Najib berkata Operasi Lalang atau Ops Lalang pada 1987, menyaksikan lebih 100 orang ditahan tanpa bicara di bawah ISA, dan tiga akhbar waktu itu – The Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan digantung permit penerbitan.

“Pemimpin yang pernah memerintah 22 tahun itu juga turut dikecam oleh Jawatankuasa Melindung Wartawan di peringkat dunia, sebagai salah seorang daripada 10 ‘enemies of the press’ (musuh media), tiga tahun berturut-turut pada 1999, 2000 dan 2001,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata walaupun kerajaan masa kini memberi ruang kebebasan bersuara dan media, ia haruslah berasaskan tiga perkara utama iaitu disertai dengan sifat tanggungjawab, berasaskan kebenaran dan mengikut tafsiran citra serta budaya tempatan, bukannya mengikut acuan barat.

“Kebebasan bersuara dan media itu mesti ada hadnya serta kebebasan tersebut tidak seharusnya menjurus kepada penyebaran berita-berita tidak benar lagi tidak sahih, sehingga sampai mengorbankan aspek lebih utama iaitu keselamatan dan ketenteraman awam serta kestabilan negara,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Ketua Setiausaha kementerian itu Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang dan Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh.

Bertemakan ‘Membela Bangsa, Membina Negara’, penganjuran Hawana bertujuan mendapatkan pengiktirafan negara dan penghargaan atas sumbangan pengamal media dalam membantu membangunkan negara dan mengukuhkan perpaduan masyarakat.

— BERNAMA



Source link

read more