LONDON 14 April – Chelsea berjaya mengelak daripada mengalami kekalahan keenam daripada lapan perlawanan terakhir apabila tiga jaringan pantas dalam tempoh lapan minit membantu mereka mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas Southampton pada aksi Inggeris di Stadium St. Mary’s sebentar tadi.

Juara musim lalu itu ketinggalan 0-2 ketika permainan berbaki 30 minit selepas tuan rumah yang terdesak untuk keluar dari zon penyingkiran bermula garang dengan membuka jaringan menerusi Dusan Tadic pada minit ke-21 dan Jan Bednarek di minit ke-60.

Jurulatih Chelsea, Antonio Conte membuat dua pertukaran sebaik sahaja Southampton meraikan jaringan kedua, dan Olivier Giroud antara yang dibawa masuk berjaya memberi sumbangan besar kepada pasukannya.

Penyerang Perancis itu merapatkan jurang pada minit ke-70 selepas menanduk bola hantaran Marcos Alonso, hanya enam minit selepas menggantikan Alvaro Morata.

Eden Hazard menyamakan kedudukan menerusi rembatan jarak dekat pada minit ke-75, sebelum Giroud mengesahkan kemenangan Blues menerusi sepakan separuh voli ke penjuru gawang lawan, 12 minit sebelum tamat perlawanan.

Kemenangan memberi sedikit harapan kepada Chelsea untuk bersaing dalam kelompok empat terbaik, iaitu slot automatik ke Liga Juara-Juara musim depan. Mereka bagaimanapun masih ketinggalan tujuh mata di belakang pasukan tangga keempat, Tottenham.

Southampton pula berada di ambang penyingkiran ketika saingan berbaki lima perlawanan dengan menghuni tangga ketiga tercorot. – AGENSI



Source link

admin

No Comments

Leave a Comment

%d bloggers like this: