PADANG TERAP 14 APRIL 2018. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tiga dari kiri) bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri,Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin ( kiri) menjual ikan di bawah harga pasaran  kepada orang ramai yang hadir pada Majlis Kenduri Rakyat di Felda Lubuk Merbau. NSTP/AMRAN HAMID

MO, 15/4/2018, PADANG TERAP: Kerajaan memberi jaminan tidak akan menaikkan harga lima barangan keperluan asas selagi Barisan Nasional (BN) diberikan mandat mentadbir negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata lima barangan keperluan asas itu membabitkan beras, minyak masak, gas masak, tepung dan gula.

Katanya, lima barangan itu digunakan pelbagai lapisan masyarakat dan kerajaan perlu memastikan harganya dikawal.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri beritahu harga barangan ini tidak boleh dinaikkan kerana ia untuk kepentingan rakyat,” katanya selepas merasmikan Karnival Jualan Koperasi dan Kenduri Rakyat peringkat Kedah di Felda Lubok Merbau di sini, semalam.

Hamzah berkata, janji itu dengan sendirinya menafikan dakwaan sesetengah pihak harga barangan asas terbabit akan naik.

Sementara itu, beliau berkata, Program Jualan Sentuhan Rakyat anjuran KPDNKK memanfaatkan kira-kira empat juta rakyat di seluruh negara sejak diperkenalkan dua bulan lalu.

Katanya, program di 700 lokasi di seluruh negara itu mencatat nilai jualan RM35 juta setakat ini.

Program Jualan Sentuhan Rakyat menawarkan 27 barangan keperluan rakyat yang dijual pada harga jauh lebih rendah berbanding pasaran.

Pada masa sama, Hamzah berkata, cadangan penganjuran program jualan itu dibuat sejak dua tahun lalu tetapi hanya boleh dilaksanakan sekarang bagi memastikan kejayaannya.

“Ini bukan diadakan sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Ia mengambil masa kerana kita nak pastikan barangan yang dijual mencukupi dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga,” katanya.



Source link

admin

No Comments

Leave a Comment

%d bloggers like this: