Jalan bandar Pekan ke Sungai Miang dinaik taraf


PEKAN 15 APRIL 2018. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak beramah mesra bersama orang ramai ketika hadir pada majlis pecah tanah Menaiktaraf Jalan Persekutuan (FT003) dari Bandar Pekan ke Kampung Sungai Miang yang membabitkan jalanraya sepanjang 15 Kilometer di Kampung Ketapang Hilir. NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG

MO, 15/4/2018, PEKAN: Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan projek naik taraf jalan Persekutuan sepanjang 14.7 kilometer (km) dari bandar ini ke Sungai Miang, dekat sini yang mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat.

Menerusi projek itu, jalan tunggal dua lorong sepanjang 1.7 km dari bandar Pekan ke persimpangan Kampung Tanjung Agas, dekat sini akan dinaik taraf kepada jalan berstatus R3 kepada R5 dan pembinaan jalan berkembar empat lorong sepanjang 13 km dari persimpangan berkenaan ke Kampung Sungai Miang.

Projek itu juga akan menggantikan tiga jambatan di Sungai Habib Hasan, Sungai Miang dan Sungai Air Tawar selain pembinaan tiga jejantas, pemasangan lampu jalan serta naik taraf dua persimpangan lampu isyarat di persimpangan Kampung Tanjung Agas dan persimpangan Industri Tanjung Agas.

Projek dilaksanakan syarikat Teras Sari Resources Sdn Bhd yang dijangka siap 28 Februari 2022 itu mampu melancarkan pergerakan trafik dan mengatasi masalah bahu jalan serta jambatan sempit beserta selekoh merbahaya di laluan menghubungkan Pahang dengan Johor berkenaan.

Projek naik taraf bernilai RM338 juta itu adalah sebahagian daripada Pelan Pembangunan Rangkaian Lebuhraya (HNDP) dari Pekan ke Kota Tinggi, Johor sepanjang 240 km.

Najib berkata, projek naik taraf itu dijangka mampu memacu pertumbuhan ekonomi di Pekan menerusi peningkatan sistem perhubungan jalan raya dari daerah itu ke negeri di Selatan tanah air yang laluannya bakal dinaik taraf pada masa depan.

“Walaupun tidak sampai ke Nenasi atau Endau, Mersing tetapi ia boleh dianggap sebagai titik permulaan dalam kita menyediakan jalan raya dari Pekan ke selatan (Johor) yang akan ditambah baik dan dilanjutkan dalam fasa seterusnya bergantung kepada kemampuan kerajaan.

“Projek ini dijangka siap dalam tempoh empat tahun dan saya akan memohon kepada pihak kontraktor untuk mempercepatkannya,” katanya berucap pada majlis perasmian projek naik taraf jalan persekutuan sepanjang 14.7km dari bandar ini ke Sungai Miang, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Zohari Akob.



Source link

read more

BN Johor tekad pastikan Muhyiddin kalah


JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) Johor tekad memastikan Timbalan Presiden Pakatan Harapan Tan Sri Muhyiddin Yassin kalah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14), kata Pengerusi BN negeri Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurutnya, berpegang pada prinsip sesiapa sahaja berhak untuk bertanding, BN negeri juga tiada halangan untuk bekas timbalan perdana menteri itu bertanding di mana-mana kerusi diingini.

“Dalam pilihan raya, setiap parti hendak pastikan lawan mereka tidak menang. Sepertimana dia (Muhyiddin) hendak pastikan saya kalah, saya pun akan pastikan dia kalah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Semarak Karakter Murid Johor 2018 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Johor Jaya, di sini, hari ini.

Muhyiddin sebelum ini dilaporkan sebagai membayangkan kemungkinan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir selain mengesahkan bertanding di sebuah kerusi Parlimen.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata desas-desus tentang kerusi bakal ditandingi beliau akan terjawab apabila Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan nama-nama calon, dijangka selewat-lewatnya minggu depan.

“Tunggulah Najib buat pengumuman, saya ikut apa sahaja keputusan yang dibuat,” katanya ringkas.

Terdahulu, Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar turut merasmikan majlis pecah tanah Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) Bandar Seri Alam, berkata Johor bukan sahaja membina banyak rumah mampu milik malah menjual rumah itu pada harga jauh lebih rendah berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung.

“Bagi Parlimen Pasir Gudang yang merangkumi kawasan Permas dan Johor Jaya ini sahaja, sebanyak 1,637 unit rumah mampu milik telah siap dibina sejak 2013 dan kita menyasarkan pembinaan secara keseluruhan sebanyak 11,460 unit menjelang 2021,” katanya dan menambah bermula 2013, kerajaan negeri juga telah membina kira-kira 18,000 unit rumah mampu milik di seluruh negeri.

Berhubung projek RMMJ itu, Mohamed Khalid berkata ia yang dikelolakan Sri Alam Properties, anak syarikat UM Land Berhad akan menyiapkan 1,122 unit rumah mampu milik di kawasan seluas kira-kira 7.3 hektar.

Katanya, unit rumah itu yang berkeluasan 1,000 kaki persegi akan dijual dengan harga RM150,000 sahaja.- BERNAMA



Source link

read more

BN umum calon seminggu sebelum hari penamaan


WhatsApp_Image_2018-04-15_at_11.32.58_AM.jpeg.transformedMO, 15/4/2018, PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) dijangka akan mengumumkan calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dalam tempoh seminggu hingga 10 hari sebelum hari penamaan calon, 28 April ini.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata tarikh pengumuman itu masih belum lagi ditetapkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.

Selain itu, Tengku Adnan turut menafikan dakwaan bahawa senarai calon yang akan mewakili BN sentiasa berubah-ubah.

“Ini persepsi orang yang tidak faham apa yang kita lakukan. Ia tidak berubah-ubah.

“Kita nak cari calon yang rakyat hendak dan suka, bukan parti atau saya yang suka. Kita membuat saringan demi saringan untuk memastikan calon yang kita utarakan adalah yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Anugerah Kualiti Pendidikan Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya di sini, hari ini.

Sementara itu, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung UMNO menegaskan parti itu akan mengambil tindakan tata tertib terhadap ahlinya yang dipercayai menurunkan bendera parti di Wangsa Maju.



Source link

read more

Batu Sapi akan terus jadi kubu kuat BN


SANDAKAN – Sokongan kukuh rakyat dan kerjasama mantap kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) menjadi faktor penyumbang kepada kemenangan gagasan itu setiap pilihan raya diadakan di kawasan Batu Sapi.

Justeru, Ketua Menteri dan Pengerusi BN Sabah Tan Sri Musa Aman yakin Batu Sapi akan kekal menjadi kubu kuat BN.

“Pilihan raya bukan asing dihadapi dan dengan adanya sokongan dan kerjasama semua pihak, kita menang dengan mudah di Batu Sapi pada setiap pilihan raya,” kata Musa ketika melancarkan jentera BN Batu Sapi di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Penyelaras BN Batu Sapi Datuk Samsudin Yahya, Bendahari Agung Parti Bersatu Sabah Datuk Linda Tsen Thau Lin, Ketua MCA Batu Sapi Datuk Chew Kok Woh dan Ketua Parti Gerakan Karamunting Datuk Peter Pang En Yin.

Terdapat tiga parti komponen BN masing-masing bagi kerusi Parlimen Batu Sapi dan dua Dewan Undangan Negeri iaitu Sekong serta Batu Sapi.

Parti Bersatu Sabah bagi kerusi Parlimen Batu Sapi, manakala Sekong (UMNO) dan Karamunting (Parti Liberal Demokratik).

Terdahulu, Samsudin yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi dalam ucapannya berkata tiada tempat untuk parti pembangkang khususnya Parti Warisan Sabah (Warisan) di kawasan Batu Sapi yang pemimpinnya pernah menganggotai UMNO.

“Perjuangan mereka ini tidak ikhlas dalam UMNO dan sebab itu mereka tidak lama dalam parti. Kini mereka dalam parti pembangkang atas kepentingan peribadi dan mahukan kuasa,” katanya.

Beliau berkata pemimpin parti Warisan juga menggunakan perkauman untuk menarik sokongan rakyat dan ini sudah tentu bukan boleh menjejaskan perpaduan dan suasana hidup harmoni rakyat di negeri ini.– BERNAMA



Source link

read more

Dunia iktiraf kaedah Malaysia bantu rakyat miskin


pekan67_cropped.transformedMO, 15/4/2018, PEKAN: Dunia mengiktiraf dan menganggap Malaysia negara paling berjaya membantu rakyat miskin menambah pendapatan isi rumah sehingga memiliki harta dan perniagaan berjaya, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, inisiatif kerajaan membantu meningkatkan taraf ekonomi dan pendapatan bulanan kumpulan itu dimulakan secara berterusan sejak zaman Perdana Menteri Kedua, Tun Razak Hussein.

Beliau berkata, bermacam-macam program dan bantuan diperkenalkan kerajaan menerusi beberapa agensi seperti FELDA, FELCRA, Majlis Amanah Rakat (MARA), Tekun Nasional (TEKUN) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Katanya, bantuan pembiayaan kewangan dan latihan kemahiran itu menjadi rangsangan kepada golongan terbabit bagi memulakan perniagaan yang mahu diceburi.

“Menjadi pegangan dan prinsip kerajaan sekarang bagi meningkatkan ekonomi rakyat miskin terutama di luar bandar.

“Pinjaman yang disediakan ini ibaratnya seperti bayi yang mula bertatih, kemudiannya berjalan dan berlari begitu juga kita ada pinjaman asas seperti disediakan AIM kemudian oleh MARA, TEKUN dan Bank SME untuk kembangkan perniagaan.

“Bayangkan jika tiada bantuan sedemikian bagaimana mereka mahu mulakan perniagaan mungkin jadi mangsa ceti haram atau along,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Himpunan Usahawan Amanah Ikhtiar Islam Malaysia (AIM) Parlimen Pekan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi AIM, Datuk Dr Zubir Harun dan Pengerusi Kelab Usahawan Ikhtiar dan Kesukarelawan Pekan, Nor Ashikin Abu Hassan.

Kira-kira 2,600 usahawan AIM hadir pada himpunan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, di sini.



Source link

read more

Penumpang ancam petugas kabin dengan pen pesawat Air China terpaksa tukar haluan



BEIJING: Sebuah pesawat Air China yang dalam penerbangan ke Beijing membuat pendaratan yang tidak dijadualkan di bandar Zhengzhou pada Ahad, selepas seorang penumpang mengancam seorang anak kapal dengan sebatang pen dakwat (fountain pen).

Agensi berita Reuters melaporkan, pihak berkuasa penerbangan awam negara itu sudah mengesahkan kejadian berkenaan.

Dalam satu kenyataan ringkas di laman web rasmi mereka, Agensi Pentadbiran Penerbangan Awam China berkata, seorang penumpang lelaki dalam pesawat Air China 1350, yang masih belum didedahkan identiti, cuba menggunakan pen untuk mengancam dan memaksa petugas kabin.

Tambah kenyataan itu, penumpang dan anak kapal lain dilaporkan selamat.

Pesawat itu telah berlepas dari Changsha, ibu kota wilayah Hunan, pada jam 8.40 pagi dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing pada jam 11 pagi.

Bagaimanapun, pesawat itu telah membuat pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Xinzheng, Zhengzhou, di wilayah Henan, pada jam 9.58 pagi waktu tempatan.

Pihak Air China berkata, pesawat itu membuat pendaratan tersebut atas ‘sebab-sebab keselamatan’, dan pihak berkuasa penerbangan awam dan polis sedang menguruskan situasi berkenaan.



Source link

read more

Jangan tukar kerajaan – Mohamad


15jnagsn.transformed_0MO, 15/4/2018, SEREMBAN: Rakyat di negara ini diminta tidak mengikut langkah rakyat di negara bergolak, yang mahu menukar kerajaan tetapi akhirnya membawa kepada kebinasaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata apabila kerosakan berlaku seperti di negara-negara di Afrika dan Asia Barat, negara berkenaan tidak dapat menumpukan pembangunan dan program mensejahterakan rakyat.

Katanya, contoh mudah boleh diambil ialah di Mesir, Tunisia dan Libya yang mana pemerintah sedia ada dijatuhkan dan akhirnya menghancurkan negara berkenaan.

“Lihat juga apa berlaku di Rohingya dan Syria. Kita di Malaysia sepatutnya bersyukur dengan nikmat yang ada bukan menjatuhkan kerajaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin #TeamTokMat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Linsum, Rantau di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Operasi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Parlimen Rembau, Azman Hasan dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Datuk Abd Halim Abd Latif.

Mohamad berkata, sepanjang 61 tahun negara ditadbir Barisan Nasional (BN), Malaysia yang bukan negara kaya dapat diurus dengan begitu baik.

“Resipinya adalah semua kaum bersatu sebagai keluarga besar dan memacu pembangunan ekonomi bersama-sama. Kejayaan kita dicemburui negara luar,” katanya.

Pada majlis itu, kira-kira 200 penyokong BN di PDM berkenaan berikrar taat setia kepada pemerintah.



Source link

read more

BN Pulau Pinang umum 60 tawaran


SEBERANG JAYA 15 APRIL 2018. Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow (tengah) bersama dengan kepimpinan tertinggi Barisan Nasional Pulau Pinang di majlis pelancarkan Manifesto Pilihanraya Umum ke-14 Barisan Nasional Pulau Pinang di The Light Hotel, Seberang Jaya, Pulau Pinang. NSTP/RAMDZAN MASIAM

MO, 15/4/2018, SEBERANG JAYA: Barisan Nasional (BN) negeri, hari ini melancarkan Manifesto BN Pulau Pinang yang mengangkat tema ‘Selamatkan Pulau Pinang: Janji-Janji BN Pulau Pinang’.

Manifesto BN Pulau Pinang yang mengandungi 60 tawaran, membabitkan 6 teras utama, dilancarkan sendiri Pengerusinya, Teng Chang Yeow di sebuah hotel di sini, hari ini.

Enam teras utama yang diberi penekanan adalah penyelesaian masalah banjir dan bukit botak dalam tempoh tiga setengah tahun, menyelesaikan masalah perumahan rakyat dalam tempoh lima tahun, menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dalam tempoh tiga tahun, pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat, dan pelancongan warisan.

Chang Yeow berkata, manifesto yang dibentang pakatan pembangkang hanya semata-mata janji kosong kepada rakyat, selain ingin mengejar populariti.

“Mereka (pakatan pembangkang) bagi janji ibarat ‘tiada esok bagimu’. 51 janji yang dibuat sejak 2008, sampai sekarang belum ditunaikan lagi.

“Selama 10 tahun DAP tadbir Pulau Pinang, mereka hanya tadbir tanpa satu plan induk yang kukuh. Sebab itu kita perlu selamatkan Pulau Pinang daripada terus hancur dibawah DAP,” katanya ketika berucap pada majlis itu

Antara tawaran yang mendapat perhatian adalah pembatalan projek terowong dasar laut antara Bagan Ajam dan Persiaran Gurney, dan parkir percuma bagi 2 jam pertama di petak letak kereta tepi jalan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

BN Pulau Pinang juga akan memperkenalkan dana khas kepada pasangan yang akan melangsungkan perkahwinan pertama kali, sebanyak RM2,000.



Source link

read more

RM902.5 juta peruntukan bina rumah PPR di Kedah


BALING 14 APRIL 2018. Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar (tiga dari kanan) melihat pelan Perumahan Rakyat pada Majlis Pelancaran Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kampung Charok Sikin. STR/ SAFURI KAMARUDIN

MO, 15/4/2018, BALING: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan memperuntukkan RM902.5 juta untuk membina 5,910 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kedah.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 2,494 unit rumah sudah siap dibina manakala 1,416 unit sedang dilaksana dan 2,000 unit dalam perancangan.

Katanya, kerajaan juga sudah meluluskan peruntukan pembangunan sebanyak RM97.5 juta bagi pembinaan 500 unit rumah teres satu tingkat termasuk kemudahan surau, dewan komuniti, TABIKA, TASKA dan kedai.

“Program ini untuk membantu golongan berpendapatan isi rumah bawah RM3,000 sebulan dapat memiliki rumah sendiri kerana kerajaan memberi subsidi kepada rakyat.

“Kos membina rumah itu berjumlah RM195,000 seunit dan dijual pada harga RM35,000. Ini bermakna Kerajaan Persekutuan memberi subsidi sebanyak RM160,000 kepada penerima,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran PPR Baling di Kampung Charok Sikin, dekat sini, semalam.

Turut hadir, Ketua UMNO Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohammad Mantek dan Pegawai Daerah Baling, Datuk Md Shuhaimie Abd Rahman.

Noh berkata, antara projek PPR yang sudah siap ialah di Paya Nahu, Aman Jaya di Sungai Petani, Kuah Langkawi, Kubang Pasu dan Seri Intan, Alor Setar.

Katanya, PPR yang masih dalam pembinaan pula di daerah Alor Setar, Kuala Nerang dan Ayer Hitam manakala dalam perancangan di Bakar Bata, Ulu Melaka dan Kuah di Langkawi serta Baling.

Terdahulu, beliau meluluskan peruntukan RM10 juta untuk membangunkan tasik di Kampung Charok Sikin, Kupang, sebagai kawasan herba.



Source link

read more

Sosio ekonomi fokus utama Manifesto MIC


TEMERLOH 14 APRIL 2018. Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan (tujuh kanan) bersama wakil sekolah yang menerima bantuan awal persekolahan 2018 ketika hadir merasmikan Karnival Jelajah Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Semantan Walk Temerloh. STR/NAZIRUL ROSELAN

MO, 15/4/2018, TEMERLOH: Manifesto MIC untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan mencakupi semua aspek dan keperluan masyarakat India di negara ini.

Ahli Jawankuasa Kerja Pusat MIC, Datuk P Kamalanathan berkata, penekanan itu diberikan bagi memastikan semua aspek diambil kira dan diberi perhatian dalam manifesto itu.

“MIC sudah mengadakan mesyuarat bagi menyenaraikan manisfesto berkenaan minggu lalu dan ia akan dibentangkan oleh Presiden parti pada 18 April ini di Kuala Lumpur.

“Fokus pastinya terarah kepada pelan tindakan atau blueprint pembangunan masyarakat India yang dilancarkan baru-baru ini dan akan menambah beberapa aspek, termasuk sosio ekonomi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Pendidikan Malaysia di Semantan Walk, di sini, semalam.

Mengenai senarai calon daripada parti itu yang akan bertanding di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-14 nanti, beliau yang juga Timbalan Menteri Pendidikan itu enggan mengulas lanjut dan semua pihak perlu menunggu pengumuman daripada Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam tidak lama lagi.

MIC masih lagi berteka teki mengenai senarai calon yang akan bertanding namun kebanyakannya menjangkakan perhatian pasti akan terarah kepada kerusi Parlimen Cameron Highlands yang menjadi perebutan antara MIC dan MyPPP.



Source link

read more