BENTONG 15 APRIL 2018. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai sidang media pada Perasmian NBOS Mesra Rakyat di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Bentong, Pahang. NSTP/ NURUL SHAFINA JEMENON

MO, 15/4/2018, BENTONG: Rakyat diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan taktik kotor pembangkang yang terus berusaha menanam benih kebencian terhadap kerajaan, semata-mata mahu meraih undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, ketika membuat gesaan itu, berkata rakyat sendiri boleh menilai sikap pembangkang yang pentingkan diri dengan mempergunakan rakyat demi merebut kuasa.

Katanya, ia berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa mendahulukan rakyat dengan memikirkan pelbagai agenda untuk pembangunan negara.

“Pembangkang tiada rekod perkhidmatan, tak ada apa yang hendak ditunjukkan kepada rakyat sebab itu gunakan kebencian, hasad dengki demi meraih undi.

“Saya harap rakyat tidak terpedaya dengan berita palsu yang dibawa oleh mereka. Apa yang penting sekarang adalah bagi tempoh lima tahun akan datang, BN ada agenda pembangunan, transformasi dan kita perlukan sokongan rakyat untuk menjayakannya,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Fiesta Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Mesra Rakyat di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Bentong, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir adalah Pengarah Unit Strategi Nasional (NSU) Kementerian Kewangan, Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Dalam pada itu, Tiong Lai berkata, penubuhan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di bawah NBOS adalah salah satu inisitif yang berjaya serta membuktikan keprihatinan kerajaan dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan utama kerajaan dan swasta kepada komuniti bandar satu bangunan.

“UTC amat berjaya di setiap kawasan yang dibangunkan kemudahan itu. Bagi penduduk Bentong, saya sudah membuat permohonan untuk membina mini UTC di sini kerana mempunyai masa depan yang cerah kerana kita sudah ada produk pelancongan.

“Bagaimanapun, ia masih dalam proses untuk mendapat kelulusan dan saya berharap ia akan dapat dilaksanakan berikutan ada banyak permintaan dari rakyat,” katanya.



Source link

admin

No Comments

Leave a Comment

%d bloggers like this: