KUALA LUMPUR 16 April- Presiden Syria, Bashar al-Assad seharusnya segera berundur dari arena politik negara itu bagi menamatkan penderitaan yang ditanggung rakyatnya selama bertahun-tahun.

Menurut Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow, Syria akan hilang daripada peta dunia dalam masa beberapa tahun lagi sekiranya krisis di negara itu tidak dihentikan dengan segera.

“Sejak kebangkitan Arab Spring pada 2011, rakyat Syria menjadi mangsa korban kepada konflik yang berlaku di antara tentera kerajaan Syria pimpinan Assad dengan Tentera Pembebasan Syria (FSA), selain ancaman kumpulan pengganas Daesh dan peperangan proksi oleh kuasa-kuasa besar yang campur tangan seperti Amerika Syarikat dan Rusia.

“Bashar dan keluarganya perlu meletakkan jawatan sebagai presiden Syria dan tidak lagi melibatkan diri dalam arena politik Syria. Zaman diktator dan pemerintahan kuku besi sudah tidak diterima lagi, dan rakyat Syria dahagakan kebebasan dan keamanan serta masa depan yang lebih baik untuk diri mereka serta anak-anak mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Keluarga Assad telah memerintah Syria hampir 50 tahun iaitu sejak pemerintahan Presiden Hafez Al-Assad pada tahun 1971 sehinggalah anaknya, Bashar mengambil alih jawatan itu setelah Hafez meninggal dunia pada 2000. -UTUSAN ONLINE



Source link

admin

No Comments

Leave a Comment

%d bloggers like this: