KUALA LUMPUR 16 April – Mana-mana pelajar yang bertindak atau berkelakuan melampaui batas sehingga mendatangkan kecederaan dalam kawasan sekolah boleh dikenakan tindakan tegas.



CHONG SIN WOON

CHONG SIN WOON

Perkara itu ditegaskan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon susulan daripada video sekumpulan pelajar yang menyambut hari lahir salah seorang rakan mereka dengan memukul pelajar itu dan tular dalam laman media sosial, Facebook.

“Perbuatan pelajar yang tular baru-baru ini bukanlah budaya kita. Tetapi, mereka ini mudah terpengaruh sehingga melampaui batas dan melakukan perkara yang boleh menyebabkan kecederaan.

“Kita akan ambil tindakan kepada semua pelajar yang berkelakuan melampaui batas dan dilihat menyalahi peraturan yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui selepas ditemu bual dalam program Sembang-Sembang Je.. Utusan Online di ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di sini hari ini.

Dalam video selama 30 saat itu, seorang pelajar sekolah menengah merelakan dirinya dipukul oleh kira-kira lapan rakannya sebagai tanda menyambut hari lahirnya di dalam sebuah bilik darjah.

Pelajar tersebut yang akhirnya mengerang kesakitan itu ditendang dan turut dipukul dengan batang penyapu.

Mengulas lanjut, Sin Woon turut menyeru para pelajar agar tidak terpengaruh dengan perkara atau perbuatan negatif yang tular dalam laman media sosial mahupun YouTube.

“Saya juga menyeru kepada guru-guru di sekolah agar memberikan penelitian terhadap perlakuan murid-murid. Mereka juga disarankan untuk menekankan unsur-unsur budaya kita semasa perhimpunan.

“Tanggungjawab mereka bukan hanya mengajar, tetapi perlu juga lihat cara pelajar bergaul di sekolah. Disebabkan itu kita ada program rakan sebaya di mana pelajar itu sendiri menjadi mata dan telinga kepada guru-guru dalam menangani perkara sebegini,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Source link

admin

No Comments

Leave a Comment

%d bloggers like this: