Review Category : English

Piala Super Kelantan mula langkah kanan


KELANTAN memulakan kempen dengan langkah kanan apabila menundukkan Persija Jakarta dengan kemenangan tipis 1-0 dalam Piala Super di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Walaupun skuad The Red Warriors berdepan masalah dana musim ini, namun mereka tetap menampilkan aksi memberangsangkan berdepan skuad dari Indonesia itu.

Aksi sengit ditampilkan kedua-dua pasukan, di mana Persija ingin memburu kemenangan kedua setelah menundukkan Ratchaburi FC 3-1, Sabtu lalu.

Kelantan pula ingin cemerlang di laman sendiri, tetapi tiada gol dihasilkan dan kedudukan seri tanpa jaringan kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Selepas rehat, kedua-dua pasukan semakin saling mengasak dan akhirnya gol tunggal perlawanan hanya muncul pada minit ke-75 menerusi pemain import Kelantan, Bruno da Silva Lopes.

Persija cuba mengimbangi kedudukan, tiga minit sebelum tamat perlawanan, malangnya percubaan mereka terkena tiang gol dan keputusan 1-0 kekal hingga wisel penamat.

Apa yang menarik tentang perlawanan itu juga Kelantan merupakan pasukan Malaysia pertama yang beraksi di Stadium Bukit Jalil, sementara Piala Super merupakan persiapan terbaik untuk pasukan itu menghadapi Liga Malaysia bulan depan.

Kelantan selepas ini akan berdepan Ratchaburi pada jam 8 malam, Sabtu ini.



Source link

read more

TPM Thailand sedia letak jawatan jika didapati bersalah oleh badan pencegahan rasuah


BANGKOK: Timbalan Perdana Menteri Thailand Jen Prawit Wongsuwan bersedia untuk meletak jawatan daripada kerajaan jika badan pencegahan rasuah negara itu mendapatinya bersalah berhubung dakwaan memiliki jam tangan mewah.

Beliau menggesa semua pihak supaya menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Thailand (NACC) menjalankan siasatan mengenai perkara itu.

“Biarlah NACC menyiasat perkara itu, jika saya bersalah, maka saya akan meletak jawatan,” kata beliau kepada media selepas menghadiri mesyuarat mingguan kabinet di Rumah kerajaan di sini hari ini.

Prawit yang bercakap buat kali pertama mengenai kontroversi yang menyelubungi jam tangan mewah yang dikatakan miliknya berkata beliau tidak berasa paranoid terhadap kontroversi itu tetapi sebaliknya mengukuhkan komitmen kerajaan untuk memerangi rasuah di negara itu.

Menurut Prawit, yang juga Menteri Pertahanan, jam tangan yang dipersoalkan itu ialah milik kawan-kawannya yang meminjamkan aksesori mewah untuk beliau memakainya sebelum memulangkan jam tangan itu kepada pemilik yang sah.

“Saya mempunyai kawan-kawan, mereka meminjamkan jam tangan itu kepada saya, itu sahaja dan saya memulangkannya,” kata Prawit.

— BERNAMA



Source link

read more

Pesaing saya bukan lagi bank di sebelah tetapi… – Raja Teh Maimunah


“MY competition today is no longer the bank next door. It can be anybody. It can be the tech giants, it can be the telco companies.”

Ketua Pegawai Eksekutif AmInvestment Bank Bhd, Raja Teh Maimunah berkata demikian kepada AWANI REVIEW.

Raja Teh Maimunah berkongsi pendapat beliau tentang persaingan dalam dunia kewangan.

Malah kata beliau, pesaingnya kini bukan lagi bank di sebelah tetapi gangguan digital terutamanya dalam sektor perbankan Malaysia.

Itu antara intipati artikel versi Bahasa Inggeris yang diterbitkan di AWANI REVIEW berjudul Raja Teh Maimunah: Competition is No Longer from the Bank Next Door.

Layari http://awanireview.com untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang kemahiran yang diperlukan untuk mengurus sesebuah bank pada masa akan datang.



Source link

read more

Kadar jangka pendek dijangka stabil dengan campur tangan BNM


KUALA LUMPUR: Kadar jangka pendek diunjurkan kekal stabil hari ini, dengan campur tangan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengurangkan lebihan mudah tunai dalam sistem kewangan.

BNM menganggarkan mudah tunai hari ini sebanyak RM34.99 bilion dalam sistem konvensional dan RM12.68 bilion dalam dana Islam.

Bank pusat akan menawarkan lima tender merangkumi tender lelongan matang pelbagai RM8 bilion bagi dua hingga 34 hari; tender repo RM100 juta bagi 34 hari; tender lelongan matang pelbagai Islam RM2.52 bilion bagi tujuh hingga 30 hari dan tender Komoditi Murabahah RM100 juta bagi 30 hari.

Selain itu, ia juga akan mengendalikan Bil Antara Bank Bank Negara RM1 bilion bagi 32 hari.

Pada 4 petang, BNM akan menawarkan tender semalaman konvensional sehingga RM26.9 bilion dan tender Qard semalaman bagi RM10.1 bilion. — Bernama



Source link

read more

Amaran gempur oleh Erdogan boleh jejas inisiatif rundingan damai – SNC


BRUSSELS: Ketua Suruhanjaya Rundingan Syria (SNC) mendakwa kenyataan menentang kedudukan pengawal keselamatan sempadan Syria-Kurdish oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan boleh membahayakan masa hadapan rundingan damai.

Menurut Nasr Al Hariri, sebagai penaja rundingan damai Syria, Erdogan tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan terhadap kumpulan terbabit yang terlibat secara langsung dalam siri rundingan.

“Saya fikir ini akan menjejaskan dinamika inisiatif rundingan damai Syria.

“Apa yang kita mahu adalah untuk semua pihak mematuhi resolusi Geneva dan 2254 untuk berunding secara langsung demi mencapai kedamaian dan kestabilan di Syria,” jelasnya.

Nasr berkata demikian ketika mengadakan pertemuan bersama Menteri Luar Belgium, Didier Reynders di Brussels pada Selasa.

Pada Isnin, Erdogan mengumumkan akan mematahkan usaha kawalan sempadan oleh 30,000 anggota tentera Kurdish yang disokong Amerika Syarikat dengan menghantar pasukan tenteranya di sempadan terbabit.

Erdogan pada masa sama turut mengeluarkan amaran terhadap Washington agar tidak cuba mengeruhkan keadaan sedia ada yang turut melibatkan Ankara dalam isu tentera Turki dan tentera Kurdish.

Sementara itu, di timur Aleppo, media tempatan mengeluarkan rakaman pertempuran di antara rejim Bashar Al Assad dengan kumpulan militan.

Rejim Bashar didakwa melaksanakan misi menakluk semula kawasan pedalaman di tenggara wilayah Aleppo yang dikuasai militan.

Agensi berita Syria melaporkan rejim Bashar telah berjaya mengawal semula kampung-kampung di kawasan itu.

Minggu lalu, kumpulan pemberontak melancarkan serangan balas terhadap rejim Bashar yang cuba menggempur lokasi kumpulan pemberontak yang mengawal pangkalan udara di barat laut negara itu.



Source link

read more

Tanah Felda Audit forensik siasatan polis diteruskan – PM Najib


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan audit forensik dan siasatan polis berhubung isu tanah milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Jalan Semarak, di sini akan tetap diteruskan walaupun Felda telah mendapat kembali hak milik tanah itu.

“Alhamdulillah, tanah Jalan Semarak Felda telah dikembalikan tanpa sebarang kos. Walaupun begitu, saya tegaskan bahawa audit forensik dan siasatan polis akan tetap diteruskan,” kata perdana menteri di laman Twitternya, hari ini.

Semalam, Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad mengesahkan Felda telah mendapat kembali hak milik tanah di Jalan Semarak daripada Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB), tanpa melibatkan apa-apa kos.

Pemilikan semula hak milik kesemua 16 plot tanah, yang melibatkan empat transaksi jual beli dilakukan pada Disember 2015 dan November 2016, diperoleh menerusi perjanjian persefahaman yang ditandatangani antara Felda dan SPSB di ibu pejabat Felda.

Pada 21 Dis lepas, media melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya. — Bernama

BACA: Isu tanah Felda – Isa Samad hadir beri keterangan di Bukit Aman

BACA: Felda ditipu: Jual tanah, tapi tak dapat duit

BACA: ‘Saya terpegun begitu mudah untuk pindah milik tanah dalam institusi seperti Felda’ – Shahrir



Source link

read more

Giggs rujuk Fergie sebelum ambil alih tugas Wales


RYAN GIGGS mendedahkan dia telah merujuk kepada bekas pengurus Manchester United, Alex Ferguson, sebelum mengambil alih jawatan ketua jurulatih Wales.

Bekas pemain sayap United itu yang menghabiskan masa selama 23 tahun di bawah bimbingan Ferguson di Old Trafford, sah dilantik sebagai pengendali baru Wales, semalam.

Pelantikan Giggs berikutan peletakan jawatan Chris Coleman pada November lalu sementara pengurus berusia 44 tahun itu sebelum ini juga dikaitkan dengan kerusi panas di Swansea.

Selepas pengganti Ferguson di United, David Moyes, gagal pada musim pertamanya, Giggs bertindak sebagai jurulatih sementara Red Devils dalam empat perlawanan akhir pada musim 2014 dan kemudiannya bertugas sebagai pembantu kepada Louis van Gaal.

Dia meninggalkan kem pasukan itu sebaik Jose Mourinho tiba dan dalam sidang media semalam, Giggs mengesahkan dia telah meminta nasihat bekas mentornya, Ferguson, di mana dia memenangi 25 kejuaraan utama.

“Ia satu tindakan kurang bijak jika tidak mengendahkannya,” kata Giggs. “Dia salah seorang pengurus terbaik sepanjang zaman.

“Saya bercakap dengannya tetapi saya mahu menjadi pengurus dengan cara saya sendiri.”

Pelantikan Giggs dipenuhi dengan reaksi bercampur-baur dalam kalangan penyokong, tetapi pemain yang pernah membuat 64 penampilan untuk negaranya itu tetap tidak terperanjat dengan kritikan yang diterima.

“Sebab itulah saya tidak berada di dalam laman sosial!” katanya. “Tetapi, saya sedar kritikan akan hadir dan saya akan mencurahkan segalanya.

“Keindahan dalam bola sepak adalah, semua orang mempunyai pendapat dan anda perlu menerimanya. Saya melakukannya sebagai pemain dan saya akan bekerja keras untuk menghasilkan pasukan yang menang.

“Acap kali dikatakan, karier hebat sebagai pemain tidak bermakna anda akan menjadi pengurus yang baik, tetapi saya akan melakukan apa yang saya mampu sebagaimana ketika saya bergelar pemain.

“Saya mahu menikmatinya, saya mempunyai sekumpulan pemain yang hebat untuk bekerjasama.

“Siapakah yang boleh melupakan Kejohanan Euro 2016? Sebagai seorang rakyat Wales, saya  bangga menonton aksi mereka di Perancis (ketika Wales mara ke peringkat separuh akhir), saya ingin membawa kami kembali ke sana.”



Source link

read more

Pemukiman bermula pertemuan antara Najib dan Hsien Loong


SINGAPURA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura hari ini dengan mengadakan pertemuan empat mata dengan rakan sejawatannya, Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Istana di sini.

Pertemuan itu dijangka mengambil masa kira-kira 45 minit diikuti mesyuarat delegasi yang dijangka berlangsung sejam antara kedua-dua pemimpin, beberapa menteri Malaysia dan Singapura serta pegawai kanan dari kedua-dua negara.

Antara menteri Kabinet Malaysia dan pegawai tinggi kanan yang dijangka menghadiri mesyuarat itu termasuk Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Zulkifli Adnan.

Sementara itu, antara Menteri Singapura yang dijangka menghadiri mesyuarat itu termasuk Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan, Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan; Menteri Pendidikan (Sekolah) merangkap Menteri Kedua Pengangkutan Ng Chee Meng; Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon serta turut disertai pegawai tinggi republik itu.

Kemuncak pemukiman itu akan membawa kepada kedua-dua pemimpin menyaksikan majlis menandatangani perjanjian dua hala projek Sistem Transit Rapid (RTS) laluan Johor Bahru-Singapura di antara Abdul Rahman dan Khaw serta menandatangani memorandum persefahaman berkaitan kerjasama pendidikan di antara Singapura dan Malaysia yang akan ditandatangani oleh Mahdzir dan Ng.

Selepas itu, Lee dan isteri, Ho Ching akan menganjurkan jamuan tengah hari rasmi untuk meraikan delegasi Malaysia di Istana.

Najib kemudian akan menghadiri sesi jamuan petang bersama komuniti Malaysia di sini sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

RTS, yang kali pertama diumumkan semasa pemukiman kedua-dua pemimpin pada 2010, dijangka dapat membantu kedua-dua negara bagi menangani masalah kesesakan di Tambak Johor dan Tuas.

Dijangka beroperasi pada 2024, ia akan menghubungkan perkhidmatan pengangkutan awam antara Singapura dan Johor Bahru melalui stesen RTS di Bukit Chagar dan stesen MRT Woodlands North.

BERITA LANJUT MENYUSUL



Source link

read more

Maut dirempuh Myvi yang cuba elak kucing


KUANTAN: Seorang pengawal keselamatan yang juga orang kelainan upaya (OKU) maut selepas motosikalnya dirempuh sebuah kereta yang dipercayai cuba mengelak kucing melintas.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Zundin Mahmood berkata kejadian pada 6.35 petang semalam di KM1, Jalan Temerloh-Gunung Senyum, Kuala Krau Temerloh itu menyebabkan mangsa Awang Zaki Ali, 50, yang cacat pendengaran maut serta-merta.

Anaknya, Nur Farrah Wahida, 18, juga OKU pekak dan bisu yang membonceng motosikal itu, patah kaki dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang wanita berusia 26 tahun cuba mengelak daripada melanggar seekor kucing yang melintas.

“Pemandu kereta telah memasuki laluan bertentangan, menyebabkan keretanya bertembung dengan motosikal yang dinaiki dua beranak itu secara berdepan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Zundin menambah semasa kejadian, dua beranak yang beralamat di Kampung Bangau Parit, Seberang Temerloh itu tidak memakai topi keledar.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Bernama



Source link

read more

Pasangan kejam dera rantai dan kurung 13 anak sambil dibiarkan kelaparan


CALIFORNIA: Sepasang suami isteri didakwa atas tuduhan mendera dan membiarkan 13 anak mereka kekurangan zat dan lebih kejam apabila mangsa turut didera dengan dirantai  katil.

Tindakan tidak berperikemanusiaan itu terbongkar selepas salah seorang anak perempuan pasangan itu yang berusia 17 tahun berjaya meloloskan diri dari kediaman mereka di bandar Perris, Los Angeles, Amerika Syarikat.

Mangsa kemudiannya bertindak menggunakan telefon bimbit yang ditemui dikediaman mereka untuk menghubungi pihak polis.

“Polis telah menemukan kediaman yang dipercayai menjadi tempat tahanan 12 anak pasangan itu, dan lebih mengejutkan tujuh daripada mereka adalah mangsa dewasa,” menurut jurucakap polis dalam satu kenyataan.

“Mangsa jelas kehilangan zat dan berada dalam keadaan kotor.”

Mangsa berusia sekitar dua hingga 29 tahun, kata polis lagi.

Pasangan kejam itu David Allen Turpin, 57 tahun dan Louise Anna Turpin, 49 tahun kemudiannya ditahan dan didakwa atas sembilan pertuduhan mendera dan 10 pertuduhan membahayakan kanak-kanak.

Mereka turut dikenakan ikat jamin AS$9 juta seorang.

Menurut jiran, pasangan Turpins itu jarang bergaul dan keluar dari rumah mereka.

Mangsa yang diselamatkan, mengadu kepada pihak polis yang mereka kelaparan namun tidak mendedahkan mengapa ibu bapa mereka bertindak mengurung mereka.

Pasangan itu dijangka dihadapkan di mahkamah Khamis ini.



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons