Review Category : Politik

Ejen percukaian jangan salah tafsir isu cukai – Johari



KUALA LUMPUR: Ejen percukaian diminta memahami dengan teliti isu cukai dan segera merujuk kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk kepastian mengenai hal berkenaan termasuk peraturan serta undang-undang baharu yang ditetapkan agensi itu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, mereka juga perlu memberi penerangan jelas isu cukai selain tidak menafsir undang-undang mengenai isu berkenaan tanpa perbincangan dengan LHDN.

“Apa yang berlalu selepas lima atau enam tahun mereka membayar cukai berdasarkan tafsiran mereka akhirnya apabila LHDN membuat audit, agensi itu mendapati bahawa tafsiran yang dibuat salah hingga berlaku backdated tax.

“Bila ada backdated tax, syarikat ini akan menanggung cukai tertunggak yang besar. Apabila mereka merujuk dengan agensi cukai dan mendapat nasihat tafsiran undang-undang itu yang terlalu subjektif,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan Seminar Percukaian Kebangsaan 2017 di sini hari ini.

Seminar yang bermula hari ini sehingga 16 November diadakan di 24 lokasi seluruh negara bertujuan memberi pemahaman lebih jelas berkaitan cadangan pindaan dalam Akta Cukai Pendapatan 1967 serta akta-akta berkaitan yang dibentangkan melalui Bajet 2018.

Topik yang akan dibincangkan sepanjang seminar ini berlangsung adalah Cadangan-Cadangan Bajet 2018 (2018 Budget Proposals) dan Hala Tuju Pematuhan Cukai (Tax Compliance: The Way Forward).

Dalam pada itu kata Johari, bayaran cukai bukan satu bentuk hukuman dan membebankan sebaliknya peluang untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara.

Ujarnya, bayaran cukai adalah platform rakyat menyumbang secara kolektif sebahagian kecil daripada pendapatan untuk dimanfaatkan demi kesejahteraan awam.

“Kita harus berusaha untuk memperkukuh budaya pematuhan cukai dalam kalangan masyarakat.

“Apabila wujud kesedaran yang tinggi akan kepentingan pematuhan cukai, kelak isu-isu seperti amalan mengelak daripada membayar cukai, pemfailan butiran maklumat yang tidak tepat serta amalan ‘aggresive tax planning’ dapat diselesaikan,” katanya.

Kira-kira 2.3 juta pembayar cukai menerima khabar gembira menerusi Bajet 2018 apabila kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan dua mata peratusan.

Pengurangan cukai itu akan dinikmati oleh golongan pendapatan pertengahan (M40) atau isi rumah berpendapatan RM9,000 ke bawah.



Source link

read more

Banjir kilat Pemaju wajib tambah baik sistem saliran kolam tahanan



KUALA LUMPUR: Pemaju projek pembangunan Lebuhraya Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE DUKE 3) dan South City diarah menaik taraf sistem saliran dan kolam tahanan di tapak lokasi projek tersebut.

Arahan itu dikeluarkan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) susulan kejadian banjir kilat di Lebuhraya Persekutuan, Isnin lalu.

“DBKL telah mengeluarkan arahan kepada pihak terlibat untuk melaksanakan perkara-perkara seperti berikut iaitu menaik taraf longkang keliling parameter sedia ada, menyelenggara kolam tahanan sedia ada untuk mengekalkan kapasiti paras air, manambah bilangan perangkap kelodak dan diselenggara dengan baik selain membersih serta menyelenggara sistem sedia ada bagi mengelak banjir,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) yang meminta kerajaan menyatakan punca banjir kilat di Lebuhraya Persekutuan berhadapan bangunan Angkasapuri pada petang 30 Oktober lalu.

Jelasnya lagi, hasil siasatan pihaknya mendapati aktiviti pembangunan, halangan kepada sistem perparitan sedia ada dan hujan yang sangat lebat menjadi punca kejadian banjir kilat itu.

“Hasil daripada siasatan yang dijalankan dan kita mengenal pasti bahawa punca kejadian banjir kilat itu adalah kesan daripada aktiviti pembangunan berhampiran, halangan kepada sistem perparitan sedia ada dan hujan yang sangat lebat.

“Hujan lebat yang berlaku ini bersifat sementara yang mana intensiti hujan pada waktu kejadian adalah 1 jam 20 minit dengan kadar hujan 86.55mm. Kadar hujan lebat biasa adalah sekitar 50 ke 60mm. Jalan yang dinaiki air ini adalah di bawah kawal selia Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pihak konsesi adalah Lebuhraya Sprint,” katanya.

Justeru tegas beliau, kementeriannya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan menghentikan projek tersebut jika mendapati pihak pemaju gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan.



Source link

read more

Harga RON95 RON97 dan diesel naik mulai tengah malam ini


KUALA LUMPUR: Harga produk bahan api petrol dan diesel mencatat kenaikan masing-masing empat sen dan harga baharu itu bermula tengah malam ini (2 November) hingga 8 November 2017.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menerusi laman sesawangnya menyatakan harga baharu mingguan itu berkuat kuasa pada 12.01 tengah malam ini.

RON95 kini ditetapkan pada harga RM2.24 seliter, berbanding RM2.20 seliter sebelum ini.

Manakala RON97 naik dari RM2.50 seliter kepada RM2.54 seliter.

Sementara itu, harga diesel yang sebelum ini berada pada harga RM2.13 naik empat sen kepada RM2.17.

Harga RON95, RON 97 dan Diesel



Source link

read more

Patuhi syarat nyata tanah atau kena tindakan tegas



IPOH: Pemilik tanah di Perak, khususnya yang menjalankan aktiviti penternakan, dinasihatkan mematuhi syarat nyata tanah masing-masing atau berdepan tindakan keras kerajaan negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, siasatan yang dibuat mendapati, banyak kes pemilik tanah tidak mematuhi syarat nyata seperti yang ditetapkan.

“Tinjuan kerajaan negeri mendapati kebanyakan mereka yang mengusahakan kegiatan penternakan ini tidak mematuhi syarat nyata dalam geran mereka.

“Mereka tidak boleh melanggar syarat itu. Contohnya, jika tanah itu adalah tanah pertanian, ia tidak boleh digunakan untuk tujuan penternakan.

“Kita menemui banyak kes yang mana syarat nyata tanah yang diletakkan dalam geran adalah berbeza dengan apa yang mereka lakukan di atas tanah itu.

“Ini secara jelas melanggar peraturan-peraturan yang ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini pada Rabu.

Tambah Zambry, pelanggaran syarat tersebut telah menimbulkan pelbagai masalah lain khususnya kepada penduduk sekitar.

“Setiap tanah itu kita telah tetapkan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dibangunkan. Jika dilanggar juga, ia akan memberi pelbagai kesan, termasuk kepada alam sekitar serta penduduk di sekelilingnya.

“Bayangkan jika berhampiran kawasan perumahan wujud tempat penternakan, ia sudah tentu akan membuat penduduk di sekitar kawasan itu berasa tidak selesa.

“Kita memandang serius isu ini, dan dinasihatkan kepada mereka yang melanggar syarat nyata tanah itu, sila kembali mematuhi syarat atau kita tak akan teragak-agak ambil tindakan,” tegas beliau.



Source link

read more

Suami isteri warga Brunei maut kereta bertembung dua lori



KOTA KINABALU: Sepasang suami isteri warganegara Brunei maut manakala anak mereka cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terlibat dengan kemalangan membabitkan dua lori tiga tan dalam kejadian di Jalan Kimanis, Kampung Lanas, Papar, petang hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, pasangan suami isteri itu Danny Chin, 54, dan isterinya Chong Chin Oji, 55, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Manakala anak kepada pasangan berkenaan, Bernie Chin Sun Ron, 17, yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan dikejarkan ke Hospital Papar untuk rawatan lanjut.

Terdahulu, ketiga-tiga beranak yang menaiki kereta Toyota Vios itu dikatakan dalam perjalanan dari daerah Beaufort menuju ke bandaraya Kota Kinabalu sebelum terlibat kemalangan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Janil Jaya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.05 petang sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian untuk bantuan kecemasan.

“Bertindak atas maklumat orang ramai yang membuat panggilan kecemasan itu, sebuah jentera dengan kekuatan seramai tujuh anggota BBP Papar dikerahkan ke lokasi kemalangan.

“Berdasarkan maklumat awal, kemalangan ini membabtkan tiga buah kenderaan iaitu Toyota Vios serta dua lori tiga tan.

“Dua mangsa iaitu pasangan suami isteri yang menaiki kereta Toyota Vios disahkan meninggal dunia akibat tersepit di dalam kenderaan berkenaan, manakala seorang penumpang yang parah sudah dibawa ke Hospital Papar.

“Tiga mangsa dari dua lori yang cedera turut dikejarkan ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata, dua mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian itu sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.



Source link

read more

Kerajaan lulus RM200 juta untuk pembangunan sektor pekebun kecil penoreh



ALOR SETAR: Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk beberapa inisiatif khusus bagi pembangunan pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sektor berkenaan akan diberi nafas baharu melalui beberapa langkah tertentu antaranya membangunkan infrastruktur moden supaya penoreh dapat menghasilkan lateks berbanding getah beku ‘cuplumps’.

“Peruntukan ini tidak termasuk bantuan musim tengkujuh… ini untuk pembangunan sektor pekebun kecil dan penoreh sahaja untuk beri pendapatan lebih kepada mereka,” katanya pada program pemimpin bersama rakyat dan penyerahan bantuan musim tengkujuh kepada pekebun kecil dan penoreh getah di Dataran Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong serta pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional negeri.

Najib berkata langkah lain adalah memperkenalkan klon getah baharu dikenali sebagai Klon 1Malaysia yang mampu menghasilkan produktiviti getah lebih tinggi berbanding benih biasa.

“Fokus seterusnya adalah untuk melihat bagaimana kaedah menoreh itu boleh dilakukan pembaharuan dengan suntikan teknologi baharu agar dapat menghasilkan pengeluaran getah lebih tinggi.

“Sistem torehan intensiti rendah iaitu kaedah baharu boleh diperkenal kepada pekebun,” katanya.

Sementara itu dari segi permintaan, perdana menteri berkata beliau sudah mengarahkan agar sebahagian jalan raya menggunakan getah di bahagian permukaannya.

Najib berkata walaupun kos permulaan pembinaan jalan menggunakan getah 15 peratus lebih tinggi, ia dapat menjimatkan kos penyelenggaraan dengan sangat ketara.

“Sektor ini (getah) masih punya masa depan cerah, selain getah masih ada permintaan, kita dapati (batang) pokok getah juga adalah sumber untuk buat perabot, bekalan kayu, sangat tinggi pemintaannya.

“Di Amerika Syarikat misalnya, permintaan terhadap kayu getah sangat tinggi, maka sektor getah termasuk pekebun kecil akan terus dimajukan kerajaan,” katanya.

Mengenai bantuan musim tengkujuh kepada pekebun kecil dan penoreh getah, perdana menteri berkata bantuan sebanyak RM200 sebulan untuk tiga bulan (November, Disember dan Januari) itu akan diteruskan pada tahun depan.

Beliau berkata bayaran bagi tahun ini bermula hari ini (1 Nov) akan dibuat terus ke akaun bank penerima atau secara tunai atas keadaan tertentu.

Katanya lebih 500,000 pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara menerima manfaat bantuan bernilai RM300 juta itu, termasuk lebih 75,000 di Kedah, membabitkan peruntukan sebanyak RM45 juta.

Dalam pada itu, Najib berkata rakyat Kedah menerima lebih RM1 bilion dana suntikan daripada kerajaan persekutuan merangkumi pelbagai insentif termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia.

“Kalau orang kata kerajaan menyusahkan rakyat melalui GST, sebenarnya kita kutip, kita pulang balik (kepada rakyat) itu kaedah terbaik.

“Mesti ada punca pendapatan, apa salahnya kenakan (cukai) pada orang yang ada kemampuan dan cuba elak bayar cukai, apa salah kenakan pada pekerja asing, bayarlah GST, pulangkan balik kepada rakyat, orang kampung, penjawat awam, imam, bilal dan siak.

“Kalau kata harga barang naik, dulu tak ada GST pun barang naik. Harga mesti naik, jangan lempar tuduhan tak tentu arah… Ini semua mainan parti pembangkang, sebenarnya mereka tak mampu tadbir negara seperti Barisan Nasional,” katanya.

— BERNAMA



Source link

read more

Rasuah KSM pandang serius penahanan pegawai JKKP Johor



PUTRAJAYA : Kementerian Sumber Manusia (KSM) memandang serius terhadap penahanan pegawai Jabatan Keselamatan dan Kesihatan (JKKP) Negeri Johor oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam rasuah.

KSM dalam satu kenyataanberkata walaupun ia adalah satu kes terpencil namun pihak KSM akan memastikan setiap pegawai jabatan dan agensi di bawahnya mematuhi dan menjalankan penguatkuasaan dengan berintergriti.

SPRM pada Rabu mengesahkan penahanan seorang lelaki berusia 37 tahun di sebuah hotel di Johor pada 2.40 petang semalam kerana disyaki meminta dan menerima wang berjumlah RM30,000 daripada seorang pengurus projek sebuah syarikat kejuruteraan petroleum.

Suspek disyaki meminta wang sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadap syarikat berkenaan yang didapati memasang Mesin Angkat tanpa mendapat kebenaran daripada pihak JKKP Johor.

KSM berkata ia telah mejalankan pelbagai program bagi meningkatkan integriti pegawai antaranya dengan mengadakan taklimat daripada SPRM, bekerjasama dengan SPRM untuk menjalankan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) untuk pegawai di jabatan dan agensi di bawahnya.

Kementerian itu juga mengguna pakai konsep Pengurusan Risiko Rasuah ke dalam Prosedur Kerja Standard, aktiviti penguatkuasaan dan pemeriksaan jabatan dan agensi, katanya.

“Pihak KSM juga komited dan akan sentiasa bekerjasama dengan semua pihak yang terlibat bagi menambah baik prosedur sedia ada dan juga demi menjaga integriti dan sistem penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.

–BERNAMA



Source link

read more

Hasrat Teh tidak jejas kedudukan DAP di Pulau Pinang



KUALA LUMPUR: Hasrat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu untuk meninggalkan DAP dilihat meninggalkan kesan kepada parti itu tetapi tidak akan menjejaskan kedudukan DAP di Pulau Pinang.

Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, DAP perlu melihat perkara itu secara menyeluruh memandangkan situasi tersebut akan digunakan parti lawan untuk merangka strategi yang lebih signifikan.

“Teh merupakan seorang yang mengutamakan prinsip dan sudah pasti memberi kesan kepada DAP.

“Dalam kedudukan beliau sekarang, Teh turut menyoal kenapa kerajaan negeri sering kali tidak bersetuju dengan pandangan yang dikemukakan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Teh merupakan ADUN DAP yang lantang mengkritik kerajaan negeri Pulau Pinang dalam pelbagai isu antaranya pembangunan kawasan bukit.

BACA: ADUN Tanjung Bungah dipancing parti lain

VIDEO: Teh akhirnya akan tinggalkan DAP



Source link

read more

Chin Tong jangan pertikai kem tentera di Segamat – Bastien



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong diberi amaran tidak mempertikai hampir 1,079 anggota tentera yang bakal menduduki kem tentera baharu yang bakal siap hujung tahun ini di Segamat.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn berkata, Chin Tong kini seolah-olah sengaja menimbulkan persepsi kem itu membantu Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Berkenaan dengan soal kem askar di Segamat seperti dibangkitkan, saya minta Chin Tong berhenti berkhayal dengan tuduhan berkaitan pembinaan kem tersebut.

“Saya cukup tidak faham kaitan kem tentera dan pilihan raya. Dia cuba menimbulkan persepsi bahawa kewujudan kem itu akan membantu BN pada pilihan raya nanti.

“Adakah dia tidak tahu bahawa tugas tentera adalah untuk mempertahan negara dari ancaman musuh?” katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Chin Tong semasa membahas Ucapan Parlimen mengenai Bajet 2018 (Bahagian II) meminta Kementerian Pertahanan memberi penjelasan sama ada pembinaan Kem Tentera Segamat di negeri Johor dibuat atas pertimbangan strategi pertahanan negara atau semata-mata untuk mempertahankan kepentingan politik dan pilihanraya bagi parti kerajaan.

Empat kem tentera baharu bakal dibina dan siap pada hujung tahun ini.

Selain Segamat, ia juga akan dibina di Hutan Melintang, Perak, Bera di Pahang dan Pagoh di Johor.

Pembinaan kem tentera baharu ini juga sebagai salah satu langkah kerajaan bagi menambah kedudukan strategik aset pertahanan.

Ia juga berkait rapat dengan faktor kedudukan kem di lokasi-lokasi sedia ada didapati tidak lagi sesuai kerana berada di tengah-tengah kawasan pembangunan selain melibatkan kos penyelenggaraan tinggi.

Dalam pada itu Bastien meminta Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP itu untuk berhenti memperlekehkan perajurit-perajurit negara selain tidak melibatkan mereka dalam politik dan tuduhan seumpama itu.

“Kalau hendak menang di Segamat dia perlu kerja kuat, kami tunggu. Ini belum lawan sudah mencari alasan kalah.

“Dia akan terus dalam dunianya daan bila tewas nanti akan menggunakan alasan kewujudan kem tentera berkenaan.

“Kalau kamu tidak suka perwira negara tidak apa tetapi jangan babitkan mereka dalam permainan politik terdesak begini.

“Kami di Segamat menyambut baik dan amat gembira dengan pembinaan kem tentera ini. Sesungguhnya kami akan berasa selamat dengan kehadiran perajurit ini di sini,” ujarnya.

Bastien turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di atas pembinaan kem berkenaan.

Dalam pada itu, Bastien juga mahu tahu perasaan Chin Tong terhadap kewujudan kem tentera di Kluang.

“Di kawasan dia juga ada kem tentera, apakah perasaan Chin Tong? Tentera ini merupakan perajurit yang melindungi kamu, adakah kewujudan mereka tidak diundang d Kluang?

“Bagaimana pula mereka yang di Pagoh? Jangan lupa perajurit-perajurit sekalian, kita ada wakil pembangkang yang tidak selesa dengan kehadiran kamu rasanya,” tegasnya.

Bastien juga mahu Chin Tong berhenti memberi alasan awal dan menyebar persepsi kekalahan wakil mereka di Segamat kepada Datuk Seri Dr. S. Subramaniam kerana kehadiran tentera ini.

“Adakah nasib pembangkang sudah tertilik? Chin Tong sendiri harus sedar pengundi-pengundinya di Kluang amat merindukan kehadiran dan khidmatnya selaku wakil rakyat.

“Apabila saya berbual dengan belia-belia dari kawasannya, mereka kerap bertanya tentang kehadirannya yang langsung tiada bayang,” jelasnya.



Source link

read more

Lapan rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Telaga Tengah



GEORGE TOWN: Lapan buah keluarga di Jalan Madrasah, Jelutong Pulau Pinang  tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran  kira-kira jam 4 petang tadi.

Bagaimanapun, kebakaran yang  melibatkan rumah kampung  jenis kayu itu  tidak melibatkan sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Ismail Md Zain berkata,  pihak bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 4.06 minit dan tiba 10 minit kemudian.

Sebaik tiba pihaknya mendapati, tujuh daripada lapan buah rumah musnah sepenuhnya berikutan api marak dengan cepat ekoran struktur kediaman yang diperbuat daripada kayu.

“Semasa pihak bomba tiba di lokasi kebakaran, sebahagian daripada lima buah rumah itu telah hangus terbakar dan api marak dengan cepat kerana rumah terlalu rapat serta jenis kayu,” katanya di sini hari ini.

Kebakaran katanya dapat dikawal pada jam 4.58 petang.

Sementara itu, seorang penghuni, Zaharah Mohd Nor, 67,  berkata kebakaran  berlaku ketika dia sedang  menunggu untuk menunaikan solat Asar sebelum dikejutkan dengan jeritan api oleh jiran.

Dia yang melihat kepulan api dan asap hitam terus berlari untuk menyelamatkan diri dan bersyukur kerana  dia dan empat ahli keluarga lain terselamat dalam kejadian tersebut.

“Waktu tu saya tak  ada buat apa, baru sudah sembahyang. Pukul 4 petang  dekat waktu Asar dengar jeritan ada api. Lepas tu dengar bunyi letupan, makcik pun keluar,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran.

Seorang lagi mangsa, Rahalina Ahmad berkata, ketika kejadian dia sedang menonton televisyen dan melipat kain dan terkejut apabila anaknya menjerit memberitahu rumah mereka terbakar.

“Sedang tengok TV sambil lipat kain, asap penuh dan anak panggil turun. Tengok api sedang marak. Barang semua tak dapat selamat,” katanya.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons