Review Category : Politik

Pelakon lelaki bersama dua rakan ditahan disyaki miliki dadah



KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang pelakon lelaki berusia 25 tahun bersama dua lagi rakannya kerana disyaki memiliki ganja seberat 5.97 gram yang disembunyikan di dalam keretanya di Jalan Bukit Setiawangsa, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata dalam kejadian pada pukul 1.30 pagi itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Wangsa Maju telah menahan kereta jenis Honda Jazz milik pelakon terbabit di sebuah stesen minyak di sini.

“Pemeriksaan lanjut menemui satu bekas tin aluminium yang di dalamnya terdapat satu paket plastik lutsinar berisi ketulan mampat dan leraian daun-daun kering disyaki ganja bersama alat menghisap ganja yang disembunyikan di bawah kerusi pemandu.

“Pelakon itu bersama dua rakannya yang berusia 20 dan 24 tahun ditahan dan ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis THC (Tetra Hydrocannibol),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mazlan berkata ketiga-tiga individu yang ditahan didapati tiada rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 37A(1)(b) Akta Dadah Berbahaya 1952.

— BERNAMA



Source link

read more

Berita tarif elektrik terpaksa dinaikkan adalah palsu – KeTTHA



KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) menafikan kenyataan ‘Tarif Elektrik Terpaksa Dinaikkan Bagi Melindungi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Daripada Kerugian – Najib Razak’ seperti yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

Ketua Setiausaha KeTTHA, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, dalam kenyataan hari ini, berkata berita tersebut adalah tidak benar dan telah menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat umum.

“KeTTHA juga ingin memaklumkan bahawa kenyataan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu adalah kenyataan lama bertarikh 16 Mei, 2014.

Justeru, kementerian telah menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk mengambil tindakan selanjutnya dengan serta-merta, katanya.

— BERNAMA



Source link

read more

Charles Camilla tiba di Pulau Pinang untuk lawatan sehari



GEORGE TOWN: Prince of Wales, Putera Charles dan isteri Camilla, Duchess of Cornwall tiba di sini malam ini, sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi sehari sempena ulang tahun ke-60 hubungan dua hala antara Malaysia dan United Kingdom.

Pesawat Tentera Udara Diraja yang membawa pewaris takhta British dan isteri itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 8.10 malam.

Pasangan diraja itu diiringi Menteri Pengiring Datuk Seri S. K. Devamany yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Ketibaan baginda berdua disambut oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan barisan exco kerajaan negeri.

Baginda berdua dijadual melawat beberapa tempat ibadat di kawasan warisan di sini esok termasuk Gereja St George, Masjid Kapitan Keling, Tokong Pusaka Han Jiang dan Kuil Sri Mahamariamman.

Pasangan itu juga dijangka bersiar-siar di sekitar kawasan warisan pada tengah hari sebelum Putera Charles melawat Muzium Sun-Yat Sen di Armenian Street manakala Camilla ke Teochew Puppet and Opera House untuk melihat pertunjukan kebudayaan.

Sementara Camilla berehat pada sebelah petang, Prince of Wales itu akan melawat Pusat Perikanan Dunia, sebuah organisasi penyelidikan antarabangsa yang memanfaatkan perikanan dan akuakultur bagi mengurangkan kebuluran dan kemiskinan, berpusat di Batu Maung, di bahagian selatan Pulau Pinang.

Selepas lawatan ke pusat perikanan itu, Putera Charles akan ke pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Butterworth, Seberang Perai atau dahulunya dikenali sebagai Province Wellesley, untuk Perjanjian Pertahanan Lima Negara.

Pada sebelah malam pula, pasangan Diraja British itu akan menghadiri Resepsi Alumni Sandhurst di Hotel Eastern and Oriental sebelum mengakhiri lawatan dengan menghadiri Resepsi Muzium Peranakan Pulau Pinang di Church Street.

Ini merupakan lawatan pertama pasangan diraja itu ke Malaysia.

Lawatan oleh keluarga Diraja British sebelum ini ialah Ratu Elizabeth II dan Duke of Edinburgh yang menghadiri pembukaan rasmi Sukan Komanwel ke-16 di Kuala Lumpur pada 1998 dan kunjungan Putera William dan Kate Middleton, Duke dan Duchess of Cambridge pada September 2012.

Hubungan antara Malaysia dan United Kingdom merangkumi pelbagai bidang termasuk perdagangan, pertahanan dan keselamatan, pendidikan, ekonomi digital, teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui, budaya dan pelancongan.

Malaysia adalah pasaran eksport kedua terbesar negara itu di ASEAN dan United Kingdom adalah rakan dagang ketiga Malaysia di Eropah, manakala dalam bidang pendidikan, terdapat lebih daripada 18,000 rakyat Malaysia belajar di negara itu pada masa ini.

Sebelum tiba di Pulau Pinang, Putera Charles dan Camilla melawat Kuching, Sarawak yang mana mereka dipersembahkan dengan pertunjukan kebudayaan negeri Bumi Kenyalang itu yang penuh warna-warni.

— BERNAMA



Source link

read more

Pesanan Majlis Peperiksaan Malaysia kepada calon STPM berdepan bencana alam



KEPADA calon-calon peperiksaan STPM yang terlibat dengan banjir;

Sukacita dimaklumkan bahawa peperiksaan Penggal 3 Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2017 telah bermula pada 6 November 2017 di 683 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.

Sepanjang tempoh berlangsungnya peperiksaan STPM ini, jika sekiranya berlaku sebarang bencana alam, seperti banjir atau tanah runtuh, dan calon mendapati sukar untuk sampai ke pusat peperiksaan STPM, calon dinasihati supaya pergi ke pusat peperiksaan yang berdekatan dan melaporkan diri kepada Ketua Pengawas di pusat peperiksaan yang berkenaan bagi menduduki kertas peperiksaan pada hari tersebut.

Bagi menghadapi sebarang kemungkinan tersebut semasa peperiksaan STPM berlangsung, Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) telah membuka Bilik Gerakan yang boleh dihubungi melalui telefon di talian 03-61261668. Bilik Gerakan ini beroperasi dari jam 7:00 pagi hingga 5:00 petang.

Talian telefon lain yang boleh dihubungi ialah 03-61261600 (Am)/03-61261650/03-61261651/03-61261653/03-61261661/03-61261662.

Calon juga dinasihati agar sentiasa menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing untuk mengetahui status semasa di negeri masing-masing.

Selain daripada itu, calon juga dinasihati supaya sentiasa membawa kad pengenalan. Bagi calon persendirian individu, mereka hendaklah juga membawa slip Laporan Pendaftaran Kemasukan Calon (LPKC) bagi peperiksaan STPM semasa hadir menduduki peperiksaan ini.

Calon boleh mencetak LPKC masing-masing melalui portal MPM http://www.mpm.edu.my. Calon juga dinasihati agar menyemak nama pusat peperiksaan yang akan diduduki bagi mengelak daripada hadir di pusat peperiksaan yang salah.

Saya dan MPM mendoakan yang terbaik kepada semua calon dan Petugas Peperiksaan.

Didoakan keadaan kembali pulih di negeri-negeri yang dilanda banjir.

Profesor Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak
Pengerusi
Majlis Peperiksaan Malaysia
Naib Canselor
Universiti Utara Malaysia



Source link

read more

Fenomena Fujiwara punca banjir di Pulau Pinang



KUALA LUMPUR: Fenomena Fujiwara iaitu dua taufan berbeza melanda kawasan berdekatan dikenal pasti sebagai punca hujan lebat berterusan yang mengakibatkan banjir di Pulau Pinang pada Sabtu lalu.

Pakar Oceonagrafi Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata dua taufan tersebut adalah taufan Damrey yang melanda Vietnam dan taufan yang lebih kecil di Teluk Siam.

“Taufan yang kecil ini yang menghasilkan angin kencang di Pulau Pinang pada Sabtu. Seperti yang boleh kita perhatikan dalam laman web cuaca dunia seperti nullschool.com, taufan kecil ini sudah pun beralih ke Teluk Siam semula selepas melalui Pulau Pinang. Malah ia sedang menguat,” katanya.

Azizan berkata taufan Damrey kini sudah telah menghilang namun taufan kecil di Teluk Siam masih berada di sana pada kelajuan hampir 54 kilometer pada petang Selasa.

Tambahnya di Sarawak juga, sebuah vorteks kecil dapat dilihat yang akan membawa hujan lebat di negeri itu.

Jelasnya, kewujudan dua taufan pada masa yang sama ini menyebabkan fenomena cuaca yang dipanggil Fujiwara berlaku.

“Ini sangat menarik buat pakar meteorologi kerana fenomena ini sangat jarang berlaku dan dapat dikesan.

“Ia juga bukan senang untuk difahami oleh sesiapa sahaja termasuk ahli meterologi,” katanya.

Jelas Azizan, negara masih perlu memberi penekanan kepada aspek latihan pakar meterologi untuk membolehkan mereka menterjemah data cuaca dan memberi ramalan lebih tepat mengenai fenomena cuaca yang boleh memberi risiko kepada masyarakat.

Tambahnya kini ahli meterologi negara hanya diberi latihan di dalam negara dan tidak diberi peluang untuk mempelajari fenomena cuaca yang lebih pelik dan kompleks di luar negara.

“Kita tidak menawarkan subjek meterologi di dalam universiti pada saat ini. Kita memerlukan lebih banyak pakar untuk memastikan negara lebih bersedia menghadapi bencana alam pada masa hadapan,” katanya.

Banjir yang berlaku akibat hujan lebat berterusan sehingga lebih 300ml di Pulau Pinang pada Sabtu telah meragut nyawa 7 orang, kebanyakannya warga emas.

Menurut Polis Diraja Malaysia, lebih 10,000 penduduk Pulau Pinang kini terpaksa ditempatkan di pusat perlindungan.



Source link

read more

Majikan ingkar mencarum akan dikenakan tindakan tegas – Perkeso



KUALA TERENGGANU: Pertubuhan Keselamatan Pekerja (Perkeso) akan bertindak tegas terhadap majikan yang culas mencarum terhadap pekerja mereka hingga menyebabkan waris keluarga gagal mendapat faedah daripada Perkeso.

Timbalan Pengarah Perkeso Negeri Terengganu, Norihan Ibrahim berkata Perkeso akan mengeluarkan amaran arahan pematuhan terhadap majikan yang gagal berbuat demikian untuk kesalahan pertama.

“Jika mereka ingkar, majikan tersebut boleh didakwa atas kesalahan gagal mendaftar dan membuat caruman ke atas pekerja di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 atau sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Norihan berkata tindakan tegas itu diambil bagi mengelak kejadian serupa menimpa waris mangsa kemalangan maut Mohd Sari Muda, 52, Sabtu lepas yang gagal menerima faedah Perkeso ekoran majikan mangsa gagal membuat caruman terhadap arwah.

“Setelah disiasat, Perkeso mendapati caruman terakhir yang dibuat pada arwah Mohd Sari adalah pada November 2014 yang menyebabkan keluarga arwah tidak layak untuk menerima faedah pengurusan mayat.

“Arwah Mohd Sari yang bekerja sebagai pemotong rumput kontrak dengan sebuah syarikat swasta tidak dicarum oleh majikannya semasa beliau bekerja menyebabkan anak arwah tidak layak mendapatkan kadar faedah pengurusan mayat yang sepatutnya diterima mereka,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dua anak arwah Nurulhuda Asarah Mohd Sari, 28, dan Muhammad Khairul Ridzuan Mohd Sari, 25, masih layak menerima cek faedah pengurusan mayat bernilai RM2,000 hasil caruman terhadap arwah ibu mereka, Mizah Mamat yang merupakan seorang tukang cuci di sebuah syarikat swasta.

“Pihak Perkeso telah berjaya mengesan majikan arwah yang ingkar membayar caruman dan kami akan membuat susulan kes ini bagi melayakkan kedua-dua anak ini mendapat pampasan daripada caruman arwah ayah mereka,” kata Norihan.

Menurutnya lagi, tindakan pantas Skuad Prihatin Perkeso yang berjaya mencari waris pasangan tersebut bertindak menghubungi waris berkenaan dan meminta kedua-dua mereka hadir ke Pejabat Perkeso Negeri Terengganu petang tadi bagi menguruskan proses tuntutan faedah pengurusan mayat dan penyerahan cek tersebut turut diberikan pada hari yang sama.

Arwah Mohd Sari dan isterinya antara empat beranak yang maut dalam kemalangan ketika pulang daripada menghadiri kenduri perkahwinan selepas kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah bas di hadapan Penjara Marang pada 4 Nov lepas.

— BERNAMA



Source link

read more

Lima rentung dalam kebakaran empat rumah dekat Sungai Petani



SUNGAI PETANI: Lima rentung dan seorang cedera parah akibat melecur dalam kebakaran membabitkan empat rumah jenis kayu di Kampung Sungai Gelugor, Taman Petani Jaya dekat sini awal pagi ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Abdul Razak Muda berkata pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 4.11 pagi dan tiba di lokasi kejadian bersama jentera pertama, lima minit kemudian.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan empat rumah berkeluasan 2.3 meter X 6.5 meter persegi telah musnah 90 peratus setiap rumah dan kita percaya seorang daripada mangsa (yang rentung) merupakan kanak-kanak berdasarkan saiz mangsa,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian pagi ini.

Abdul Razak berkata seramai 14 anggota termasuk pegawai terlibat dalam operasi pemadaman api yang masih diteruskan setakat 8 pagi ini dengan dibantu 41 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

Beliau berkata idenditi mangsa yang terlibat masih dalam proses dikenal pasti manakala punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

— BERNAMA



Source link

read more

ATM fokus kerja-kerja pasca banjir di Pulau Pinang – Hishammuddin



GEORGE TOWN: Kementerian Pertahanan akan memberi fokus kepada kerja-kerja pasca banjir dalam usaha membantu semua mangsa yang terlibat dengan bencana banjir besar di negeri Pulau Pinang yang melanda hujung minggu lalu.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah pun berada di lokasi banjir sejak awal pagi semalam bagi menghulurkan bantuan kepada semua mangsa.

“Daripada tinjauan saya tadi sama ada di udara atau melalui anggota ATM, saya tengok keadaan sudah reda sedikit sekiranya tidak hujan lagi kita kena fokus kepada pasca banjir.

“Sebab itu peralatan yang kita bekalkan hari ni seperti waterjet (alat pancuran air) dan sebagainya untuk membantu mereka dalam proses hendak bersihkan kawasan masing-masing,” katanya selepas  meninjau  mangsa banjir di  Flat Taman Penang Free School di sini hari ini.

Tinjauan turut disertai  Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Hishammuddin berkata, menerusi anggotanya yang berada di lokasi banjir, ATM lebih maklum dengan keperluan semasa yang diperlukan mangsa terlibat.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan menyerahkan  tanggungjawab itu kepada ATM untuk  menilai bentuk bantuan yang bersesuaian kepada semua mangsa termasuklah kerja-kerja pembaikan rumah dan  infrastruktur yang rosak.

Menurut Hishammuddin,  buat masa ini, ATM  telah  menggerakkan kira-kira 200 pegawai dan anggota di bawah naungan Divisyen Kedua Infrantri Malaysia (2 Div)  dari pasukan Batalion Kedua Askar Melayu Diraja.

Turut terlibat, ialah Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Ketiga Kor Armor Diraja dan Rejimen 509 Askar Wataniah serta beberapa lagi unit sokongan di bawah naungan 2 Divisyen.

Sementara itu, Hishammuddin mengingatkan semua pihak  agar mengambil iktibar daripada kejadian banjir besar yang melanda Pulau Pinang  memandangkan bencana itu disifatkan berbeza daripada kejadian sebelum ini.

Katanya, banjir kilat  yang menenggelamkan banyak kawasan di negeri  itu sejak Sabtu  disebabkan air naik dengan pantas dalam tempoh yang singkat.



Source link

read more

KKM miliki 4898 doktor pakar setakat September ini



KUALA LUMPUR: Terdapat 4,898 doktor pakar sedang berkhidmat di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) setakat 30 September tahun ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata kementerian itu sentiasa berusaha untuk meningkatkan lagi bilangan doktor pakar di negara ini.

“Antara langkah yang diambil kementerian adalah dengan meningkatkan pengambilan pegawai perubatan menjalani program sarjana kepakaran. Kementerian juga menggalakkan pegawai perubatan yang berminat untuk menjadi pakar menjalani latihan kepakaran melalui program laluan paralel bersama universiti luar negara,” katanya.

Beliau menjawab soalan Dr Izani Husin (PAS-Pengkalan Chepa) yang ingin tahu jumlah terkini doktor pakar di hospital kerajaan dan apakah langkah bagi menangani masalah kekurangan jawatan berkenaan.

Dr Hilmi berkata antara langkah lain yang diambil KKM adalah dengan melantik semula secara kontrak pegawai perubatan pakar yang telah bersara wajib untuk berkhidmat dengan kementerian itu mengikut keperluan.

Selain itu, katanya kerajaan turut mendapatkan perkhidmatan kepakaran daripada pihak swasta untuk berkhidmat secara ‘sesi’ serta menggalakkan pegawai perubatan pakar warganegara Malaysia yang berkhidmat di luar negara untuk pulang ke tanah air dan berkhidmat di dalam negara.

— BERNAMA



Source link

read more

Rayuan Anwar cabar pelaksanaan Akta MKN ditolak



PUTRAJAYA: Bekas pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi gagal dalam rayuannya untuk mencabar pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Rohana Yusuf menolak rayuan yang difailkan Anwar.

Panel itu juga sebulat suara bersetuju bahawa saman Anwar itu mengemukakan isu yang sama iaitu mempersoalkan mengenai kompetensi legislatif Parlimen.

Sehubungan itu, mahkamah mengekalkan keputusan hakim Mahkamah Tinggi pada 14 Okt 2016, berhubung isu yang sama.

Panel hakim Mahkamah Rayuan itu turut dianggotai Hakim Datuk Ahmadi Asnawi dan Datuk Dr Badariah Sahamid.

Anwar diwakili peguam Gopal Sri Ram manakala peguam kanan persekutuan Datuk Amarjeet Singh mewakili kerajaan Malaysia dan MKN selaku responden.

Pada 14 Okt 2016, Mahkamah Tinggi menolak saman yang difailkan Anwar selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan responden atas alasan tiada bidang kuasa untuk mendengar saman berkenaan kerana ia membabitkan kompetensi legislatif oleh Parlimen untuk menggubal undang- undang.

Pada 2 Ogos 2016, Anwar memfailkan saman itu selepas mendakwa pelaksanaan Akta MKN 2016, yang berkuat kuasa pada 1 Ogos 2016, adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Dalam saman itu, Anwar turut memohon deklarasi Seksyen 12 Akta Perlembagaan, Perkara 66 (4) dan Perkara 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berperlembagaan, batal dan tidak sah selain turut memohon injunksi bagi menghalang MKN daripada mengambil sebarang tindakan mengikut akta itu.

— BERNAMA



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons