Review Category : Semasa

Tuduhan Hsien Loong tidak bertanggungjawab- Khairy – Politik


KUALA LUMPUR 20 Nov. – Kenyataan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang mendakwa niat sebenar tuntutan Malaysia terhadap semakan keputusan ke atas Pulau Batu Puteh adalah kerana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dianggap sebagai tuduhan tidak bertanggungjawab yang hanya boleh merosakkan hubungan baik Malaysia dengan Singapura.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, sehubungan itu pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan pemimpin Singapura itu kerana memperlekeh permohonan Malaysia untuk semakan keputusan terhadap tuntutan tersebut.

Katanya, Malaysia telah memfailkan permohonan berkenaan pada 2 Februari 2017 berdasarkan penemuan fakta baharu melalui tiga dokumen dalam Arkib Negara United Kingdom pada 4 Ogos 2016.

“Keputusan membuat permohonan selepas penemuan fakta baharu adalah hak yang diberikan dan dipatuhi Malaysia dan permohonan yang dibuat adalah untuk pentafsiran penghakiman bukannya dibuat secara sambil lewa tanpa asas yang kukuh.

“Malah semasa penemuan fakta baharu pada Ogos 2016, PRU-14 masih belum diumumkan, Parlimen Malaysia sendiri masih belum dibubarkan sehingga ke hari ini iaitu lebih setahun dari tarikh penemuan fakta baharu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, memang mudah untuk meraih sokongan politik dengan membuat tuduhan kepada negara lain.

“Namun tidak seperti beliau, Malaysia memandang serius isu kedaulatan sepanjang masa dan bukan semata-mata untuk meraih sokongan semasa pilihan raya atau konvensyen politik,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Serbuan premis dan operator judi haram, 45 individu ditangkap minggu lalu – Jenayah


KUCHING 20 Nov. – Polis Sarawak meneruskan serbuan ke atas premis dan operator judi haram dalam usaha memerangi kegiatan judi haram di seluruh negeri dengan menangkap 45 individu daripada 28 serbuan dijalankan sepanjang minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Datuk S. Dev Kumar berkata, tangkapan tersebut melibatkan operator loteri haram, perkhidmatan isian semula (reload) judi siber dan gelanggang sabung ayam serta judi di tempat awam.

Katanya, serbuan itu dijalankan pasukan JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan daerah-daerah.

“Mereka ditangkap terdiri daripada 33 lelaki dan 12 perempuan berusia 16 hingga 69 tahun termasuk seorang warga asing.

“Serbuan loteri haram adalah yang paling banyak melibatkan 24 serbuan dengan penahanan 28 individu bersama rampasan wang tunai RM4,836 dan peralatan seperti slip taruhan, kalkulator, pencetak bergerak serta telefon bimbit.

“Selain itu, pasukan JSJ IPK menyerbu kaunter menawarkan perkhidmatan isian semula judi siber di Kuching dengan menangkap tiga individu dan merampaa empat tablet digunakan untuk perkara itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dua gelanggang sabung ayam haram juga diserbu di Saratok dan Tatau.

“Kedua-dua serbuan berjaya menahan lapan individu dengan 10 ayam sabung bersama peralatan judi berkenaan.

“Selain itu, JSJ Sibu pula menyerbu hentian teksi di Jalan Khoo Peng Loong dengan menangkap enam pemandu yang sedang berjudi di tempat awam,” tegasnya.

Dev Kumar berkata, kesemua ditahan disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Ordinan Mencegah Kezaliman Terhadap Haiwan 1962. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Mayat lelaki dipercayai mangsa dilanggar lari dijumpai – Nahas & Bencana


BINTULU 20 Nov. – Seorang lelaki dijumpai mati dipercayai akibat dilanggar lari dalam kemalangan di Jalan Persisir Bintulu-Miri di sini awalpagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi itu, mangsa, Maggit Selai, 38, dari Rumah Sekapan Panjang, Long Dungan di Belaga di sini, disahkan meninggal dunia di lokasi insiden selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Deputi Superintendan Bingkok John berkata, mangsa dipercayai dilanggar ketika berjalan kaki seorang diri menggunakan laluan berkenaan.

“Mangsa dipercayai telah dilanggar dari arah belakang oleh kenderaan yang tidak dapat dipastikan.

“Rempuhan itu mengakibatkan mangsa tercampak ke bahu jalan dan mengalami kecederaan parah di kepalanya,” katanya ketika dihubungi di sini petang ini.

Bingkok berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Nyabau di sini untuk dibedah siasat.

Katanya, anggota polis dari bahagian siasatan jenayah turut ke lokasi bagi menyiasat sama ada terdapat unsur jenayah berhubung kejadian berkenaan.

“Buat masa ini, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Tujuh peratus pelajar lepasan tingkatan tiga ikuti TVET – Parlimen


KUALA LUMPUR 20 Nov. – Hanya tujuh peratus daripada pelajar lepasan Tingkatan 3 sedang mengikuti Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di seluruh negara.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan, pelbagai langkah telah dilaksanakan bagi meningkatkan kemasukan pelajar ke bidang TVET dan Kolej Vokasional (KV), termasuk program khidmat bantuan di seluruh negara dan pendedahan mengenai prospek kerjaya yang boleh diceburi graduan KV.

“Kementerian Pendidikan telah melaksanakan transformasi TVET sejak 2012 untuk mengangkat martabat aliran itu sebagai aliran perdana untuk merealisasikan hasrat kerajaan dalam memenuhi keperluan tenaga mahir negara menjelang 2020,” katanya menjawab pertanyaan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) pada sesi soal jawab lisan dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan tambahan Dr. Mansor Abd Rahman (BN-Sik), strategi kementerian dalam meningkatkan enrolmen pelajar luar bandar ke KV, Kamalanathan berkata, antara langkahnya ialah membuat hebahan melalui radio negeri, pengiklanan di suratkhabar serta bekerjasama dengan badan bukan kerajaan.

Katanya, permohonan dalam talian bagi kemasukan ke institusi TVET sesi 2018 telah dibuka dan banyak permohonan diterima setakat ini.

Selain Kementerian Pendidikan, enam lagi kementerian yang turut terlibat dalam melakasanakan TVET ialah Kementerian Sumber Manusia (KSM), Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. – BERNAMA



Source link

read more

[VIDEO] JKDM gagalkan cubaan seludup rokok bernilai RM2.34 juta – Jenayah


SEREMBAN 20 Nov. – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan mematahkan cubaan menyeludup tiga juta batang rokok jenama Canyon bernilai RM2.34 juta ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), minggu lalu.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Abdullah Jaapar berkata, kesemua rokok itu dirampas dalam satu serbuan di gudang Penerbangan Malaysia (MAS) Kargo di lapangan terbang berkenaan pada pukul 6 petang, 13 November lalu.

“Nilai keseluruhan rokok yang dirampas ditaksirkan berjumlah RM240,000 dengan melibatkan cukai sebanyak RM2.1 juta.

“Semua rokok tersebut diikrarkan sebagai barangan campuran bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Ia diseludup dari Ho Chi Minh, Vietnam menggunakan pesawat EVA AIR dipercayai untuk pasaran di negara ini,” katanya dalam sidang akhbar di Bahagian Penguatkuasaan JKDM Negeri Sembilan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

4 pemuda dijel 15 tahun rogol gadis bawah umur – Mahkamah


JOHOR BAHRU 20 Nov. – Empat pemuda dihukum penjara 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan merogol gadis bawah umur, dua tahun lalu.

Hakim, Mohd. Fauzi Mohd. Nasir menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Ridzuan Mohd. Asri, Muhammad Azlan Md. Lazan dan Muhammad Nuzul Ikhram Nurallail, masing-masing berusia 21 tahun serta Muhammad Saiful Fauzi, 20, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Mohd. Fauzi turut menetapkan 5 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula untuk menjatuhkan hukuman terhadap seorang lagi tertuduh yang juga seorang juvana berusia 18 tahun bagi menunggu laporan akhlak.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaili Sapun, manakala kelima-lima tertuduh diwakili peguam bela Hussin Othman.

Pada 7 Disember 2015, kesemua tertuduh termasuk seorang juvana itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan merogol seorang gadis berusia 14 tahun di sebuah tandas awam taman rekreasi di Taman Setia Tropika, Kempas di sini antara pukul 12.30 tengah malam hingga 2 pagi. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

[VIDEO] 1,100 warga UniSZA ikrar bebas rasuah – Terengganu


KUALA TERENGGANU 20 Nov. – Seramai 1,100 kakitangan pentadbiran dan pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) hari ini sebagai tanda komitmen bersama membasmi gejala rasuah secara holistik.

Lafaz ikrar itu diketuai oleh Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latif sambil disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)Terengganu, Mohd. Zaki Hassan.

Yang hadir sama, Timbalan Pengarah SPRM negeri, Zainal Ayop dan Pendaftar UniSZA, Ismail Ahmad.

Ahmad Zubaidi ketika berucap dalam Majlis Menandatangani dan Melafazkan IBR itu berkata, pihaknya sentiasa mengambil berat isu berkaitan rasuah termasuk mempunyai prosedur kewangan yang jelas dan teratur serta melaksanakan aktiviti audit dalaman secara berterusan.

“Majlis yang diadakan ini merupakan wadah dalam membentuk dan membudayakan warga UniSZA di semua peringkat jawatan agar berintegriti serta mempunyai keutuhan peribadi tinggi.

“Langkah ini sekali gus dapat memberi mesej kepada masyarakat bahawa kita akan menjalankan tugas dengan jujur dan amanah,” ujar beliau.

Sehubungan itu beliau menegaskan pihak pengurusan universiti tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana staf yang terlibat dalam perbuatan serta kesalahan jenayah rasuah. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Zurin Jundi dituduh pedaya pelanggan serah deposit RM8,500 – Mahkamah


JOHOR BAHRU 20 Nov. – Pemilik syarikat perancang perkahwinan, Zurin Jundi sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tuduhan memperdaya seorang pelanggannya yang juga bakal pengantin untuk menyerahkan deposit sebanyak RM8,500, antara Mac hingga Mei lalu.

Walau bagaimanapun, tertuduh, Zurina Ahmad Jundin, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd. Azlan Shah Mohd. Allias.

Mengikut kertas pertuduhan, Zurina didakwa memperdaya Nor Ika Nadzirah Sirajudin dalam penawaran pakej perkahwinan supaya menyerahkan wang pendahuluan sebanyak RM8,500.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di premis miliknya, Zurin Jundi Wedding Planner, Bandar Baru Uda, di sini antara 22 Mac hingga 13 Mei 2017.

Mohd. Azlan Shah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Disember untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

Sebelum ini, Zurina dituduh atas tuduhan memperdaya seorang ibu bakal pengantin sehingga membayar wang pendahuluan pakej perkahwinan berjumlah RM7,000 pada Mac dan Jun lalu di Mahkamah Majistret Klang, Selangor pada 19 Oktober lalu. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Gaji kecil bukan faktor utama polis terlibat rasuah – Parlimen


KUALA LUMPUR 20 Nov. – Isu gaji kecil pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan faktor utama menyebabkan mereka terlibat dalam gejala tidak berintegriti seperti rasuah dan salah guna kuasa.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam jawapan bertulis kepada Datuk Raime Unggi (BN-Tenom), semasa persidangan Dewan Rakyat hari ini berkata, penglibatan sebilangan kecil mereka itu lebih terdorong kepada desakan peribadi seperti inginkan kehidupan mewah, berbelanja di luar kemampuan seperti membeli kereta, pakaian dan perabot rumah, hingga menyebabkan perbelanjaan menjadi tidak seimbang.

“Statistik penglibatan anggota PDRM dalam gejala rasuah bagi tahun 2016 yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya 187 kes atau 0.15 peratus daripada keseluruhan keanggotaan dalam PDRM,” ujar jawapan tersebut bagi menjawab soalan Raime yang ingin mengetahui usaha kementerian dalam mengkaji semula skim gaji dan kebajikan anggota polis sebagai usaha membendung gejala rasuah dan salah guna kuasa.

KDN berkata, kerajaan telah mengambil inisiatif menambah baik sistem gaji khusus bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PDRM dengan memperkenalkan Sistem Saraan Transformatif berkuat kuasa 1 Januari 2013.

Melalui inisiatif berkenaan, gaji ATM dan PDRM diseragamkan dan menjadikan ia lebih berdaya saing.

“Kementerian sedar dan prihatin tentang peningkatan kos sara hidup masa kini yang membebankan penjawat awam, termasuk anggota PDRM.

“Pengurusan PDRM telah mengemukakan pelbagai cadangan untuk meringankan perbelanjaan harian anggota, antaranya kenaikan kadar elaun yang diterima ketika ini, atau memperkenalkan elaun baharu untuk pertimbangan pihak berwajib.

“PDRM juga telah mencadangkan 13 jenis elaun untuk diselaraskan semula kepada kerajaan sesuai dengan beban tugas kini,” tambah KDN. – BERNAMA



Source link

read more

Mayat kanak-kanak reput dijumpai – Nasional


SIMUNJAN 20 Nov. – Satu mayat kanak-kanak lelaki yang sudah reput ditemukan di atas Bukit Ruan, di sini malam tadi.



DESMON DAVEY

DESMON DAVEY

Penemuan mayat tersebut dipercayai dapat menyelesaikan misteri kehilangan kanak-kanak berusia dua tahun, Desmon Davey yang dilaporkan hilang pada 6 November lalu.

Mayat itu ditemukan oleh seorang penduduk kampung, Jimba Tulis dalam perjalanan pergi berburu ke hutan berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Zamzuri Mohamad berkata, mayat itu ditemukan di atas Bukit Ryan berhampiran dengan tempat orang kampung memasang jerat.

“Mayat kanak-kanak itu yang tidak sempurna, berbaju dan tidak berseluar dipercayai adalah Desmon,” katanya ketika dihubungi di sini petang ini.

Katanya, mayat itu telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching untuk bedah siasat bagi menentukan identiti sebenar mangsa.

Pada 6 November lalu, Desmon disedari hilang di rumahnya selepas selesai mandi bersama neneknya kira-kira pukul 6 petang dan operasi mengesan kanak-kanak itu gagal menemukan mangsa sehingga kini. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons