Review Category : Semasa

PM puji surau, masjid lindungi bukan Islam – Nasional


KUALA LUMPUR 7 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak memuji beberapa surau dan masjid yang menerima mangsa banjir bukan Islam untuk tumpang berteduh dan menganggap tindakan memenuhi tuntutan agama.

Perdana Menteri berkata, perbuatan sedemikian menggambarkan semangat 1Malaysia Negaraku yang patut dicontohi kerana membelakangkan faktor agama dan kaum demi membantu golongan tidak bernasib baik.

“Islam mengajar penganutnya berkasih sayang, dan saya teringat kisah Rasulullah SAW yang memberi perlindungan kepada semua tanpa mengira agama tatkala mereka memerlukan bantuan seperti dalam surah At-Taubah, mafhumnya, ‘Dan jika seorang di antara orang musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah ia’,” katanya menerusi status di akaun Facebook hari ini.

Perdana Menteri bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini tiba di Pulau Pinang pada kira-kira pukul 10.40 pagi dan disambut oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng bagi meninjau situasi banjir besar yang melanda negeri itu.

Semalam, satu gambar tular dengan beberapa mangsa banjir berketurunan Cina mendapatkan perlindungan di surau Taman Free School, Pulau Pinang selepas pentadbirnya mendapati mereka berada di dalam kesusahan.

Bilal surau berkenaan, Sapno Tukijo, 50, dilaporkan berkata, pentadbir surau menumpangkan mangsa-mangsa keturunan Cina terbabit dengan niat menyelamatkan nyawa mereka daripada banjir yang melanda negeri itu sejak beberapa hari lalu. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Pengurusan balak di Sabah yang terbaik – Sabah


KOTA KINABALU 7 Nov. – Jumlah keluasan hutan yang diletakkan sebagai Kawasan Perlindungan Penuh (TPA) di Sabah ialah 1.9 juta hektar atau 26 peratus daripada keluasan keseluruhan tanah dan nilai itu lebih besar berbanding kadar di negara maju seperti Amerika Syarikat (14 peratus) dan Australia (15 peratus).



ARMIZAN

ARMIZAN

Ketua Pemuda UMNO Papar, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan drastik berbanding ketika Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mula mentadbir negeri pada 2003 iaitu hanya 10 peratus atau 850,000 hektar.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga telah merizabkan sebanyak 52 peratus kawasan hutan simpan manakala Jabatan Perhutanan pula sedang giat membuat penanaman semula kawasan hutan yang menyaksikan ketika ini seluas 700,000 hektar tanah telah ditanam semula.

“Pada tahun 1972, dalam keadaan di mana negeri bergantung penuh kepada hasil balak, hasil kerajaan hanya RM172 juta setahun sebaliknya pada tahun 2016, hasil Kerajaan negeri telah meningkat berkali-kali ganda mencecah lebih RM3.5 bilion dan hanya 13 peratus datangnya daripada hasil balak.

“Maknanya, Sabah telah berjaya menggerakkan agenda transformasi ekonomi dengan mempelbagaikan sumber pendapatan dan keluar daripada kebergantungan penuh kepada sektor pembalakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan pihak tidak bertanggungjawab kononnya aktiviti pembalakan berlaku secara berleluasa di negeri ini melalui penyebaran video di laman sosial yang menunjukkan beberapa lori balak sarat dengan muatan berada di Jalan Sapulut – Kalabakan baru-baru ini.

Armizan berkata, dakwaan tersebut memberi gambaran yang salah kerana balak-balak berkenaan sebenarnya dikeluarkan secara sah, malah lori-lori balak yang direkodkan di dalam video berkenaan sebenarnya berhenti di Stesen Jabatan Perhutanan untuk pemeriksaan.

Tegas beliau, perkara tersebut sepatutnya mendapat pujian kerana membuktikan pihak berkuasa sentiasa menjalankan tugas memantau perjalanan industri balak negeri bagi memastikan hanya syarikat yang mempunyai lesen diberi kebenaran.

“Ternyata pihak yang ingin menjejaskan kredibiliti kerajaan negeri tersilap kerana realitinya, pengurusan hutan di Sabah pada hari ini adalah yang terbaik di Malaysia dan mendapat pengiktirafan dalam dan luar negara.

“Daripada sebuah negeri yang terkenal dengan ‘politik balak’ dan kadar kebergantungan tinggi kepada hasil balak sehingga mencecah 85 peratus dalam hasil negeri, hari ini pengurusan khazanah hutan di Sabah telah melalui proses transformasi yang amat membanggakan apabila kebergantungan itu telah jauh dikurangkan kepada hanya sekitar 13 peratus,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE




Source link

read more

Pemuda BN sedia gempur PRU-14 – Politik


KUALA LUMPUR 7 Nov.- Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) hari ini sudah berada dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang akan datang.

Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, segala persiapan Pemuda BN sudah berada pada peringkat akhir ketika ini dengan memastikan hak dan suara pengundi-pengundi muda tidak dipinggirkan sama sekali.

“Pemuda BN sudah pun bersiap sedia untuk PRU-14 malah saya telah meminta semua parti-parti komponen supaya mengemukakan sebarang idea yang boleh dimasukkan dalam manifesto BN.

“Pengundi muda adalah segmen terpenting dalam PRU-14 akan datang, jadi dalam masa dua bulan terdekat ini, satu jawatankuasa akan meneliti beberapa cadangan supaya ia boleh dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan BN untuk menjadi sebahagian daripada manifesto parti yang akan memberi tumpuan khusus kepada pengundi muda dan pengundi kali pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco Pemuda BN di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Pemuda BN, Khairul Azwan Harun. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Pasar Besar Gombak bakal dinaik taraf bersama Rumawip – KL & Putrajaya


KUALA LUMPUR 7 Nov. – Kerajaan bakal membangunkan semula Pasar Besar Gombak, di sini bersama projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) dalam usaha menaikkan taraf hidup serta meningkatkan tahap sosio ekonomi penduduk setempat.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, projek berkenaan hanya akan bermula selepas proses pengosongan bangunan iaitu pada Mac 2018 dan disiapkan dalam tempoh 42 bulan.

“Program pembangunan semula ini melibatkan bangunan komersial berketinggian sembilan tingkat yang akan menempatkan kedai dan lot perniagaan, pasar basah, mini Pusat Transformasi Bandar (UTC), pejabat kesihatan, pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), surau serta dewan serbaguna.

“Pada masa sama, pemaju akan turut membina satu blok kediaman Rumawip berketinggian 44 tingkat dan menempatkan 900 unit yang dikenali sebagai Residensi Inspira,” katanya ketika berucap merasmikan projek berkenaan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

TNB terus pulihkan bekalan elektrik di Pulau Pinang – Nasional


KUALA LUMPUR 7 Nov. – Tenaga Nasional Berhad (TNB) masih meneruskan kerja-kerja memulihkan bekalan, termasuk menggunakan set janakuasa bergerak (genset) ke kawasan-kawasan yang teruk dilanda banjir di Pulau Pinang.

Pengurus Besar Kanan (Sistem Pembahagian) TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood, berkata anggota-anggota kerja teknikal TNB seramai 160 orang termasuk dari luar Pulau Pinang bertungkus-lumus bekerja tanpa henti untuk menyambung semula bekalan sejak Ahad lalu.

“Sehingga pukul 3 petang hari ini, sebanyak 38 buah set janakuasa bergerak (genset) telah dipasang di kawasan-kawasan yang dikenal pasti selamat dan strategik.

“Bagi kawasan-kawasan lain, bekalan elektrik akan disambung semula sebaik keadaan mengizinkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Wan Nazmy berkata, selain faktor akses ke pencawang elektrik (PE), pemasangan genset juga mengambil kira faktor keselamatan melibatkan pepasangan, warga kerja TNB serta para pengguna.

“Sementara itu atas faktor-faktor keselamatan terutama kepada para pengguna bekalan, 16 pencawang masih dihentitugas daripada 4,852 pencawang elektriknya di negeri terbabit.

“Kami berharap para pengguna yang masih belum mendapat bekalan elektrik dapat bersabar sementara anggota kerja kami terus berusaha memulihkan bekalan secepat mungkin,” katanya.

Menurutnya, bagi kawasan yang telah pulih apabila banjir telah surut namun bekalan elektrik masih tidak dapat dibekalkan kepada para pengguna, ini disebabkan TNB perlu melakukan kerja-kerja pembersihan di sub-sub stesen yang ditenggelami banjir sebelum ini.

“Mungkin di kawasan lain, air banjir telah surut atau kering tetapi didapati air banjir masih ada di sub-sub stesen dan kerja-kerja pembersihan dan pemeriksaan teliti perlu dilakukan sebelum bekalan elektrik dapat dibekalkan semula,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Pencarian Ratu Ais pada 18 November ini – KL & Putrajaya


KUALA LUMPUR 7 Nov. – Program Ekspedisi Wanita ke Antartika (AWETA) 2018 merupakan langkah mencari protege untuk membawa balik kapsul masa yang berada di sana sejak 13 tahun lalu.

Menurut kenyataan AWETA, penyertaan tersebut terbuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

“Kapsul masa itu telah ditanam oleh Ekspeditor Negara, Dr. Sharifah Mazlina Abd. Kadir pada 2004. Oleh itu, mereka berminat boleh hadir ke sesi penerangan dan saringan awal di Kuala Kubu Bharu pada 18 November ini.

“Program ini dijalankan serentak dengan Karnival Sihat Selangor yang dianjurkan oleh Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS),” demikian menurut kenyataan itu hari ini.

Sebarang pertanyaan boleh layari www.mdhs.gov.my dan maklumat lanjut berkaitan pencarian Ratu Ais boleh hubungi sekretariat AWETA di talian 03-5511 1670. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Mahdzir Khalid lawat sekolah terjejas akibat banjir – Nasional


KUALA LUMPUR 7 Nov. – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini melawat sekolah-sekolah di Seberang Prai Utara yang terjejas akibat banjir.

mahdzir khalid banjir 3
 

Beliau yang diiringi Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Shaari Osman menggunakan kesempatan itu untuk meninjau kerosakan yang dialami sekolah-sekolah terbabit selain bertanya khabar kepada guru-guru yang terbabit.

Banjir yang melumpuhkan Pulau Pinang sejak Sabtu lalu menyebabkan hampir 10,000 mangsa di pindahkan dan beberapa buah sekolah terjejas teruk selain dijadikan pusat pemindahan.

mahdzir banjir
 

Jurucakap bilik gerakan banjir polis berkata setakat pukul 12 tengah hari ini, kesemua mereka ditempatkan 50 pusat pemindahan yang terdapat di empat daerah di negeri itu.

Sejumlah 4,032 mangsa banjir ditempatkan di 22 pusat pemindahan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan 3,163 orang di 26 pusat pemindahan di Seberang Perai Tengah (SPT).

Bagi daerah Seberang Perai Selatan (SPS) setakat tengah hari ini, terdapat enam mangsa dan 21 orang di daerah Timur Laut masing-masing hanya tinggal satu pusat pemindahan.

Beberapa jalan di SPU yang ditutup pada pagi tadi masih belum dibuka kepada lalu lintas. Antara jalan terlibat ialah Jalan Lahar Yooi-Sungai Dua, Lahar Yooi-Padang Menora, Jalan Pokok Tampang dan Jalan Padang Tonsun.

mahdzir khalid banjir 2
 



Source link

read more

Pencegahan, pemulihan diutama – Nasional


KUALA LUMPUR 7 Nov. – Sebanyak 67 program pencegahan dan pemulihan pelatih Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) dilaksana sehingga kini sebagai satu instrumen memberi penjelasan dan pemahaman kepada pihak yang berkepentingan berkenaan peruntukan di bawah Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, konsep PKM telah dilaksanakan melalui tiga elemen iaitu hukuman; pemulihan dan penginsafan bagi memastikan pesalah muda tidak lagi mengulangi kesilapan lampau dan seterusnya boleh kembali menjalani kehidupan normal dalam komuniti.

“ Selain memberi peluang membina semula kehidupan pesalah, sebanyak lapan segmen aktiviti telah dilaksana setakat ini mencakupi berbagai sektor.

“Antara yang aktif dilaksana adalah 15 Program Kerjaya; Program Bersama Ibu Bapa dan Penjaga (15); Program Sehari PKM Bersama Masyarakat (15) dan Kem Jati Diri PKM Kebangsaan serta Kem Kerohanian PKM Kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Simposium PKM 2017 di Institut Sosial Malaysia (ISM) di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Kembara bermotor kemanusiaan Rohingya mula 1 Disember ini – Nasional


KUALA LUMPUR 7 Nov. – Satu kembara bermotor ke seluruh negara oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan dilaksanakan bermula 1 Disember ini bagi memberi kesedaran berhubung kesengsaraan yang dialami oleh etnik Rohingya di Myanmar.

Kembara yang dijangka disertai 50 motor berkuasa tinggi akan diketuai oleh Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kembara itu diadakan bagi memberi kesedaran dan mengumpul dana untuk membantu etnik Rohingya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kembara itu di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Moyes jurulatih baharu West Ham – Bola Sepak


LONDON 7 Nov. – Kelab bermasalah Liga Perdana Inggeris, West Ham United hari ini mengumumkan pelantikan bekas jurulatih Everton dan Manchester United, David Moyes sebagai pengurus baharu mereka.

“Kami percaya David adalah orang yang tepat untuk merubah keadaan di sini dan mengeluarkan prestasi terbaik pemain kami,” kata pengerusi bersama kelab, David Sullivan dalam satu kenyataan hari ini.

Kelab London itu memecat pengendali dari Croatia, Slaven Bilic semalam ekoran prestasi hambar pasukan, termasuk menghuni tangga ketiga tercorot liga selepas 11 perlawanan.

Sullivan percaya, Moyes, 54, adalah pilihan yang sempurna untuk memastikan skuad The Hammers mampu kekal dalam kancah Liga Perdana musim depan.

“Kami memerlukan seseorang yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan tentang Liga Perdana serta pemain-pemainnya.

“Dia seorang yang amat dihormati dalam permainan dan mampu membawa idea, organisasi serta semangat yang segar,” kata kenyataan itu lagi.

Moyes tidak membimbing mana-mana pasukan sejak meletak jawatan sebagai pengurus Sunderland pada hujung musim lalu kerana gagal menyelamatkan mereka daripada tersingkir ke Liga Kejuaraan.

Meskipun gagal di Sunderland serta mengharungi musim mengecewakan bersama Real Sociedad di Sepanyol, Sullivan dan pengerusi bersama, David Gold tetap mempertahankan keputusan untuk membawa masuk jurlatih kelahiran Scotland itu. – AFP



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons