Visi Abang Johari laksana ekonomi digital dipuji



KUCHING: Visi dan inisiatif Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk melaksanakan ekonomi digital dan teknologi dengan mencontohi kejayaan inisiatif e-kerajaan Estonia, dipuji.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Jefferson Jamit Unyat berkata teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kini menguasai dunia dan usaha untuk menjadikan Sarawak setara dengan negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Eropah dalam bidang itu jelas merupakan visi yang praktikal dan bijak.

“Menjadi kompeten dalam ekonomi digital pasti akan memberi manfaat kepada negeri dan rakyat pada masa depan,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

Jamit juga berkata Bajet Sarawak 2018 mencerminkan komitmen ketua menteri dan kerajaan negeri untuk meningkatkan taraf hidup rakyat terutama di luar bandar menerusi pelaksanaan pelbagai program dan projek yang sekaligus bakal meningkatkan ekonomi rakyat.

Katanya, bajet itu juga menyokong visi kerajaan negeri untuk memaksimumkan potensi teknologi digital apabila memperuntukkan RM1 bilion bagi infrastruktur dan program digital di bawah inisiatif Ekonomi Digital Sarawak untuk merealisasikan harapan ketua menteri bahawa satu hari nanti Sarawak akan dikenali sebagai s-Sarawak atau Smart Sarawak.

Jamit turut menyambut baik usaha kerajaan negeri untuk membantu pekebun kecil dan petani menerusi peruntukan RM223 juta bagi pelaksanaan pelbagai projek dalam Bajet 2018.

Beliau turut menyambut baik langkah kerajaan persekutuan memperuntukkan RM1 juta untuk kerja menaik taraf dan membaik pulih sekolah daif di negeri ini termasuk di kawasan diwakilinya.

Terdahulu, pada sesi soal jawab, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan negeri Tan Sri Dr James Jemut Masing semasa menjawab soalan Chiew Chiu Sing (DAP- Tanjong Batu) berkata kemajuan keseluruhan projek Lebuhraya Pan Borneo berjalan lancar dan dijangka siap pada 30 Jun 2021 seperti dijadualkan.

— BERNAMA



Source link

read more

Abang Long Fadil 3 mula penggambaran 2018 kualiti bertaraf Hollywood



FILEM Abang Long Fadil 2 (ALF2) berjaya memecahkan rekod kutipan filem tertinggi sebanyak RM18.1 juta sejak ditayangkan Ogos lalu, sekali gus membenam kutipan filem tertinggi sebelum itu yang pernah dipegang oleh Polis Evo.

Susulan kejayaan tersebut, pengasas Skop Production Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam mengesahkan penggambaran filem sekuel “Abang Long Fadil 3” akan dimulakan tahun depan.

“Abang Long Fadil 3” dijangka membabitkan kos sebanyak RM4 juta dan merupakan hadiah kepada peminat yang sentiasa memberikan sokongan terhadap industri filem Melayu tempatan.

“Penggambarannya dijangka akan dilakukan selepas Aidilfitri tahun depan iaitu selepas tayangan filem ketujuh Syafiq iaitu ‘KL Special Force’ pada Mac 2018,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Yusof ditemui pada majlis meraikan kejayaan Lotus Five Star Cinemas (LFS) Kuala Terengganu, semalam yang menjadi pawagam memperoleh kutipan tertinggi dan jumlah penonton terbesar seluruh Malaysia untuk filem ALF2 terbitan Skop Production itu dengan jumlah kutipan lebih RM700,000.

“ALF3 akan membabitkan kos lebih tinggi berbanding sebelumnya kerana filem itu juga bakal menampilkan lebih ramai bintang dan nama besar dalam industri.

“Filem itu nanti bakal mengambil masa penggambaran yang panjang bagi menghasilkan filem aksi yang lebih berkualiti setaraf dengan filem Hollywood.

“Dengan mengekalkan pelakon utama selain barisan pelakon baru dan lama serta kecanggihan teknologi yang diserapkan dalam filem itu, saya yakin ia mampu mencatat kutipan lebih daripada apa diperolehi menerusi ALF2,” katanya.

Olahan oleh: Amri Hassan
Sumber: Harian Metro



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons