Binatang liar antara korban kesan peperangan berlanjutan di Afrika



NEW JERSEY: Penurunan populasi hidupan liar seperti gajah, badak, badak sumbu dan spesis mamalia besar lain menurun dengan mendadak apabila berlaku konflik dan peperangan.

Demikian menurut satu kajian dijalankan Universiti Princeton, diketuai Josh Daskin, yang menganalisis setengah juta populasi binatang Afrika sejak 1946.

Ia mendapati, peperangan merupakan faktor terbesar yang menentukan sama ada populasi binatang di sesuatu kawasan akan bertambah atau berkurangan.

Lebih dari 70 peratus kawasan perlindungan binatang liar di Afrika berada di zon perang sejak tahun 1946 dan kebanyakannya berulang kali.

Penyelidikan itu turut memaklumkan bahawa lebih kerap sesuatu kawasan itu dilanda peperangan, lebih tinggi kadar kepupusan haiwan di situ.

Kajian yang diterbitkan jurnal Nature pada Rabu itu turut menunjukkan kawasan yang merekodkan kadar pertempuran berulang kali mempunyai kadar kepupusan haiwan sebanyak 35 peratus setiap tahun.

Malah, setiap satu konflik yang berlaku memulakan proses penurunan populasi selama 20 tahun.

Dr Margharet Kinnaird, pemimpin Dana Sedunia Alam Semula Jadi (WWF) Antarabangsa berkata, kajian itu menyumbang kepada pemahaman dunia mengenai kesan peperangan terhadap haiwan liar meskipun ia tinggal di kawasan perlindungan.

Menurut Kinnaird, herbivor bersaiz besar sangat mudah terancam di zon perang dan diikuti binatang dengan nilai komersial yang bahagian badannya boleh dijual di pasaran haram.

Kajian-kajian lain sejak tahun sebelumnya turut melihat zon perang secara individu dan mendapati bilangan populasi haiwan menurun mendadak namun kajian yang baru diterbitkan ini adalah yang pertama melihat isu ini di seluruh benua dan sepanjang lebih 50 tahun untuk membuktikan teori-teori sebelumnya.

Para pengkaji turut mendapati bahawa hampir setiap kali, spesis haiwan terlibat akan hidup meskipun populasinya menurun.

Namun, masih ada sekurang-kurangnya enam insiden di mana populasi haiwan lenyap sepenuhnya seperti apa yang berlaku kepada zirafah di taman di Uganda pada 1983 dan 1995.

Sesetengah binatang terbunuh kerana tembakan rambang dan bom, dan menurut kajian tersebut, perubahan situasi ekonomi dan sosial penduduk tempatan turut memberi kesan.

Penduduk yang tinggal di kawasan perang didapati mengalami kebuluran dan kemiskinan.

Kebanyakan mereka menjadi pemburu haram dan cuba untuk menjual organ binatang-binatang bernilai di samping mengambil daging mereka sebagai makanan.

Kini, hanya ada seekor badak putih jantan yang masih wujud di dunia. Dinamakan Sudan, binatang ini dilindungi oleh pengawal bersenjata di Nanyuki, Kenya, dan didapati sudah terlalu tua untuk mengawan.

Ahli konservasi sedang berusaha untuk mencari dana untuk rawatan pembedahan in vitro (IVF) bagi menyimpan benih spesis ini.

Badak Afrika adalah binatang asal negara seperti Sudan Selatan, Congo, Republik Afrika Tengah dan Chad. Ini juga adalah negara-negara yang pernah mengalami episod peperangan berdarah di mana sebarang usaha konservasi hidupan liar adalah sia-sia.

Sewaktu peperangan, program konservasi terjejas teruk kerana tiada dana yang dapat disumbangkan. Malah pekerja konservasi dan penyelidik menjadi mangsa serangan pemburu haram yang terdesak.

Sewaktu konflik berterusan di Republik Afrika Tengah, sektor pelancongan negara itu terjejas teruk dan haiwan liar seperti gajah diburu dengan pesat untuk gadingnya oleh kumpulan bersenjata.

Bagaimanapun, masih ada harapan untuk haiwan liar di benua Afrika.

Penulis kajian itu turut menyebut kisah di Mozambique di mana haiwan liar kembali semula secara semulajadi ke Taman Nasional Gorongosa selepas peperangan berakhir.

Dari tahun 1977 hingga 1992, perang berterusan di antara tentera pemberontak dengan kerajaan telah menjejaskan taman nasional tersebut menyebabkan 95 peratus haiwan yang tinggal di situ terbunuh.

Sesetengah spesis hampir pupus namun masih ada sebilangan kecil yang masih hidup pada waktu perang ditamatkan.

Kini, hidupan liar di taman itu telah mencapai 80 peratus jumlah asal sebelum perang bermula.



Source link

read more

18 maut kereta api rempuh trak di Afrika Selatan



JOHANNESBURG : Sekurang-kurangnya 18 orang maut, 268 yang lain cedera, dalam nahas melibatkan kereta api dan sebuah trak di Afrika Selatan pada Khamis.

Pihak berkuasa melaporkan, nahas di bandar Kroonstad, daerah Free State itu berlaku selepas trak berkenaan gagal berhenti ketika cuba melalui satu lintasan kereta api, menyebabkan ia dirempuh kereta api penumpang berkenaan.

Akibat pertembungan itu, kereta api tersebut tergelincir dan terbakar.

Pasukan penyelamat memaklumkan sebahagian besar mangsa rentung teruk dan identiti mereka sukar dikenal pasti.

Kereta api tersebut membawa sejumlah 700 penumpang, dipercayai berlepas dari Port Elizabeth menuju ke hub komersil di Johannesburg.

Pemandu trak dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan namun pemandu kereta api dan pembantunya mengalami kecederaan ringan.

Siasatan lanjut berhubung nahas kini dijalankan.



Source link

read more

Mohamed Salah dinamakan Pemain Terbaik Afrika 2017


ACCRA: Pemain penyerang Liverpool Mohamed Salah dinamakan pemain terbaik Persekutuan Bola sepak Afrika 2017.

Salah menewaskan rakan sepasukannya dalam Liverpool dan pemain sayap dari Senegal, Sadio Mane, manakala penyerang Borrusia Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang di tempat ketiga.

Acara penganugerahan berlangsung di ibu negara Ghana, Accra, pada Khamis.

“Ini satu mimpi yang menjadi nyata bagi saya. 2017 ialah tahun yang sukar dipercayai untuk saya, sama ada untuk aksi peringkat kebangsaan bersama Mesir, mahu pun aksi di kelab-kelab.

“Layak ke Piala Dunia selepas 28 tahun dan mengalami musim yang hebat di Roma dan Liverpool merupakan momen istimewa dalam karier saya,” kata Salah pada majlis itu.

Salah merupakan warga Mesir kedua memenangi anugerah itu selepas Mahmoud Al Khatib pada 1983.

Sebelum ini, penyerang Mesir itu turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik 2017 menerusi satu undian yang dijalankan saluran sukan, ESPN. 

Pemain berusia 25 tahun itu, yang menjaringkan 17 gol dalam Liga Perdana musim ini, membantu Mesir layak ke pusingan akhir Piala Dunia dan Piala Negara Afrika 2017. 

Disember lalu, Salah turut diundi sebagai pemain bola sepak terbaik Afrika, oleh Badan Penyiaran British (BBC).

Beliau menjaringkan 10 gol untuk kelab Roma antara Januari dan Mei 2017 sebelum memeterai kontrak dengan Liveroool ketika musim panas.

Beraksi dengan The Reds, Salah menyumbangkan 24 gol.

Salah turut menjaringkan dua gol untuk Mesir menang 2-1 ketika menentang Republik Congo dalam pusingan kelayakan Piala Dunia, yang menyaksikan negara itu ke pusingan akhir buat pertama kali sejak 1990.



Source link

read more

Mama Suad nekad bela nasib wanita Afrika



KUALA LUMPUR: Wanita Sudan terkenal dengan perwatakan lemah lembut dan sopan tutur katanya.

Bagaimanapun, jangan terpedaya dengan kelembutan mereka kerana di sebaliknya tertanam semangat kental untuk melihat negara mereka terus makmur dan menempah nama bukan sahaja di rantau Afrika malah di seluruh dunia.

Dr Suad El-Fatih Al-Badawi, 85, adalah antara wanita berkenaan. Dikenali kerana perjuangannya membela hak-hak wanita, wartawan, anggota politik dan ahli akademik Sudan ini bertekad untuk melihat rakyat Afrika, terutamanya kaum wanita, menjalani kehidupan yang lebih baik dan bebas daripada kemiskinan.

Walaupun pada usia sedemikian, Dr Suad, yang lebih gemar dipanggil “Mama Suad” masih bekerja melalui pelbagai projek untuk memperkasa wanita Afrika dan memastikan mereka dilayan dengan adil.

“Jadilah seorang wanita yang kuat. Saya suka wanita yang kuat. Sekiranya kita berganding bahu, kita akan dapat mengatasi semua halangan,” kata Mama Suad dengan tegas semasa wawancara dengan sekumpulan wartawan Bernama yang melawat Sudan baru-baru ini.

IBU KEPADA AFRIKA

Usahanya yang tidak mengenal lelah untuk memperkasa golongan wanita Afrika diperakui oleh Pan African Parliament (PAP) – sebuah badan Kesatuan Afrika (AU) – apabila menganugerahkan beliau dengan gelaran “Umme Africa” (Mama Africa atau Ibu kepada Afrika).

Malah Mama Suad bukan sahaja mendapat anugerah daripada PAP. Terdahulu, pada 1970-an Arab Saudi telah meminta bantuan beliau untuk menubuhkan Girls College of Education di Riyadh.

Menurut Mama Suad, itu antara pengalaman paling membanggakan kerana berjaya mengatasi halangan budaya Arab Saudi terhadap pendidikan untuk kaum wanita pada masa itu.

“Saya sangat gembira kerana kolej itu hanya untuk wanita. Adalah sukar untuk memberi pendidikan kepada wanita di Arab Saudi pada masa itu kerana umum berpendapat bahawa wanita hanya perlu mempelajari al-Quran dan Sunnah,” jelas beliau.

Mama Suad bukan sahaja terkenal kerana minatnya dalam pendidikan wanita, malah perjuangannya untuk mengurangkan kadar kematian kanak-kanak di benua Afrika juga telah menarik lebih banyak perhatian terhadap beliau.

Menurut beliau, disebabkan kurangnya rawatan perubatan di kampung-kampung dan bandar-bandar kecil, kira-kira 276 kes kematian kanak-kanak bagi setiap 10,000 kanak-kanak (276: 10,000) dilaporkan di negara-negara Afrika, menjadikannya kadar kematian tertinggi kanak-kanak di dunia.

PROJEK MELATIH BIDAN

Berikutan jumlah kematian kanak-kanak yang tinggi itu, Mama Suad memutuskan untuk bersama-sama pasukan PAP melaksanakan projek melatih penduduk desa sebagai bidan agar dapat membesarkan anak yang sihat.

Walaupun pada awalnya idea beliau menjadi bahan ketawa sesetengah pihak, beliau tetap tabah dan akhirnya berjaya merekrut serta melatih lima wanita sebagai bidan di setiap 10 negara Afrika di bawah projek berkenaan.

Mengakui program itu satu kejayaan, beliau yang juga pengasas International Muslim Women Union (IMWU), menyaksikan kadar kematian kanak-kanak di benua Afrika menurun berbanding beberapa tahun lepas.

Bagaimanapun, projek berkenaan kini ditangguhkan akibat kekangan kewangan, katanya.

“Saya mempunyai impian untuk melatih setiap bidan di setiap kampung di Afrika. Begitulah harapan kami. Buat sementara waktu, biarlah ia menjadi satu impian dahulu. Semakin kerap kita mengimpikannya, semakin banyak akan kita peroleh,” katanya.

PELABURAN EMAS

Petah bercakap, beliau yang juga anggota badan perundangan dewan rendah Sudan, bukan sahaja memperjuangkan hak-hak wanita tetapi juga berminat dalam perniagaan.

Beliau menggalakkan ahli perniagaan asing untuk berdagang dan melabur di Sudan iaitu antara negara terbesar di Afrika dengan jumlah penduduk lebih 40 juta.

“Di dalam Sudan, di dalam perut bumi Sudan ada seluruh kekayaan alam. Uranium, emas, besi, kesemuanya ada di Sudan,” katanya bangga.

Menurut beliau, kini terdapat sejumlah besar emas untuk dilombong, sekali gus menggalakkan para pelabur agar mengambil kesempatan untuk melabur dalam logam berharga itu.

Laporan mengatakan bahawa Sudan telah menjadi antara pengeluar emas terbesar di Afrika. Ia menghasilkan 25.6 tan emas dari Januari hingga November 2016.

Mama Suad juga kagum dengan Malaysia dan berharap Sudan dapat mencontohi kejayaan Malaysia dalam mencapai kemajuannya.

Dan resipi kunci kejayaannya? “Impian perlu tinggi, sentiasa membuat rancangan teratur sebelum memulakan sesuatu, sentiasa berpegang pada masa anda, dan sentiasa mencari alternatif untuk segala-galanya.”

— BERNAMA



Source link

read more

Jaguh paralimpik Afrika Selatan Oscar Pistorius kemuka rayuan kurangkan hukuman penjara



PRETORIA: Jaguh paralimpik  Afrika Selatan, Oscar Pistorius kemuka rayuan bagi mengurangkan tempoh hukuman penjara yang dijalani kerana membunuh teman wanitanya, Reeva Steenkamp.

Rayuan dikemukakan di mahkamah perlembagaan, susulan keputusan mahkamah tinggi Afrika Selatan pada 24 November, melanjutkan hukuman penjaranya dari enam ke 13 tahun.

Dengan keputusan itu, pelari kudung itu hanya boleh memohon parol pada 2023.

Pendakwa raya sebelum ini memohon hukuman lebih berat ke atas Pistorius kerana menyifatkan hukuman enam tahun yang diputuskan sebelum ini tidak setimpal dan terlalu ringan untuk jenayah yang dilakukannya.

Pistorius disabit kesalahan membunuh Steenkamp pada tanggal Hari Valentine 2013.

Steenkamp, 29 tahun, model dan bintang realiti TV, meninggal dunia selepas terkena empat das tembakan yang dilepaskan Pistorius.

Pistorius dalam pembelaannya mendakwa dia menyangka kediamannya dimasuki penceroboh.



Source link

read more

Anugerah Pemain Terbaik Afrika bakal milik Salah ? – Bola Sepak


JOHANNESBURG 19 Dis. – Penyerang berbisa Mesir, Mohamed Salah dan Pierre-Emerick Aubameyang dari Gabon berada dalam senarai tiga calon terakhir penerima anugerah Pemain Terbaik Afrika.

Turut tersenarai rakan sepasukan Salah di Liverpool, Sadio Mane dari Senegal melengkapkan senarai tiga pemain itu yang diumumkan di Ghana bagi calon kategori individu, sempena anugerah tahunan Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF).

Salah berpeluang besar untuk memenangi anugerah itu selepas mendahului senarai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan 14 gol.

Pemain berusia 25 tahu itu, juga mencipta jaringan menakjubkan ketika membantu Mesir melangkah ke Piala Dunia 2018 di Russia dan tampil kali pertama di pusingan akhir dalam tempoh 28 tahun.

Penyerang Borussia Dortmund, Aubameyang pula berada dalam senarai penjaring kedua terbanyak di Bundesliga, kurang dua gol berbanding bintang Bayern Munich, Robert Lewandowski.

Mane juga menjadi nadi penting ketika membantu Senegal melangkah ke Piala Dunia buat pertama kali sejak 2002.

Penyandang gelaran, Riyad Mahrez dari Algeria yang beraksi untuk Leicester City, tidak berada dalam senarai 30 pemain yang dicalonkan untuk menerima anugerah musim ini.

Jurucakap CAF, Junior Binyam memberitahu kepada AFP, jawatankuasa penganjur memutuskan untuk mengenepikan kategori Pemain Terbaik Berpangkalan di Afrika dan kategori Pengadil Terbaik selepas hanya 10 pemain dan enam pengadil dicalonkan sejak pencalonan ditutup bulan lalu. – AFP

INFO

Pemain Wanita Terbaik – Asisat Oshoala (NGR, Dalian Quanjian/CHN), Chrestina Kgatlana (RSA, UWC Ladies), Gabrielle Aboudi Onguene (CMR, CSKA Moscow/RUS)

Pemain Remaja Terbaik – Krepin Diatta (SEN, Sarpsborg/NOR), Patson Daka (ZAM, Liefering/AUT), Salam Giddou (MLI, Guidars)

Jurulatih Terbaik – Gernot Rohr (NGR), Hector Cuper (EGY), L’Hussein Amoutta (Wydad Casablanca/MAR)

Kelab Terbaik – Al Ahly (EGY), TP Mazembe (COD), Wydad (MAR)

Pasukan Kebangsaan Terbaik – Cameroon, Mesir, Nigeria

Pasukan Kebangsaan Wanita Terbaik: Ghana U-20, Nigeria U-20, Afrika Selatan.



Source link

read more

Salah raih Anugerah Pemain Terbaik Afrika 2017 – Bola Sepak


LONDON 12 Dis. – Prestasi menakjubkan bersama Liverpool sejak akhir-akhir ini menjadi antara faktor membolehkan pemain kebangsaan Mesir, Mohamed Salah dinobat sebagai penerima Anugerah Pemain Terbaik Afrika BBC 2017.

Salah, 25 tahun itu juga dilihat cemerlang bersama Mesir apabila membantu pasukan kebangsaannya ke perlawanan akhir Piala Negara Afrika dan kemudian layak ke Piala Dunia 2018 sejak 1990 selain telah menjaringkan lima gol dengan dua gol ketika pusingan kelayakan.

Ketika ini juga Salah adalah penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris dengan 13 gol malah turut cemerlang dalam semua perlawanan kelab Serie A ketika bersama Roma sebelum ke Anfield.

“Sudah tentu anugerah ini membuatkan saya gembira.

“Ia sentiasa menjadi sesuatu yang istimewa terutama sewaktu anda memenangi anugerah seperti ini dalam masa sama ini adalah tahun yang cukup baik buat saya,” kata Salah. – AFP



Source link

read more

Bual Bola: Sepanyol rangkul kejuaraan sulung di Afrika Selatan (bahagian 11/12)



Afrika Selatan menjadi hos Piala Dunia pertama di benua Afrika dengan bola ikonik Jabulani diperkenalkan kepada dunia. Sepanyol pula menjulang gelaran dunia sulung di bumi Afrika.

Menjelang pengundian Piala Dunia FIFA 2018 di Rusia, ikuti bahagian kesebelas daripada 12 cerita dan sejarah disebalik bola-bola rasmi yang digunakan di Piala Dunia selain revolusi pembikinan bola sepak.



Source link

read more

Jelitawan Afrika Selatan dimahkota sebagai Miss Universe 2017



LAS VEGAS: Demi-Leigh Nel-Peters dari Afrika Selatan menamatkan kemarau empat dekad memenangi anugerah berprestij apabila dinobatkan sebagai Miss Universe 2017 edisi ke-66.

Kali terakhir Afrika Selatan memenangi Miss Universe adalah pada tahun 1978.

Demi, 22 tahun, merupakan seorang model dan juga graduan pengurusan perniagaan.

Beliau mengambil alih tugas Miss Universe 2016 Iris Mittenaere dari Perancis.

Miss Universe edisi ke-66 merupakan yang terbesar dalam sejarah apabila seramai 92 peserta mengambil bahagian.

Ia juga menyaksikan penyertaan kali pertama peserta dari negara Nepal, Kemboja dan Laos.

Sementara itu, Jepun memenangi kostum nasional terbaik dengan memakai kimono berinspirasi dewi pahlawan samurai.

Barisan panel hakim terdiri daripada nama-nama popular industri antaranya Pia Wurtzbach Miss Universe 2015, Jay Manuel dari America’s Next Top Model, Megan Olivi dari Fox Sport, dan Miss Universe 1998 Wendy Fitzwilliam.

Pertandingan ratu cantik terbesar ini berlangsung di Los Angeles dan diacarakan oleh Steve Harvey.



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons