Vida kahwin senyap-senyap | Astro Awani



USAHAWAN kosmetik popular Datuk Seri Vida menafikan khabar angin dia telah mendirikan rumah tangga dengan seorang jejaka tanpa pengetahuan umum.

Kata Vida, 45 tahun, dia masih berstatus solo dan terkejut apabila mengetahui khabar angin berkenaan.

“Saya tak tahu bagaimana cerita saya nak kahwin timbul. Sedangkan jiwa saya yang sedang kacau pun tiada siapa mahu pujuk.

“Saya tidak mahu terlalu memikirkan soal kahwin buat masa sekarang, nanti ramai yang kata saya yang terhegeh-hegeh.

“Tetapi harus saya akui, walau umur saya sebegini, masih ada yang cuba mendekati. Cuma saya tak pasti niat mereka untuk duit atau populariti,” katanya kepada Astro Gempak.

Vida yang ditemui pada pertunjukan fesyen Primavalet di Hotel Majestic Kuala Lumpur semalam memberitahu anak perempuannya, Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin atau lebih dikenali sebagai Cik B enggan melihat ibunya bersama lelaki lain.

“Cik B luluskan baru saya terima. Tapi buat masa sekarang dia tak mahu sebarang lelaki mendekati saya.

Mama, don’t you dare katanya,” tambah Vida.

Dalam perkembangan lain, Vida bakal muncul dengan single keduanya menjelang Aidilfitri nanti.



Source link

read more

Avicii bersara buat selama-lamanya | Astro Awani



MUSCAT: Para peminat muzik rancak atau EDM (electronic dance music) dikejutkan dengan berita pemergian seorang disc jockey (DJ) atau produser muzik terkenal, Avicii, pada petang Jumaat.

Menurut kenyataan daripada wakil publisiti Avicii, Ebba Lindqvist, dia menghembuskan nafas terakhir pada usia 28 tahun di Oman.

“Dengan rasa dukacita kami mengumumkan pemergian Tim Bergling yang juga dikenali sebagai Avicii.

“Seluruh keluarganya berkabung dengan berita sedih ini dan kami memohon kepada semua untuk menghormati dengan memberi ruang kepada mereka yang berada dalam detik sukar ini,” jelasnya.

Tiada sebab kematian dinyatakan dan tiada kenyataan lanjut dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat.

Beberapa bintang besar EDM dan artis terkemuka turut meluahkan rasa sedih selepas mendengar berita kehilangan artis muzik rancak terkenal itu dan memberikan penghormatan terakhir melalui akaun Twitter masing-masing.

Sebelum ini, produser muzik EDM kelahiran Sweden itu mengumumkan persaraan daripada membuat jelajah muzik atas alasan kesihatan, lapor The Billboard.

“Saya tahu yang saya berpeluang untuk membuat persembahan jelajah muzik ke seluruh dunia, namun saya hanya mempunyai masa yang sedikit untuk menikmati kehidupan saya sebagai orang biasa, iaitu di luar jiwa saya sebagai artis.

“Secara amnya, saya adalah seorang yang berperwatakan introvert, jadi bagi saya ia sangat sukar untuk dilakukan dan berasa terlalu banyak aura negatif yang saya dapat daripadanya,” katanya pada waktu itu.

Menurut The Billboard juga, isu kesihatan Avicii diketahui umum sejak beberapa tahun lepas setelah dia mengalami pankreatitis, yang sebahagiannya dipercayai berpunca daripada tabiat mengambil minuman keras secara tidak terkawal.

Pada 2014, Avicii membatalkan kesemua jelajah persembahannya bagi menjalani proses pemulihan selepas pembedahan mengeluarkan pundi hempedu dan apendiksnya.

Dia kemudiannya mengumumkan untuk kembali ke studio dan melancarkan extend play atau EP untuk enam lagu berjudul Avīci (01) pada Ogos 2017, iaitu projek muzik terakhirnya sebelum meninggal dunia.

Bintang EDM Eropah yang terkenal dengan hits seperti Wake Me Up dan Hey Brother itu pernah merangkul beberapa anugerah seperti American Music Awards, Billboard Music Awards and MTV Europe Music Awards sepanjang kariernya dalam menghasilkan musik rancak.



Source link

read more

Turki lanjut tempoh darurat | Astro Awani



ANKARA: Kabinet Turki pada Selasa menasihati parlimen negara itu untuk melanjutkan tempoh darurat selama tiga bulan lagi, lapor agensi berita China Xinhua.

Pengisytiharan darurat itu menyasarkan anggota dan kumpulan pengganas berbanding rakyat yang hidup dalam keadaan aman, kata Timbalan Perdana Menteri Bekir Bozdag pada sidang akhbar selepas mesyuarat kabinet.

Usul pelanjutan tempoh darurat telah dibincang dan diluluskan pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.

Usul itu telah diluluskan sebanyak enam kali sejak percubaan rampasan kuasa pada Julai 2016. 

Pelanjutan ketujuh tempoh darurat akan berkuat kuasa pada 19 April.

— BERNAMA



Source link

read more

Catriona Ross nafi bercerai | Astro Awani



TIADA angin tiada ribut, tiba-tiba tersebar cerita kononnya pelakon Cariona Ross telah bercerai dengan suaminya, Shaharudin Mokhtarudin selepas lebih 9 tahun mendirikan rumah tangga.

Terkejut dengan gosip yang mula menjadi bualan hangat itu, Catriona tampil menafikan dakwaan tersebut sambil menegaskan rumah tangga dia dan suami masih bahagia dan dalam keadaan baik sehingga ke hari ini.

Menurut pelakon asal Kelantan ini, sebelum ni sudah dua kali gosip seumpama itu disebarkan kepada umum tanpa diketahui di mana puncanya.

“Saya tidak tahu dari mana pihak terbabit dapat cerita kami sudah bercerai. Saya tidak cepat melatah dengan gosip sedemikian kerana ia tidak benar dan kami lebih mengetahui apa yang berlaku dalam rumah tangga.

“Jika benar dakwaan saya sudah bercerai, saya tidak akan keluar rumah dan menghadiri pelbagai majlis seperti sekarang. Lebih baik saya berkurung di rumah saja,” katanya kepada sebuah akhbar.

Menurut Catriona, dia percaya gossip tersebut sengaja disebarkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab dan kurang senang melihat kebahagiannya selama ini.

Malah ibu kepada Sephia Rania, 7 tahun, Jamal Raess, 5 tahun, dan Edruce Riyadh, 2 tahun, ini memberitahu dia dan suami baharu sahaja pulang daripada bercuti bersama suami, Februai lalu.

“Kalau kami ada masalah rumah tangga takkanlah kami akan bercuti bersama ke luar negara? Ia seperti percutian bulan madu sekali gus mengeratkan lagi ikatan rumah tangga sedia ada,” luahnya kesal.



Source link

read more

Barbara Bush meninggal dunia | Astro Awani



Bekas Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Barbara Bush, meninggal dunia pada Selasa. Beliau berusia 92 tahun.

Barbara ialah satu-satunya wanita yang dapat melihat kedua-dua suaminya, George H.W. Bush dan anaknya, George W. Bush, mengangkat sumpah sebagai Presiden AS, masing-masing pada tahun 1989 dan 2001.

Ahad lalu, pejabat suaminya mengeluarkan kenyataan bahawa Barbara telah mengambil keputusan untuk tidak mendapatkan rawatan perubatan di hospital, sebaliknya mahu penjagaan di rumah.

Dalam satu kenyataan, George W. Bush berkata: “Ibu kesayangan telah meninggal dunia pada umur 92 tahun. Laura, Barbara, Jenna dan saya bersedih, namun jiwa kami tenang kerana kami tahu jiwa ibu pun kini tenang.

“Barbara Bush merupakan Wanita Pertama yang menakjubkan, seorang wanita yang tiada tandingannya.

“Saya sangat bersyukur Barbara Bush ibu saya. Keluarga kami akan merinduinya, dan kami berterima kasih ke atas semua ucapan takziah.”

BACA: CBS News silap, terbit berita palsu kematian Barbara Bush



Source link

read more

North Carolina diisytihar darurat | Astro Awani



NORTH CAROLINA: Bandar Greensboro di North Carolina, Amerika Syarikat diisytiharkan darurat selepas dilanda ribut dan puting beliung.

Kejadian turut menyebabkan kebanyakan rumah serta lot perniagaan musnah dan setakat ini tiga dilaporkan maut.

Salah seorang mangsa merupakan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun meninggal dunia akibat dihempap pokok.

Pihak berkuasa melaporkan ribut tersebut bukan sahaja menyebabkan kerosakan pada kediaman penduduk, malah menyebabkan banjir kilat.

Menerusi kenyataan sama, petugas kecemasan dikerah untuk melakukan pemeriksaan kecemasan bagi mengesan mangsa-mangsa yang terperangkap sebelum dihantar ke pusat perlindungan sementara di sekolah-sekolah yang dipilih.

Selain di Greensboro, lapangan terbang antarabangsa St.Paul di Minneapolis turut terjejas apabila salji setebal 13 inci dan ribut petir melanda daerah tersebut.

Cuaca yang buruk menyebabkan 230 penerbangan keluar dan masuk terpaksa dibatalkan pada Ahad manakala 470 penerbangan turut dibatalkan pada Sabtu disebabkan faktor sama.



Source link

read more

One Direction bakal kembali | Astro Awani



KUMPULAN penyanyi lelaki dari United Kingdom yang digilai ramai satu ketika dahulu, One Direction, dikhabarkan bakal bergabung semula.

Berita baik ini disampaikan bekas anggota kumpulan dan penulis lirik, Liam Payne yang memberi bayangan itu dalam satu rakaman temu bual dengan 1D Metro Manila di Twitter.

“Kami pernah bercakap tentang perkara ini dan jika impian untuk mengadakan persembahan hebat itu tercapai, ia akan menjadi persembahan paling menakjubkan,” katanya dalam rakaman temu bual itu.

Khabar ini nyata menggembirakan peminat tegar mereka yang dikenali sebagai “Directioners” di seluruh dunia,  menjadikan #OneDirectionReunion tular di platform Twitter.

Menurut Liam lagi, mereka kini sedang memberi tumpuan kepada kerjaya solo masing-masing sebagai satu persediaan untuk menjadi sebuah kumpulan lebih berjaya.
Kumpulan One Direction pernah berada di bawah naungan label muzik Syco Records milik pengkritik popular Simon Cowell.

Ia dianggotai oleh Liam payne, Niall Horan, Harry Styles, Zayn Malik, dan Louis Tomlinson.

One Direction yang ditubuhkan pada tahun 2010 menerusi program realiti The X Factor berpecah sejurus selepas Zayn Malik meninggalkan kumpulan itu pada tahun 2015.

Kali terakhir kumpulan yang popular menerusi lagu “Night Changes” itu mengadakan konsert bersama di Manila pada 2015.

Rata-rata Directioners memberi komen positif dan berasa gembira dengan berita tersebut.

Malah rata-rata mereka berkata tidak sabar menunggu persembahan kumpulan itu diadakan.



Source link

read more

Deja Moss reda bercerai | Astro Awani



PENYANYI Deja Moss mengesahkan bahawa suaminya, Azfendy Azzuddin Ahmad telah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur minggu lalu.

Deja atau nama sebenarnya Sharifah Hadijah Wan Moss turut tidak menafikan bahawa mereka sudah tidak lagi tinggal sebumbung.

“Dia yang nak cerai jadi biarlah dia yang fail cerai.

“Sepatutnya Rabu lalu, kami bertemu di mahkamah tapi saya sibuk sangat. Sekarang tunggu tarikh baru,” katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya punca perceraian, ulas Deja, antara alasan adalah kerana mereka tidak mempunyai anak.

“Saya sedia bermadu tapi entahlah… yang pastinya apa yang boleh saya katakan adalah mungkin kami sudah tiada jodoh.

“Saya reda bercerai,” jelas wanita berumur 45 tahun ini lagi.

Deja dan Azfendy berkahwin pada 30 Ogos 2008.

“Bagi mengelak terlalu memikirkan mengenai perkara ini sekarang saya tumpukan kepada kerja-kerja amal melalui Kembara Amal Ventures.

“Dan saya menghambakan diri kepada Pencipta saya,” ujar Deja positif.



Source link

read more

Ziana Zain fail cerai | Astro Awani



RUMAH tangga penyanyi terkenal, Ziana Zain, kembali menjadi perhatian apabila wanita berusia 50 tahun itu dilaporkan sudah memfailkan penceraian.

Menurut laporan, penyanyi Madah Berhelah itu sudah memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 3 April lalu.

Namun, menurut sumber, suaminya, Armin Zaharin, 53 tahun, tidak bersetuju untuk melafazkan cerai dan minta kes tersebut dibawa ke jawatan kuasa pendamai.

Ziana bagaimanapun memilih untuk tidak mengulas apa-apa mengenai hasratnya untuk bercerai selepas 20 tahun mendirikan rumah tangga.

Peguam pemerhati Ziana Zain, Luqman Mazlan memberitahu, pasangan berkenaan sudah tidak tinggal sebumbung kerana menjalani tempoh jaminan selain tidak dibenarkan mendekati keluarga anak guamnya.

“Keadaan mangsa iaitu anak lelaki Ziana Zain yang dicederakan oleh Orang Kena Tuduh (OKT) masih dalam trauma,” jelasnya.

Dalam pada itu, lapor mStar Online, Mahkamah Majistret Shah Alam menangguhkan penyerahan dokumen dakwaan Armin mencederakan anak lelakinya pada 25 Februari lalu.

Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin menetapkan 15 Mei depan sebagai tarikh baharu serahan dokumen.

Mengikut pertuduhan, Armin didakwa dengan sengaja menggunakan rotan sehingga menyebabkan luka dan lebam ke atas anaknya di sebuah rumah di Denai Alam, dekat sini, di antara pukul 8 malam hingga 10.30 malam pada 24 Februari lalu.

Armin ditangkap pada 2 Mac lalu selepas Ziana membuat laporan polis pada 27 Februari lepas.

Pada 8 Mac lalu, mahkamah menerima permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharih Afendi untuk meminda pertuduhan kepada Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Di bawah Seksyen 326A, Armin, 53, boleh dikenakan dua kali ganda tempoh maksimum atas sabitan kesalahan dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Bagi Seksyen 324, jika sabit kesalahan dia berdepan dengan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan.

Armin dan Ziana bernikah pada 9 Mei 1998.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.



Source link

read more

Padah masak rendang beruang | Astro Awani


RIAU : Empat lelaki berdepan hukuman penjara atas kesalahan menangkap tiga ekor beruang madu dan memasaknya menjadi rendang.

Menurut laporan BBC Indonesia, keempat-empat lelaki berkenaan telah memasang lebih 50 jerat pada 18 Mac lalu untuk menangkap khinzir.

Namun, selepas 12 hari, mereka menemui seekor beruang madu yang terjerat.

“Ketika itu, ia masih hidup lalu saya menombaknya dan rakan saya yang lain memukulnya dengan kayu hingga ia tidak bergerak lagi,” kata salah seorang daripada mereka yang hanya dikenali sebagai Zds.

Kali kedua mereka memasang jerat pada 1 April, mereka mendapati dua ekor beruang madu terjerat.

Ia dimasukkan ke dalam kandang sebelum ditembak mati menggunakan senapang angin.

“Dagingnya kami makan dengan dimasak rendang,” katanya.

Selain dimasak menjadi rendang, empedu beruang itu dijadikan ubat tradisional untuk merawat sesak nafas.

Mereka ditangkap selepas polis dan pegawai Agensi Pemuliharaan Sumber Alam Riau (BBKSDA) mendapat tahu perkara itu di media sosial.

Ia ekoran salah seorang daripada mereka telah memuat naik video menunjukkan perbuatan menyiat kulit beruang dan kemudian memasaknya di Facebook.

Keempat lelaki berkenaan mendakwa tidak sedar bahawa beruang madu haiwan dilindungi sepenuhnya. - Gambar BBC Indonesia

Keempat-empat mereka mendakwa tidak mengetahui bahawa beruang madu merupakan spesis hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya bukan sahaja di Indonesia, tetapi seluruh dunia.

Kesemua suspek berdepan hukuman penjara lima tahun dan denda 100 juta rupiah (RM27,000) mengikut Undang-undang Pemuliharaan Sumber Asli Indonesia dan Ekosistem (1990).

Beruang madu (Helarctos malayanus) adalah spesies beruang terkecil di dunia dan diklasifikasikan sebagai spesies terancam.



Source link

read more