Panji merah di Ayer Hitam?


KUALA LUMPUR – Gendang perang sudah dipalu dengan kuat di Johor!

Selepas berjaya meresap masuk ke dalam Johor termasuk memenangi kerusi Parlimen Gelang Patah dalam persaingan sengit pada Pilihan Raya Umum 2013, pembangkang kini mengatur strategi untuk merebut lebih banyak kerusi di negeri selatan Semenanjung tersebut.

Sasaran pembangkang khususnya DAP di Johor pada kali ini ialah Ayer Hitam yang pada masa ini disandang oleh Datuk Seri Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MCA yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Tekad DAP itu begitu nyata apabila parti pembangkang itu sanggup menawarkan dua kerusi iaitu Tanjung Piai di Johor dan Alor Gajah di Melaka kepada rakan pembangkang lain semata-mata untuk mendapat tiket bertanding di Ayer Itam.

Pada Pilihan Raya Umum 2013 lalu, calon pembangkang iaitu Hu Pang Chaw yang pada masa itu mewakili Pas kecundang di tangan Ka Siong dengan majoriti 7,310 undi.

Dalam pilihan raya akan datang, pembangkang bertekad untuk menakluk Ayer Hitam dengan DAP berharap dapat meletakkan calonnya berdepan Ka Siong.

Walaupun begitu, keadaan itu mungkin dihalang Amanah yang turut mengintai Ayer Hitam. Sebagai jalan penyelesaian, calon Amanah mungkin diberi mandat untuk bertanding menggunakan lambang roket di Ayer Hitam.

Ketua DAP Johor, Liew Chin Tong ketika dihubungi Sinchew Daily tidak menafikan kemungkinan itu, malahan beliau sempat memberi amaran kepada Ka Siong.

“Ka Siong akan menjadi sangat bimbang dengan pencaturan terbaru,” kata Chin Tong dipetik Sinchew Daily.

Selain Ayer Hitam, sebuah lagi kawasan MCA di Johor iaitu Tanjung Piai mungkin juga berdepan serangan kuat apabila DAP bersedia menyerahkan kawasan itu kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk bertanding.

Keadaan itu dilaporkan sesuai dengan keadaan Tanjung Piai yang mempunyai ramai pengundi Melayu.

PPBM dikatakan mahu meletakkan orang kuat di Tanjung Piai, dan antara calon yang disebut-sebutkan ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kemungkinan itu bagaimanapun dinafikan Chin Tong dan penganalisis politik yang percaya Dr. Mahathir lebih cenderung untuk bertanding di Kedah untuk membantu anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Selain Ayer Hitam dan Tanjung Piai, MCA memenangi Labis dan Tebrau di Johor pada Pilihan Raya 2013.

Sementara itu, Setiausaha Organisasi DAP, Loke Siew Fook ketika dihubungi Kwong Wah Yit Poh berkata, pengaruh parti itu dalam Pakatan Harapan tidak terhakis kerana hanya kekurangan satu kerusi iaitu daripada 36 kepada 35 berbanding pengagihan pada Pilihan Raya 2008.

“Pengorbanan adalah perlu dan pengagihan kerusi di Semenanjung yang diumumkan adalah strategi terbaik Pakatan Harapan,” katanya. – theRakyat

* Analisis yang digabungkan dari akhbar-akhbar Cina



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons