J/kuasa IT UMNO perlu aktif promosi usaha baik kerajaan


SANDAKAN – UMNO mahu semua biro teknologi maklumatnya di 191 bahagian memanfaatkan sepenuhnya media sosial untuk mengetengahkan segala usaha baik yang dibuat kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini.

Pengerusi Biro Teknologi Maklumat (IT) UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata mereka tidak sepatutnya menunggu hingga parlimen dibubarkan untuk aktif.

“Sekarang adalah pusingan akhir yang memerlukan kita meningkatkan segala kegiatan kita dari segi penyebaran usaha positif dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan pusat serta program wakil rakyat dan pemimpin setempat,” katanya kepada pemberita selepas ProgramTaklimat kepada Jawatankuasa Biro IT UMNO Batu Sapi di sini, Khamis.

Katanya media sosial adalah medium terbaik memandangkan terdapat kira-kira 43 juta pemilikan telefon pintar di negara ini yang turut merekodkan 18 juta akaun Facebook.

Menurutnya rakyat Malaysia juga merupakan pengguna aplikasi WhatsApp paling ramai di dunia selain 20 juta rakyat negara ini menggunakan Internet.

“Jadi angka ini menunjukkan betapa penting peranan media sosial dalam pilihan raya umum ke-14 nanti,” katanya.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata enam kaedah digunakan Biro IT UMNO untuk penyebaran di media sosial iaitu tulisan yang baik, gambar dan infografik, video pendek, keratan akhbar menarik, poster dan karikatur menarik.

Pada masa sama beliau mengingatkan anggota UMNO, khususnya anggota jawatankuasa Biro IT agar tidak terlibat dalam penyebaran berita palsu menerusi media sosial.- BERNAMA



Source link

read more

Ulasan Sony Xperia XA2 Ultra – Peranti Dengan Kemampuan Swafoto Yang Baik – Amanz


Selang beberapa minggu selepas dilancarkan di CES 2018, Sony Xperia XA2, XA2 Ultra dan L2 dilancarkan di Malaysia. Ketiga-tiga peranti terbaru ini akan mula dijual secara rasmi pada 9 Februari. Kami sempat menghabiskan beberapa jam menggunakan Xperia XA2 Ultra. Ini ialah peranti dengan spesifikasi tertinggi di antara ketiga-tiga peranti ini. Ia juga satu-satunya yang dilengkapi sistem dwi-kamera pada bahagian hadapan lengkap dengan flash. Ini ialah pandang pertama kami untuk peranti ini.

Spesifikasi

Sony Xperia XA2 Ultra
Skrin 6″ IPS LCD FHD (367 PPI)
Pemproses Snapdragon 630
CPU 4 x 2.2 GHz Cortex A53
4 x 1.8 GHz Cortex A53
Cip Grafik Adreno 508
RAM 4 Gigabyte
Muatan Dalaman 64 Gigabyte eMMC (MikroSD sehingga 256 GB)
Kamera Utama 23 Megapixel, f/2.0, SteadyShot,
Kamera Depan 16+8 Megapixel, f/2.0+ f/2.4, OIS, SteadyShot
Bateri 3580mAh (Pengecasan Pantas Qnovo)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano Bukan Hibrid
Jalur LTE Cat 12/13
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Kalis Air Tiada
Sistem Imbasan Jari
Harga Jualan RM 1999

Dengan skrin sebesar 6″ IPS LCD, ia adalah peningkatan dari 5.5″ yang digunakan pada XA1 Plus tahun lalu. Walaupun saiz dipertingkatkan, ia masih mengekalkan resolusi FHD sahaja. Sony masih belum bersedia terjun ke dalam dunia skrin 18:9 dan skrin 16:9 dikekalkan. Akibatnya bahagian dagu serta dahi XA2 Ultra adalah agak besar berbanding peranti setanding di pasaran.

Skrin yang besar ini dipadankan dengan pemproses Snapdragon 630, memori sebesar 4GB RAM dan storan sebesar 64GB. Bagi yang memerlukan storan lebih besar, kad mikroSD sehingga 256GB disokong. Slot kad mikroSD ini tidak mempunyai talamnya tersendiri dan tidak mengganggu penggunaan dua SIM bersaiz nano pada peranti ini.

Dari segi kemampuan optikal pula ia dilengkapi kamera sebesar 23-Megapixel f/2.0 pada bahagian belakang dengan sensor ExmorRS. Dwi-kamera hadapan pula ialah gabungan 16+8 Megapixel. Sensor 16-Megapixel f/2.0 ini menggunakan sensor ExmorRS dengan sokongan penstabilan OIS. Ini amat unik kerana kamera pada bahagian belakang tidak mempunyai penstabilan OIS.

Kamera 8-Megapixel f/2.4 pula menggunakan sensor ExmorR dengan lensa sudut lebar 120 darjah. Ini adalah bagi memberikan sudut pandangan yang lebih lebar untuk pengambilan swafoto secara berkumpulan. Kamera utama pada bahagian belakang boleh merakam video pada resolusi 4K dan gerak perlahan pada tetapan 120 FPS.

Sesuai dengan skrin yang besar, XA2 Ultra turut dilengkapi bateri 3580 mAh yang boleh dikatakan agak besar. Ia menyokong sistem pengecasan Qnovo Fast Charging melalui port pengecasan USB-C. Yang mengecewakan ialah pihak Sony tidak menyertakan pengecas pantas dengan setiap pembelian. Seperti Apple, untuk menikmati pengecasan pantas pengguna perlu membeli pengecas pantas secara berasingan.

Rekabentuk

Skrin yang besar mendominasi rekaan XA 2 Ultra. Walaupun berdahi dan dahu yang besar, pada bahagian sisi bingkai yang digunakan adalah amat kecil. Dua “mata” kamera dengan flash boleh dilihat dengan jelas pada bahagian dahi tetapi diimbangi oleh dagu yang besar bagi mengekalkan simetri peranti.

Pada bahagian bawah skrin pula terdapat tiga butang navigasi atas skrin. Butang home dihimpit butang multi-tugas pada sebelah kanan dan butang back pada sebelah kiri.

Dengan Xperia XA2 Ultra, rekaan Closed Loop digunakan sekali lagi sejak kali pertama diperlihatkan pada XZ Premium. Panel belakang adalah dari kepingan logam dengan kemasan yang kusam. Tiada masalah panel belakang memerangkap kotoran dan cap jari di sini.

Bahagian sisi adalah dibulatkan bagi memastikan keselesaan ketika memegang peranti. Keselesaan adalah penting kerana XA2 Ultra bukan sahaja lebih berat malah lebih tebal (9.7 mm) berbanding kebanyakan peranti di pasaran. Kami mungkin di dalam golongan minoriti yang tidak merasakan rekaan “gemuk” adalah negatif. Ini adalah kerana peranti tebal selalunya lebih selesa dipegang dan tidak mempunyai lensa kamera yang terkeluar terlalu banyak dari tubuh. Namun sedikit aneh pada XA2 Ultra ialah panel belakangnya yang melengkung. Ini membuatkannya tidak boleh diletakkan rata pada permukaan meja.

Bercakap tentang panel belakang, pengimbas cap jari kini dipindahkan ke sini. Selama ini Sony berkeras meletakkan pengimbas pada sisi kanan peranti. Mereka menerima banyak kritikan dari pengguna kidal yang merasakan kedudukan ini sedikit prejudis terhadap mereka. Pengimbas cap jari pada bahagian belakang berbentuk bulat dan amat mudah diakses. Rekaan ini digunakan secara meluas oleh pengeluar peranti sekarang.

Sensor NFC juga diletakkan di belakang. Sekali lagi Sony ialah satu-satunya pengeluar yang meletakkan logo NFC dengan jelas supaya pengguna tidak perlu tercari-cari dimanakah kawalan NFC pada peranti mereka.

Pada sisi kanan terdapat butang suara jenis rocker, butang kuasa dan butang khas pengatup kamera. Rekaan kesemua butang adalah ergonomik dan kukuh. Sedikit komen yang mungkin boleh diberikan ialah butang kuasa berbentuk bulat yang digunakan bersaiz agak kecil. Dari segi kualiti binaan, Sony adalah antara pengeluar yang tidak melepaskan batok di tangga.

Pada sisi kiri terdapat talam dwi SIM bersaiz nano dan kad MikroSD. Dwi SIM nano berada di dalam talamnya tersendiri. Slot untuk kad MikroSD terletak bersebelahan slot untuk SIM ini. Talam ialah dari jenis yang hanya perlu ditarik keluar. Kami amat menggemari rekaan ini kerana tidak perlu bergantung kepada jarum. Bergerak ke atas terdapat satu bicu audio 3.5mm. Pada bahagian bawah terdapat port pengecasan USB-C serta satu pembesar suara mono.

Kami amat menggemari rekaan peranti ini kerana ianya terasa premium dan padat. Penggunaan panel logam juga menyelesaikan masalah dunia pertama iaitu peranti yang terlalu mudah memerangkap kotoran. Walaupun agak besar, kami masih merasakan ia selesa dipegang dengan sebelah tangan kerana sisi dibulatkan serta panel belakang yang melengkung.

Antaramuka

Sistem operasi Android Nougat 8.0 digunakan dengan pelancar rekaan Sony. Tidak seperti HTC, Sony masih belum bersedia menyokong fungsi seakan Pixel. Masih terdapat butang untuk melancarkan talam aplikasi. Sokongan untuk menatal dari bawah ke atas untuk melancarkan talam ini tidak pula disertakan. Yang disertakan ialah App Shortcut yang membolehkan pelbagai pintasan pantas dipilih terus selepas ikon aplikasi ditekan, picture in picture dan multi-window.

Satu perkara yang terus mengecewakan kami tentang peranti Xperia ialah tiada sokongan mengatur semula susunan butang navigasi atas skrin. Butang home kekal dihimpit oleh butang multi-tugas pada sebelah kanan dan butang back pada sebelah kiri. Fungsi kustomasi butang ini sudah menjadi standard pada peranti keluaran pengeluar lain seperti HTC dan Huawei.

Sony sekali lagi tidak menyertakan banyak fungsi tambahan. Aplikasi terpasang juga tidak terlalu banyak dengan aplikasi Album, Video dan Muzik digunakan dan bukannya Google Photos dan Google Music.

Melancarkan kamera dengan pantas – Selain menekan butang pengatup kamera. Aplikasi kamera turut boleh dilancarkan dengan menekan butang kuasa dengan pantas sebanyak dua kali.

Multi Window – Menggunakan sistem multi-tingkap natif Android Oreo bagi melancarkan dua aplikasi serentak.

One-Handed Operation – Mengecilkan saiz paparan skrin supaya lebih mudah digunakan sebelah tangan. Ini diaktifkan dengan menatal dari bucu bawah kiri atau kenan ke arah tengah skrin.

Quick Search – Carian pantas fail dan aplikasi dari dalam peranti. Tatal skrin dari atas ke bawah dan skrin carian akan muncul. Lapan aplikasi paling kerap digunakan turut akan dipaparkan secara automatik.

Sketch – Aplikasi lakaran dengan pelbagai pilih berus dan pena bagi menghasilkan karya seni dengan pantas.

Theme – Mengubah tema antaramuka. Terdapat puluhan tema dari filem keluaran Sony boleh dimuat turun. Sungguhpun begitu kebanyakan tema yang disediakan harus dibeli.

 

Kamera

Kamera utama 23-Megapixel f/2.0 yang digunakan dilengkapi sistem pemfokusan PDAF. Tiada sokongan penstabilan optikal OIS disertakan sebaliknya kesemua penstabilan dilakukan menggunakan sistem SteadyShot. Dari segi rakaman, kamera utama ini boleh merakam pada tetapan tertinggi 4K 30 FPS atau 1080P 60FPS. Pada tetapan tertinggi 23-Megapixel gambar diambil pada nisbah 4:3. Untuk mengambil gambar pada tetapan 16:9 pengguna perlu menurunkan resolusi kamera ke 20-Megapixel.

Kamera hadapan pula ialah gabungan 16+8 Megapixel f/2.0 + f/2.4. Sensor 16-Megapixel hadir dengan sokongan OIS dan ini adalah unik. Kali terakhir kami melihat peranti Android dengan sistem OIS pada bahagian hadapan ialah HTC 10. Terdapat sokongan SteadyShot pada sensor 8-Megapixel.

Sistem dwi-kamera yang digunakan Sony adalah berbeza dengan yang ditemui pada peranti lain. Sensor 16-Megapixel adalah untuk rakaman swafoto biasa manakala sensor 8-Megapixel dipadankan dengan lensa sudut lebar 120 darjah. Pada antaramuka kamera terdapat butang untuk mod sudut lebar yang memudahkan proses swafoto secara berkumpulan.

Kualiti Gambar

Antara misteri yang masih belum terjawab di dalam dunia peranti pintar ialah mengapa kualiti gambar peranti Sony kurang memuaskan walaupun mereka mempunyai kepakaran di dalam fotografi. Pada Xperia XA2 Ultra, misteri ini masih belum terungkai kerana sekali lagi kualiti gambar yang diambil adalah mengecewakan.

Sensor yang besar tidak menjamin kualiti gambar yang baik. Ini adalah benar di dalam kes Xperia XA2 Ultra. Di dalam situasi pencahayaan yang memuaskan seperti di luar kualiti gambar yang diambil adalah memuaskan. Gambar adalah tajam dengan penghasilan warna yang tepat. Tiada masalah gambar kelihatan kusam seperti yang ditemui pada majoriti peranti kelas pertengahan.

Sungguhpun begitu kami menyedari terdapat sedikit masalah dedahan berlebihan kerana tiadanya mod HDR seperti yang ditemui pada Galaxy A8 2018. Ketiadaan mod HDR jelas boleh dilihat pada dua gambar di bawah.

Papan tanda kedai aiskrim menunjukkan dedahan berlebihan apabila fokus diberikan kepada persekitaran. Tetapi apabila fokus diubah pada papan tanda itu sendiri, persekitaran terus menjadi gelap gelita. Kedua-dua gambar diambil hanya selang satu saat antara satu sama lain.

Pada Galaxy A8+ 2018 (gambar di bawah) masalah ini tidak akan berlaku kerana mod Auto HDR yang mengimbangi dedahan gambar tanpa masalah over exposed dan under exposed.

Tetapi dosa paling besar kamera XA2 Ultra terletak pada masa diambil untuk mengambil gambar. Pada tetapan 23-Megapixel, jelas terdapat sela masa yang amat ketara sebelum gambar diambil dan bilakah gambar seterusnya boleh diambil. Jika anda memerlukan peranti dengan kemampuan mengambil gambar yang pantas, XA2 Ultra bukan peranti untuk anda. Ia terlalu perlahan dan akibatnya subjek akan terlepas dari pandangan.

Kelajuan mengambil gambar hanya bertambah apabila resolusi gambar diturunkan 20-Megapixel. Namun ia masih perlahan jika dibandingkan dengan kelajuan kamera pada peranti kelas pertengahan yang pernah kami ulas sebelum ini.

Masalah kamera yang tidak memuaskan pada peranti Sony nampaknya berterusan. Bagi peminat seni fotografi mudah alih, kami tidak boleh menyarankan peranti ini kepada anda atas sebab-sebab di atas.

Audio

Tiada sokongan pembesar suara stereo kerana hanya sebuah pembesar suara diletakkan pada bahagian bawah peranti. Ianya lantang untuk menonton video dan melakukan panggilan telefon pampas-tangan. Kualiti audio menggunakan pembesar suara ini hanya sekadar sederhana. Pada tetapan tertinggi, bunyi yang dikeluarkan mulai pecah.

Apabila menggunakan fon telinga dan kepala, kualiti audio yang dihasilkan meningkat mendadak. Dentuman bass adalah kuat tetapi tidak pecah. Treble jelas dan nyaring. Kami menguji kemampuan audio menggunakan sepasang fon kepala Sony MDR 100ABN dan bunyi yang didengari amat memuaskan. Xperia XA2 menyokong tambatan Bluetooth 5.0 dan aptX HD. Kekurangan yang ada hanyalah tiada sokongan LDAC. Ini hanya disertakan pada peranti utama Sony seperti XZ Premium buat masa ini.

Penanda Aras

Pemproses Snapdragon 630 yang digunakan dilengkapi lapan teras dengan kelajuan 2.2 GHz. Apabila ujian penanda aras dilakukan, peranti mencatatkan 72124 markah dalam ujian Antutu dan 17015 markah dalam ujian Futuremark. Ini adalah markah yang lebih tinggi berbanding pemproses Snapdragon 625 dan setanding dengan Exynos 7885.

Dalam kegunaan harian kami tidak menyedari sebarang masalah sela masa atau aplikasi gagal berfungsi. Peranti turut berfungsi tanpa sebarang masalah pemanasan melampau. Sepanjang tempoh ulasan selama tiga minggu tiada sebarang masalah besar berlaku. Ini sebenarnya tidak mengejutkan kerana jarang sekali peranti kelas pertengahan di pasaran sekarang mempunyai masalah sela masa.

Bateri

Pada penggunaan sederhana peranti bertahan selama 23 jam 45 minit dengan skrin terpasang selama 7 jam 3 minit. Pada penggunaan sederhana pula peranti bertahan hampir 30 jam dengan skrin terpasang selama hampir 5 jam 46 minit. Ini ialah hayat bateri yang amat baik bagi sebuah peranti yang hanya dilengkapi bateri sebesar 3580 mAh. Ia mungkin peranti Sony pertama sejak Xperia Z3 yang mengejutkan kami dengan ketahanan baterinya.

Terdapat juga sokongan pengecasan pantas Qnovo Adaptive Charging dengan Battery Care. Masa untuk mengecas sepenuhnya bateri ialah sekitar dua jam. Ini adalah kerana sistem pengecasan yang digunakan Sony adalah berbeza. Masa diambil untuk mengecas 10% terakhir bateri adalah lambat bagi memanjangkan usia bateri.

Pada waktu yang sama sistem Battery Care menganalisa penggunaan peranti secara aktif. Jika ia mengesan anda tidur dari jam 10 malam hingga 6 pagi. Masa pengecas boleh mengambil sehingga enam jam. Jika anda mahu mengecas secara pantas sepanjang masa, jangan risau kerana Battery Care boleh dinyahaktifkan.

Pesaing

Sony Xperia XA2 Ultra bersaing dengan Samsung Galaxy A8+ 2018 dan Huawei Nova 2i di dalam kategori peranti kelas pertengahan dengan kemampuan kamera yang baik. Ketiga-tiga peranti juga menggunakan skrin sekitar 6″.

Peranti Pesaing
Sony Xperia XA2 Ultra Samsung Galaxy A8+ (2018) Huawei Nova 2i
6″ IPS LCD FHD (367 PPI) 6″ SAMOLED FHD+ (411 PPI) 5.9″ IPS LCD FHD+ (409 PPI)
2.2 Lapan Teras GHz Snapdragon 630 2.2 X 2 + 1.6 x 6 GHz Exynos 7885 2.36 X 4 +1.7 X 4 GHz Kirin 659
Adreno 508 Mali G-71 Mali-T830 MP2
4 Gigabyte 6 Gigabyte 4 Gigabyte
64 Gigabyte (256 GB MikroSD) 64 Gigabyte (256 GB MikroSD) 64 Gigabyte (256 GB MikroSD)
Kamera Utama 23-Megapixel f/2.0, PDAF Kamera Utama 16 Megapixel, f/1.7. PDAF Kamera Utama 16+2 Megapixel, f/2.0, PDAF
Kamera Hadapan 16+8 Megapixel, OIS, f/2.0+f/2.4 Kamera Hadapan 16+8 Megapixel, f/1.9+f/1.9 Kamera Hadapan 13+ 2Megapixel, f/2.0.
Tidak kalis air IP 68 Tidak kalis air
3000 mAh (Pengecasan Pantas) 3500 mAh 3340 mAh
RM 1999 RM 2499 RM 1099

Kesimpulan

Sony Xperia XA2 Ultra ialah peranti kelas pertengahan yang mungkin ketinggalan dari segi rekaan kerana masih dilengkapi skrin 16:9. Tetapi secara peribadi kami lebih menggemari peranti yang masih mempunyai dagu dan dahi kerana lebih selesa dipegang ketika menonton video atau menggunakan permua.

Dari segi rekaan ia mempunyai bingkai logam yang tegap dengan panel belakang yang sedikit melengkung. Ia terasa premium di dalam genggaman tangan. Walaupun ia agak besar, peranti masih selesa dipegang kerana panel belakang yang melengkung. Kedudukan butang-butang adalah ergonomik dengan binaan yang baik. Ini tidak mengejutkan kerana Sony memang terkenal dari segi kemasan.

Peranti menggunakan Android Oreo dengan pelancar Sony yang menghampiri rekaan Android asal. Oleh sebab itu tidak banyak fungsi tambahan disertakan oleh Sony berbanding peranti keluaran Huawei dan Samsung. Tetapi bagi yang meminati peranti dengan pelancar yang ringan, Xperia XA2 Ultra akan menggembirakan anda.

Kekuatan peranti ini terletak pada bateri 3580 mAh yang disertakan. Pada penggunaan sederhana ia boleh bertahan hampir 24 jam dengan skrin terpasang melebihi 7 jam. Pada penggunaan lebih ringan ia bertahan hampir 30 jam dengan skrin terpasang hampir enam jam. Ini ialah hayat penggunaan yang amat baik. Berita buruk ialah pengecas pantas tidak disertakan pula dengan setiap pembelian.

Kesimpulan tidak lengkap tanpa menyentuh kelemahan peranti. Sekali lagi kelemahan peranti Sony ialah pada kamera. Ia mampu mengambil gambar yang baik dalam situasi pencahayaan yang sempurna. Apabila di dalam situasi gelap, kualiti mula menurun. Tiadanya sokongan HDR amat mengecewakan. Tambahan lagi kamera adalah perlahan jika dibandingkan dengan peranti kelas pertengahan yang lain. Ini tidak boleh dimaafkan bagi Sony yang mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia fotografi.

Sony Xperia XA2 Ultra dijual pada harga RM 1999. Adakah ia berbaloi untuk dimiliki? Jawapannya terletak pada sejauh mana anda mementingkan kemampuan kamera. Jika tidak penting peranti ini boleh kami sarankan kerana rekaan yang menarik, kemampuan audio yang memuaskan serta bateri yang tahan lama. Sebaliknya pula jika kemampuan mengambil gambar adalah penting kerana kamera peranti ini adalah mengecewakan.

Kelebihan Kekurangan
  • Skrin besar yang terang dan cantik.
  • Kemasan yang terasa premium dan selesa dipegang di dalam genggaman tangan.
  • Ketahanan bateri yang amat baik.
  • Kualiti audio yang baik bagi sebuah peranti kelas pertengahan.
  • Pengimbas cap jari di belakang. Kedudukan pengimbas yang lebih mesra pengguna berbanding di sisi pada peranti Xperia sebelum ini.
  • Menyokong dwi-SIM tetapi kad dengan kad mikroSD berasingan.
  • Kemampuan mengambil gambar yang hanya sederhana dipadankan dengan kamera yang perlahan.
  • Pengecas pantas tidak disertakan dengan pembelian.
  • Pelancar hampir menyerupai Android asli sehingga tidak banyak fungsi tambahan seperti imbasan wajah.
  • Tidak menggunakan skrin 18:9 dan boleh dianggap ketinggalan berbanding peranti pesaing yang lain.



Source link

read more

Kementerian Pendidikan sambut baik rancangan tubuh sekolah tahfiz khas – Pendidikan


PADANG TERAP 18 Feb. – Kementerian Pendidikan menyambut baik rancangan kerajaan untuk menubuhkan sebuah sekolah khusus bagi membantu pelajar tahfiz yang tercicir dalam akademik mendapatkan sijil.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kebanyakan pelajar tahfiz sukar mendapat pekerjaan selepas tamat persekolahan kerana tidak memiliki sebarang sijil akademik.

“Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika mempengerusikan satu mesyuarat jawatankuasa peringkat tertinggi berkaitan sekolah tahfiz (persendirian dan swasta) bersetuju membina sebuah sekolah khas berkenaan di Bagan Datuk, Perak.

“Langkah membina sekolah yang membolehkan pelajar tahfiz mendapat sijil akademik dan kemahiran adalah bukti kerajaan sedaya-upaya berusaha membantu kelompok tersebut,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap menyampaikan sumbangan kepada 50 penerima yang terdiri daripada pesara guru dan kakitangan sekolah serta guru yang sakit sempena Program Ziarah Kasih anjuran Bikers Guru 1Malaysia.

Kira-kira 200 orang Bikers Guru 1Malaysia yang menyertai konvoi ke utara Malaysia – Thailand turut memberi sumbangan kepada 50 anak yatim serta murid miskin di Sekolah Kebangsaan Padang Terap, di sini.

Dalam perkembangan sama, Mahdzir memberitahu, pihaknya bersedia membantu kerajaan bagi membolehkan pelajar tahfiz yang tercicir akademik untuk mendapatkan sijil.

“Di bawah Kementerian Pendidikan, kita mempunyai sekolah kebangsaan agama yang membolehkan pelajar mepelajari akademi dan agama.

“Selain itu, kita mempunyai 14 buah sekolah yang Ulul Albab yang membolehkan pelajar menghafaz dan mempelajari sains tulen. Kita mempunyai bekalan guru yang cukup untuk membantu kerajaan menubuhkan sekolah berkenaan,” ujarnya.



Source link

read more

Samsung Dijangka Menyertakan Pesaing “Animoji” Yang Lebih Baik Pada Galaxy S9 – Amanz


Apple melalui iPhone X telah menyertakan ciri dinamakan Animoji, yang mana membolehkan animasi emoji 3D dihasilkan menggunakan pengecaman wajah pengguna melalui kamera hadapan. Kini, Samsung dijangka menyertakan ciri lebih kurang sama melalui Samsung Galaxy S9 kelak.

Samsung Galaxy S8

Dilaporkan oleh ETNews, ciri Emoji 3D yang masih tiada nama akhir ini dikatakan akan menawarkan sokongan yang lebih baik daripada Animoji. Ia akan membolehkan pengguna menghasilkan watak 3D berasaskan kepada wajah pengguna, dan turut melakukan pergerakkan wajah mengikut apakah yang sedang dilakukan oleh pengguna.

Samsung turut dikatakan akan menyertakan sokongan pengimbas iris dan juga pengecaman wajah 3D bersama-sama dengan telefon pintar.

Seperti biasa, sekiranya laporan baru ini benar, maka kita mungkin akan melihat ciri baru ini pada penghujung Februari ini daripada Samsung.



Source link

read more

Kadar dividen tinggi KWSP hasil pelaburan, pengurusan baik – Najib


KUALA LUMPUR – Kadar dividen tinggi yang diisytiharkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk 2017, merupakan hasil daripada pengurusan dan pelaburan yang baik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini.

“Alhamdulillah hasil pengurusan dan pelaburan baik, hari ini KWSP isytihar kadar dividen 6.90 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 6.40 peratus bagi Simpanan Syariah,” kata beliau menerusi catatan akaun Twitter dan Facebooknya.

Beliau berkata agihan dividen dan pendapatan pelaburan kasar bagi 2017 adalah lebih tinggi daripada tahun sebelumnya.

“Syabas pasukan KWSP!,”katanya.

Perdana menteri juga berharap agihan dividen itu, dapat menambah simpanan pencarum serta menjadi bekalan mereka pada masa hadapan.

KWSP mengisytiharkan kadar dividen 6.90 peratus bagi Simpanan Konvensional 2017 dengan jumlah agihan dividen sebanyak RM44.15 bilion dan 6.40 peratus bagi Simpanan Syariah, dengan agihan dividen RM3.98 bilion.

Jumlah keseluruhan agihan dividen bagi 2017 adalah sebanyak RM48.13 bilion, peningkatan 29.8 peratus dari 2016.

— BERNAMA



Source link

read more

Prestasi kewangan TH lebih baik dari tahun sebelumnya


thhibah7f.transformed_0MO, 7/2/2018, PUTRAJAYA – Tabung Haji (TH) mencatatkan prestasi kewangan lebih baik pada tahun 2017 berbanding 2016, dengan pendapatan kasar meningkat sebanyak RM1.1 bilion atau 31 peratus kepada hampir RM4.5 bilion, berbanding tahun kewangan 2016 sebanyak RM3.4 bilion.

“TH juga merekodkan keuntungan bersih selepas zakat sebanyak hampir RM2.8 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM0.3 bilion (13 peratus) berbanding tahun 2016 sebanyak RM2.5 bilion,” katanya.

Tambahnya, anak-anak syarikat TH turut menyumbang kepada pendapatan tersebut sebanyak RM1.1 bilion antaranya BIMB Holdings Berhad (RM706 juta), TH Properties Sdn Bhd (RM113 juta), Kumpulan TH Hotel & Travel (RM104 juta), TH Trust (RM82 juta), Kumpulan LTH Property Holdings Ltd (RM82 juta) dan TH Plantations Berhad (RM50 juta).

Selari dengan amalan pengurusan portfolio baik, Jamil Khir berkata TH juga telah melakukan rosot nilai sebanyak RM470 juta bagi pelaburannya di dalam syarikat minyak dan gas yang telah dan masih terjejas ekoran kemelut melanda industri itu.

Dalam pada itu, Jamil Khir berkata TH telah membelanjakan sebanyak RM356 juta bagi pengurusan haji pada tahun 2017, dengan RM298 juta adalah subsidi haji dan RM58 juta bagi kos tidak langsung termasuk kos kesihatan, kaunseling dan bimbingan haji.

Katanya, sebanyak RM2.41 juta pula diperuntukkan bagi membiayai 713 warga tua dan kurang berkemampuan untuk menunaikan haji melalui Dana Tabung Warga Tua.

Bagi tahun ini, Jamil Khir berkata TH menanggung subsidi haji sebanyak RM12,470 atau 56 peratus daripada kos haji bagi seorang jemaah haji muassasah kali pertama.

Katanya ia melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM400 juta, susulan kenaikan kos haji sebanyak 15 peratus kepada RM22,450.



Source link

read more

Zaman Najib lebih baik berbanding Tun M – Mohd Amar


KOTA BHARU 05 JULY 2017. Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ditemubual oleh pihak media selepas mesyuarat exco di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK). STR/FARIS ZAINULDIN.

MO, 30/1/2018, KOTA BHARU: Kerajaan PAS Kelantan mengakui zaman pemerintahan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri adalah lebih baik berbanding era Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata hubungan di antara kerajaan negeri dan Pusat juga semakin baik walaupun ada perkara belum ditunaikan.

“Memang berbeza kalau mahu dibandingkan zaman Tun Mahathir dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Najib. Zaman Tun Abdullah dan Najib menjadikan hubungan Kelantan dengan Pusat lebih baik.

“Namun, banyak perkara lagi yang Kerajaan Pusat belum laksanakan seperti tuntutan royalti dan kita berharap ia dipertimbangkan.

“Walaupun masih agak terpinggir berbanding negeri diterajui Barisan Nasional (BN), sekurang-kurangnya terdapat perbezaan dari segi hubungan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini hari ini.

Kelmarin, Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan Fasa 1, berkata beliau sentiasa mengutamakan rakyat Kelantan.

Ia, katanya, termasuk melaksanakan pembangunan projek yang dapat melenyapkan ‘mimpi ngeri’ rakyat negeri ini yang sering dilanda banjir termasuk banjir besar pada 2014.

“Saya tidak mahu ada yang ketinggalan. Ini berdasarkan prinsip Islam yang mahu kita jadi pemimpin adil kepada semua. Sebab itulah saya berbeza dengan pemimpin terdahulu yang memerintah 22 tahun, tapi meminggirkan Kelantan atas perbezaan politik,” kata Najib

Mohd Amar turut mengakui Kelantan bergantung kepada bantuan Kerajaan Pusat, sama seperti negeri lain.

“Pulau Pinang dan Selangor pun bergantung kepada Kerajaan Pusat, malah Selangor sendiri ada hutang dengan Kerajaan Pusat.

“Sekiranya Kerajaan Pusat tidak bantu dari segi agensi, negeri tidak boleh berjalan. Apa yang pasti, tiada negeri mampu hidup tanpa bantuan pusat,” katanya.



Source link

read more

Ada juga lelaki yang baik macam ni- Adam Sinclair cinta pandang pertama Yuna



PENYANYI Yuna akui sudah mula menyukai Adam Sinclair ketika kali pertama berjumpa dan bekerjasama dalam sebuah projek iklan televisyen pada 2013.

Malah Yuna memberitahu sikap Adam yang penyayang dan mengambil berat telah membuatkannya telah jatuh hati.

“Saya dan Adam sebenarnya banyak persamaan dari segi minat dan sebagainya. Dari situ mungkin saya selesa setiap kali bersama.

“Tapi saya ingat lagi, kali pertama kami jumpa masa projek iklan itu dia seorang lelaki yang sangat baik.

“Dia seorang yang mengambil berat dan dia akan pastikan saya ‘okay’, cukup makan serta selesa ketika penggambaran itu.

“Cara layanannya itu bagi saya dia seorang yang baik, dalam hati saya ada juga lelaki yang baik macam ni,” katanya kepada Astro Gempak.

Pasangan ini selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis pernikahan yang diadakan di Puncak Rimba, Bentong Pahang pada 26 Januari lalu.

Mempelai kemudian diraikan dalam satu majlis resepsi semalam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya PICC.

BACA: Ayah Yuna buat kejutan di majlis resepsi!

BACA: Yuna dan Adam selamat bernikah di Bentong, Pahang

Sementara itu, Adam pula memberitahu Yuna adalah satu-satunya wanita yang istimewa baginya.

“Bagi saya Yuna wanita yang istimewa kerana saya bagai tak percaya apabila dapat meluangkan masa bersama hampir 12 jam ketika penggambaran tersebut.

“Semasa penggambaran kami duduk bersama dan boleh berbual dengan selesa dan secara ‘natural’ tanpa rasa bosan.

“Dia juga mempunyai hati yang sangat baik dan itu membuatkan saya menyukai tentangnya walaupun dia adalah selebriti terkenal,” katanya
.
Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 5 Ogos tahun lalu.

Foto: Instagram Rekateemor / Hatta Dolmat
Teks oleh: Syafiqah Jalal



Source link

read more

Pihak media sebelum ini layan saya dengan baik tetapi kini… – sindir Donald Trump



DAVOS: Ucapan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2018 di Davos, Switzerland antara ucapan yang ditunggu-tunggu pemimpin dan delegasi dari seluruh dunia.

Menerusi ucapannya, Trump menekankan beberapa perkara termasuk mempromosi negaranya sebagai lokasi yang sesuai untuk menjalankan perniagaan dan pelaburan.

Namun di sebalik penyampaian ideologi menerusi ucapannya itu, Trump sempat menyindir pihak media yang dikatakan tidak berlaku adil terhadapnya.

Jelas Trump sewaktu masyarakat dunia mengenalinya sebagai ahli perniagaan yang berjaya, pihak media sering menceritakan kejayaannya tetapi situasi berubah apabila dia bergelar seorang presiden.

“Sewaktu dikenali sebagai seorang ahli perniagaan, saya selalu dilayan baik oleh pihak media sehinggalah saya menjadi seorang presiden, saya sedar betapa jahat dan kejinya pihak media terhadap saya,” katanya.

Selain itu Trump turut mempertahankan istilah America First yang dianggap sebagai mendahulukan kepentingan negara sendiri tanpa memikirkan negara-negara lain.

Katanya, sebagai seorang Presiden Amerika Syarikat, apa yang dilakukannya adalah sama dengan apa yang dilakukan oleh ketua dan pemimpin-pemimpin negara lain.



Source link

read more

Hubungan saya Diana dan anak-anak baik sahaja – Farid Kamil



Pelakon dan pengarah popular, Datuk Farid Kamil, 37 tahun, mengaku sudah bertemu anak-anaknya Muhammad, 5 tahun dan Aurora, 3 tahun.

“Alhamdulillah saya bersyukur ada isteri dan anak-anak yang tak henti mendoakan agar urusan saya dipermudahkan. Saya juga sudah bertemu anak-anak,” katanya.

Tambah Farid lagi, hubungannya dengan isteri, Datin Diana Danielle juga masih baik dan tidak mempunyai masalah.

“Saya dengan isteri dan anak-anak masih baik dan tiada masalah antara kami,” ujarnya.

Farid ketika berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada petang Khamis.

Mengenai laporan yang dibuat di Balai Polis Brickfields pada 18 Januari lalu untuk mengambil barang di rumahnya (di Damansara), Farid enggan mengulas lanjut.

“Maaf saya masih dalam prosiding mahkamah. Saya tidak boleh mengulas lanjut. Kita sambung kemudian,” katanya.

Sebelum ini timbul desas-desus mengatakan rumah tangga mereka bermasalah apabila Farid membuat laporan pada 18 Januari lalu untuk mengambil barang di rumahnya.



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons