Arsenal buat Wenger tersenyum – Bola Sepak


LONDON 22 April – Tiga gol dalam tempoh lapan minit terakhir membolehkan Arsenal membenam West Ham 4-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris yang cukup istimewa buat pengurus Gunners, Arsene Wenger hari ini.

Wenger yang bakal meninggalkan Arsenal sebaik sahaja musim ini berakhir, pada awalnya bimbang pasukannya akan menutup perlawanan dengan keputusan seri.

Selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 pada babak pertama, pemain pertahanan, Nacho Monreal meletakkan Arsenal di depan, enam minit sejurus babak kedua bersambung dengan menewaskan penjaga gol lawan, Joe Hart menerusi rembatan ke penjuru.

Begitupun, West Ham tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi Marko Arnautovic, 13 minit kemudian selepas dia menyudahkan hantaran pemain gantian, Manuel Lanzini.

Ketika perlawanan dilihat seperti akan berakhir 1-1, Aaron Ramsey menghukum kesilapan pertahanan West Ham dengan merembat bola ke penjuru kiri lawan, sebelum Alexandre Lacazette melengkapkan kemenangan tuan rumah pada minit ke-85 dan 89.

Kemenangan bagaimanapun tidak merubah kedudukan Arsenal yang kekal di tangga keenam liga dengan 57 mata, enam mata di belakang pasukan tangga kelima, Chelsea.

“Cinta dan sokongan saya kepada Arsenal akan kekal untuk selamanya. Saya menyeru semua penyokong agar teguh di belakang pasukan supaya kita boleh menamatkan kempen pada kedudukan sebaik yang mungkin,” kata Wenger sejurus tamat perlawanan. – AGENSI



Source link

read more

Chelsea ke final Piala FA – Bola Sepak


LONDON 23 April – Jaringan solo Olivier Giroud membantu Chelsea menundukkan Southampton 2-0 untuk sekali gus membolehkan The Blues menempah aksi final Piala FA menentang Manchester United.

Giroud yang berada dalam kesebelasan utama di Stadium Wembley meletakkan The Blues di hadapan sejurus babak kedua bermula selepas melakukan gerakan cantik.

Alvaro Morata yang kemudiannya dimasukkan bagi menggantikan pemain Perancis itu ketika perlawanan berbaki 10 minit, turut meletakkan namanya selaku penjaring dalam perlawanan itu.

Chelsea akan berdepan skuad kendalian Jose Mourinho dalam aksi final pada 19 Mei ini selepas mereka menang 2-1 ke atas Tottenham, semalam.

Skuad kendalian Antonio Conte mendominasi keseluruhan permainan dan Eden Hazard hampir membuka tirai jaringan pada awal permainan namun percubaan bintang Belgium itu tidak menepati sasaran.

Hazard kemudian mengetuai serangan balas beberapa minit kemudian dan menghantar bola kepada Willian namun percubaannya terkena palang selepas penjaga gol The Saints, Alex McCarthy sudah pun tertewas.

Giroud yang menampilkan aksi kurang cemerlang sejak berpindah ke Chelsea sebelum ini sudah menjaringkan dua gol ketika menentang Southampton, minggu lalu dan kini berada di tahap tebaik untuk beraksi termasuk melakukan percubaan voli pada separuh masa pertama, namun tersasar.

Pada separuh masa kedua, Giroud membuktikan kecemerlangannya dengan menjaringkan gol menerusi gerakan menarik yang berjaya menewaskan tiga pertahanan Southampton sebelum mengelirukan McCarthy untuk menjaringkan gol pertama Chelsea dalam perlawanan itu.

Skuad kendalian Mark Hughes kemudiannya meraih peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan namun tindakan Shane Long yang cuba memperdayakan penjaga gol, Willy Caballero tidak berjaya.

Pada minit ke-82, Morata menanduk masuk hantaran silang untuk sekali lagi mengatasi McCarthy bagi memastikan kejayaan The Blues.-AGENSI



Source link

read more

West Brom bangkit ikat Liverpool – Bola Sepak


LONDON 21 April – West Brom mempamer semangat luar biasa dalam perjuangan untuk kekal di Liga Perdana Inggeris apabila bangkit daripada ketinggalan 0-2 dengan mengikat Liverpool 2-2 di depan penyokong sendiri, sebentar tadi.

Liverpool kelihatan akan pulang dengan tiga mata selepas Danny Ings dan Mohamed Salah meletakkan pasukan pelawat selesa mendahului 2-0.

Jaringan Ings pada minit keempat adalah gol pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris sejak Oktober, 2015, manakala Salah meledak gol ke-31 musim ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai penjaring terbanyak.

Begitupun, West Brom yang masih segar dengan kejayaan mengejutkan Manchester United 1-0 di Old Trafford, Ahad lalu jelas enggan mengaku kalah.

Jake Livermore memberi harapan kepada mereka dengan merapatkan jurang hasil sepakan penjuru pada minit ke-79.

Ketika saingan berbaki dua minit untuk ditamatkan, Liverpool bergelut untuk mengekalkan kelebihan apabila Salomon Rondon menanduk gol penyamaan tuan rumah.

West Brom bagaimanapun masih kekal di tangga tercorot liga dengan 25 mata, tiga mata di belakang Swansea yang menjadi pasukan terakhir berada di zon selamat.

Tiga pasukan tercorot liga akan tersingkir ke Liga Kejuaraan musim depan. – AGENSI



Source link

read more

PKNS mara separuh akhir Piala FA – Bola Sepak


IPOH 21 April – PKNS mara ke separuh akhir Piala FA selepas seri 2-2 dengan Perak dalam perlawanan suku akhir kedua di Stadium Perak, di sini malam ini.

PKNS mara dengan agregat 4-3 setelah mengalahkan Perak 2-1 dalam perlawanan suku akhir pertama di Stadium Shah Alam.

Dalam pertembungan hari ini, pasukan pelawat menjaring gol pembukaan menerusi rembatan deras Rodney Celvin Akwensive dari luar kotak penalti ke-54.

K. Gurusamy mengukuhkan kelebihan gol buat PKNS pada minit ke-64 apabila tenang menyempurnakan penati setelah pemain tengah Perak, Kennypal Raj menjatuhkan Muhammad Faris Ramli di dalam kawasan penalti.

Perak bangkit merapatkan kedudukan menerusi ketua pasukan Perak, Mohammad Nasir Basharuddin apabila menjaringkan gol pada minit ke-72 selepas keadaan kelam kabut di depan gawang gol PKNS.

Mohammad Nasir menyamakan kedudukan 2-2 untuk Perak pada minit ke-81 hasil percubaan solo dari penjuru kanan gawang PKNS yang menewaskan penjaga gol, Mohd. Shahril Sa’ari. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Selangor nyaris tersingkir – Bola Sepak


KUALA LUMPUR 22 April – Selangor terpaksa berdepan detik cemas untuk menempah tiket ke separuh akhir Piala FA sebelum berjaya menewaskan Kuala Lumpur 8-7 menerusi penentuan penalti dalam aksi suku akhir kedua setelah terikat agregat 3-3 di Stadium Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Kuala Lumpur tewas 3-0 kepada Selangor dalam aksi suku akhir pertama di laman sendiri pada 7 April lalu cuba menyerap semangat Roma bagaimanapun jaringan

Zaquan Adha Abdul Razak pada minit ke-15, Paulo Dos Reis pada minit ke-45 dan Syazwan Andik Mohd. Ishak pada minit ke-54 masih belum cukup untuk menghalang Selangor.

Perlawanan tersebut terpaksa diheret ke penentuan penalti selepas tiada sebarang gol dihasilkan pada masa tambahan.

Ketangkasan penjaga gol Selangor, Mohd. Khairulazhan menyelamatkan penalti pertahanan Kuala Lumpur, Firdaus Faudzi membolehkan Red Giants mara ke separuh akhir untuk menghadapi PKNS FC pada Jun ini. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

United ke perlawanan akhir Piala FA – Bola Sepak


MANCHESTER 22 April – Manchester United berpeluang untuk menamatkan musim ini dengan sekurang- kurangnya merangkul satu trofi selepas mara ke pentas akhir Piala FA dengan menewaskan Tottenham 2-1 di Old Traffford, sebentar tadi.

United yang masih segar dengan kekalahan 0-1 kepada West Brom dalam aksi Liga Perdana Inggeris, minggu lalu ketinggalan 0-1 selepas Dele Alli membuka jaringanSpurs seawal minit ke-11 berpunca daripada hantaran lintang Christian Eriksen.

Kelebihan itu tidak tahan lama apabila Alexis Sanchez menyamakan kedudukan pada minit ke-24 setelah menanduk hantaran lintang Paul Pogba sebelum Ander Herrera meledak gol kemenangan pada minit ke-62 hasil bantuan Romelu Lukaku.

United bakal berdepan sama ada Chelsea atau Southampton yang akan berentap dalam satu lagi aksi separuh akhir hari ini. Final Piala FA bakal diadakan pada 19 Mei ini.

Kali terakhir United mendakap Piala FA adalah dua tahun lalu. – AGENSI



Source link

read more

Pahang tundukkan JDT 3-0 – Bola Sepak


JOHOR BAHRU 20 April – Pahang berjaya menundukkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan suku akhir kedua Piala FA sebentar tadi dengan keputusan 3-0.

Perlawanan yang berlangsung di gelanggang keramat Harimau Selatan, Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin itu menyaksikan pemain import Pahang, Patrick Dos Santos muncul wira dengan jaringan hatrik.

JDT bagaimanapun berpeluang mendapatkan jaringan awal seawal minit ke-6 namun percubaan Gonzalo Cabrera sedikit tersasar daripada gawang pelawat.

Pahang memanfaatkan peluang di hadapan gol apabila Dos Santos berjaya menolak bola melepasi jangkauan Farizal Marlias pada minit ke-9.

Dos Santos berjaya menggandakan jaringan pada minit ke-58 selepas menerima hantaran lintang M. Kogileswaran.

Dos Santos sekali lagi muncul wira Pahang dengan tendangan menarik melepasi jangkauan Farizal pada minit ke-76, melengkapkan hatriknya untuk skuad Tok Gajah.

Kemenangan Tok Gajah turut menyaksikan pasukan tuan rumah tewas buat kali pertama di halaman sendiri selepas dalam saingan Liga Malaysia sejak 2015. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Piala FA: PKNP ke separuh akhir – Bola Sepak


MARAN – Kapten Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC, Muhd. Shahrel Fikri Md. Fauzi muncul wira apabila membawa pasukannya melangkah ke pusingan separuh akhir Piala FA selepas meledakkan dua gol menewaskan Felda United 2-1 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka di sini malam ini.

Walaupun kedua-dua pasukan terikat 2-2 dari segi agregat.namun nasib menyebelahi PKNP FC setelah mengambil kira kelebihan gol di tempat lawan.

Pada perlawanan suku akhir pertama di gelanggang sendiri, mereka tewas 0-1.

Pelawat berjaya menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-14 menerusi Muhd. Shahrel Fikri yang menerima hantaran bola daripada Mohamad Hafiz Ramdan.

Tuan rumah bertindak balas apabila Wan Zack Haikal Wan Nor menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-25 menerusi tendangan percuma untuk Felda United kembali di depan dengan agregat 2-1.

Sorakan gumuruh penyokong tuan rumah terhenti seketika apabila Muhd. Shahrel Fikri menanduk masuk hantaran Mohamad Ezanie Mat Salleh untuk gol kedua PKNP FC pada minit ke-42 sebelum menuju ke bilik persalinan.

Menyedari pelawat memiliki kelebihan jaringan gol di tempat lawan, anak-anak buah B. Sathianathan merancakkan serangan ke kubu lawan pada separuh masa kedua dan Wan Zack Haikal hampir menjaringkan gol kedua namun tendangannya terkena palang.

PKNP FC menggandakan asakan di penghujung babak kedua namun gagal menambah jaringan dan mereka layak ke separuh akhir untuk berdepan Pahang yang menewaskan Johor Darul Takzim 3-0. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Wenger akan tinggalkan Arsenal hujung musim ini – Bola Sepak


LONDON 20 April – Arsene Wenger akan meninggalkan Arsenal hujung musim ini, sekali gus menamatkan khidmatnya selama 22 tahun dengan kelab London itu.

Arsenal membuat pengumuman mengejutkan itu awal pagi ini selepas Wenger memaklumkan kepada skuad tentang keputusannya ketika latihan sebelum mengharungi perlawanan menentang West Ham di laman sendiri Ahad ini.

Wenger menandatangani kontrak baharu selama dua tahun pada musim panas lalu walaupun pada masa sama ada spekulasi mengatakan dia akan meninggalkan kelab itu lebih awal.

“Selepas melakukan pertimbangan dengan teliti dan selepas perbincangan dengan kelab, saya rasa masa yang terbaik untuk saya melepaskan jawatan ini adalah pada penghujung musim.

“Saya menguruskan kelab ini dengan penuh komitmen dan integriti. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada kakitangan kelab, pemain, para pengarah dan para peminat yang menjadikan kelab ini istimewa,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman web Arsenal.



Source link

read more