Putus cinta punca pelajar mati ditikam



KENT: Putus cinta dikatakan menjadi punca seorang pelajar jurusan sukan maut ditikam oleh bekas kekasihnya sehingga menembusi tekak dan kepala mangsa.

Molly McLaren, 23 tahun, dilaporkan telah memutuskan hubungan cintanya dengan Stimpson, 26 tahun, yang dikenalinya menerusi sebuah laman web temu janji iaitu Thinder.

Kecewa dengan tindakan itu, suspek telah membunuh mangsa dua minggu selepas itu.

Rakaman kamera litar tertutup CCTV menunjukkan Stimpson membeli pisau berjenama Sabatier yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa Jun lalu.

Sebelum pembunuhan itu berlaku, suspek pernah memuat naik status yang tidak jelas dengan menuduh McLaren mengambil dadah seperti yang dilaporkan dalam portal Dailymail.

Pelbagai kecaman terus diterima sehingga memaksa mangsa membuat aduan kepada pihak polis pada 22 Jun tahun lalu.

Dalam sesi perbicaraan tersebut, pendakwa raya mengatakan Stimpson ‘memerhatikan’ mangsa di media sosial bertujuan menjejak lokasinya dan mengekorinya.

Mangsa sempat mengirim mesej kepada salah seorang saudaranya yang berbunyi “Saya takut memikirkan apa yang bakal dia lakukan. Saya khuatir dia akan menyakiti saya. Saya tak tahu betapa berbahayanya dia.”

Stimpson akhirnya berjaya menjejaki McLaren di Dockside dekat kampung di Chatnam, Kent. Suspek dilaporkan membuka dan menarik pintu kereta sebelum menyerang mangsa.

Menurut saksi, Benjamin Morton, dia cuba untuk menyelamatkan mangsa dengan menarik Stimpson namun suspek berjaya masuk ke dalam kereta dan meneruskan serangan

“Dia seperti sudah gila dan terus melakukan serangan lagi dan lagi.”

Sebelum kejadian tersebut, McLaren yang juga bekerja sebagai pelayan bar dikatakan baru pulang daripada bersenam.

CCTV berjaya merakamkan Stimpson menemui mangsa di ruangan penyambut tetamu gim.

Mangsa dilaporkan sempat menghantar pesanan mesej kepada kawan-kawan dan ibunya sebelum ditemui mati lapan minit kemudian.

Stimpson telah ditangkap di tempat pembunuhan dengan tangan yang berlumuran darah namun tidak membantah dan menyerah diri kepada pihak polis.

Suspek mengaku bersalah atas pembunuhan itu namun memberi alasan perbuatan itu dilakukan kerana terdapat gangguan pada mentalnya.

Pakar psikiatri akan dipanggil untuk mengesahkan sama ada tertuduh benar-benar berada dalam keadaan yang dimaksudkan ketika insiden itu berlaku.

McLaren dan Stimpson pernah menjalin hubungan cinta mulai November 2016 sebelum berpisah empat bulan kemudian.



Source link

read more

Kanak-kanak lapan tahun mati ditikam teman lelaki ibu ditahan



WEST MIDLANDS: Seorang kanak-kanak lapan tahun mati ditikam dalam kejadian di sebuah rumah di Brownhills berdekatan Walsall, di sini pada sabtu malam (waktu tempatan).

Mangsa yang dikenali Mylee Billingham meninggal dunia di hospital selepas mengalami kecederaan parah akibat tikaman itu.

Susulan kejadian itu seorang lelaki berusia 54 tahun yang dimasukkan ke hospital dengan kecederaan pada bahagian perut ditahan bagi membantu siasatan.

Menurut laporan portal berita Skynews, polis menerima panggilan kecemasan pada jam 9.15 malam (waktu tempatan) dan menemui Mylee yang cedera serius dengan kesan tikaman

Pegawai penyiasat unit homisid West Midlands, Inspektor Jim Colclough berkata, bedah siasat akan dilakukan hari ini bagi mencari punca kematian Mylee.

“Kami masih di peringkat awal siasatan dan cuba memahami bagaimana perkara ini berlaku dan puncanya. Tetapi, dapat disahkan polis tidak mencari suspek lain bagi membantu siasatan kes ini,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu menurut laporan beberapa portal berita United Kingdom, ibu kanak-kanak berkenaan memaklumkan Mylee ditikam oleh teman lelakinya (suspek).

Jiran suspek turut mendedahkan suspek lelaki itu tinggal sendirian di rumah berkenaan sejak enam bulan lalu dan tidak pernah melihat kelibat ibu serta anak mangsa.



Source link

read more

Bapa saudara kanak-kanak mati ditikam pernah jadi bodyguard anak Brangelina



WEST MIDLANDS: Bapa saudara kanak-kanak lapan tahun yang mati ditikam di United Kingdom pada Sabtu, pernah berkhidmat sebagai pengawal peribadi kepada anak-anak pasangan pelakon Angelina Jolie dan Brad Pitt.

Mark Billingham yang merupakan bekas anggota Tentera Udara Perkhidmatan Khas (SAS) Britain berkhidmat untuk keluarga Pitt dan Jolie  selama 18 bulan.

Menurut laporan Mirror, beliau pernah mendakwa sebagai ‘bapa’ kepada Maddox, Pax, Zahara, Shiloh, Knox dan Vivienne,

“Saya amat rapat dengan mereka. Saya bawa mereka bersiar-siar, menemani mereka bermain dan mengajar mereka berenang.

“Ada masanya, saya rasa seperti sayalah bapa mereka, bukan Pitt,” katanya dalam satu temuramah ketika menyertai program realiti SAS Who Dares Wins.

Susulan kematian anak saudaranya yang ditemui dalam keadaan berlumuran darah akibat ditikam, Mark memberitahu keluarganya tidak akan membuat sebarang kenyataan.

“Tolong hormati keluarga kami yang masih bersedih ketika ini,” katanya

Dalam kejadian pada Sabtu, Mylee ditemui dengan kesan tikaman pada jam 9.15 malam (waktu tempatan).

Dia dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia.

Laporan beberapa portal berita United Kingdom, ibu kanak-kanak berkenaan memaklumkan Mylee ditikam oleh pasangannya, Bill Billingham.



Source link

read more

Didakwa ada kekasih gelap bapa mati ditikam anak


JOHOR BAHRU: Seorang lelaki mati dipercayai ditikam anak remajanya yang dikatakan mendapat tahu bapa kandungnya mempunyai wanita simpanan dalam kejadian di sebuah rumah teres dua tingkat di Skudai, kira-kira 15km dari sini, hari ini.

Mangsa, seorang penganggur berusia 45 tahun, ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan kecederaan akibat tikaman di dada kiri di ruang tamu kediamannya pada kira-kira pukul 11 pagi.

Susulan kejadian itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Noor Hashim Mohamad berkata polis menahan anak lelaki mangsa berusia 17 tahun, isteri mangsa berusia 40 tahun dan rakan anak mereka di sekitar taman perumahan itu.

Beliau berkata polis sedang memburu seorang lagi rakan anak lelaki mangsa bagi membantu siasatan.

“Motif kejadian dipercayai akibat isteri yang cemburu kerana mangsa dikatakan mempunyai wanita simpanan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Noor Hashim berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam.

Menurutnya, siasatan awal, terdapat titisan darah dari bilik utama hingga tempat mangsa ditemukan.

“Mangsa dipercayai tidur di bilik utama dan terdapat kesan pergelutan di bilik utama di mana rak baju terjatuh dan katil berselerak selain tiada barang yang hilang dan tidak ada kesan pecah rumah,” katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk bedah siasat.

— BERNAMA



Source link

read more

Gara-gara cemburu lelaki maut ditikam


GERIK: Gara-gara cemburu seorang lelaki mati dibunuh seseorang yang dipercayai kenalannya di Kampung Lalang, di sini, awal pagi Selasa.

Siasatan awal polis mendapati, lelaki berusia 28 tahun itu maut selepas ditikam dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi.

“Selepas insiden itu, orang awam membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Kampung Lalang untuk menerima rawatan dan disahkan meninggal dunia di sana.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis percaya punca lelaki itu dibunuh bermotifkan perasaan cemburu,” kata Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Ismail Che Isa yang mengesahkan kejadian tersebut ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa. 

Polis berjaya mengesan suspek dan kini sedang giat melakukan usaha memburu lelaki tersebut.

“Maklumat awal kita terima, mangsa tidak mempunyai pekerjaan dan kita sudah kerahkan anggota untuk memburu suspek.

“Buat masa ini, butiran lain dalam kes ini tidak boleh didedahkan, namun semuanya dalam siasatan dan kita tumpukan untuk memberkas suspek.”



Source link

read more

Lelaki maut ditikam jiran – Jenayah


TANJUNG MALIM 8 Jan. – Seorang lelaki maut akibat ditikam dengan pisau oleh jirannya dalam pergaduhan di hadapan sebuah rumah di Taman Slim Permai, Slim River dekat sini hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi menyebabkan mangsa, Roslli Zulkharnain Kamaruddin, 30, meninggal dunia di Hospital Slim River.

Manakala suspek yang berusia 47 tahun parah dan tidak sedarkan diri akibat cedera di bahagian belakang kepala.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 3.36 pagi mengenai dua lelaki yang ditikam dan ditetak di rumah berkenaan.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati pergaduhan itu disebabkan masalah keluarga.

“Polis turut menahan dua beradik kepada mangsa iaitu seorang wanita berusia 35 tahun dan seorang lelaki berumur 38 tahun untuk membantu siasatan.

“Polis juga telah merampas dua telefon bimbit dan sebilah pisau,” katanya di sini hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Warga Jepun maut ditikam dalam serangan rambang di Ireland



DUBLIN: Seorang lelaki Jepun maut selepas ditikam manakala dua yang lain cedera dalam serangan berasingan di beberapa batang jalan di bandar Dundalk, Republik Ireland, pada Rabu.

Polis yang menyiasat insiden tersebut tidak menolak kemungkinan terdapat unsur keganasan dalam insiden itu.

Setakat ini, pihak berkuasa berkata, seorang warga Mesir berusia 18 tahun telah ditangkap dan ditahan di Balai Polis Dundalk.

Suspek bagaimanapun belum dikenalpasti atau dituduh.

Polis tidak mendedahkan nama mangsa yang maut itu namun mengatakan mangsa seorang lelaki Jepun berusia 24 tahun yang tinggal di Ireland sejak setahun lalu.

Mangsa diserang dan ditikam di sebatang jalan di Dundalk dan mati di tempat kejadian.

Laporan media mengatakan beberapa lagi siri insiden yang sama turut berlaku di beberapa batang jalan berhampiran lokasi warga Jepun itu dibunuh.

Ketua Superintendan Christy Mangan berkata pihak polis menerima panggilan kecemasan dari tiga lokasi berasingan di kawasan Dundalk dan polis berjaya menangkap suspek sejurus selepas itu.

Beliau menambah bahawa serangan pertama dilaporkan pada pukul 9 pagi waktu tempatan dan serangan itu berlaku sekitar 40 minit.

Siasatan awal mendapati suspek memilih mangsa secara rawak dan motif sebenar masih disiasat.



Source link

read more

Anggota polis maut ditikam di Oman – Luar Negara


MUSCAT 31 Dis. – Seorang anggota polis ditikam sehingga mati dalam satu serangan yang disifatkan luar biasa, di sini semalam.

Menurut sumber polis, penyerang menikam mangsa di sebuah pusat beli-belah dan didakwa mempunyai masalah mental.

“Mangsa pergi ke pusat beli-belah tersebut selepas mendapat aduan mengenai kehadiran seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah restoran makanan segera.

“Sebaik mangsa tiba di sana, suspek terus mengeluarkan pisau dan menikam mangsa sehingga mati,” jelas sumber tersebut.

Kadar jenayah di Oman adalah sangat rendah berbanding negara Arab yang lain. – AFP



Source link

read more

Tekong Thailand parah ditikam awak-awak – Jenayah


KUALA TERENGGANU 29 Dis. – Seorang tekong warga Thailand cedera parah akibat ditikam awak-awak yang mengamuk di atas bot dalam kejadian berhampiran Pulau Tenggol, Dungun, petang semalam.

Selepas menikam mangsa, suspek berusia 24 tahun yang juga rakan senegara bergegas melarikan diri dengan terjun dari kapal menggunakan pelampung dan berenang menuju Pulau Tenggol.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa yang parah dengan kesan tikaman di perut selain dikelar di beberapa anggota badan dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Afzan, Kuantan untuk rawatan.

Beliau memberitahu, hasil siasatan awal polis mendapati suspek tiba-tiba mengamuk dengan bertindak mencederakan tekong menggunakan pisau serta merosakkan peralatan menangkap ikan.

Menurutnya, berdasarkan aduan pemilik bot, terdapat empat awak-awak dan seorang tekong yang kesemuanya warganegara Thailand berada di atas bot pukat tunda kelas C itu dan mereka tidak fasih berbahasa Malaysia.

“Kita dapati tekong bot itu telah bekerja selama lebih 10 tahun dan empat awak-awak bekerja bersama tekong tersebut,” katanya, hari ini.

Menurut Fazlisyam, tiga awak-awak yang berada di atas kapal ketika kejadian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.

Tambah beliau, pihaknya sedang giat mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian itu. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Warga asing dua beradik ditikam seorang maut



IPOH: Mayat seorang warga Myanmar ditemui dengan tiga kesan tikaman dekat Jalan Hoover, Pasir Pinji dekat sini sekitar jam 1 pagi Khamis.

Mangsa, yang berumur dalam lingkungan 30-an ditemui maut terlentang di atas jalan raya dipercayai selepas terlibat dalam sebuah pergaduhan sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Thamby berkata insiden itu melibatkan dua beradik warga Myanmar yang bekerja di sebuah kilang.

Menurutnya, maklumat awal diterima oleh anggota Ronda Cegah Jenayah (RCJ) yang bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya anggota di tempat dimaksudkan, didapati seorang lelaki terbaring di situ.. dengan kesan tikaman di bahagian pinggang, rusuk kanan dan dada.

“Dalam jarak satu kilometer, pihak polis juga telah menemui seorang lagi lelaki yang ditikam di lengan kanan dan telah dihantar ke hospital dengan menggunakan ambulans.

“Mangsa yang maut adalah abang dan mangsa yang mengalami kecederaan dan kini stabil adalah si adik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Jelas Mohd Ali, pihaknya turut menemui sebuah motosikal dan tompokan darah selain sarung dipercayai pembalut pisau yang digunakan sebagai senjata dalam kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, pihaknya tidak menemui sebarang senjata di lokasi berhampiran dan berharap adik mangsa akan dapat membantu siasatan sebaik sahaja pulih sepenuhnya dari rawatan.

“Kita menolak kemungkinan awal samun atau ragut kerana barangan peribadi seperti telefon bimbit serta dokumen pengenalan diri ditemui di badan mangsa.

“Kami juga meminta bantuan saksi awal yang melihat atau mendengar kejadian untuk tampil ke mana-mana balai berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya lagi.

Mohd Ali berkata ini merupakan kejadian bunuh secara kejam di sekitar Pasir Pinji dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons