[VIDEO] Akhbar tempatan bergabung bentuk platform pengiklanan digital – Ekonomi


KUALA LUMPUR 23 Nov. – Sebanyak 11 akhbar utama Malaysia bergabung membentuk platform pengiklanan digital dikenali sebagai Malaysia Premium Publishers Marketplace (MPPM) bagi melindungi kepentingan pengiklan dan memastikan ketelusan di samping memberi jaminan keselamatan, .

Gabungan itu membabitkan Utusan Malaysia, Kosmo, New Straits Times, The Star, Berita Harian, Harian Metro, Sin Chew Daily, China Press, Nanyang Daily, The Edge dan Guang Ming Daily.

Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times, Datuk Abdul Jalil Hamid berkata, penggabungan itu juga bagi memenuhi keperluan pasaran iklan digital ketika ini dengan menyediakan penyelesaian lebih baik dan memudahkan proses pembelian iklan secara dalam talian atau iklan digital di negara ini.

“MPPM menyediakan lebih banyak inventori iklan premium yang tidak boleh didapati di pasaran terbuka. Dengan ramai pengamal media di belakang MPPM kami menyasarkan untuk menyediakan format iklan yang lebih kreatif dengan capaian audien yang lebih luas,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persedahaman (MoU) antara syarikat-syarikat penerbit 11 akhbar utama tersebut di sini hari ini.

Abdul Jalil yang juga Pengerusi Persatuan Penerbit Akhbar Malaysia berkata, pengiklanan digital direka untuk mengautomasikan bagaimana dan di mana iklan diletakkan dalam talian. dan menjanjikan jangkauan luar biasa.

“Sudah tiba masanya syarikat media mencari penyelesaian yang lebih baik untuk memudahkan dan memperbaiki proses pembelian iklan dan mengetahui keperluan pasaran.

“MPPM menawarkan penyiaran iklan yang lebih telus dan memenuhi kehendak sasaran pengiklan,” katanya.

Melalui kerjasama ini katanya, para pengiklan akan dapat memilih platform pilihan untuk mereka mengiklankan perkhidmatan atau produk yang mana ini akan memastikan iklan mereka itu tidak berakhir di laman web yang tidak sepatutnya.

“Tidak dinafikan bahawa pasaran pengiklanan digital global banyak dibayangi oleh konglomerat digital gergasi seperti Facebook dan Google, tetapi satu perkara yang pasti, penubuhan MPPM akan memastikan keselamatan, ketelusan dan keselamatan jenama yang lebih baik kepada pemasar kerana kita ada kawalan yang lebih baik terhadap kandungan,“ kata Jalil.

Penerbitan dipilih menyertai gabungan pada fasa pertama ini berdasarkan capaian dalam talian mereka serta kandungan berkualitia, namun MPPM merancang untuk mendapatkan lebih banyak penerbit dalam talian tempatan untuk menyertai projek ini pada masa akan datang.

Dalam memastikan ketelusan dan standard operasi etika MPPM yang lebih baik, sebuah syarikat pihak ketiga akan menguruskan inventori iklan untuk memudahkan dan memastikan penghantaran inventori iklan dalam talian yang berkualiti kepada pengiklan.

MPPM dijangka beroperasi pada pertengahan Februari tahun depan sebelum sambutan Tahun Baru China.

Di majlis tersebut, Utusan Malaysia telah diwalili oleh Pengarah Eksekutif Utusan Media Sales Sdn. Bhd., Mohd. Yazid Ahmad. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Benarkah Amerika Syarikat mampu stabilkan ekonomi Asia



AUSTRALIA menggesa Amerika Syarikat agar membina jalinan lebih kuat di Asia bagi mengekang pengaruh China di rantau itu.

Demikian menurut laporan dasar luar negara baharu Australia yang dikeluarkan pada Khamis.

Laporan itu menyatakan, Australia percaya bahawa cabaran antarabangsa hanya dapat ditangani dengan berkesan jika wujud campur tangan negara kuasa dunia dan terkaya seperti Amerika Syarikat.

Keputusan Amerika Syarikat menarik diri dari Perjanjian Perdagangan Trans Pasifik (TPPA) dilihat memberi kesan langsung kepada ekonomi rantau itu dan memberi peluang lebih luas kepada ekonomi China untuk berkembang.

Bagi Australia, penglibatan berterusan Amerika Syarikat dapat menjamin kestabilan dan kemakmuran di rantau itu.

Australia merupakan salah satu daripada sekutu Amerika Syarikat yang paling kuat dan sering menjalin kerjasama erat dalam konflik global.

Walaupun Australia dan China mempunyai hubungan ekonomi yang rapat, China didakwa mencurigai hubungan ketenteraan Australia dengan Amerika Syarikat.

Hubungan antara Australia dan China juga dilihat melemah tahun ini selepas Australia menolak pelaburan berprofil tinggi oleh China

Selari hasrat Australia itu, Amerika Syarikat dan beberapa sekutunya baru-baru ini telah membincangkan visi terbaru iaitu tidak lagi menggunakan perkataan Asia pasifik sebaliknya menggunakan ‘Indo-Pasifik’ dan ia bertujuan untuk melemahkan pengaruh China di rantau itu.



Source link

read more

Ekonomi Singapura berkembang 5.2 peratus pada Q3 2017



SINGAPURA: Ekonomi Singapura meningkat 5.2 peratus pada asas tahun ke tahun pada suku ketiga, lebih cepat berbanding pertumbuhan 2.9 peratus pada suku sebelumnya.

Dalam satu kenyataan di sini, Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) republik itu berkata ekonomi Singapura dijangka berkembang 3.0 hingga 3.5 peratus pada 2017 dan 1.5 hingga 3.5 peratus pada 2018.

Pada suku itu, MTI berkata sektor perkilangan meningkat 18.4 peratus, lebih cepat berbanding pertumbuhan 8.4 peratus pada suku sebelumnya.

Semua kelompok dalam sektor perkilangan berkembang, kecuali kluster kejuruteraan pengangkutan, yang terus mencatatkan penurunan keluaran disebabkan kelemahan berterusan dalam segmen kejuruteraan marin dan luar pesisir, katanya.

Sektor pembinaan menguncup 7.6 peratus tahun ke tahun, meneruskan penurunan 9.1 peratus pada suku sebelumnya, disebabkan oleh aktiviti pembinaanyang lemah dalam sektor swasta dan awam.

Sektor perdagangan borong dan runcit meningkat 2.2 peratus berbanding pertumbuhan 2.1 peratus pada suku kedua, manakala sektor pengangkutan dan penyimpanan meningkat pada kadar 4.6 peratus berbanding peningkatan 3.4 peratus pada suku kedua.

Sektor penginapan dan perkhidmatan makanan menyusut 2.1 peratus, meneruskan penurunan 2.0 peratus pada suku sebelumnya, dengan pertumbuhan dalam sektor maklumat dan komunikasi mencatat peningkatan 4.9 peratus berbanding 1.5 peratus pada suku sebelumnya.

Sektor kewangan dan insurans pula meningkat 5.9 peratus berbanding pertumbuhan 4.2 peratus pada suku kedua, manakala sektor perkhidmatan perniagaan mencatatkan pertumbuhan 1.4 peratus, menyamai peningkatan 1.3 peratus pada suku kedua.

Industri perkhidmatan yang lain berkembang 2.0 peratus, menyederhana daripada pertumbuhan 3.2 peratus pada suku sebelumnya.

Pertumbuhan, sebahagian besarnya disokong oleh segmen pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan sosial serta seni, hiburan dan rekreasi.

Bagi sepanjang tahun ini, MTI berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Singapura dijangka sederhana, namun kekal teguh.

Secara khususnya, sektor berorientasikan luaran dijangka terus berkembang, walaupun pada kadar yang lebih sederhana, dan menyokong pertumbuhan untuk sepanjang tahun ini, katanya.

Sektor berorientasi domestik seperti kesihatan, pendidikan dan perkhidmatan sosial, juga dijangkakan kekal berdaya tahan.

Bagi 2018, MTI berkata kadar pertumbuhan ekonomi Singapura dijangka sederhana berbanding 2017, namun kekal teguh.

Sektor perkilangan dijangka terus berkembang dan memberi sokongan kepada pertumbuhan KDNK secara keseluruhannya.

Secara khususnya, kluster kejuruteraan elektronik dan ketepatan dijangka menyaksikan pengembangan mampan hasil daripada kedudukan permintaan yang sihat dalam pasaran peralatan semikonduktor dan semikonduktor dunia, walaupun kadar pengembangannya mungkin berkurangan pada 2018 ekoran kesan asas yang kurang baik, katanya.

— BERNAMA



Source link

read more

Kelajuan Internet penting dalam memacu ekonomi digital



KUCHING: Kesalinghubungan atau connectivity adalah penting dalam usaha Sarawak untuk memacu bidang ekonomi digital.

Perkara itu termasuk penyediaan kemudahan dan infrastruktur terkini seperti tahap kepantasan internet yang tinggi serta menara telekomunikasi di lokasi sesuai.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Tun Openg berkata Kerajaan Sarawak sudah memperuntukkan dana bagi tujuan tersebut.

“Ini adalah sasaran kami untuk menghubungkan rakyat yang berada di negeri tercinta ini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Datuk Awang Tengah Hassan dan Pengerusi Yayasan WIEF Tun Musa Hitam.

Apabila ditanya tentang bagaimana Sarawak bercadang untuk meningkatkan kerjasama serantau dalam bidang Ekonomi Digital, Abang Johari menjawab hubungan kerjasama itu sudah sedia terjalin.

“Sebagai contoh hubungan dengan Kalimantan Barat, yang mana kami (Sarawak) sudah mengeksport tenaga hidroelektrik kepada mereka.

“Saya percaya model kerjasama seperti ini boleh diperluas ke serata rantau Asean dan seterusnya mengukuhkan Ekonomi Digital yang ingin dipelopori,” kata beliau.



Source link

read more

Ekonomi Malaysia berkembang 6.2 peratus suku ketiga – Nasional


KUALA LUMPUR 17 Nov. – Malaysia mencatat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 6.2 peratus pada suku ketiga 2017, prestasi terbaik sejak suku kedua 2014.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata pertumbuhan ekonomi negara terus dipacu oleh permintaan dalam negeri, terutama perbelanjaan sektor swasta.

Katanya, dari segi penawaran, kesemua sektor ekonomi mencatat pertumbuhan yang menyeluruh manakala inflasi keseluruhan menurun kepada 3.8 peratus disebabkan inflasi pengangkutan yang lebih rendah.

“Berdasarkan petunjuk yang positif, ekonomi Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan lebih tinggi pada tahun ini seperti diunjurkan sekitar 5.2 hingga 5.7 peratus,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Visi Abang Johari laksana ekonomi digital dipuji



KUCHING: Visi dan inisiatif Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk melaksanakan ekonomi digital dan teknologi dengan mencontohi kejayaan inisiatif e-kerajaan Estonia, dipuji.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Jefferson Jamit Unyat berkata teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kini menguasai dunia dan usaha untuk menjadikan Sarawak setara dengan negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Eropah dalam bidang itu jelas merupakan visi yang praktikal dan bijak.

“Menjadi kompeten dalam ekonomi digital pasti akan memberi manfaat kepada negeri dan rakyat pada masa depan,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

Jamit juga berkata Bajet Sarawak 2018 mencerminkan komitmen ketua menteri dan kerajaan negeri untuk meningkatkan taraf hidup rakyat terutama di luar bandar menerusi pelaksanaan pelbagai program dan projek yang sekaligus bakal meningkatkan ekonomi rakyat.

Katanya, bajet itu juga menyokong visi kerajaan negeri untuk memaksimumkan potensi teknologi digital apabila memperuntukkan RM1 bilion bagi infrastruktur dan program digital di bawah inisiatif Ekonomi Digital Sarawak untuk merealisasikan harapan ketua menteri bahawa satu hari nanti Sarawak akan dikenali sebagai s-Sarawak atau Smart Sarawak.

Jamit turut menyambut baik usaha kerajaan negeri untuk membantu pekebun kecil dan petani menerusi peruntukan RM223 juta bagi pelaksanaan pelbagai projek dalam Bajet 2018.

Beliau turut menyambut baik langkah kerajaan persekutuan memperuntukkan RM1 juta untuk kerja menaik taraf dan membaik pulih sekolah daif di negeri ini termasuk di kawasan diwakilinya.

Terdahulu, pada sesi soal jawab, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan negeri Tan Sri Dr James Jemut Masing semasa menjawab soalan Chiew Chiu Sing (DAP- Tanjong Batu) berkata kemajuan keseluruhan projek Lebuhraya Pan Borneo berjalan lancar dan dijangka siap pada 30 Jun 2021 seperti dijadualkan.

— BERNAMA



Source link

read more

Inisiatif OBOR kukuh dari segi ekonomi – Nasional


HONG KONG 13 Nov. – Kesinambungan dan jaringan antara benua yang digerakkan melalui dasar One Belt, One Road atau OBOR oleh China secara logik ekonominya dilihat kukuh dan meluas terutama ketika globalisasi menampakkan ‘pengunduran’ disebabkan kemunculan dasar perlindungan dan ekonomi bersandarkan kepentingan nasionalisme di Barat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemulihan ekonomi global yang perlahan dan goyah susulan krisis 2008 dan prospek yang berkurangan memberi makna dunia memerlukan dorongan baharu untuk berkembang.

“Untuk itu, OBOR atau juga Belt and Road Initiative (BRI) adalah salah satu dorongan tersebut. Tiada keraguan inisiatif itu dialu-alukan oleh kebanyakan negara dalam skop geografinya termasuk ASEAN.

“Bagi ASEAN, inisiatif ini boleh menjadi sumber pembiayaan yang penting bagi kerajaan di rantau ini untuk membangunkan infrastruktur mereka,” katanya dalam ucaptama Sidang Kemuncak Ekonomi China Sedunia (WCES) 2017, di sini malam ini.

Yang turut hadir, Naib Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Persidangan Perundingan Politik Republik Rakyat China (CPPCC), C.Y. Leung.

Ahmad Zahid memberitahu, menurut laporan Bank Pembangunan Asia (ADB), negara-negara ASEAN memerlukan kira-kira AS$2.76 trilion (RM11.6 trilion) atau bersamaan lima peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) mereka untuk pelaburan infrastruktur antara 2016 dan 2030.

Jelas beliau, akses kepada pelaburan China melalui OBOR atau BRI dinilai oleh negara-negara Asia Tenggara terutama apabila pembiayaan melalui pelabur swasta dan institusi kewangan antarabangsa masih terhad dan tidak dapat memenuhi permintaan rantau itu.

Malah menurutnya, infrastruktur yang lemah menjadi penghalang kepada pertumbuhan ekonomi ASEAN, dan projek infrastruktur baharu yang digerakkan oleh BRI mampu melonjakkan prestasi ekonomi mereka.

“Di peringkat serantau, pelaburan China ke dalam pembangunan infrastruktur amat bermakna kepada pembangunan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) memandangkan peningkatan jaringan infrastruktur adalah komponen penting dalam AEC.

“Infrastruktur yang lebih baik termasuk lebuh raya, lapangan terbang, pelabuhan dan sistem kereta api juga akan memudahkan perdagangan serta industri pelancongan sesama ASEAN,” jelasnya.

Beliau menambah, BRI akan membantu ASEAN untuk merealisasikan pelan induknya mengenai jaringan ASEAN, terutama dalam bidang perhubungan pengangkutan.

Katanya, penglibatan China dalam pembinaan pelabuhan baharu di negara-negara ASEAN dan dalam projek tren akan mempercepatkan hubungan tersebut. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Sidang kemuncak APEC berakhir dengan keyakinan tinggi ke atas ekonomi dunia



DA NANG (VIETNAM): Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-25 (AELM) berakhir dengan para pemimpin menaruh keyakinan tinggi terhadap pemulihan ekonomi dunia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata sentimen itu disokong oleh pembentangan oleh Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde, yang menyatakan pemulihan ekonomi dunia adalah lebih baik daripada yang diunjurkan.

“Ini berita gembira kepada APEC. Menerusi pemulihan ekonomi, kita dapat meningkatkan kerjasama, memudahkan perdagangan dan integrasi serantau,” kata Najib kepada media Malaysia di sini pada penghujung sidang kemuncak Pimpinan APEC selama dua hari.

Lagarde berkata ekonomi dunia berkembang 3.2 peratus tahun lepas.

Ekonomi dunia dijangkakan berkembang 3.6 peratus tahun ini dan 3.7 peratus pada 2018.

“Beliau memberikan analogi mengenai pemulihan ekonomi global yang lebih kukuh. Beliau berkata ‘kini matahari sudah menyinar, sudah tiba masanya untuk membaiki bumbung,” kata Najib, sambil menambah bahawa negara wajar memanfaatkan unjuran prospek ekonomi yang mengukuh ini untuk membuat persediaan menghadapi musim hujan, serta bagi mengukuhkan ekonomi.

“Sekiranya negara anda mengalami defisit, kurangkan defisit. Sekiranya anda perlu membuat pembaharuan, buatlah pembaharuan. Sekiranya negara mempunyai hutang yang tinggi, kurangkan hutang, supaya anda mempunyai lebih banyak ruang fiskal jika ekonomi kembali merosot,” katanya.

Najib berkata APEC telah mencapai kejayaan besar dan sejak penubuhannya, ekonomi APEC berusaha keras mengurangkan halangan perdagangan dan pelaburan.

Hasilnya, APEC yang merangkumi kira-kira 40 peratus daripada penduduk dunia, menyumbang kira-kira 60.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dunia, 51 peratus perdagangan global dan 53. 1 peratus daripada Pelaburan Langsung Asing global FDI).

Jumlah dagangan barangan dan perkhidmatan APEC juga meningkat lima kali ganda sejak penubuhannya pada 1989 kepada US$15.9 trilion pada 2016, dan perdagangan barangan antara negara anggota APEC meningkat lebih daripada sembilan kali ganda kepada US$15.5 trilion pada 2014.

Najib berkata pada sidang kemuncak itu, para pemimpin juga menyedari pentingnya ekonomi Internet dan digital sebagai pemacu utama ekonomi global, dan APEC mesti berada di barisan hadapan.

“Malaysia mencadangkan penubuhan kumpulan pemandu sementara mengenai Internet dan ekonomi digital. Mesyuarat itu juga menyedari sumbangan Malaysia dalam bentuk pelan ekonomi digital APEC,” kata Najib sambil menambah bahawa Malaysia juga menyokong cadangan Vietnam untuk menubuhkan kumpulan kerja bagi mencadangkan visi pasca 2020 untuk APEC.

“Ini sangat menarik, memberi inspirasi dan dapat dicapai kerana Malaysia akan menjadi pengerusi APEC pada 2020, katanya.

Najib berkata beliau juga menyebut mengenai Zon Perdagangan Bebas Digital yang menarik pertanian kalangan pemimpin APEC.

“Saya juga membangkitkan kebimbangan mengenai pembangunan modal insan dan perlunya kurikulum sekolah dirombak bagi memastikan kita dapat menghasilkan pekerja yang sesuai untuk industri 4.0 dan pekerjaan yang belum wujud,” katanya.

Najib berkata para pemimpin juga komited untuk mencapai Matlamat Bogor bagi merealisasikan perdagangan dan pelaburan bebas dan terbuka di rantau ini.

“Kami bersetuju untuk mempercepat usaha udalam menangani halangan yang tidak konsisten WTO ke atas perdagangan dan pelaburan dan mengambil tindakan konkrit untuk menjayakan Matlamat Bogor menjelang 2020.

“Kami juga menyedari pentingnya rangka perdagangan dan pelaburan yang bukan diskriminasi, timbal balik dan saling menguntungkan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), yang kini dikenali sebagai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Najib berkata kemajuan yang dicapai bermakna wujud komitmen moral antara 11 negara terlibat.

“Selepas ini, akan ada program kerja yang perlu dilaksanakan, dan Malaysia, sudah pasti akan terus mengekalkan kita perlu menangani dasar sosial yang sensitif seperti keutamaan Bumiputera dan langkah-langkah untuk kesihatan awam.

“Kita tidak akan mengorbankan agenda domestik yang penting dalam persetujuan untuk menerima pakai TPP,” kata Najib.

Negara anggota perjanjian perdagangan itu mencapai kesepakatan untuk meneruskan siri rundingan di Da Nang yang menyaksikan kegagalan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau hadir semasa pertemuan pemimpin TPP, yang hampir menggagalkan usaha untuk menghidupkan semula perjanjian itu.

— BERNAMA



Source link

read more

FGV tawar VSS kepada pengurusan kanan – Ekonomi


KUALA LUMPUR 3 Nov. – Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) menawarkan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) kepada semua pengurus besar dan ke atas sebagai sebahagian daripada usaha mengoptimumkan tenaga kerja.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad berkata, secara keseluruhan, kumpulan menjangkakan 15 peratus daripada 236 kakitangan pengurusan kanannya akan menerima tawaran VSS tersebut.


Katanya, inisiatif itu adalah selari dengan usaha kumpulan untuk menyampaikan prestasi mapan dalam menghadapi industri yang mencabar serta meningkatkan prestasi operasi dan kewangan per­niagaan teras FGV.


“Inisiatif ini perlu bermula daripada bahagian teratas dan ia merupakan isyarat bahawa kita berusaha dengan membuat keputusan yang sukar untuk meningkatkan keyakinan pemegang saham dan kepenti­ngan syarikat.


“Kumpulan pengurus besar, pengurus besar kanan, naib presiden termasuk diri saya sendiri akan menerima poto­ngan 15 peratus elaun di bawah inisiatif untuk mening­katkan pengurusan kos ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Mengulas lanjut, Zakaria ber­kata, tiada perubahan da­lam struktur pengurusan sema­sa kumpulan ketika ini.


“S. Palaniappan berpengalaman selama lebih 40 tahun dalam industri perladangan kekal sebagai Ketua Pegawai Operasi sektor Perlagangan dan akan bertanggungjawab terhadap aktiviti huluan dan hiliran sawit serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).


“Datuk Khairil Anuar Aziz pula sebagai Ketua Pegawai Operasi Gula dan Lojistik dan Lain-lain akan memikul tanggungjawab tambahan untuk mengawasi sektor gula berkuatkuasa Januari 2018,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

UEM Edgenta lupus 61.2 peratus kepentingan dalam OIC – Ekonomi


PETALING JAYA 2 Nov. – UEM Edgenta Berhad melupuskan 61.2 peratus pegangannya dalam Opus International Consultants Limited (OIC) dengan transaksi tunai bernilai RM528.6 juta.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmir Merican berkata, pihaknya menjual kepentingan tersebut kepada WSP Global Inc. dengan keuntungan kasar kira-kira RM5.84 sesaham.

Katanya, pelupusan itu juga membolehkan UEM Edgenta memperkemas operasi, memacu pertumbuhan organik dan memperuntukkan semula sumbernya terhadap tiga teras utama perniagaan.

“Syarikat akan terus memacu pertumbuhan dalam sektor kesihatan, infrastruktur dan hartanah dan dijangka memberikan pulangan positif berterusan pada masa depan,” katanya dalam sidang akhbar mesyuarat agung luar biasa (EGM) di sini hari ini. 

Yang turut hadir Pengerusi UEM Edgenta, Amir Hamzah dan Ketua Pegawai Kewangan UEM Edgenta, Muhammad Noor Abd. Aziz. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons