Kuil Hindu tidak boleh dibuka ketika fenomena gerhana – MHS


KUALA LUMPUR: Malaysia Hindu Sangam (MHS) mengulangi kenyataan bahawa kuil Hindu tidak boleh dibuka mahupun mengadakan upacara keagamaan semasa berlakunya fenomena gerhana bulan pada sambutan hari Thaipusam, 31 Jan ini.

Presidennya, Datuk RS Mohan Shan berkata masyarakat Hindu di seluruh dunia secara amnya berpegang teguh kepada ritual sebegini sejak dahulu kala, memandangkan impak negatif fenomena gerhana kepada mereka.

“Kebiasaannya, kuil tidak akan dibuka sepanjang tempoh gerhana dan masyarakat Hindu juga tidak digalakkan keluar rumah, bimbang akan ‘gelombang negatif’ yang wujud akibat gerhana,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata gerhana bulan dijangka berlaku sekitar jam 7.48 malam dan berakhir 11.11 malam pada hari tersebut.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Kuil Devasthanam Sri Maha Mariamman pada Jumaat bahawa upacara keagamaan di Kuil Sri Subramaniar di Batu Caves pada hari Thaipusam akan diteruskan, termasuk pada tempoh gerhana bulan.

Pengerusinya Tan Sri R. Nadarajah, dalam satu sidang media berkata masyarakat Hindu tidak perlu berasa was-was bagi menunaikan nazar atau sembahyang pada waktu gerhana bulan, pada hari Thaipusam itu, memandangkan satu upacara khas (parigara pooja) akan diadakan pada malam 31 Jan selepas gerhana bulan itu.

“Kebanyakan masyarakat Hindu tidak akan keluar rumah dan kebiasaannya kuil akan ditutup ketika berlakunya gerhana, namun disebabkan terdapat ramai penganut yang akan menunaikan nazar pada hari Thaipusam, kita mengambil alternatif ini,” katanya.

“Parigara pooja akan dijalankan pada jam11.30 malam. Pihak pengurusan kuil telah mendapatkan nasihat daripada agamawan Hindu sebelum mengambil keputusan ini, dan diberitahu upacara keagamaan boleh dijalankan seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata perarakan pedati emas dan perak akan bermula dari Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H.S.Lee, di sini pada jam 10 malam, 29 Jan dan dijangka tiba di di Batu Caves pada jam 2 petang hari berikutnya.

“Perarakan pulang pedati (perak sahaja) dari Batu Caves adalah pada 1 Feb dan akan tiba di Kuil Sri Maha Mariamman pada tengah malam hari yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, Mohan Shah menasihatkan penganut menunaikan nazar atau menjalankan upacara keagamaan sebelum jam 7.30 malam ataupun selepas 11.30 malam pada hari berkenaan, sambil menyatakan pihaknya tidak melarang penganut ke Batu Caves semasa berlakunya gerhana bulan.

Beliau berkata dua lagi lokasi utama sambutan Thaipusam di negara ini iaitu Kuil Balathandayuthapani di Goerge Town, Pulau Pinang dan Kuil Sri Subramaniya Swami di Sungai Petani, Kedah, dilaporkan akan ditutup semasa waktu gerhana bulan itu.

“Malah kuil di Singapura dan India juga dilaporkan akan mengambil langkah sama,” katanya. — Bernama



Source link

read more

[VIDEO] Kehadiran Rajinikanth, Kamal Hassan cetus fenomena – Terkini


KUALA LUMPUR 6 Jan. – Setelah sekian lama, dua bintang besar Kollywood, `Superstar’ Rajinikanth dan `Ulaga Nayagan’ Dr. Kamal Hassan sekali lagi berkongsi pentas mewarnai Nachathira Vizha 2018 yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Dibanjiri hampir 30,000 peminat tegar yang rata-rata terdiri daripada anak-anak muda, kehadiran dua pelakon tersohor itu bersama kira-kira 300 artis gabungan pelakon filem Tamil, Telugu, Malayalam, penyanyi dan pengarah muzik berjaya memukau penonton dengan pelbagai persembahan hebat.

Terdahulu, kedua-dua pelakon mega star tersebut diterbangkan dalam helikopter khas dan mendarat di atas padang Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menemui peminat dan pemain kriket pada acara ini.

Menariknya, kedua-dua bintang dunia mengenakan kurta hitam (Rajinikanth) manakala Kamal Hassan pula berwarna putih dan kelihatan begitu mesra serta saling memuji antara satu sama lain.

Dalam ucapannya, Rajinikanth yang juga digelar sebagai `Thalaivar’ melahirkan rasa gembiranya kerana dapat mengunjungi Malaysia sekali lagi selepas pembikinan filem Kabali, pada Oktober tahun lalu.

“Saya gembira dapat berkunjung ke negara ini dan kali ini bersama isteri saya, Latha. Bagi saya, Malaysia ibarat ‘rumah kedua’ kerana dapat merasai kasih sayang semua peminat di sini.  

“Meskipun, saya jarang ke Malaysia, namun kehadiran saya masih diterima. Saya cukup kagum dengan rakyat dan negara ini,” katanya.  

Dalam pada itu, beliau yang kini membintangi filem Robo 2.0 yang akan menemui peminat pada 25 Januari depan, meluahkan rasa hatinya secara terbuka.  

“Sepanjang hidup, saya telah menghiburkan jutaan peminat pelusuk dunia tetapi hidup saya tidak harus berhenti setakat ini. Sebaliknya, saya mahu melakukan sesuatu lebih daripada itu.

“Saya mahu mendedikasikan hidup ini untuk rakyat Tamil Nadu yang telah banyak berjasa kepada saya” ucapnya.

Ucapan ini seolah-olah mempunyai maksud tersirat kerana baru-baru ini Rajinikanth mengumumkan dirinya akan menceburi bidang politik.

Dalam pada itu, Kamal Hassan pula menyatakan rasa terharu melihat sokongan peminat Malaysia.

“Saya rasa bertuah dapat bertemu dengan semua peminat saya di negara ini, terima kasih kerana mengalu-alukan kedatangan keluarga kami ke Malaysia,” katanya.

Pada acara itu, pelakon-pelakon filem yang lain turut muncul berceloteh dengan penonton menyatakan penghargaan terhadap para peminat negara ini.

Nachathira Vizha 2018 yang disifatkan sebagai acara India terbesar di Asia, dianjurkan oleh Persatuan Artis India Selatan (SIAA) dengan kerjasama MyEvents International serta mendapat sokongan sepenuhnya oleh Malaysia Major Events, anak syarikat di bawah Kementerian Pelancongan.



Source link

read more

Isu pemberhentian kerja fenomena tahunan – MPN


KUALA LUMPUR: Isu pemberhentian kerja di negara ini bukanlah sesuatu yang kritikal apabila ia dilihat masih lagi terkawal dengan kadar pertubuhan ekonomi negara terus meningkat setiap tahun.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata rakyat perlu terima hakikat bahawa unjuran 50,000 pekerja dijangka kehilangan pekerjaan tahun ini adalah fenomena biasa saban tahun.

“Kita perlu terima hakikat bahawa jumlah itu bukanlah sesuatu yang besar berbanding dengan jumlah keseluruhan tenaga kerja di negara kita.

“Tahun demi tahun pun kita lalui perkara yang sama dan tahun lepas contohnya lebih kurang 37,000 kehilangan pekerjaan tetapi angka itu termasuk sekali dengan yang ada yang dianggap sebagai pemberhentian sukarela.

“Kita melihat perkara ini dengan lebih positif kerana kita juga dalam masa yang sama menerima hakikat bahawa ekonomi kita dijangka sentiasa berkembang,” katanya pada Astro AWANI di sini hari ini.

Beliau mengulas unjuran yang dibuat Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) yang meletakkan sektor pembuatan paling berisiko akan menghentikan kerja pada tahun ini.

Jelasnya, antara faktor yang menyumbang kepada pengurangan tenaga kerja adalah seperti levi yang dikenakan ke atas majikan untuk mengambil pekerja asing, Skim Insurans Pekerja (EIS) dan pelaksanaan gaji minimum yang dilaksanakan kerajaan pada Julai lalu.

“Apa yang kita anggap sebagai pemberhentian ini bukannya berhenti terus. Terdapat pekerja menceburi sektor lain yang dianggap sesuai.

“Dalam masa yang sama, kita mengambil pendekatan positif apabila kebanyakan daripada pemberhentian itu terlibat dalam sektor pembuatan dan perkilangan yang mana kita sangat bergantung kepada pekerja asing,” katanya.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan yang dikeluarkan pada Disember tahun lalu, terdapat sejumlah 15.09 juta pekerja di negara ini sehingga Oktober 2017.

Mengikut rekod, seramai 38,499 pekerja hilang pekerjaan pada 2015. Angka itu bagaimanapun menurun pada 2016 iaitu 37,699.

Selain sektor pembuatan, sektor perkhidmatan, insurans, perbankan, peruncitan dan pembinaan juga dijangka mengalami pengurangan tenaga kerja.



Source link

read more

Fenomena air pasang besar Nak tidur pun risau keluh penduduk kampung



KEMAMAN: Fenomena air pasang besar yang melanda Kampung Geliga Baru di Kemaman disifatkan penduduk  sebagai yang terburuk pernah dialami mereka.

Kejadian itu telah menyebabkan sebahagian rumah mereka musnah dan juga kerosakan kepada peralatan elektrik dan perabot.

Selain itu, ombak besar tersebut turut membawa timbunan pasir sehingga ke dalam kediaman penduduk yang rata-rata bekerja sebagai nelayan.

Suri rumah Hashimah Othman berkata, disebabkan kerisauan tersebut, dia dan keluarga sentiasa berjaga-jaga ketika musim ini.

“Nasib baik ketika ombak melanda ada jiran tetangga membantu mengangkat perkakas dalam rumah seperti mesin basuh dan peti ais.

“Kami di sini nak tidur pun risau kerana ombak terlalu tinggi,” katanya.

Kebimbangan Hashimah turut dikongsi penduduk kampung lain yang juga mendakwa benteng pemecah ombak yang dibina beberapa tahun lalu di perkampungan bersebelahan mereka turut menyumbang kepada faktor utama ombak membadai kampung mereka.

Oleh itu, para penduduk berharap tindakan segera dapat diambil bagi menyelamatkan kampung mereka yang semakin lenyap ditelan hakisan dan ombak besar setiap tahun.

Sebelum ini, puluhan keluarga di kawasan berkenaan telah dipindahkan dan diberikan penempatan baharu oleh kerajaan negeri selepas rumah mereka musnah dilanda ombak besar setiap tahun.



Source link

read more

Kerajaan tidak mahu penyebaran berita palsu jadi fenomena biasa



KOTA KINABALU: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan tidak akan membiarkan fenomena penyebaran berita palsu dan fitnah menerusi media sosial di negara ini dilakukan sewenang-sewenangnya atas alasan kebebasan bersuara.

Timbalan Perdana Menteri berkata tindakan perlu diambil sebelum fenomena menyebar fitnah dan berita palsu berkenaan dianggap masyarakat sebagai perkara biasa atau lazim dalam kalangan rakyat negara ini.

“Kita tidak mahu apa yang sedang berlaku ini (penyebaran berita palsu dan fitnah) diterima kononnya sebagai kebebasan bersuara atas nama demokrasi. Memfitnah orang adalah suatu yang lazim, memburukkan orang adalah sesuatu perkara yang biasa…(dan) apabila (dapat buat seseorang itu marah) dianggap kejayaan.

“Apabila seseorang itu rasa dimalukan ia menjadi kebanggaan kepada mereka (pihak yang memalukan orang lain). Budaya ini semakin songsang. Perbuatan ini semboronoh. Jadi kita perlu ubah budaya itu,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Media Sosial UMNO Sabah di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, Setiausaha Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Yahya Hussin dan Pengerusi Biro IT UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

Menurut Ahmad Zahid setakat September tahun ini, sebanyak 4,702 kes berkaitan isu fitnah, penyebaran berita palsu dan lain-lain kesalahan berkaitan media sosial telah dilaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Katanya, daripada jumlah berkenaan, 4003 kes sedang disiasat lanjut dan antara kes daripada jumlah yang disiasat lanjut itu, 60 kes berkaitan fitnah, 20 kes berita palsu dan 43 kes berkaitan dengan pemalsuan identiti.

Menurutnya, dari Januari hingga November tahun ini, pihak polis juga menerima 203 aduan berkaitan kesalahan media sosial dan tindakan sedang diambil terhadap laporan-laporan berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Zahid juga mendedahkan bahawa Malaysia kini berada pada kedudukan keenam tertinggi di dunia dari segi penggunaan media sosial dengan kadar penggunaan 3.5 jam sehari bagi setiap individu dengan Argentina di tangga pertama.

— BERNAMA



Source link

read more

Fenomena air pasang Terengganu Bomba sedia hadapi kemungkinan



KUALA NERUS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan berikutan fenomena air pasang yang dijangka boleh menyebabkan banjir.

Fenomena itu diramalkan berlaku selama tiga hari minggu ini bermula Selasa sehingga Khamis.

Komander Operasi Kanan JBPM Terengganu, Mohamed Zulkhairul Mohamed Razilah, berkata rondaan dan pemantauan turut dilakukan di kawasan berisiko yang menjejaskan penduduk.

Katanya, pihaknya turut bersedia bagi menghulurkan bantuan memindahkan mangsa yang terlibat.

“Kita telah menggerakkan pasukan-pasukan kita sepanjang pesisir pantai daripada daerah Besut sehingga ke Kemaman.

“Pasukan kita melakukan rondaan di kawasan-kawasan yang dikenal pasti berisiko berlakunya kenaikan paras air, yang akan menjejaskan penduduk, supaya berwaspada dengan fenomena ini,” kata Mohamed Zulkhairul.

Beliau turut mengingatkan penduduk agar sentiasa berjaga-jaga dan mengikuti perkembangan semasa, ekoran bimbang kadar hujan serta fenomena air pasang akan menyebabkan kenaikan paras air.

Jelasnya, selain menghadapi bencana banjir, pihaknya juga memberikan komitmen yang tinggi dalam kes kebakaran dan kemalangan jalan raya.

“Dalam tempoh monsun timur laut, walaupun sepanjang tempoh bencana banjir, kita juga masih menerima panggilan-panggilan kecemasan berkaitan dengan pemadaman kebakaran kediaman,” katanya.

Sepanjang tempoh 10 hari bermula 27 November, sebanyak 25 kes kebakaran telah direkodkan termasuk dua buah kediaman.

Beliau turut menasihatkan mangsa banjir agar berhati-hati dalam menggunakan kembali peralatan elektrik yang ditenggelami air bagi mengelak insiden tidak diingini.



Source link

read more

Banjir Kelantan Fenomena air termenung dijangka berterusan hingga seminggu



TUMPAT:

Penduduk di jajahan Tumpat, khususnya melibatkan kampung bersempadan dengan Sungai Golok, di Kuala Jambu berdepan dengan fenomena air termenung atau air bertakung yang dijangka mengambil masa lebih seminggu.

 

Situasi ini menyebabkan mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan banjir di Tumpat tidak dapat pulang lebih awal walaupun paras air sungai menurun.

 

Keadaan yang berlaku ini bukan perkara baru bagi penduduk di beberapa kampung melibatkan kampung Jejulok, Bendang Pak Yong, Kuala Jambu dan sebagainya.

 

Pada masa ini paras air sungai Golok di Rantau Panjang dan Kuala Jambu, Tumpat masih mencatatkan bacaan di paras bahaya namun trendnya menurun.

 

Begitu pun mangsa banjir di jajahan Tumpat dijangka akan berada lebih lama di pusat pemindahan banjir menunggukan air termenung itu surut.

 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri, Adun Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail turut mengakui fenomena air termenung ini merupakan masalah yang dihadapi penduduk di jajahan ini sejak sekian lama.

 

Katanya masalah ini pernah diajukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan beliau bersetuju untuk mengatasinya melalui peruntukkan RM 10 juta yang diluluskan sebelum ini.

 

Namun menurut Mat Razi pihak yang ditugaskan untuk melaksanakan projek membina terowong air termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran, JPS belum memulakan lagi projek berkenaan.



Source link

read more

Fenomena Fujiwara punca banjir di Pulau Pinang



KUALA LUMPUR: Fenomena Fujiwara iaitu dua taufan berbeza melanda kawasan berdekatan dikenal pasti sebagai punca hujan lebat berterusan yang mengakibatkan banjir di Pulau Pinang pada Sabtu lalu.

Pakar Oceonagrafi Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata dua taufan tersebut adalah taufan Damrey yang melanda Vietnam dan taufan yang lebih kecil di Teluk Siam.

“Taufan yang kecil ini yang menghasilkan angin kencang di Pulau Pinang pada Sabtu. Seperti yang boleh kita perhatikan dalam laman web cuaca dunia seperti nullschool.com, taufan kecil ini sudah pun beralih ke Teluk Siam semula selepas melalui Pulau Pinang. Malah ia sedang menguat,” katanya.

Azizan berkata taufan Damrey kini sudah telah menghilang namun taufan kecil di Teluk Siam masih berada di sana pada kelajuan hampir 54 kilometer pada petang Selasa.

Tambahnya di Sarawak juga, sebuah vorteks kecil dapat dilihat yang akan membawa hujan lebat di negeri itu.

Jelasnya, kewujudan dua taufan pada masa yang sama ini menyebabkan fenomena cuaca yang dipanggil Fujiwara berlaku.

“Ini sangat menarik buat pakar meteorologi kerana fenomena ini sangat jarang berlaku dan dapat dikesan.

“Ia juga bukan senang untuk difahami oleh sesiapa sahaja termasuk ahli meterologi,” katanya.

Jelas Azizan, negara masih perlu memberi penekanan kepada aspek latihan pakar meterologi untuk membolehkan mereka menterjemah data cuaca dan memberi ramalan lebih tepat mengenai fenomena cuaca yang boleh memberi risiko kepada masyarakat.

Tambahnya kini ahli meterologi negara hanya diberi latihan di dalam negara dan tidak diberi peluang untuk mempelajari fenomena cuaca yang lebih pelik dan kompleks di luar negara.

“Kita tidak menawarkan subjek meterologi di dalam universiti pada saat ini. Kita memerlukan lebih banyak pakar untuk memastikan negara lebih bersedia menghadapi bencana alam pada masa hadapan,” katanya.

Banjir yang berlaku akibat hujan lebat berterusan sehingga lebih 300ml di Pulau Pinang pada Sabtu telah meragut nyawa 7 orang, kebanyakannya warga emas.

Menurut Polis Diraja Malaysia, lebih 10,000 penduduk Pulau Pinang kini terpaksa ditempatkan di pusat perlindungan.



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons