Gara-gara setahun tak mandi suami hilang selera dan ceraikan isteri


TAIPEI: Seorang lelaki di Taiwan nekad menceraikan isterinya ekoran tabiat buruk pasangannya yang hanya mandi sekali dalam setahun.

Memetik laporan Shanghaiist, tabiat buruk isterinya itu telah menyebabkan mereka tidak lagi melakukan hubungan intim bersama lantas membatalkan hasrat mereka untuk memiliki anak.

Sebelum melangsungkan perkahwinan, lelaki itu mendakwa isterinya itu akan mandi sekurang-kurangnya sekali seminggu, namun keadaan semakin parah setelah mereka berkahwin.

Selepas 10 tahun, isterinya hanya mandi sekali dalam setahun dan akan menghabiskan masa hampir enam jam bagi membersihkan dirinya setelah setahun tidak mandi.

Selain malas mandi, wanita tersebut turut memaksa suaminya untuk tidak bekerja dan menjaga bapanya yang sakit.

Ini menyebabkan mereka tidak mempunyai sumber kewangan tetap dan terpaksa bergantung kepada ibu mertuanya.

Bagaimanapun, pada tahun 2015, lelaki ini nekad untuk berpindah keluar dari rumah tersebut dan bekerja di Hsinchu di utara Taiwan tanpa pengetahuan isterinya.

Tidak berapa lama kemudian, isterinya mendapat tahu tentang perkara itu dan terus memaksa suaminya itu berhenti dan pulang semula ke rumah.

Susulan kejadian, lelaki ini akhirnya nekad pulang ke rumah dan memfailkan penceraian terhadap isterinya.



Source link

read more

Gara-gara lubang najis AU desak Trump mohon maaf


WASHINGTON: Kesatuan Afrika (AU) yang mewakili negara-negara benua Afrika mendesak permohonan maaf daripada Presiden Donald Trump, kerana gelaran ‘lubang najis’.

Pejabat kesatuan itu yang berpangkalan di Washington menyatakan ia terkejut, kecewa dan marah gelaran berkenaan dan menyifatkan pentadbiran Trump mempunyai anggapan yang salah terhadap negara di benua Afrika.

“Kenyataan berbaur perkauman oleh Trump, menghina warga Amerika Syarikat yang menghormati kepelbagaian martabat manusia.

“Kesatuan Afrika percaya wujud salah faham besar terhadap negara-negara di dalam blok kami, oleh pentadbiran White House ketika ini,” jelas AU dalam satu kenyataan.

Kenyataan celupar Trump terhadap pendatang asing di negara itu dibuat ketika satu mesyuarat bersama anggota Kongres.

Beliau mempersoalkan kenapa negara Uncle Sam itu menerima pendatang daripada negara yang dilabelkannya sebagai ‘lubang najis’.

BACA: Kenapa terima pendatang dari negara lubang najis? – Donald Trump

Sehari selepas membuat kenyataan itu, Trump tampil buat penafian, menerusi akaun Twitternya.

BACA: Presiden Trump nafi terlepas cakap

Kesatuan Afrika mewakili 55 anggota negara di seluruh benua.



Source link

read more

Gara-gara suka muat naik gambar anak seorang ibu berdepan hukuman mahkamah



ROM: SUKA muat naik gambar anak di media sosial? Mungkin anda perlu berfikir dua kali sebelum berbuat demikian.

Ini kerana di Itali, seorang ibu berdepan hukuman denda £8,900 atau kira-kira RM42,000 kerana memuat naik gambar anaknya tanpa kebenaran di media sosial.

Gara-gara tidak mahu terpalit dengan prosiding perceraian di antara ibu bapanya, seorang remaja memberitahu mahkamah di sini, dia tidak mahu gambarnya dimuat naik di laman sosial ibunya itu.

Malah, remaja berusia 16 tahun itu juga menuntut agar mahkamah membenarkannya berpindah ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajaran dan memulakan ‘kehidupan baharu’ di sana.

Mahkamah Rom turut memerintah wanita berkenaan agar memadamkan semua gambar lama, video, malah status berhubung anaknya itu di media sosial.

Ia kes pertama di Itali yang memerintahkan penyingkiran bahan foto dan video, malah mengenakan denda terhadap ibu bapa.

Itali juga menguatkuasakan undang-undang ketat berhubung pemilikan hak cipta, di mana individu dalam gambar atau video tersebut memiliki hak cipta terbabit dan dalam kes ini, remaja berkenaan.

Pada November lalu, seorang hakim dari Mantua, Itali memerintahkan ibu bapa tidak boleh menyiarkan gambar anak mereka yang di bawah umur sekiranya salah seorang – sama ada ibu atau bapa anak berkenaan –  tidak bersetuju dengan tindakan itu.

Namun, ini bukan kali pertama sesebuah negara mengamalkan undang-undang ke atas perlindungan privasi kanak-kanak.

Di Perancis, pelanggaran privasi seorang kanak-kanak boleh dikenakan denda £45,000 atau  kira-kira RM215,000 malah berdepan hukuman penjara sehingga setahun.

Pada bulan Mei 2018, Kesatuan Eropah (EU) bakal menguatkuasakan Peraturan Perlindungan Data Am bagi menghadkan penggunaan maklumat peribadi seseorang.

Peraturan-peraturan baharu itu bertujuan mengawal cara data peribadi seseorang individu boleh dikumpulkan dan digunakan.



Source link

read more

Selebriti kecam HM gara-gara iklan monyet paling cool dalam hutan



KUMPULAN selebriti terkenal mengutuk keras kempen iklan terbaharu rumah fesyen H&M UK yang disifatkan berunsur perkauman dan tidak sensitif meskipun syarikat peruncitan fesyen itu telah memohon maaf.

Antara yang lantang mengkritik iklan “Coolest monkey in the jungle’’ atau “Monyet paling ‘cool’ dalam hutan”, penyerang Manchester United Romelu Lukaku yang memuat naik pos yang unik di laman instagramnya.

Lukaku memuat naik gambar iklan yang diedit dengan perkataan ‘Black is Beautiful’ (Hitam adalah Cantik) yang segera mendapat pujian daripada pengikutnya.

Bersama gambar itu, kapsyen Lukaku turut menarik perhatian netizen: “Kamu adalah putera yang bakal menjadi Raja. Jangan beri peluang kepada orang lain untuk memberitahu kamu sebaliknya dengan hashtag #blackexcellence.
Seorang lagi selebriti sukan yang tidak berpuas hati dengan iklan tersebut  adalah bintang bola keranjang, LeBron James.

LeBron memuat naik gambar iklan tersebut yang diedit dengan kapsyen “@hm anda salah tanggapan terhadap kami.”

Tambahnya, “apa yang saya lihat ialah seorang raja yang muda!! Pemimpin negara, kuasa yang tidak boleh disentuh yang tidak boleh dinafikan.

“Kami keturunan Afrika Amerika akan sentiasa memecahkan halangan, membuktikan mereka salah dan bekerja keras untuk membuktikan kami tergolong tetapi itulah yang kami sukakan kerana penyudahnya sangat indah!!”

Baju panas tersebut dikatakan masih dijual bagi kanak-kanak lelaki berusia 1 hingga 10 tahun pada harga 7.99 pound, namun iklan telah digantikan dengan kanak-kanak berkulit putih.



Source link

read more

Guru digari gara-gara tanya pasal gaji



Abbeville: Seorang guru wanita di Louisiana, Amerika Syarikat digari gara-gara tindakannya membangkitkan isu gaji golongan pengajar yang rendah dalam mesyuarat  lembaga sekolah.

Deyshia Hargrave bertanyakan soalan itu sebagai bantahan kepada kontrak baharu penguasa sekolah, Jerome Puyau.

Hargrave mempertikaikan kenaikan gaji yang bakal dinikmati Puyau sedangkan tenaga pengajar dan kakitangan sokongan tidak mendapat bayaran sewajarnya.

“Penguasa atau sesiapa yang berada di kedudukan teratas menerima segala bentuk kenaikan.

“Saya rasa ini bagaikan tamparan buat semua guru, pekerja kafeteria dan kakitangan sokongan yang kita ada,” ujar Hengrave.

Tindakan guru bahasa Inggeris di Sekolah Vermillion Parish ini menimbulkan rasa kurang senang presiden lembaga sekolah, Anthony Fontana yang mengarahkannya berhenti  bertanyakan soalan atas alasan ia tidak releven.

Hargrave hanya akur dengan arahan berkenaan untuk beberapa ketika sebelum kembali bangun namun  dihalang marsyal.

Secara sukarela Hargrave bertindak keluar daripada bilik mesyuarat. Bagaimanapun drama itu tidak berakhir di situ. Hargrave ditahan secara kekerasan, digari ketika rebah di lantai sebelum dibawa ke balai polis menaiki kereta peronda.

Sejurus penahanan Hargrave, ahli lembaga pengarah sekolah sebulat  suara meluluskan kontrak baharu Puyau.



Source link

read more

Disney dikritik gara-gara pelakon tambahan filem Aladdin



DISNEY dikritik selepas pegawai tinggi mengaku menukar warna kulit pelakon tambahan semasa penggambaran filem Aladdin.

Penggambaran filem ini sedang dijalankan oleh Pengarah Guy Ritchie di Long Cross studios, Surrey.

Surrey terletak kira-kira 50km dari London, yang mana terdapat 1.1 juta rakyat beretnik India, Pakistan, Bangladesh dan Arab menetap di kawasan itu.

Bagaimanapun, Disney berkata ia terpaksa menggunakan pelakon barat berkulit putih kerana watak pakar aksi, penari dan pengendali unta tidak dapat diisi bagi filem tersebut yang bakal dikeluarkan pada May 2019.

Menurut laporan Dailymail, pengarah yang dicalonkan Anugerah Akademi Filem dan Televisyen Britain (BAFTA), Riaz Meer berkata tindakan ini sebagai ‘menghina seluruh industri’ dan percaya pelakon Asia boleh mengisi kekosongan itu.

Bagaimanapun, Disney berkata versi Aladdin ini merupkan filem yang mempunyai watak pelbagai etnik dengan lebih 400 dari 500 watak tambahan terdiri daripada pelakon beretnik India, Timur tengah, Afrika, Mediterranean dan Asia.

Naomi Scott, pelakon Britain berketurunan India memainkan watak Jasmine manakala pelakon Kanada berkelahiran di Mesir, Mena Massoud memainkan watak utama Aladdin. 

Will Smith pula memainkan watak Genie dalam filem ini.

Walaupun, Disney tidak bersetuju dengan dakwaan tersebut, salah seorang pelakon watak tambahan dalam filem itu berkata terdapat lebih ramai pelakon tambahan berkulit putih.

Kaushal Odedra, 32 tahun dilaporkan berkata dia melihat lebih 20 pelakon berkulit putih menunggu giliran mereka di khemah solekan untuk menggelapkan kulit.



Source link

read more

Rebus makan alat kelamin majikan gara-gara rebut ladang sawit



JAKARTA: Seorang lelaki bertindak kejam membunuh dan memakan alat kelamin majikannya dalam kejadian di Batanghari, Indonesia pada Selasa.

Suspek, Terosman @ Mansur, 54 tahun, melakukan tindakan keji itu terhadap M Dasrullah dalam usaha merampas ladang sawit milik majikannya itu.

Mansur dalam pengakuannya berkata dia memotong alat kelamin majikannya lalu direbus sebelum dimakan.

“Selepas saya bunuh dia, saya potong alat kelaminnya dan saya makan dengan nasi,” kata Mansur kepada polis seperti yang dilaporkan media tempatan.

Sementara itu, portal Jawapos melaporkan Mansur bekerja sebagai buruh di ladang sawit Dasrullah sejak beberapa tahun dan mendapat kepercayaan penuh majikannya itu.

Namun Mansur dipercayai menyeleweng wang kutipan tuaian sawit sekitar Rp 7 juta (kira-kira RM2,080) sebulan selama bertahun-tahun.

Menurut portal itu lagi, tindakan Mansur makan alat kelamin majikannya ada kaitan dengan ritual ilmu hitam yang kononnya dapat menghindarkan dia daripada dihantui roh mangsa.



Source link

read more

Pegawai polis Thai dikenakan tindakan gara-gara terlalu mesra dengan suspek



BANGKOK: Ketua polis daerah Kannayao dan dua penyiasat kanan di Nakhon Si Thammarat telah dikenakan tindakan kerana dilaporkan terlalu mesra dengan penyanyi rock tempatan, Sek Loso, yang berdepan dakwaan memiliki senjata api tanpa lesen dan salah guna dadah.

Portal berita Bangkok Post melaporkan, mereka telah diarahkan untuk berpindah tempat kerja gara-gara mengambil gambar dengan selebriti tersebut dalam bilik soal siasat selepas Sek didakwa mengingkari arahan polis di kediamannya do Bang Khen, Bangkok.

Ketua polis Kannayao itu, Sing Singhadej, dikritik hebat selepas sekeping gambar tular menunjukkan dirinya bersama penyanyi rock tersebut serta dua penyiasat lain, sambil memberi isyarat ‘bagus’ dengan jari.

Sebuah panel siasatan telah ditubuhkan untuk menyiasat perkara itu.

Sek atau nama sebenarnya Seksan Sookpimay, 43, telah dibawa ke balai polis Kannayao pada Ahad lalu dan didakwa kerana melawan ketika dirinya hendak ditahan dan rumahnya hendak digeledah.

Sek telah melepaskan tembakan ke udara dan ke tanah di hadapan patung tugu Raja Taksin di pekarangan sebuah tokong popular di daerah Phrommakhiri, Nakhon Si Thammarat pada 29 Disember lalu.

Polis juga mendakwanya dengan pemilikan senjata api tanpa lesen selain kesalahan melepaskan tembakan di tempat umum.

Selain itu, Sek juga berdepan dakwaan salah guna dadah apabila ujian air kencingnya positif.

Ketua Polis Thailand Chakthip Chaijinda pada 22 Jun lalu mengeluarkan arahan yang melarang pegawai dan anggotanya dripada bergambar dengan suspek, atau berkelakuan seolah-olah mereka ada kaitan rapat dengan suspek.

Menurut Chakthip, tindakan itu hanya akan mengikis kepercayaan umum ke atas pasukan polis.



Source link

read more

Gara-gara terima gaji lewat lelaki pukul anak majikan bakar kereta


SIBU: Seorang lelaki berusia awal 30-an mengamuk dengan memukul anak majikan dan rakan sekerja setelah mendapati gajinya lambat dibayar.

Buruh binaan terbabit juga bertindak membakar kereta rakan sekerjanya yang dipercayai cuba mententeramkan suspek.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zailani Amit berkata, insiden kira jam 3.50 petang Sabtu itu berlaku di hadapan sebuah restoran di Jalan Aman, di sini.

Menurutnya semasa kejadian, tiga pekerja binaan sedang menanti bayaran gaji oleh majikan.

Bagaimanapun, suspek dikatakan berang selepas dimaklumkan oleh anak majikannya yang berusia 24 tahun mengenai kelewatan pihak syarikat membayar gaji kepada pekerja untuk bulan ini.

Justeru, rakannya berusia 35 tahun cuba menenangkan suspek, namun dia terus mengamuk dengan memukul isteri rakannya itu dan anak majikannya.

Suspek kemudian bertindak memukul anak majikannya dengan batang besi serta membakar kereta Perodua Kancil milik rakannya sebelum melarikan diri.

Suspek kemudian bertindak memukul anak majikannya dengan batang besi serta membakar kereta rakannya jenis Perodua Kancil sebelum melarikan diri.

Suspek kemudian bertindak memukul anak majikannya dengan batang besi serta membakar kereta rakannya jenis Perodua Kancil sebelum melarikan diri. – Foto JBPM Sarawak

Tujuh anggota balai Bomba dan Penyelamat Sibu diketuai Pegawai Bomba Kanan Dua, Tahir Tuah bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

Kenderaan terbabit terbakar hampir 85 peratus dan nilai kerugian akibat kebakaran itu dianggarkan mencecah RM12,000.

Kes masih disiasat dan polis sudah mengenalpasti identiti suspek dan usaha mengesannya sedang giat dilakukan.



Source link

read more

Lelaki maut ditembak polis gara-gara panggilan palsu



KANSAS: Gara-gara panggilan palsu dan mahu berjenaka, seorang lelaki berusia 28 tahun di Wichita, Kansas maut ditembak polis.

Mangsa yang dikenali sebagai Andrew Finch telah ditembak mati polis di hadapan pintu rumahnya.

Polis Wichita mengesahkan menerima panggilan kecemasan yang mengatakan bahawa mangsa telah menembak mati ayahnya dan akan menembak ibunya serta menjadikan adik-beradiknya sebagai tebusan.

Timbalan Ketua Polis Wichita Troy Livingston berkata polis yang tiba di lokasi sejurus panggilan diterima telah terlihat Finch di hadapan pintu rumahnya.

Polis terpaksa melepaskan tembakan kerana Finch didakwa cuba menyeluk sesuatu dari pinggangnya sebelum membuka pintu rumahnya.

Finch kemudian maut di tempat kejadian.

Hasil siasatan lanjut mendapati tiada senjata pada tubuh mangsa serta tiada sebarang kecederaan mahupun kematian yang berlaku di rumah terbabit.

Polis berkata panggilan palsu yang memaksa pasukan khas bersenjata ke sesebuah lokasi sering berlaku dan biasanya dilakukan oleh pemain permainan video maya.

Mengikut trend, panggilan palsu yang melibatkan serbuan pihak berkuasa adalah taktik kotor pemain permainan video untuk mengganggu tumpuan pemain lawan.

Namun menurut keluarga mangsa, Finch tidak bermain sebarang permainan video dan kejadian adalah satu perangkap.

Siasatan lanjut kini masih dijalankan.



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons