Pelan Induk Masyarakat India hak masyarakat India – Dr Subramaniam



KUALA LUMPUR: Pelan Induk Pembangunan Masyarakat India (MIB) bukan milik MIC atau kerajaan tetapi ia hak masyakarat India yang tidak boleh dikritik dengan pemikiran negatif, kata Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Justeru, beliau menggesa masyarakat India agar mempunyai kepercayaan dan berharap kepada pelan induk itu ke arah memperbaiki dan meningkatkan taraf hidup kaum berkenaan.

“Terdapat mereka yang mempunyai persepsi negatif terhadap pelan induk itu, kritikan itu hanya akan menghalang pelan tersebut daripada berjaya,” katanya kepada pemberita selepas sesi ‘Town Hall’ Pelan Induk Pembangunan Masyarakat India di Ibu Pejabat MIC di sini, malam tadi.

“Kita juga mahu mewujudkan komuniti India yang bersatu padu, di mana masyarakat india membantu masyarakat India yang lain untuk maju,” katanya.

Mengulas cadangan yang diutarakan pada sesi tersebut, Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata keutamaan harus diberikan kepada usaha untuk meningkatkan kualiti kaum India dalam setiap sektor.

Sesi town hall itu melibatkan Dr Subramaniam, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri SK Devamany dan Ketua Pengarah Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC) Datuk Dr N.S Rajendran.

Sesi berkenaan dihadiri 800 pemimpin akar umbi dan anggota MIC bagi membincangkan pelaksanaan MIB antaranya dokumentasi warganegara, mewujudkan usahawan India, meningkatkan peratusan penjawat awam India, meningkatkan taraf hidup mereka di bawah kumpulan B40 dan pembangunan sekolah Tamil.

Sementara itu, Dr Subramaniam berkata MIC akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha kementerian yang relevan dengan pelaksanaan MIB bagi memastikan pelan induk berkenaan berjaya dalam tempoh 10 tahun akan datang.

— BERNAMA



Source link

read more

Hari Hak Asasi Manusia 2017 Malaysia terus perjuangkan kesederhanaan



KUALA LUMPUR: Malaysia mahukan isu-isu yang berkaitan hak asasi manusia di semua negara ditangani melalui pendekatan berasaskan dialog membina dengan menghormati prinsip kedaulatan dan tanpa campur tangan asing.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan sempena Hari Hak Asasi Manusia 2017 berkata sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Malaysia menerima falsafah, konsep dan norma yang termaktub dalam deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) 1948.

Deklarasi itu menetapkan standard minimum dan umum berkenaan hak asasi manusia untuk semua orang di semua negara.

“Sejajar dengan sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2017 yang bertemakan ‘Mengarusperdanakan Hak Asasi Manusia, Kesederhanaan dan Keterangkuman untuk Perpaduan, Keamanan dan Harmoni’, Malaysia percaya bahawa kesederhanaan, saling menghormati dan pemahaman adalah nilai-nilai utama yang memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran yang tenteram serta memupuk semangat muhibah antara pelbagai kaum dan agama yang berbeza di negara ini,” kata kenyataan itu.

Selain itu, kerajaan juga telah menggunakan pendekatan ‘1Malaysia’ untuk mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia, bertujuan memelihara dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang menjadi kekuatan dan kekal sebagai harapan terbaik untuk masa depan, katanya.

Untuk itu, Malaysia akan terus memperjuangkan kesederhanaan dalam merapatkan perbezaan dan menyelesaikan pertikaian serta untuk melawan ekstremisme dan radikalisasi di dalam negara dan di forum antarabangsa, di samping terus menerima falsafah, konsep dan norma yang termaktub dalam UDHR, kata kenyataan itu.

Hari Hak Asasi Manusia disambut pada 10 Dis setiap tahun bagi memperingati hari Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) menerima UDHR pada tahun 1948.

— BERNAMA



Source link

read more

Baitulmuqaddis Tindakan AS nafikan hak kedaulatan Palestin



KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyifatkan keputusan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel sebagai amat tidak wajar dan telah menafikan hak kedaulatan negara Palestin.

Ketua Pengarah Jakim Tan Sri Othman Mustapha berkata pengumuman Presiden AS Donald Trump pada Rabu, juga telah menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

“Jakim sama sekali tidak menyokong cadangan untuk menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel memandangkan bumi Palestin adalah hak milik umat Islam, dulu kini dan selamanya.

“Tindakan pelbagai pihak menganjurkan perhimpunan solidariti secara aman adalah amat signifikan sebagai memberi sokongan terhadap rakyat Palestin dan menunjukkan protes terhadap cadangan Baitulmuqaddis untuk dijadikan sebagai ibu negara Israel,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya hari ini menganjurkan solat hajat khusus yang dipimpin imam masjid Hamdan Muhammad selepas solat Jumaat, bagi mendoakan supaya Baitulmuqaddis dan seluruh bumi Palestin terus kekal sebagai hak milik mutlak umat Islam.

Sementara itu, Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam kenyataan menolak sekeras-kerasnya sebarang tindakan menimbulkan ketegangan dalam mencari perdamaian konflik Al-Aqsa, Palestin.

Presiden MBM Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaludin berkata langkah yang diambil presiden AS itu menunjukkan sikap sebenar AS sebagai dalang di sebalik konflik yang sekian lama berlarutan.

Beliau berkata pengisytiharan itu jelas bertentangan dengan resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa, serta segala usaha pihak antarabangsa dalam mencari perdamaian dan penyelesaian konflik itu.

“MBM menggesa pihak berautoriti seperti PBB, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Kesatuan Eropah (EU) agar mengenakan tindakan diplomatik dalam mendesak AS menarik balik pengisytiharan ini kerana Baitulmuqaddis bukanlah barang dagangan oleh mana-mana pihak demi kepentingan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, katanya MBM mewakili seluruh badan gabungan belia di Malaysia, menolak pengisytiharan presiden AS itu serta akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan yang berkaitan dalam menggerakkan Kempen ‘Selamatkan Al-Quds’.

Di KANGAR, Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata pendirian tegas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menentang tindakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis, adalah sangat terpuji.

Kenyataan yang dibuat perdana menteri pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 itu, wajar dipuji kerana tindakan AS itu sekali gus mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Beliau berkata, tindakan mengisytiharkan Jerusalem atau Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel itu benar-benar mencabar dunia Islam.

Beliau berkata masyarakat Islam di seluruh dunia, khususnya negara Arab juga tidak boleh membisu dalam berhadapan dengan isu tersebut, malah parti-parti politik orang Islam di Malaysia juga diharap bersuara menentang keputusan Trump itu.

“Semoga Umat Islam seluruh dunia bersatu dalam (menentang) isu-isu sedemikian (isu Baitumuqaddis),” katanya menerusi catatan pada laman Facebook miliknya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Perlis (JAIPs) akan menganjurkan program ‘Raja Memimpin Umat: Isu Palestin’.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor dalam kenyataan hari ini berkata sebagai tanda solidariti, bermula 15 Dis ini setiap masjid di Perlis akan mengibarkan bendera Palestin.

“Selain itu, khutbah dan majlis ilmu berkaitan isu Palestin juga akan dilaksanakan di seluruh negeri,” katanya.

Di KOTA KINABALU, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) Zulzaim Hilmee Abidin mengetuai lebih 300 umat Islam berkumpul di hadapan Masjid Negeri di sini hari ini sebagai solidariti menyokong rakyat Palestin memprotes cadangan Trump itu.

Beliau yang ditemui Bernama pada perhimpunan itu berkata umat Islam di seluruh dunia akan bersama menolak sekeras-kerasnya usaha menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

“Walaupun kita berada jauh daripada Palestin, namun kita akan terus bersama-sama mereka (rakyat Palestin) untuk membantah tindakan Trump yang jelas mahu menimbulkan kemarahan umat Islam.

“Kita berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyuarakan perkara ini melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kerana tindakan Trump itu dilihat boleh menjurus kepada konflik dan ketegangan di Timur Tengah,” katanya.

Di BUTTERWORTH, lebih 200 umat Islam daripada 18 badan bukan kerajaan (NGO) dan dua parti politik iaitu UMNO dan PAS berhimpun selepas solat Jumaat di Masjid Seberang Jaya, dekat sini, bagi menyatakan bantahan terhadap pendirian AS.

Wakil parti politik dan NGO itu, Bukhori Ghazali berkata menjadikan Baitulmuqaddis ibu negara Israel mengancam sensitiviti umat Islam di seluruh dunia apatah lagi ia kota terbesar bagi rakyat Palestin yang berjuang bermati-matian selama 50 tahun daripada dirampas rejim Yahudi.

Justeru, beliau menggesa kerajaan mengambil tindakan mengusir keluar Duta Amerika di Malaysia bagi menunjukkan rakyat Malaysia serius menentang perbuatan presiden Amerika Syarikat itu.

“Kami juga menyeru semua masjid mengadakan solat hajat di samping menganjurkan khutbah berkaitan memboikot pembelian barang-barang Amerika Syarikat dan Israel,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan tersebut.

— BERNAMA



Source link

read more

Dakwaan penghapusan etnik Rohingya Pesuruhjaya PBB mengenai Hak Asasi Manusia desak inkuiri



KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia menggesa siasatan jenayah antarabangsa diadakan terhadap serangan kejam ke atas etnik Islam Rohingya di Myanmar.

Tindakan yang boleh dianggap sebagai penghapusan etnik itu menyebabkan lebih 600,000 umat Islam terpaksa melarikan diri ke Bangladesh sejak Ogos.

Zeid Ra’ad Al Hussein berkata, etnik Rohingya di Myanmar sejak berdekad menghadapi situasi tidak bernegara, mangsa diskriminasi dan pemisahan, selain keganasan dan penderaan yang dahsyat.

“Dan yang memburukkan lagi, mereka mengalami kemusnahan kampung, rumah dan harta benda serta kehidupan. 

“Berdasarkan semua ini, bolehkah sesiapa menolak kewujudan elemen-elemen ‘genosid’,” katanya ketika berucap pada sesi khas Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) pada Selasa yang diadakan berikutan perkembangan yang menyaksikan ratusan ribu etnik Rohingya melarikan diri dari Myanmar ke Bangladesh.

Sesi khas mengenai  situasi hak asasi manusia masyarakat Islam Rohingya dan minoriti lain di Rakhine, Myanmar, diadakan atas permintaan Bangladesh dan Arab Saudi serta disokong oleh beberapa negara anggota HRC.

Zeid berkata beliau telah melaporkan kepada HRC dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) mengenai dakwaan serius pencabulan hak asasi manusia oleh pasukan keselamatan.

Bagaimanapun, pendakwaan atas tindakan keganasan yang dikatakan dilakukan ke atas etnik Rohingya  termasuk keganasan seksual, sama ada dilakukan oleh pasukan keselamatan atau orang awam amat jarang dijalankan.



Source link

read more

PBS mahu Kerajaan Persekutuan beri perhatian serius hak Sabah – Pairin



PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) mahu tiga isu utama dikemukakan parti itu menerusi memorandum kepada Jawatankuasa Negeri Sabah mengenai Hak-Hak Sabah dalam Persekutuan Malaysia dan memo kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diberi perhatian serius, kata Presidennya Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Pairin berkata isu utama dikemukakan itu merupakan hak-hak termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) merangkumi Borneonisasi dan penurunan kuasa selain memasukkan sejarah pembentukan Malaysia ke dalam sukatan pelajaran di sekolah.

“Kami berhadap cadangan, keluhan dan ketidakpuasan hati dikemukakan kepada jawatankuasa bersama di peringkat Persekutuan akan diberi perhatian serius,” katanya dalam ucapan dasar pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan PBS ke-32 di Dewan Hongkod Koisaan KDCA, di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN). Turut hadir Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman merangkap Pengerusi BN Sabah serta Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan air.

Pairin berkata meskipun pelantikan pegawai kanan perkhidmatan awam persekutuan dalam kalangan rakyat Sabah semakin baik, namun beliau mahu lebih ramai lagi rakyat Sabah mengisi jawatan itu termasuk dalam badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan dan universiti tempatan di Sabah atau Semenanjung.

“Ini adalah bersesuaian dengan jaminan Borneonisasi sekali gus sejajar dengan matlamat asal Persekutuan Malaysia dalam MA63,” katanya, dan menambah, sudah tiba masa lebih ramai rakyat Sabah dilantik dan diserapkan ke dalam Skim Perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik, tentera serta polis,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata jawatankuasa PBS telah mengkaji perkara dijanjikan dalam MA63 mengenai isu pengagihan kuasa selain mencadangkan tindakan pemulihan bagi menyemak semula hak-hak sepatutnya dinikmati Sabah termasuk berkaitan sistem pentadbiran mahkamah tinggi di Sabah dan Sarawak.

PBS juga mahu kerajaan Persekutuan mempertimbang menambah baik dan memperincikan maklumat sejarah pembentukan Malaysia dalam silibus pendidikan negara merangkumi Laporan Suruhanjaya Cabbold; 20 perkara Sabah dan 18 perkara Sarawak, Jawatankuasa Antara Kerajaan dan MA63, katanya.

Menurutnya, fakta berhubung pembentukan Malaysia dalam buku teks sejarah sekolah sedia ada sekarang terlalu ringkas, dan dengan penambahbaikan tersebut generasi akan datang lebih memahami serta menghargai pembentukan negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Pairin berkata, PBS turut mengalu-alukan serta menyokong segala usaha pelbagai pihak khususnya daripada parti komponen BN untuk memulihkan kembali hak-hak rakyat Sabah seperti ditetapkan dalam MA63.

Pairin berkata rakyat Sabah boleh membincangkan isu MA63 secara terbuka semasa pentadbiran Najib, namun, perkara itu berbeza ketika era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad kerana MA63 dianggap sensitif dan rakyat Sabah merasa takut membincangkan perkara itu kerana tindakan akan diambil dengan menahan mereka di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Pada masa itu, tiada tempat dan peluang membincangkan isu (MA63) secara terbuka. Namun, PBS berterima kasih kepada perdana menteri (Najib) kerana beliau bukan sahaja menghapuskan ISA, malah bersedia mendengar keluhan atau kebimbangan rakyat Sabah jika ada mana-mana peruntukan perjanjian Malaysia yang disalahtafsirkan.

PBS juga yakin dan percaya perdana menteri (Najib) tidak akan mengabaikan atau mengendahkan hak-hak Sabah dalam Persekutuan Malaysia malah perdana menteri sentiasa prihatin untuk menangani isu berkenaan secara aman menerusi perundingan,” katanya.

Dalam pada itu, Pairin turut mempersoal tindakan Dr Mahathir yang secara tiba-tiba berjanji akan mengkaji isu itu pada masa sekarang sedangkan ketika memegang jawatan sebagai perdana menteri selama 22 tahun beliau tidak pernah berbuat demikian.

“Kenapa beliau tidak mengambil tindakan semasa berkuasa? Ini membuktikan bahawa agenda utama Dr Mahathir adalah untuk membantu parti pembangkang memancing undi pada pilihan raya umum akan datang. Saya tidak percaya beliau jujur dalam perkara ini,” katanya.

— BERNAMA



Source link

read more

Amazon dapat hak terbit The Lord of The Rings versi TV



AMAZON Studios telah berjaya mendapatkan hak penerbitan siri televisyen The Lord Of The Rings, namun ia mungkin tidak mengikut jalan cerita dari filem asal.

Adaptasi naskhah fantasi JRR Tolkien itu akan diterbitkan dalam beberapa musim.

Bagaimanapun nama pelakon dan bila siri berkenaan akan dilancarkan belum lagi diumumkan.

Mengikut kenyataan media dari Amazon, versi televisyen ini akan memberi tumpuan kepada jalan cerita berbeza berbanding versi filem.

Tiga filemnya yang diarahkan Peter Jackson telah mendapat kutipan US$6 bilian dolar di serata dunia.

Novel The Lord Of The Rings pula telah dinamakan sebagai buku kegemaran millennium pada 1999 oleh pelanggan Amazon.



Source link

read more

Mati dalam tahanan Tiada hak tuntut ganti rugi teladan



PUTRAJAYA: Keluarga orang yang meninggal dunia semasa dalam tahanan tidak mempunyai hak untuk menuntut ganti rugi teladan, demikian diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan hari ini.

Keputusan majoriti 4-1 itu dicapai oleh panel lima hakim selepas membenarkan rayuan yang dikemukakan oleh polis dan kerajaan terhadap jumlah ganti rugi yang diperoleh oleh tiga keluarga orang yang meninggal dunia semasa dalam tahanan.

Keputusan itu dicapai oleh Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Azahar Mohamed dan Tan Sri Zaharah Ibrahim manakala penghakiman menentang dibuat oleh Tan Sri Zainun Ali.

Hakim Zaharah, yang membaca keputusan majoriti itu, berkata mahkamah berpendapat bahawa pemberian ganti rugi teladan di bawah Seksyen 7 Akta Undang-Undang Sivil 1956 adalah bertentangan dengan niat perundangan dalam menggubal seksyen tersebut.

Beliau berkata Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam mengambil pendirian bahawa had yang ditetapkan oleh Seksyen 8 (2) Akta Undang-Undang Sivil 1956 terhadap pemberian ganti rugi teladan tidak terpakai apabila kematian itu adalah hasil pelanggaran hak mangsa untuk hidup di bawah perlembagaan.

Dalam kes A. Kugan, yang mati semasa dalam tahanan polis pada 2009, Mahkamah Persekutuan mengetepikan RM300,000 sebagai ganti rugi teladan dengan ibu Kugan, N. Indra, 50, kini menerima jumlah RM401,700 berbanding RM701,700.

Pada 13 Jan 2012, Indra, memfailkan saman RM100 juta menuntut ganti rugi kerana mendakwa pihak-pihak terbabit melakukan kecuaian, serangan, salah penahanan dan salah laku pegawai awam serta melanggar tanggungjawab statutori.

Kugan, 22, ditahan di Puchong pada 14 Jan 2009 kerana didakwa terlibat dalam sendiket mencuri kereta. Beliau ditahan satu malam di lokap Balai Polis Puchong Jaya sebelum polis mendapatkan perintah reman.

Beliau kemudiannya dibawa ke Balai Polis Taipan USJ, Subang Jaya dua hari kemudian untuk disoal siasat dan kemudian ditemui mati pada 20 Jan 2009.

Dalam kes kedua membabitkan seorang penarik kereta, Abdul Jaffar Abdul Mutalib, 38, yang mati ditembak polis pada 2008, mahkamah tersebut mengetepikan RM300,000 sebagai ganti rugi teladan dan kini ketiga-tiga anak perempuan Abdul Jaffar hanya berhak mendapat ganti rugi berjumlah RM51,000 atas kehilangan tempat bergantung.

Nurasmira Maulat Abdul Jaffar, Siti Asma dan Siti Fatimah, memfailkan saman terhadap polis dan kerajaan Malaysia dengan menuntut ganti rugi atas dakwaan kecuaian polis menembak mati bapa mereka.

Dalam kes ketiga, mahkamah mengetepikan RM100,000 sebagai ganti rugi teladan kepada M. Gaur Chandram selepas anaknya, Uthayachandran, mati semasa ditahan reman bagi kes dadah di Penjara Sungai Buloh, pada 18 Mei 2008.

Susulan keputusan itu, bapanya kini diberikan ganti rugi kira-kira RM105,000.

Hakim Zainun, dalam keputusannya, berkata kematian seseorang individu semasa dalam tahanan polis adalah pelanggaran yang jelas terhadap asas kebebasan termaktub dalam Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak untuk hidup.

Beliau berkata ganti rugi teladan boleh dituntut oleh keluarga si mati apabila punca tindakan berkenaan melanggar hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Kematian dalam tahanan sama sekali tidak boleh menjadi perkara normal yang baharu…kesalahan serius dalam masyarakat jika ia tidak mencari punca kehilangan nyawa yang tidak masuk akal,” katanya.

Katanya, mahkamah mempunyai kewajipan untuk mengubah suai Akta Undang-Undang Sivil, sebagai undang-undang praMerdeka, untuk dibaca selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

— BERNAMA



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons