Empat finalis layak ke pentas akhir Mentor Otai – Hiburan


SHAH ALAM 22 April – Selepas lima minggu bertanding, empat peserta, Elvina, Azee, AJ dan Alina berjaya melangkah ke peringkat akhir Mentor Otai selepas bertanding di pentas separuh akhir yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di sini, malam ini.

Keempat-empat mereka merupakan protege kepada empat orang Mentor iaitu Misha Omar, Zarul Husin, Tam Spider dan Sarah Raisuddin.

Protege kedua kepada Zarul, Lokman terpaksa akur apabila persembahannya membawakan lagu Di Alam Fana Cinta nyanyian asal kumpulan Fotograf dan Lagu Jiwa Lagu Cinta berduet bersama mentornya gagal menambat hati juri, sekali gus menggagalkannya layak ke pentas akhir.

Program yang dihoskan Haziq dan Elly Mazlein itu memberikan kuasa kepada juri tetap iaitu Edry Abdul Halim dan Mark Adam sebanyak 50 peratus serta juri awam mewakili 20 peratus markah keseluruhan, manakala undian penonton secara atas talian 30 peratus. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Tiada Kelab Hiburan Di Wilayah Persekutuan ‘Kebal’ – MYNEWSHUB


KUALA LUMPUR – Tiada kelab hiburan yang dibuka di dalam Wilayah Persekutuan ‘kebal’ daripada undang-undang, tegas Ketua Penyelaras Operasi Bersepadu Banteras Aktiviti Haram (Op BAH), Azman Mahmood, bagi menyangkal dakwaan bahawa kelab hiburan kebal daripada tindakan undang-undang.

“Di seluruh Wilayah Persekutuan ada kira-kira1,800 kelab yang perlu kita periksa dan kesemua kelab ini akan kita pergi.

“Salah tetap salah, tindakan tetap akan diambil. Istilah kebal memang tidak ada,” tegas beliau selepas mengetuai operasi serbuan di sebuah kelab malam terkemuka, di sini hari ini.

Op BAH Siri 44 bermula pukul 1 pagi itu membabitkan 405 pegawai dan anggota daripada 28 agensi kerajaan serta 19 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pemeriksaan mendapati tiga orang positif dadah jenis meth.

Sepuluh orang diperintahkan hadir ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk siasatan di bawah Akta 559 Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan.

​​​Premis berkenan juga didapati gagal mempamerkan nama dan nombor pendaftaran syarikat pada resit yang dikeluarkan kepada pelanggan dan sejumlah 30 botol arak pelbagai jenama disita di bawah peruntukan Seksyen 54(1) Akta Eksais 1976.

Fokus utama Op Bah ialah penguatkuasaan terhadap pusat siber perjudian haram, pusat urut tanpa lesen, dadah, warga asing, penyalahgunaan permit dan aktiviti maksiat.

Operasi yang dilaksanakan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu disertai 17 agensi kerajaan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan bertindak sebagai peneraju utama usaha tersebut. – BERNAMA



Source link

read more

[VIDEO] Anak jadi mangsa fitnah siber, Nora Danish tertekan – Hiburan


KUALA LUMPUR 19 April – Luluh hati seorang ibu apabila anak yang baru dilahirkan turut menjadi mangsa wira papan kekunci yang tanpa rasa bersalah mengecam dan mengutuk bayi comel itu.

Tertekan dengan tindakan segelintir netizen, pelakon popular Nora Danish mengakui, sedih dan terkilan apabila anaknya, Neyqal menjadi mangsa kecaman.

“Sebelum ini, saya selalu kasihan dan terkilan apabila anak selebriti lain dikecam oleh segelintir netizen. Tapi apabila anak sendiri juga menjadi mangsa, saya terkejut dan sangat sedih,” katanya yang ditemui semasa pelancaran salonnya, Karva di sini hari ini. 

Ikuti temubual Utusan Online dengan Nora Danish dalam video yang disiarkan. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Anak difitnah penjual kucing, Rita Rudaini berang – Hiburan


KUALA LUMPUR 19 April- Pelakon popular Rita Rudaini melalui laman sosial Instagramnya meminta para pengikutnya berhati-hati membeli kucing daripada seorang wanita yang sebelum ini telah menipu menerusi jual beli haiwan itu

Jelasnya, menerusi pengalaman berurusan dengan wanita terbabit, dia bukan sahaja diberi kucing yang sakit tetapi anak-anaknya turut difitnah menyebabkan kematian kucing tersebut.


Menurut Rita, 42, pada mulanya dia tidak berniat untuk berkongsi kejadian tersebut di laman sosialnya memandangkan perkara itu sudah lama berlaku.


Bagaimanapun apabila mendapat tahu wanita terbabit telah memfitnah anak-anaknya, dia membuat keputusan untuk berkongsi dengan khalayak mengenai kejadian sebenar yang berlaku.

Aktres itu berharap perkongsian kisah sebenar ini akan membantu khalayak daripada ditipu wanita yang sama. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

[VIDEO] Tabung kanser untuk Elyana, tabung untuk rockers otai – Hiburan


KUALA LUMPUR 19 April – Umpama judul lagu Tak Tercapai Akalmu, tiada sesiapa yang dapat memahami perasaan dan penderitaan yang ditanggung oleh penyanyi Elyana atau nama sebenarnya, Erneelya Elyana Emrizal yang disahkan menghidap kanser limfoma.



ELYANA

ELYANA

Beliau bukan sahaja memerlukan bantuan kewangan tetapi yang lebih penting, pelantun lagu berjudul Diriku Tapak Sulaiman ini memerlukan sokongan emosi daripada keluarga, rakan-rakan dan masyarakat.

Walaupun Elyana tidak pernah menagih simpati tetapi beliau mengaku, apabila menghidap kanser limfoma lebih tujuh tahun lalu, segala wang ringgit yang ada dalam simpanannya disalurkan untuk perubatan terutamanya bagi menampung kos untuk menjalankan kimoterapi dan pembelian suplement yang bersesuaian bagi dirinya.

Kecekalan semangat yang ada pada diri Elyana untuk terus hidup bersama anak dan suami serta keluarga membuatkan penyanyi lagu Kalis Rindu itu masih ada sehingga ke hari ini.

Oleh itu, apabila hari ini, pihak Kementerian Pendidikan (KPM) mengujudkan Tabung Kanser Elyana, artis yang pernah menyertai program realiti televisyen, Gegar Veganza musim keempat ini terharu dengan keprihatinan yang diberikan kepada dirinya.

“Saya rasa terharu kerana ada orang yang prihatin diri saya disayangi. Sebagai pesakit kanser, ini meningkatkan semangat saya dan secara tidak langsung, ia menyembuhkan sedikit diri ini.

“Bagi saya, sumbangan masyarakat ke atas penghidap kanser tidak semestinya dari segi kewangan tetapi yang lebih kami utamakan ialah kata-kata semangat untuk meneruskan kehidupan.

“Maklumlah, orang akan beranggapan apabila seseorang itu disahkan menghidap kanser, ini adalah penyudah atau penamat kepada sebuah kehidupan,” kata Elyana kepada wartawan Utusan Online ketika ditemui usai majlis pelancaran Tabung Kanser elyana dan Tabung Amal Silaturahim Rakan-Rakan Rockers Otai Klang sempena Karnival Puspanita Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2018.

Turut hadir pada majlis pada petang tadi, Pengerusi Puspanita Cawangan KPM, Datin Seri Azizah Sulaiman dan artis-artis yang mewakili rockers otai Klang iaitu Korie, Poey dari kumpulan Sting dan Wan dari kumpulan Fair.

Elyana berkata, dengan adanya Tabung Kanser Elyana itu, beliau berniat mahu membantu para pesakit kanser yang lain kerana sekurang-kurangnya, duit yang ada, sedikit sebanyak mengurangkan beban kewangan dan memberi harapan kepada penghidap kanser.

Kata Elyana lagi, beliau seboleh-bolehnya mahu mengikis tanggapan dan pandangan orang ramai bahawa pesakit kanser tidak mempunyai harapan untuk hidup yang panjang.

“Saya kembali di persada seni atas dorongan para peminat. Maka itulah, saya berjanji kepada diri sendiri untuk membantu pesakit kanser yang lain dengan mengadakan aktiviti bukan sahaja untuk pesakit kanser dewasa tetapi juga yang melibatkan pesakit kanser dalam kalangan kanak-kanak.

“Aktiviti itu akan melibatkan juga kaum keluarga pesakit kanser kerana mereka ini adalah penyokong dan pendorong semangat kepada ahli keluarga yang menghidap kanser. Keluarga ini penting dan mereka juga memerlukan sokongan emosi dan moral.

“Dengan tertubuhnya Tabung Kanser Elyana ini bukanlah untuk saya meraih simpati tetapi saya terima dengan hati yang terbuka dan amat menghargai Puspanita KPM,” ujarnya.

Dengan pelancaran tabung tersebut, pada 12 Mei nanti bertempat di Putrajaya, Puspanita KPM akan mengadakan Karnival bertemakan Hargai Wanita dan Wanita Perkasa kerana wanita juga memacu pembangunan negara.

Pada hari itu nanti, disasarkan 15,000 penyertaan pelbagai acara termasuk Srikandi Run 2018 ataupun Larian Srikandi 2018 yang mana bayaran penyertaan larian itu nanti, RM1 setiap peserta akan disalurkan ke Tabung Kanser Elyana.

Bagi orang ramai yang mahu menyalurkan bantuan kewangan kepada Tabung Amal Silaturahim Rakan-Rakan Rockers Otai Klang, boleh berbuat demikian dengan menyalur terus kepada Warisan Sound di akaun CIMB, 8002856072.

Kedua-dua tabung berkenaan dibuka sehingga hari karnival berlangsung. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

[VIDEO] Kumpulan KRU dibubarkan – Hiburan


KUALA LUMPUR 18 Apr.- Selepas 25 tahun menghiburkan peminat, kumpulan popular, KRU yang dianggotai tiga beradik, Datuk Norman, Yusry dan Edry mengumumkan mereka bakal membubarkan kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 1992 pada 6 Mei ini.

Dalam satu sidang akhbar, Yusry berkata, Konsert Gergasi 25 KRU yang bakal berlangsung bermula 4 hingga 6 Mei ini merupakan konsert terakhir sebelum kumpulan itu mengucapkan selamat tinggal kepada dunia muzik tempatan.

“Kami rangkumkan 25 tahun penglibatan kami dalam industri dengan konsert terakhir ini. Kami akan membubarkan KRU pada malam terakhir konsert itu.

“Kami juga akan melancarkan single baharu, Tahan Lama pada 30 April nanti sebagai lagu selamat tinggal,” kata Yusry lagi.

Dalam pada itu, Norman yang menahan sebak mengucapkan terima kasih kepada semua peminat dan pihak yang selama ini menyokong karier KRU. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Liza Hanim bertemu Radja dalam Jom Chat malam ini – Hiburan


KUALA LUMPUR 18 April – Penyanyi wanita tanah air, Liza Hanim akan muncul dalam segmen bual santai secara live, Jom Chat di Utusan Online pada pukul 9 malam ini bersama kumpulan yang mempunyai banyak lagu hits dari Indonesia, Radja.



liza hanim

LIZA HANIM

Pelantun lagu berjudul Gelisah Mimpi ini telah melahirkan single terbaharunya berjudul Mimpi selepas setahun tidak tampil dengan single baharu.

Antara lagu popular Liza Hanim selain daripada Gelisah Mimpi ialah Getaran Cinta Di Jiwa, Ku Idamkan rindu, Merawat Luka Terpadam, Egoismu dan banyak lagi.

Perkembangan karier nyanyian Liza Hanim tidak menghalangnya untuk menguruskan syarikat pengiklanan miliknya. Justeru selepas segala kesibukan yang ditempuh oleh penyanyi ini termasuk menyertai pertandingan realiti televisyen, pada 28 Februari lalu, akhirnya single berjudul Mimpi berada di pasaran.

Bagi kumpulan Radja yang berasal dari Banjarmasin, mereka juga tampil dengan single terbaharu berjudul Malaikat Cinta yang mana single itu telahpun diedarkan untuk pasaran negara jiran itu.

Radja yang dibarisi oleh vokalisnya, Ian, Indra, Moldy dan Seno selaku pemain dram, lagu-lagu popular mereka antaranya, Jujur, Aku Ada Karena Kau Ada, Benci Bilang Cinta, Ta’kan Melupakanmu dan banyak lagi

Selain daripada kehadiran single, baik Liza Hanim mahupun Radja, mereka mempunyai sesuatu untuk diuar-uarkan kepada seluruh pelayar Utusan Online yang saban minggu, setiap Rabu menerusi segmen #jomchat2018 selama sejam, bermula pukul 9 sehingga pukul 10 malam.

Segmen live Jom Chat dihoskan oleh Apak. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Peminat fanatik direman tiga hari ugut Maya Karin – Hiburan


KUALA LUMPUR 17 April – Aktres Terbaik Anugerah Skrin 2016, Maya Karin, 39, mendedahkan dia pernah diugut oleh seorang peminat berusia dalam lingkungan 20-an sehingga menyebabkan wanita itu ditahan polis, sekali gus didakwa di mahkamah.

Menurut pelakon filem Nota itu, pada Ogos tahun lalu, dia telah diganggu di laman sosial Facebook dan Instagram dengan kata-kata berbaur ancaman serta ugutan.

“Wanita itu bukan sahaja mengugut saya, tetapi ahli keluarga terdekat juga terkena tempias ugutannya.

“Walaupun dia cuma menghantar pesanan menerusi laman sosial, gangguan yang dilakukan boleh dikatakan melampaui batas susila seorang manusia.

“Perkara tersebut berlarutan selama beberapa bulan sehinggalah saya membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail pada penghujung tahun lalu,” katanya berkongsi cerita.

Tambah Maya, selepas pihak polis melakukan siasatan lanjut, seorang wanita telah ditahan reman selama tiga hari awal tahun ini di Melaka sebelum dibawa ke muka pengadilan.

Katanya, wanita tersebut mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya dan hakim mengenakan hukuman denda atas kelasahan yang dilakukannya.

Pun begitu, meskipun pesalah tersebut telah dikenakan hukuman, Maya masih musykil dengan tindak-tanduk wanita itu, apatah lagi dia langsung tidak mengenalinya.

“Mengikut siasatan polis, motif wanita itu agak samar dan kurang jelas, cuma difahamkan, dia adalah seorang peminat fanatik dan juga berstatus ibu,” dedah Maya.

Maya berkata demikian sewaktu ditemui selepas majlis pelancaran menghadiri majlis pelancaran Kempen Tanggungjawab Sosial Akhiri Buli Siber dan Penyebaran Berita Palsu di KLPAC, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

 



Source link

read more

Tempias KLSF lonjakkan lagu nyanyian Black Hanifah – Hiburan


PETALING JAYA 17 April – Kutipan pecah panggung yang diraih KL Special Force (KLSF) bukan sahaja memberi impak terhadap para pelakon filem tersebut, malah turut dirasai oleh penyanyi Black Hanifah, 31, meskipun kelibatnya tidak kelihatan menerusi karya arahan Syafiq Yusof itu.

Bergandingan dengan Syamsul Yusof menyanyikan lagu runut bunyi (OST) berjudul Selamat Tinggal Masa, Black akui pengalaman bekerjasama dengan bintang utama KLSF itu amat berbeza memandangkan pelakon tersebut cukup cerewet dalam mengutamakan kesempurnaan.

“Tak dinafikan, semua orang mahu nampak sempurna. Akan tetapi mengenali Syamsul, dia seorang yang sangat obses dengan kesempurnaan.

“Dari situ, banyak yang saya belajar daripadanya. Cerewet bukan membawa maksud negatif, tetapi mendidik saya untuk melakukan sesuatu pada tahap maksimum supaya dapat hasil yang terbaik.

“Jadi, patutlah selama ini filem-filem yang dihasilkannya berjaya mencatat rekod box-office sehingga mencecah jutaan ringgit,” katanya kepada Utusan Online.

Mengulas tentang klip video Selamat Tinggal Masa yang mencapai lebih sejuta kali tontonan setelah sebulan setengah dimuat naik di YouTube, Black berbangga kerana catatan itu amat memberangsangkan.

Menurut Black, jumlah tontonan tersebut antara rekod terbaik pernah dicapainya dalam tempoh singkat sejak bergelar penyanyi hampir sedekad lalu.

Justeru, Black berharap lagu ciptaan Syamsul, manakala lirik ditulis oleh Dr. Anwar Fazal itu terus diterima baik pendengar muzik tempatan sehingga mampu mara ke peringkat tertinggi.

Sejak mula ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 8 Mac lalu, KLSF telah mencatat hasil jualan tiket melebihi RM12 juta berdasarkan laporan Finas pada 12 April lalu. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Sherry Ibrahim tekad sorok kehidupan peribadi – Hiburan


PETALING JAYA 16 April – Dikhabarkan sedang menjalin hubungan cinta, pelakon dan penyanyi Sherry Ibrahim, 35, mengambil keputusan untuk lebih mengutamakan kerjaya seninya di samping fokus menguruskan perniagaan produk kosmetiknya, Deeja Cosmetic berbanding kisah peribadi.

Ketika meraikan ulang tahun ketiga syarikat pengeluar produk kecantikan berkenaan semalam, Sherry memberitahu, dia kurang gemar bercerita tentang kehidupan peribadinya itu apatah lagi hubungan tersebut masih baharu.

“Hubungan kami masih berada pada fasa saling mengenali antara satu sama lain. Jadi, lebih baik saya simpan saja kisah ini untuk diri sendiri.

“Jika ada perkembangan terhadap hubungan ini, barulah saya sedia untuk berkongsi kepada semua terutama peminat,” katanya menetapkan pendirian.

Tambah Sherry atau nama sebenarnya Syarizad Ibrahim menegaskan, dia tidak akan mendedahkan gerangan kekasih hatinya sehinggalah hubungan mereka berada pada satu tahap yang lebih serius.

“Andai ditakdirkan dia adalah jodoh saya, jangan risau, saya sendiri akan beritahu nanti. Iyalah, perkara yang baik buat apa nak sorok,” janjinya.

Sherry menambah, Rabu ini dia bakal melancarkan koleksi tudung di bawah jenamanya sendiri iaitu Sherry Scarves.

“Ini adalah cabang baharu perniagaan saya dan berharap segala-galanya dipermudahkan,” pintanya memanjatkan doa dan harapan. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more