Israel tahan enam rakyat Palestin – Luar Negara


BAITULMUQADDIS 18 Feb. – Israel menahan enam rakyat Palestin yang didakwa terlibat dalam serangan disasarkan terhadap Menteri Pertahanan Avigdor Lieberman dan penduduk Israel lain di Tebing Barat, menurut agensi keselamatan Shin Bet.

Shin Bet berkata keenam-enam suspek disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan militan jihad Islam dan aktif di kawasan Bethlehem.

Tambah agensi tersebut, kesemua suspek tersebut merancang untuk menyerang kenderaan Lieberman ketika beliau pulang ke rumahnya di Tebing Barat.

Berdasarkan kenyataan Shin Bet, suspek juga turut cuba mendapatkan bahan letupan bagi membuat bom dan meminta dana daripada pihak tidak diketahui di Gaza.

Dalam perkembangan berlainan, dua rakyat Palestin maut dalam insiden tembakan dilancarkan rejim Zionis di timur Semenanjung Gaza semalam, menurut sumber perubatan Palestin seperti dipetik oleh agensi berita rasmi China, Xinhua.

Agensi terbabit melaporkan kru perubatan menjumpai dua mayat remaja iaitu Salam Sabah dan Abdullah Abu Sheikha, masing-masing berusia 17 tahun itu hari ini.

Menurut jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qadra dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua mayat itu kemudiannya dibawa ke hospital di Rafah, selatan Gaza.

Berdasarkan beberapa saksi, kedua-duanya ditembak berdekatan dengan sempadan negara itu. – AFP



Source link

read more

Rakyat Israel protes desak Netanyahu letak jawatan kerana rasuah


TEL AVIV: Ribuan rakyat Israel keluar beramai-ramai untuk menjalankan protes jalanan bagi mendesak Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu meletakkan jawatan selepas polis mencadangkan agar dia didakwa atas dua kes rasuah.

Sumber polis pada Selasa berkata, mereka mempunyai cukup bukti untuk mendakwa Netanyahu, sekali gus menjadi tamparan hebat buat ketua negara itu sepanjang empat penggal mendominasi politik Israel.

Netanyahu, 68, menafikan sebarang kesalahan dalam kedua-dua kes dan yakin menyatakan bahawa tiada yang akan berjaya dibongkar dalam siasatan polis.

Hal itu kini diserahkan kepada Peguam Negara, untuk menentukan sama ada pendakwaan akan diteruskan.

Orang ramai menjalankan protes mereka di Dataran Tel Aviv sebagai simbol bantahan terhadap Netanyahu. - Reuters

Di Dataran Tel Aviv, sekitar 1,000 hingga 2,000 pemprotes berarak bersama sepanduk yang memaparkan kata-kata seperti “orang bersalah sila pulang” dan “menteri jenayah”.

“Kami rasa perdana menteri perlu segera letak jawatan. Dia tidak lagi boleh menjadi perdana menteri Israel,” ujar pesara guru muzik Shlomit Bar, 63.

Bagaimanapun, tiada keperluan dari sudut perundangan yang memerlukan perdana menteri mengundurkan diri dalam kes itu melainkan sudah didakwa di mahkamah.

“Dari segi moral, ini memalukan Israel. Apabila perdana menteri menjadi suspek jenayah serius. Dia harus pulang saja. Cukup!” ujar seorang lagi pemprotes, Oren Simon.

Satu tinjauan pendapat yang disiarkan pada Rabu menunjukkan hampir separuh pengundi di Israel mempercayai polis berbanding Netanyahu.

Tinjauan pendapat itu disiarkan menerusi saluran komersial Reshet, dengan 49 peratus responden menyebelahi versi polis bahawa Netanyahu telah melakukan sesuatu di luar batasan.

Baki 26 peratus pula berkata, mereka tidak tahu siapa yang harus dipercayai.

Antara kes yang dinyatakan dalam dakwaan itu adalah Netanyahu merupakan suspek yang terlibat dalam penerimaan hadiah, termasuk cerut, syempen dan barang kemas daripada golongan usahawan.

Dalam satu kes lagi, Netanyahu dikatakan terlibat dalam perbincangan dengan pihak akhbar terlaris Israel, supaya diberikan liputan menyeluruh tentang dirinya, sebagai balasan mengekang operasi syarikat akhbar pesaing.

Peguam negara dijangka mengambil masa berbulan-bulan untuk menembuat keputusan sama ada pendakwaan itu akan diambil ke atas Netanyahu.



Source link

read more

Polis Israel syor Netanyahu dikenakan pertuduhan rasuah



JERUSALEM: Polis Israel pada Selasa mengesyorkan agar pertuduhan rasuah, penipuan dan pecah amanah dikenakan terhadap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dalam dua kes berasingan, lapor agensi berita China Xinhua.

Selepas menjalankan siasatan selama sebulan, polis telah menyerahkan syor mereka kepada Peguam Negara Israel, Avichai Mandelblit, yang akan memutuskan sama ada perdana menteri itu perlu didakwa atau sebaliknya.

Dalam satu kenyataan rasmi, polis menyebut mereka telah merumuskan bahawa terdapat “bukti yang mencukupi” terhadap Netanyahu dalam kedua-dua kes.

Dalam kes pertama, yang digelar polis sebagai “kes 1000,” Netanyahu didakwa telah menerima rasuah daripada seorang ahli perniagaan Israel dan taikun Hollywood, Arnon Milchan, serta seorang ahli perniagaan Australia, James Packer.

Polis berkata antara tahun 2007 dan 2016, Netanyahu dan keluarganya telah menerima barangan berupa cerut mahal, champagne dan barang kemas bernilai kira-kira sejuta shekel (US$282,800).

Susulan pemilihan semula Netanyahu sebagai perdana menteri pada 2009, “skop dan kekerapan pemindahan barangan terbabit semakin meningkat dengan ketara,” menurut kenyataan itu.

Sebagai balasan, Netanyahu didakwa telah mendekati pegawai Amerika Syarikat (AS) dan meminta mereka melanjutkan visa Milchan ke AS.  

Beliau turut didakwa mempromosi satu undang-undang yang memberikan pengecualian cukai kepada penduduk Israel yang kembali ke tanah air selepas tinggal di luar negara lebih 10 tahun, dikenali sebagai “Rang Undang-Undang Milchan,” selain membantu Milchan mempromosi pelaburannya dalam media Israel.

Dalam satu lagi kes, digelar “kes 2000,” Netanyahu didakwa menerima rasuah daripada Arnon Mozes, penerbit Yedioth Aharonoth, yang merupakan antara akhbar terbesar Israel.

Polis berkata Netanyahu dan Mozes telah mengadakan rundingan berkaitan satu “perjanjian pertukaran,” yang menyaksikan Netanyahu akan diberi liputan yang memuaskan oleh Yediot Aharonot sebagai balasan mempromosi undang-undang itu dan langkah-langkah lain yang akan mengehadkan pengedaran Israel Hayom, pesaing utama Yedioth.

Netanyahu berkata beliau tidak bersalah dalam sebuah kenyataan video yang disiarkan dalam semua saluran utama di negara itu dan menerusi halaman Facebooknya.

Beliau mendakwa polis telah melakukan siasatan itu dalam usaha untuk menggulingkannya.

Anggota parlimen pembangkang telah menggesa Netanyahu meletak jawatan kerana mendakwa beliau tidak mampu melakukan tugasannya kerana berdepan dengan kecurigaan yang serius.

Bagaimanapun, sumber yang rapat dengan Netanyahu berkata beliau akan meletak jawatan sekiranya beliau didapati bersalah oleh mahkamah.

— BERNAMA



Source link

read more

Tamimi yang menampar tentera Israel pernah dipuji Erdogan


TEBING BARAT: Perbicaraan remaja perempuan Palestin, Ahed Tamimi, yang ditahan selepas menyepak dan menampar tentera Israel, dibuat secara tertutup oleh mahkamah tentera Israel pada Selasa.

Tamimi menghadapi 12 dakwaan termasuk menyerang anggota tentera dan mendatangkan kekerasan.

Bagaimanapun, keluarga Tamimi mahukan perbicaraan dijalankan secara terbuka.

Individu dewasa yang didapati bersalah menyerang anggota tentera boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Namun, ia tidak akan berlaku ke atas pesalah juvana.

Ahed Tamimi, 17 tahun, ditahan selepas rakaman video beliau menampar tentera Israel di luar rumahnya  pada 15 Disember lalu menjadi viral.

Remaja terbabit dianggap sebagai wira oleh rakyat Palestin kerana berani bertindak ke atas rejim anggota zionis itu.

Bagi mereka, Tamimi adalah ikon nasional dan diangggap sebagai simbol penentangan ke atas pendudukan Israel.

Tamimi pernah gigit tangan tentera israel ketika berusia 11 tahun . - Foto AP

Dua tahun lalu, video dia menggigit tangan tentera turut viral, yang membuatnya dipuji oleh pemimpin Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Sementara itu, penggiat hak asasi dunia menyatakan sistem perundangan Israel tidak mempunyai peruntukan untuk melindungi pesalah di bawah umur selain tiada jaminan proses perbicaraan yang adil.



Source link

read more

Tembak jatuh pesawat Israel provokasi terbesar sejak perang 1982 – Rejim


BAITULMAQDIS: Tentera rejim Israel menganggap tindakan menembak jatuh sebuah pesawatnya oleh Syria pada Sabtu sebagai satu provokasi yang disifatkan sebagai satu ‘serangan paling signifikan’ oleh pihak lawan sejak Perang Lubnan 1982.

Maklum seorang pegawai kanan tentera rejim, Jeneral Tomer Bar, pesawat jenis F-16 terbabit ditembak jatuh sebagai tindak balas terhadap tindakan rejim melancarkan beberapa serangan di Syria susulan aporan kononnya sebuah dron milik Iran telah dihantar  ke wilayah Israel.

“Serangan sebagai tindak balas gelombang kedua serangan yang mensasarkan tentera Syria dan Iran yang beroperasi di negara itu (Syria),” katanya.

Dua juruterbang berjaya menyelamat diri selepas melonjakkan diri menerusi kerusi anjal sebelum pesawat terhempas di utara Israel.

Antara serpihan peluru yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat pejuang F-16 tentera Syria. - Foto: REUTERS

Bagaimanapun mereka mengalami kecederaan dengan salah seorangnya dilaporkan kritikal.

Kumpulan Hezbollah yang disokong Iran berkata, tindakan menjatuhkan pesawat itu merupakan “permulaan fasa strategik baru” yang akan menghalang keupayaan Israel menceroboh ruang udara Syria.

Penglibatan Iran di Syria adalah untuk menyokong Presiden Bashar al-Assad dalam perang saudara yang hampir tujuh tahun berlarutan.

Kanak-kanak di Quneitra, Syria melihat serpihan peluru bepandu yang digunakan untuk menyerang F-16. - FOTO: REUTERS

Sementara itu dalam reaksi segeranya, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bergegas ke ibu pejabat tentera di Tel Aviv dan berkata rejim tekad untuk membalas tindakan itu.

“Israel mencari keamanan tetapi kami akan terus mempertahankan diri dengan tegas terhadap sebarang serangan terhadap kami atau sebarang cubaan oleh Iran untuk menentang kami di Syria,” ujar Netanyahu dalam kenyataan menerusi televisyen.

Rusia yang mula campur tangan dengan berpihak kepada rejim Presiden Syria Bashar Assad pada 2015, menyatakan kebimbangannya dengan perkembangan terbaharu ini dan menggesa kedua-dua pihak untuk mengekalkan keamanan dan mengelakkan peningkatan serangan.



Source link

read more

21 rakyat Palestin terkorban sejak Trump iktiraf Baitulmaqdis milik Israel



NABLUS: Sekurang-kurangnya 21 orang rakyat Palestin gugur di muncung senjata rejim Zionis sejak Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

Terbaharu Khalaed Tayeh, remaja 19 tahun yang meninggal dunia selepas bertempur dengan tentera Yahudi di Tebing barat pada Rabu.

Kejadian berlaku ketika tentera rejim menyerbu kediaman penduduk Palestin bagi mencari suspek yang menikam mati seorang lelaki Israel di sebuah perhentian bas tidak jauh dari pintu masuk penempatan di Ariel.

Ratusan penduduk Palestin di Nablus menghadiri majlis pengebuman remaja ini.

Trump pada 6 Disember 2017 dengan angkuh mengumumkan akan memindahkan kedutaan AS ke Baitulmaqdis selepas mengiktiraf kota suci itu sebagai ibu negara Israel.

Keputusan itu mengundang bantahan negara Islam malah perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 22 Disember mengisytihar keputusan AS itu sebagai tidak sah dan terbatal.

Baca: Amerika Syarikat secara rasmi iktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel

Baca: PBB batal pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel



Source link

read more

Israel benarkan pembinaan penempatan Tebing Barat – Nasional


TEL AVIV 5 Feb. – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, semalam memberikan kebenaran rasmi meneruskan pembinaan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat sebagai tindak balas kepada pembunuhan seorang pendeta Yahudi yang menetap di situ bulan lalu.

“Kerajaan akan menilai semula status Havat Gilad untuk membolehkan kehidupan normal diteruskan di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian pada permulaan mesyuarat Kabinet, merujuk kepada penempatan di Tebing Barat.

Agenda rasmi Kabinet menyatakan menteri akan mendengar usul menetapkan kawasan berusia 15 tahun itu sebagai ‘komuniti baharu’ yang mempunyai permit bangunan dan bajet.

Kira-kira 50 keluarga menetap di pangkalan luar itu. – AFP



Source link

read more

Rejim Israel menagih simpati daripada Rusia



MOSCOW: Israel bertegas ia tidak akan menerima kehadiran tentera Iran di sepanjang sempadan utara di Syria dan Lubnan, kata Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada Isnin.

Katanya, beliau telah menyampaikan perkara itu kepada Presiden Russia Vladimir Putin ketika mereka mengadakan perbincangan di sini.

Beliau telah bertemu Putin berkali-kali sejak beberapa bulan kebelakangan bagi membincangkan realiti baru Syria pasca perang, khususnya ancaman yang mungkin ditimbulkan Iran di perbatasan.

Israel telah lama mengenal pasti Iran sebagai ancaman terbesarnya, memetik program nuklear yang disyaki dijalankannya, pembangunan peluru berpandu jarak jauh dan retorika bermusuhan.

Bagiamanapun, dengan peperangan di Syria yang semakin reda, Israel mula gusar dan takut akan penubuhan ‘koridor’ Syiah, dengan adanya hubungan darat dari Iran ke Lubnan, yang membolehkan pergerakan pejuang dan senjata merentasi wilayah itu.

Malah Israel menyifatkan pejuang Hezbollah adalah ancaman besar buat negara itu apabila belum lagi menunjukkan tanda-tanda menghentikan serangan di Syria itu sejak 2006 dan juga di bumi Israel.



Source link

read more

Dua lelaki warga Israel ditahan kes bunuh ala Mafia



BANGKOK: Dua lelaki warganegara Israel ditangkap di Lapangan Terbang Don Mueang di sini, hari ini kerana disyaki melakukan pembunuhan ala gengster terhadap seorang lelaki senegara mereka di Koh Samui pada Ahad lepas.

Penangkapan Dolev Zuarez, 24 tahun, dan Eyal Bokal, 26, mengakhiri operasi memburu besar-besaran yang dilancarkan pihak berkuasa Thailand berikutan pembunuhan Maor Malil, 34, yang dirakam kamera litar tertutup berhampiran tempat kejadian.

Polis mengesahkan penangkapan dua lelaki itu di lapangan terbang berkenaan pagi ini, lapor media tempatan, yang turut mendakwa bahawa pembunuhan itu adalah susulan konflik antara suspek dan mangsa.

Media tempatan juga melaporkan bahawa dua lelaki berkenaan adalah anggota geng Mafia yang telah menjejaki Maor dari Israel.

Pada hari kejadian, kedua-dua suspek itu yang menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) telah merempuh motosikal yang ditunggang mangsa dan teman wanitanya dari belakang hingga mereka terjatuh.

Seorang daripada suspek kemudian turun daripada kenderaan itu dan mengejar mangsa di tengah-tengah kesibukan lalu lintas di Koh Samui sebelum menikamnya beberapa kali.

Mangsa diisytihar mati di sebuah hospital tempatan manakala teman wanitanya mengalami kecederaan.



Source link

read more

Israel mohon maaf atas kematian dua warga Jordan



ISRAEL secara rasmi memohon maaf di atas kematian dua rakyat Jordan yang dibunuh oleh pengawal keselamatan Israel pada akhir Julai yang lalu.

Kejadian tersebut telah membawa kepada penutupan kedutaan Israel di Amman.

Menurut jurucakap Kerajaan Jordan, Mohammad al-Momani, Kementerian Luar Negeri Israel telah menghantar satu memorandum bagi meluahkan rasa “kekesalan dan mohon maaf” di atas kejadian tersebut dan berjanji akan mengambil tindakan undang-undang, lapor agensi berita Petra.

Rentetan itu, Jordan tidak membenarkan Israel membuka semula Kedutaan Israel sehingga prosiding undang-undang dikenakan ke atas pengawal keselamatan Israel tersebut.

Pejabat Perdana Menteri Israel turut berkata akan menjalankan operasi secara penuh dengan segera di kedutaan tersebut.

Selain itu, kejadian pembunuhan tersebut telah mengganggu gugat hubungan antara Israel dan Jordan, satu daripada dua negara Arab yang mempunyai hubungan aman dengan Israel.

Kedua negara tersebut mempunyai sejarah panjang berkaitan keselamatan.

Kedutaan tersebut ditutup selepas tindakan Israel membebaskan pengawal keselamatan tersebut menggunakan imuniti diplomatik bagi mengelakkan pihak berkuasa Jordan menyoal siasat dan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Kedutaan Israel bersama kakitangannya telah dikeluarkan.

Jordan menegaskan sekalipun pengawal keselamatan tersebut mempunyai imuniti diplomatik, tidak semestinya dia selamat daripada dihukum.



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons