TPM Thailand sedia letak jawatan jika didapati bersalah oleh badan pencegahan rasuah


BANGKOK: Timbalan Perdana Menteri Thailand Jen Prawit Wongsuwan bersedia untuk meletak jawatan daripada kerajaan jika badan pencegahan rasuah negara itu mendapatinya bersalah berhubung dakwaan memiliki jam tangan mewah.

Beliau menggesa semua pihak supaya menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Thailand (NACC) menjalankan siasatan mengenai perkara itu.

“Biarlah NACC menyiasat perkara itu, jika saya bersalah, maka saya akan meletak jawatan,” kata beliau kepada media selepas menghadiri mesyuarat mingguan kabinet di Rumah kerajaan di sini hari ini.

Prawit yang bercakap buat kali pertama mengenai kontroversi yang menyelubungi jam tangan mewah yang dikatakan miliknya berkata beliau tidak berasa paranoid terhadap kontroversi itu tetapi sebaliknya mengukuhkan komitmen kerajaan untuk memerangi rasuah di negara itu.

Menurut Prawit, yang juga Menteri Pertahanan, jam tangan yang dipersoalkan itu ialah milik kawan-kawannya yang meminjamkan aksesori mewah untuk beliau memakainya sebelum memulangkan jam tangan itu kepada pemilik yang sah.

“Saya mempunyai kawan-kawan, mereka meminjamkan jam tangan itu kepada saya, itu sahaja dan saya memulangkannya,” kata Prawit.

— BERNAMA



Source link

read more

Jangan tadbir badan sukan jika tiada program pembangunan


PERSATUAN Sukan Luncur Beroda Malaysia (MARS) merupakan sebuah badan sukan baharu yang sangat aktif dalam sukan luncur beroda dan juga ekstrem, di bawah pimpinan bekas pemain in-line, Idroose Tambarin.

Beliau berjaya mengatur pelbagai program pembangunan atlet dan kursus akreditasi kejurulatihan bagi sukan di bawah perlembagaannya selain menganjurkan festival sukan ekstrem antarabangsa, FISE di Langkawi pada 2014 dan 2015.

Setakat ini, tiada badan sukan lain yang aktif dalam pembangunan sukan ekstrem dan luncur beroda ini selain MARS, selepas berkuburnya ESAM, sebuah persatuan sukan ekstrem yang pernah menganjurkan Asian X Games di Kuala Lumpur sebanyak empat kali.

Bagi Idroose, yang kini memegang jawatan timbalan Presiden MARS, pendekatan untuk pembangunan sukan harus berubah selaras dengan generasi kini dan berpaksikan amalan yang sama yang diguna pakai badan sukan antarabangsa.

Persatuan sukan yang tiada struktur program pembangunan dari peringkat akar umbi sehingga profesional walaupun sudah wujud sekian lama tidak berhak menjadi pentadbir badan sukan di bawah perlembagaannya.

“Setiap persatuan perlu ada sistem kejurulatihan, melahirkan banyak instructor (pengajar) untuk membangunkan sebuah sukan selain mewujudkan struktur atau sistem pembangunan bermula dari peringkat akar umbi ataupun sekolah,” kata Idroose yang memegang jawatan presiden MARS sejak penubuhan persatuan itu pada 2010 sehingga 2017.

“Dengan terhasilnya jurulatih atau instructor di seluruh Malaysia, penggiat sukan itu mempunyai pelbagai sumber mencari makan dengan sukan yang mereka minati,” jelas Idroose lagi.

Idroose (paling hadapan) berswafoto bersama jurulatih-jurulatih in-line skating dibawah program NRSA MARS. Gambar - MARS.

Idroose melepaskan jawatan presiden tahun lepas bagi memberi laluan dan sokongan kepada muka baharu untuk MARS mencari pendekatan baharu.

Bagi Idroose, tugas persatuan sukan tempatan bukan setakat memantau perkembangan dari atas atau menganjurkan kejohanan sekadar untuk menghantar atlet bertanding di luar negara sahaja.

Selain itu, penubuhan persatuan di Malaysia juga harus mengikut amalan yang sama seperti struktur urus tadbir dan menggabungkan sukan yang sama mengikut badan sukan antarabangsa, terutama sekali yang diiktiraf Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Ia perlu juga mempunyai sistem ranking menerusi kejohanan-kejohanan yang dianjurkan dan tidak boleh mengharapkan dana daripada kerajaan sahaja untuk menggerakan persatuan itu.

Idroose bersama barisan pelapis sukan roller speed skate semasa kejohanan TTSK8 2015. Gambar - MARS.

Tanggungjawab persatuan sukan amat besar dan pihak yang terlibat perlu mengutamakan komuniti dan sentiasa aktif, bukan sekadar mendaftar nama untuk menubuhkan sesebuah persatuan sahaja.

Sebagai contoh, Idroose menyatakan, badan yang mentadbir sukan seperti papan selaju, bmx atau in-line skating yang sering dikaitkan dengan aktiviti vandalisme atau bermain di jalanan, perlu berbincang dengan pihak berkuasa tempatan untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut dengan baik.

Antaranya, dengan menukar polisi larangan dan cuba bekerjasama dengan pemain sukan itu yang menjalani aktiviti sihat di tempat awam.

“Walaupun ada banyak gelanggang sukan ekstrem di Malaysia, budaya mereka adalah bermain di jalanan.

“Kita tidak boleh ubah cara mereka yang suka bermain di tempat awam tetapi kita boleh wujud polisi baharu dan kerjasama seperti membenarkan mereka bermain pada waktu tertentu atau bincang bagaimana mereka boleh bermain dengan selamat tanpa membahayakan orang awam.

“Persatuan sukan juga boleh bantu membaiki harta awam yang rosak akibat aktiviti sukan terbabit,” kata Idroose.

MARS merupakan persatuan sukan yang mentadbir sukan seperti speed skating, freestyle in-line, in-line hockey dan aggressive roller di Malaysia.

Idroose (paling kanan) semasa kongres FIRS di Nanjing, Mac tahun lepas. Gambar - MARS.

Di peringkat antarabangsa, MARS merupakan ahli kepada badan antarabangsa yang diiktiraf IOC iaitu World Skate (dahulu dikenali sebagai Persekutuan Sukan Luncur Beroda Antarabangsa ataupun F.I.R.S.) dan Konfederasi Sukan Luncur Beroda Asia (CARS).

“Sebuah persatuan juga tidak boleh ditubuhkan hanya untuk kepentingan peribadi dan harus memberi balik kepada komuniti. Selepas dua atau tiga tahun, sepatutnya sesebuah persatuan sudah mempunyai struktur dan sistem pembangunan yang teratur,” jelas Idroose.

Dalam World Skate, MARS diiktiraf sebagai badan tadbir yang sah untuk sukan papan selaju (skateboarding).

Pada 2013-2014, MARS menganjurkan Kejohanan Sukan Lasak Kebangsaan yang turut melibatkan papan selaju dan BMX.

Pada 2015, MARS mewujudkan sistem akreditasi jurulatih untuk sukan in-line dan juga papan selaju (NRSA) bertujuan melahirkan jurulatih sukan yang berkredibiliti.

Pada 2011 MARS menghantar atlet untuk mewakili negara dalam sukan speed skating di Sukan SEA Palembang 2011, di mana pasukan wanita membawa pulang gangsa dalam acara 3 x 3000 inline skating relay.

Pasukan in-line speed skating relay negara dapat gangsa pada Sukan SEA Palembang 2011. Gambar - MARS.

Pencapaian ini membuktikan bahawa MARS adalah sebuah badan yang aktif dan pentingkan pembangunan sukan di bawah perlembagaannya.

Dianggotai bekas atlet dan mereka yang benar-benar meminati sukan yang terlibat adalah resepi kejayaan MARS.



Source link

read more

DAP tetap ‘taiko’, bahaya jika Pakatan Harapan menang PRU-14 – Politik


KANGAR 11 Jan. – Pas melihat perkembangan politik Islam dan orang Melayu di negara ini berada dalam situasi cukup bahaya jika Pakatan Harapan yang diketuai DAP memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).



DAP tetap ‘taiko’, bahaya jika Pakatan Harapan menang PRU-14

Hashim Jasin

Kebimbangan tersebut disuarakan oleh Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin yang percaya DAP tetap akan menguasai Pakatan Harapan meskipun daripada soal pengagihan kerusi, parti itu hanya diberikan 35 kerusi Parlimen oleh gabungan tersebut.

Dalam masa sama, Hashim turut memberi contoh situasi di Perak selepas PRU-12, walaupun ketika itu wakil Pas menjadi Menteri Besar namun segala keputusan ditentukan oleh DAP yang dominan pada masa itu.

“Walaupun kita katakan PPBM dapat banyak kerusi (52 kerusi), PKR (51 kerusi) tetapi mereka akan bertanding di kawasan kubu kuat Barisan Nasional (BN) atau Pas. Kalau mereka tidak tewas dengan Pas mungkin kalah dengan BN.

“Berbanding DAP yang bertanding di kawasan selesa yang secara realitinya sudah menang. Akhirnya yang mengepalai Pakatan Harapan nanti adalah mereka (DAP) yang menang kerusi paling banyak.

“Kalau ditakdirkan Pakatan Harapan tubuh kerajaan, walaupun DAP tidak menjadi Perdana Menteri tetapi Perdana Menteri yang dipilih itu akan ikut cakap dia.

Situasi ini cukup bahaya bagi politik Islam dan orang Melayu di negara ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau mengulas pengagihan kerusi Pakatan Harapan dalam PRU-14 yang menyaksikan DAP hanya bertanding 35 kerusi berbanding PPBM (52 kerusi), PKR (51 kerusi) dan PAN (27 kerusi).

Meskipun pengagihan kerusi DAP tidak setinggi PPBM dan PKR, namun peluang DAP terus menjadi parti paling berkuasa dalam Pakatan Harapan tidak dinafikan kerana tidak menyerahkan kawasan selamat atau kubu kuat kepada parti-parti pembangkang lain.

Sementara itu menyentuh mengenai Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sementara jika Pakatan Harapan menang PRU-14, Hashim berkata, memilih Dr. Mahathir memegang kerusi No. 1 negara itu seumpama ‘bergantung pada dahan reput yang menanti masa untuk patah’.

Dalam masa sama katanya, janji Dr. Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri sementara sebelum digantikan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dilihat tidak meyakinkan selepas melihat rekod-rekod terdahulu bekas Perdana Menteri itu.

“Saya yakin rakyat tidak akan mudah lupa banyak perkara tidak menyenangkan berlaku semasa zaman pemerintahan Dr. Mahathir selama 22 tahun.

Bagi saya, dosa terbesar Dr. Mahathir apabila dia menyekat bantuan untuk sekolah-sekolah agama,” katanya.- UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Tun M ulangi kesalahan lama jika jadi PM semula


KUALA LUMPUR – Tun Mahathir Mohamad akan mengulangi semula kesalahan yang dilakukan beliau sekiranya menjadi Perdana Menteri semula.

Itu sindiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengulas pelantikan Tun M sebagai calon PM sekiranya Pakatan Harapan (PH) memerintah.

“Resolusi yg dibuat PH dalam himpunan mereka adalah resolusi yang tepat, cukup baik dan kena pada tempatnya kerana tokoh itu adalah tokoh yang cukup berjasa kepada negara selama 22 tahun.

“Dan Insya Allah jika dia diberikan tempat semula maka kesalahan-kesalahan terdahulu akan diulangi oleh beliau,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Pencegahan Jenayah di Menara Kembar Bank Rakyat hari ini.

Ahmad Zahid yang Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO memberitahu, keputusan pembangkang itu menunjukkan mereka tidak ada tokoh lain yang lebih berkaliber.

“Itu adalah satu kitar semula yang memang sedang ditunggu-tunggu oleh rakyat untuk melihat bahawa tidak ada tokoh lain yang lebih layak dalam PH selain tokoh yang cukup berjasa kepada negara untuk terus melakukan kerosakan dan kebejatan kepada negara,” katanya.

Baru-baru ini, Konvensyen PH telah sepakat memilih Mahathir sebagai calon Perdana Menteri mereka dalam perhimpunan Konvensyen PH.

Bagaimanapun, selepas pengumuman tersebut kritikan daripada pemimpin akar umbi PH semakin kuat yang menolak pencalonan Mahathir. – theRakyat.



Source link

read more

Jika terbangkan dron tak berdaftar di Thailand hukuman penjara dan denda menanti


BANGKOK: Pemilik dron yang gagal mendaftarkan peralatan mereka pada tarikh akhir pada Selasa (semalam) bakal didenda 100,000 baht (RM12,400) atau berdepan hukuman maksimum 5 tahun penjara

Agensi berita AFP melaporkan, undang-undang baharu daripada Pejabat Penyiaran dan Telekomunikasi Kebangsaan (NBTC) itu turut berkuat kuasa ke atas pelancong dan petugas media.

Peraturan tersebut, yang diumumkan Oktober lalu namun berkuat kuasa minggu ini, merangkumi semua jenis tujuan penggunaan dron termasuk komersial, rekreasi dan saintifik.

“Semua jenis dron kecuali dron mainan perlu didaftarkan,” kata NBTC, yang mengecualikan gajet seumpamanya yang seberat di bawah 250 gram.

Setakat ini, hampir 8,000 dron telah didaftarkan menerusi proses yang memerlukan lesen daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam.

Peraturan itu dilaksanakan ketika Thailand memasuki kemuncak musim pelancongan, dengan jumlah pelancong melepasi 35 juta orang.

Pada November lalu, Myanmar memenjarakan tiga wartawan dan pemandu mereka kerana menerbangkan dron di kawasan Parlimen untuk penggambaran dokumentari.



Source link

read more

[VIDEO] Politik negara tidak stabil jika Dr. Mahathir jadi PM semula – Politik


JELEBU 7 Jan. – Pemilihan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan yang diketuai DAP menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU) akan mewujudkan ketidakstabilan politik di negara ini.



Video oleh HARADIAN SHAH HAMDAN

Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ini kerana ada kemungkinan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu akan memegang jawatan buat sementara waktu sebelum digantikan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, situasi seumpama itu akan mengakibatkan pelabur asing enggan melabur di negara ini kerana bimbang dengan pertukaran pemimpin yang mungkin berlaku.

“Tak mungkin Dr. Mahathir dengan senang menyerahkan jawatan itu kepada Anwar selepas enam bulan atau setahun kerana kita tahu ada pergolakan yang berlaku antara mereka pada tahun 1998.

“Bukan senang juga untuk Anwar bersabar menunggu (jawatan itu). Ini akan wujudkan ketidakstabilan dalam negara, mata wang kita akan jatuh, pelabur tak yakin dan menyebabkan hasil negara terjejas,” katanya semasa berucap melancarkan Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Jelebu, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi BN Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias; timbalannya, Baharudin Jali; pemimpin parti-parti komponen dan kira-kira 6,000 orang ramai.

Dr. Mahathir diumumkan sebagai calon Perdana Menteri manakala Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail calon Timbalan Perdana Menteri blok pakatan pembangkang, hari ini.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin berkata, jentera BN perlu lebih bekerja keras bagi menghadapi PRU-14 yang akan diadakan dalam masa terdekat.

“Sekarang ini kita kena masuk gear paling tinggi kerana tinggal beberapa bulan lagi pilihan raya. Kena kurangkan tidur, rehat dan cuti sebaliknya kena lebihkan bekerja untuk parti.

“Sebagai orang BN kena terangkan setiap isu kepada rakyat. Jangan sampai ada perbincangan di kedai kopi dan surau tentang isu politik tetapi tidak ada orang BN yang jawab.

“Begitu juga dalam grup WhatsApp rakan-rakan sekolah dan keluarga, kalau ada isu politik kita jangan hanya jadi penumpang. Kita kena masuk kerana kita semua adalah askar yang mempertahankan parti,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Cosplay haram jika menyerupai dewa kepercayaan lain – Mufti


JIKA anda peminat anime dan gemar menggayakan kostum ‘cosplay’ … sila ambil perhatian!

Mengenakan kostum sedemikian, jika ia mendedahkan aurat atau menyerupai dewa mana-mana agama, kepercayaan dan rekaan seperti Beerus, Haruhi Suzumiya, Deus Ex Machina, hukumnya adalah haram.

Dalam entri siri terbaru Bayan Linnas oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri di Facebook dan laman sesawangnya, ia adalah berdasarkan riwayat Abu Daud (4031) yang menyebut, Nabi Muhammad SAW bersabda,  “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dari bahagian mereka.”

Entri itu selanjutnya menjelaskan, biarpun tiada kaitan jelas antara pemakaian kostum dengan pegangan akidah, namun hukum yang jatuh adalah demi menjaga jati diri seorang Muslim.

“Sekiranya ada yang mempersoalkan kaitan pemakaian kostum dewa-dewa dengan akidah, kami katakan bahawa ia bukan isu tergugat atau rosaknya akidah tetapi ia adalah isu jati diri seorang Muslim,” entri itu menyebut.

Bukan itu sahaja, jika pembelian kostum itu membabitkan pembaziran wang yang banyak, hukumnya juga jatuh haram.

Turut disebutkan adalah hukum memakai kostum badut yang secara umumnya adalah makruh, namun dibolehkan jika dibuat atas tujuan pendidikan dan hiburan kanak-kanak.

Pun begitu, beberapa syarat perlu dipatuhi antaranya tidak meninggalkan kewajipan sebagai Muslim, tidak menjatuhkan maruah orang lain dan tidak berbohong dalam berjenaka.



Source link

read more

Kemuka aduan jika harga barangan sekolah tidak berpatutan



KUALA LUMPUR: Orang ramai yang mendapati barangan sekolah dijual dengan harga tidak berpatutan boleh membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan seterusnya.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Chong Sin Woon berkata, mana-mana pihak yang melakukan kesalahan membuat keuntungan tinggi yang tidak munasabah, boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Penjual jangan cuba ambil peluang untuk mencabar akta sedia ada. Pada masa sama diharapkan koperasi sekolah menjual peralatan dengan harga berpatutan. Untung itu jangan ambil lebih,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan replika cek Pertandingan Fotografi GoCare Charity di sini, hari ini.

Semalam, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dilaporkan berkata harga kelengkapan sekolah meningkat antara 30 hingga 40 peratus berbanding tahun lalu.

Dalam pada itu, Chong berkata kerajaan akan meneruskan bantuan awal persekolahan 1Malaysia sebanyak RM100 seorang pada tahun hadapan.

Pertandingan anjuran Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) itu bertujuan mengumpul dana bagi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) dan PAWS Animal Welfare Society (PAWS).

Individu berminat menyertai pertandingan ini boleh mengambil foto bertemakan ‘Loving, Caring, Sharing Malaysia’ dan memuat naiknya dalam laman Facebook dengan hashtag #GoCareCharityPhotography, sebelum 25 Feb depan.

Setiap gambar yang dimuat naik akan menerima sumbangan RM1 daripada organisasi GoCare yang akan disalurkan kepada MNS, NASOM dan PAWS. — Bernama



Source link

read more

Rindu itu bukan mudah ini kisah benar lagu Cari Aku Jika Rindu



KUALA LUMPUR : Ungkapkan perkataan rindu jika anda merindui pasangan atau sesiapa yang mempunyai hubungan rapat dengan anda.

Ini kerana rindu yang anda rasai tetapi tidak diungkapkan mungkin membawa padah kepada diri sendiri.

Kisah benar ini telah memberi inspirasi kepada Zahid Baharudin untuk menggubal sebuah lagu baharu berjudul ‘Cari Aku Jika Rindu‘.

Menurut Zahid, seorang pengikut laman media Instagramnya berkongsi cerita tersebut kepadanya dan mengharapkan beliau akan menjadikan kisah benar itu sebuah lagu.

“Pada mulanya agak sukar bagi saya untuk menjiwai lagu tersebut kerana tidak pernah mengalami keadaan yang sama.

“Namun, setelah mendapat ilham dengan penceritaan dari pencipta lagu tersebut, ia lebih mudah bagi saya untuk mempersembahkan lagu ini,” katanya ketika ditemu bual oleh Astro AWANI.

Lagu yang telah dilancarkan pada Jumaat ditulis oleh Hilmy Aslam dan komposernya adalah Zahid Baharudin, Kautsar Matsin dan Amir Ali.

Tambah Amir, untuk menambah kelainan kepada lagu tersebut, mereka menggunakan seruling sebagai instrumen utama.

“Penggunaan seruling dalam lagu ini untuk memberi nafas baharu agar ia akan lebih dekat dengan pendengar lagu ini,” katanya.

Bagi yang ingin mendengarkan lagu ini, anda boleh dengarkannya di playlist menerusi aplikasi Raku.

Anda juga boleh muat turun aplikasi Raku di AppStore atau Google Play Store secara perrcuma di telefon pintar anda.



Source link

read more

Cikgu Azizan ikut arahan JPN jika perlu pindah sekolah



KUALA LUMPUR: Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Azizan Manap, atau lebih dikenali Cikgu Azizan hari ini memaklumkan beliau akan menyerahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri untuk membuat keputusan sama ada akan kekal bertugas di sekolah yang sama atau sebaliknya.

Lebih dikenali sebagai Cikgu Azizan beliau memaklumkan portal Sinar Harian, buat masa ini tiada sebarang surat yang dikeluarkan dan diserahkan kepadanya sebelum musim persekolahan akan berakhir tidak lama lagi.

“Saya serahkan semuanya kepada JPN,” katanya kepada portal berita itu.

BACA: Kes tampar pelajar: Solidariti menerusi hashtag #PrayForCikguAzizan

BACA: Bapa murid kes Cikgu Azizan tidak muncul

Sementara itu, portal itu turut melaporkan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Chong Sin Woon memberi jaminan akan menghulurkan bantuan terbaik bagi kedua-dua pihak.

Katanya, kes tersebut memberi impak besar kepada profesion perguruan dan ia perlu dilihat melalui pelbagai sudut.



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons