Steven Seagal menghadap Sultan Johor



JOHOR BAHRU: Pelakon aksi terkenal Hollywood, Steven Seagal, menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pada Isnin.

Bekas pengajar seni mempertahankan diri itu mengadakan pertemuan tertutup ketika makan tengah hari bersama Sultan Ibrahim selama dua jam di Forest City.

Seagal terkenal dengan lakonan filem blockbuster seperti Under Siege dan Hard to Kill.

Beliau juga pernah membintangi siri televisyen realiti popular, Steven Seagal: Lawman, dengan memainkan peranan sebagai Timbalan Sherif di Louisiana, Amerika Syarikat.

Bulan lalu, pelakon berusia 65 tahun itu bertemu dengan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, bagi membincangkan beberapa perkara termasuk kegiatan penyalahgunaan dadah.



Source link

read more

Rakyat Johor sokong sekolah kerajaan aliran Inggeris dikembalikan



JOHOR BAHRU: Majoriti rakyat Johor bersetuju jika sekolah kerajaan aliran Inggeris dikembalikan, menurut satu tinjauan.

Tinjauan berkenaan dilakukan oleh ISEAS Yusof Ishak Institute, Singapura, dan keputusan diumumkan menerusi satu laporan bertajuk ‘Johor Survey 2017: Views on Identity, Education and the Johor Royal Family’.

Dalam laporan itu, 82 peratus responden mahu aliran berkenaan dikembalikan di sekolah-sekolah kerajaan.

Tinjauan itu mendapati, keputusan positif itu adalah hasil daripada keberkesanan sistem pendidikan di Singapura, dalam melahirkan kepakaran yang bukan sahaja mahir dalam bidang yang dipilih tetapi mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Turut menjadi topik tinjauan adalah konsep ‘Satu Sekolah Untuk Semua’, yang mana sokongan sangat baik direkodkan daripada responden berbangsa Melayu, Cina dan India.

Ia sekaligus menafikan tanggapan bahawa konsep sekolah sedemikian ditolak oleh kaum Cina dan India.

Sebanyak 87.1 peratus responden Melayu memberikan sokongan kepada konsep Satu Sekolah Untuk Semua. Manakala 74.4 peratus sokongan daripada kaum Cina dan 67.1 peratus sokongan mewakili kaum India.



Source link

read more

Wanita perlu tonjol bakat, libat diri dalam kepimpinan – Khaled – Johor


JOHOR BAHRU 19 Nov. – Golongan wanita di negara ini diminta menonjolkan bakat dan melibatkan diri dalam pelbagai peringkat kepimpinan, termasuk pentadbiran negara dan kepimpinan politik.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana jumlah wanita yang memegang jawatan dalam peringkat itu masih kecil.

Beliau tidak mahu kehadiran wanita sama ada dalam pentadbiran kerajaan mahupun politik hanya sekadar pelengkap kuota.

“Sudah tiba masanya wanita hari ini tampil dengan ketokohan dan kewibawaan mereka tersendiri dan bukan sebaliknya bernostalgia dengan tokoh-tokoh terdahulu.

“Kita mahu wanita tampil sebagai pemimpin kerana ilmu, kebijaksanaan, pesona, kecerdasan dan kematangan berhikmah yang mereka miliki,” katanya semasa merasmikan Karnival Wanita Negeri Johor 2017 di pusat beli-belah Angsana Johor Bahru Mall, di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Sultan Johor perkenan pembinaan jajaran jambatan Projek RTS



JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah memberi perkenan terhadap pembinaan jajaran jambatan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) setinggi 25 meter yang akan merentasi Selat Johor secara lurus bagi menghubungkan Woodlands, Singapura ke Bukit Chagar, Johor Bahru.

Baginda memberi perkenan itu ketika menerima menghadap Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Mohd Azharuddin Mat Sah bersama pegawai-pegawai kanannya di Istana Bukit Pelangi, di sini, Rabu lepas.

Sesi menghadap itu adalah untuk mengemukakan tiga pilihan jajaran bagi projek RTS setelah mengambil kira cadangan Sultan Ibrahim ketika pertemuan SPAD bersama baginda pada 19 Sept lalu.

“Sultan telah memberi perkenan bagi jajaran jambatan setinggi 25m yang akan merentasi Selat Johor secara lurus. Jajaran ini mematuhi panduan teknikal Jabatan Laut Malaysia yang menetapkan had ketinggian jambatan bersama drauf udara minima 25m,” kata SPAD dalam kenyataan di sini, hari ini.

SPAD berkata Sultan Ibrahim juga menekankan kepentingan memastikan penyuraian trafik di kawasan stesen RTS Bukit Chagar dalam sesi itu dan pihaknya akan mengambil tindakan terhadap perkara tersebut.

“Suruhanjaya ingin merakamkan setinggi-tinggi perhargaan kepada Sultan atas sokongan dan perkenan bagi projek RTS ini. SPAD juga ingin merakamkan penghargaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan atas kepimpinan dan bimbingan beliau dalam projek RTS,” katanya.

Sebelum ini, baginda dilaporkan tidak bersetuju dengan cadangan reka bentuk trek rel yang melengkung, selain jambatannya yang mungkin mencapai ketinggian 30 meter di bahagian tengahnya.

Pembinaan RTS dicadangkan pada Mei 2010 sebagai alternatif kepada 80,000 hingga 100,000 pengguna Tambak Johor setiap hari.

Apabila siap, RTS mampu menampung pergerakan sehingga 10,000 penumpang setiap jam antara dua stesen di Woodlands dan Bukit Chagar.

— BERNAMA



Source link

read more

Bertemu kerajaan negeri selesai kemelut SRI Johor Bahru – Johor


JOHOR BAHRU 14 Nov. – Pihak pengurusan Sekolah Rendah Islam (SRI) Johor Bahru akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri dalam masa terdekat bagi menyelesai kemelut sekolah itu dengan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Pengerusi Lembaga Pengelola SRi Johor Bahru, Prof. Dr. Mohamad Roji Sarmidi berkata, pertemuan itu bagi merungkai masalah mereka dengan MAINJ yang mahukan tapak tanah sekolah tersebut dikosongkan sebelum 31 Disember ini.

“Kita akan usahakan satu pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim.

“Pertemuan ini bagi mencari jalan penyelesaian dan menyampaikan suara hati seluruh warga kompleks pendidikan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Utusan Malaysia hari ini menerusi edisi selatan dalam ruangan Suara Rakyat Johor, menyiarkan rencana supaya tempoh yang diberikan MAINJ untuk sekolah tersebut dilanjutkan supaya mereka dapat mencari tapak dan premis baharu.

Sebelum ini MAINJ memberikan notis 60 hari pada 2016 mengarahkan sekolah itu berpindah, namun selepas rundingan kedua-dua pihak, MAINJ hanya setuju meluluskan sambungan selama setahun dan sebelum 31 Disember ini harus berpindah.

Bagaimanapun, pihak pengurusan SRI memohon tempoh berkenaan dipanjangkan tiga hingga lima tahun lagi untuk mencari lokasi baharu tetapi hasrat tersebut ditolak MAINJ.

Mohamad Roji berkata, pihaknya yakin pertemuan itu nanti akan membuahkan hasil positif berdasarkan semangat Muafakat Johor sekali gus dapat menjaga nama baik Islam sekali gus memelihara nama baik dan kesucian agama tersebut.

“Kami berkeyakinan penuh bahawa insya-Allah satu jalan keluar yang sangat berhikmah dan murni serta menggembirakan semua pihak akan dapat dicapai bagi menjaga nama baik institusi-institusi Islam dan kepentingan pembangunan negeri Johor.

“Begitu juga kebajikan semua kakitangan, seluruh warga ibu bapa, alumni serta masyarakat umum yang sedang menerima manfaat dari kewujudan institusi ini di tengah-tengah pembangunan Bandaraya Johor Bahru,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Penunggang motosikal maut rempuh treler – Johor


KLUANG 14 Nov.- Seorang lelaki maut selepas gagal mengawal motosikal Yamaha 135LC yang ditunggangnya sebelum merempuh sebuah treler di 19.5 Jalan Benut-Simpang Renggam dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 1.25 tengahari itu, mangsa, PV. Mahalingam, 30, meninggal dunia akibat cedera parah pada anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dalam perjalanan dari arah Benut menuju ke Simpang Renggam.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian, mangsa gagal mengawal motosikal lalu merempuh bahagian belakang treler yang berhenti akibat tayar meletup.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Mohamad berkata, pemandu treler berusia 61 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Penjawat awam Johor bakal terima imbuhan melebihi RM1500



ISKANDAR PUTERI: Penjawat awam Johor dijangka menerima bayaran khas melebihi RM1,500 yang bakal diumumkan dua minggu lagi pada pembentangan Bajet Negeri 2018.

Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Azmi Rohani bagaimanapun berkata jumlah sebenar bayaran hanya akan diumumkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika pembentangan bajet itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 23 Nov ini.

“Kerajaan negeri menjamin bayaran khas untuk penjawat awam Johor adalah lebih baik daripada apa yang dinyatakan kerajaan persekutuan sebelum ini.

“Ini sebagai penghargaan kepada semua penjawat awam Johor,” kata beliau kepada pemberita selepas Sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa serta kira-kira 2,700 penjawat awam di Pinewood Iskandar Malaysia Studios di sini, hari ini.

Katanya, ketika ini, terdapat 16,612 penjawat awam negeri dan 121,335 penjawat awam persekutuan berkhidmat di Johor.

Dalam pembentangan Bajet 2018 pada 27 Okt lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bayaran khas berjumlah RM1,500 kepada penjawat awam persekutuan.

Bayaran itu, katanya, akan diberikan sebanyak dua kali iaitu RM1,000 pada awal Januari depan dan RM500 lagi menjelang sambutan Aidilfitri.

Katanya, kepada pesara kerajaan, bayaran khas sebanyak RM750 turut diberikan iaitu RM500 ringgit dibayar pada Januari 2018, dan RM250 lagi menjelang Aidilfitri.

— BERNAMA



Source link

read more

SPRM sasar 100 tangkapan di Johor hingga hujung tahun ini



ISKANDAR PUTERI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjangkakan kira-kira 100 tangkapan rasuah dapat dilakukan oleh agensi itu di Johor sehingga penghujung tahun ini.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias berkata keyakinan itu bersandarkan kepada kepimpinan kerajaan negeri yang disifatkan sangat membantu dalam usaha agensi tersebut membanteras rasuah secara habis-habisan.

Namun begitu, beliau masih berharap agar kerajaan dan masyarakat terutamanya, meletakkan rasuah sebagai musuh nombor satu negara memandangkan ia katanya, sentiasa berlaku di mana-mana selagi terdapat peluang dan ruang.

“Sampai hujung tahun ini, saya jangka kira-kira 100 tangkapan dapat dibuat di Johor tetapi apakah itu (tangkapan) satu perkara yang menunjukkan rasuah benar-benar dapat dibanteras dalam Johor?

“Saya rasa tidak, kerana setiap pengganti kepada 100 orang ini akan membuat perkara yang sama kerana rasuah sangat berkait dengan ruang dan peluang.

“Saat kita duduk di tempat itu, maka peluang untuk lakukan rasuah adalah sangat tinggi,” katanya kepada kira-kira 2,700 penjawat awam yang menghadiri Sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang disempurnakan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr.Ali Hamsa di Pinewood Iskandar Malaysia Studios di sini, hari ini.

Menurut Azmi negara tidak akan maju seperti yang diimpikan sekiranya masih terdapat ramai rakyat tempatan dan warga asing berada dalam penjara dan pusat tahanan pendatang haram.

Katanya, keadaan ini merupakan petunjuk bahawa terdapat peningkatan dalam bilangan kes mahkamah yang mungkin berkait dengan rasuah.

“Justeru, melihat perkara ini, aspirasi saya adalah kita mesti menjadikan isu rasuah musuh nombor satu dalam negara.

“Sebelum ini, kerajaan meletakkan dadah sebagai musuh nombor satu negara,” katanya.

— BERNAMA



Source link

read more

Banjir Giliran Kelantan Terengganu Pahang dan Johor Timur selepas ini



KUALA LUMPUR : Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) menjangkakan akan berlaku empat hingga lima episod hujan lebat berterusan selama beberapa hari sepanjang tempoh Monsun Timur Laut yang bermula pertengahan bulan ini hingga Januari.

Ketua Pengarahnya, Alui Bahari berkata keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan yang cenderung banjir dan kawasan rendah.

“Tiupan angin Monsun Timur Laut dijangka menyebabkan Kelantan dan Terengganu menerima kesannya bermula pada pertengahan November dan Disember, manakala Pahang dan Johor Timur bermula Disember dan Januari.

“Amaran awal bagi episod hujan lebat semasa Monsun Timur Laut akan dikeluarkan seawal satu hingga tiga hari manakala amaran ribut petir akan dikeluarkan sekiranya terdapat tanda-tanda intensiti ribut petir semakin meningkat,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Katanya, semasa fasa ini, kejadian hujan lebat dan ribut petir setempat dalam jangka masa singkat serta angin kencang lebih kerap berlaku pada waktu petang dan awal malam.

Beliau menasihati orang ramai agar peka dengan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan jabatan itu dan mematuhi garis panduan keselamatan.



Source link

read more

JDT Juara Piala Malaysia Johor cuti Ahad



JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor mengisytiharkan cuti khas peristiwa esok (Ahad) susulan kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Piala Malaysia, yang menamatkan penantian selama 25 tahun.

Pengumuman itu dibuat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani selepas perlawanan itu berakhir dengan kemenangan 2-0 ke atas Kedah di Stadium Shah Alam, Selangor, malam ini.

“Ini satu kejayaan bersejarah selepas 25 tahun Johor tidak memenangi Piala Malaysia dan pengumuman cuti ini merupakan penghargaan kerajaan negeri kepada rakyat Johor,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Beliau berkata pengumuman cuti itu sebagai menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang memperkenankan cuti peristiwa itu sekiranya pasukan JDT muncul juara.

Pemberian cuti itu juga selaras dengan peruntukan kuasa yang diberikan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369).

— BERNAMA



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons