Perak lancar modul kelas pengajian masjid, surau pertama di Malaysia – Nasional


IPOH 17 Nov. – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan melancarkan modul kurikulum kelas pengajian takmir masjid dan surau serta kod etika guru takmir Perak yang julung kalinya diperkenalkan di negara ini.

Pelancaran modul itu disempurnakan bersempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Tahun 2017 yang diadakan di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak (Intim) di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim serta diiringi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria; Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd. Yusop Husin.

Pada majlis tersebut, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan 27 anugerah kecemerlangan kepada para pelajar dan pendidik serta Sijil Pengajian Masjid Negeri Perak yang julung kalinya dianugerahkan kepada 38 peserta kumpulan pertama.

Kerajaan negeri juga memberikan penghargaan kepada 25 hafiz muda daripada beberapa maahad tahfiz yang telah menghafaz al-Quran sebanyak 30 juzuk. 

Sementara itu, Mohd. Yusop ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya mengambil masa selama dua tahun untuk membangunkan modul pengajian masjid dan surau secara lebih bersistem dengan merangkumi kandungan seperti fikah, sirah, tauhid dan akhlak.

“Sebelum ini tiada sukatan khusus diajarkan di masjid dan surau kerana ia berlangsung secara umum, jadi kita melakukan transformasi dengan menyediakan suatu modul diperakui mufti yang perlu dihabiskan.

“Oleh itu, sebanyak 386 guru takmir di masjid dan surau seluruh negeri ini akan dilatih untuk mengajarkan modul ini secepat mungkin dengan menggunakan peralatan audio visual dan pemacu pena,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Guru bergurau rentap tudung pelajar dalam kelas digantung tugas



SEORANG guru di Tennessee, Amerika Syarikat, digantung tugas selepas dengan sengaja menanggalkan hijab salah seorang pelajarnya.

Guru berkenaan, yang identitinya tidak didedahkan, berbuat demikian dalam satu sesi pengajaran dan pembelajaran di New Vision Academy yang terletak di Nashville, minggu lalu.

Video rakaman itu dimuat naik oleh guru tersebut ke Snapchat.

Berdasarkan rakaman, guru itu seolah-olah mahu bergurau dengan pelajar terbabit.

Turut dimuat naik adalah beberapa rangkap kapsyen, antaranya berbunyi ‘Rambut yang cantik tetapi disembunyikan’.

Pelajar terbabit dilihat cuba untuk menutup rambutnya kembali namun tidak berjaya kerana guru itu cuba bermain-main dengan rambutnya.

Ia menaikkan kemarahan ramai terutamanya kumpulan sokongan penganut agama Islam di Amerika, dan meminta guru itu dilucutkan daripada jawatannya.

Menurut laporan portal Tennessean, satu siasatan telah dimulakan oleh sekolah itu, dan guru tersebut digantung tugas tanpa gaji.

“Kami telah menjalankan siasatan kes ini. Buat masa ini tiada keputusan berkenaan tindakan selanjutnya, tetapi kami akan berjumpa dengan guru itu tidak lama lagi untuk berbincang,” kata peguam yang dilantik.



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons