Aplikasi Fanskick Tak perlu lagi beratur panjang untuk tiket bola


JOHOR BAHRU: Kini, dengan adanya aplikasi pintar ‘Fanskick’ yang diperkenalkan Fanskick Dot Com Sdn Bhd, peminat bola sepak tempatan tidak perlu lagi beratur panjang untuk membeli tiket perlawanan.

Melalui aplikasi Fanskick, pengguna boleh membuat pembelian tiket perlawanan bola sepak secara dalam talian dan hanya perlu mengimbas kod QR mereka di pintu masuk stadium menggunakan telefon pintar mereka pada hari perlawanan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Farouk Mustaffa berkata aplikasi telefon pintar yang julung kali diperkenalkan itu menjanjikan perkhidmatan dan hiburan yang lengkap serta mampu merapatkan jurang antara pemain dan penyokong bola sepak tempatan, menerusi teknologi.

“Kita menyasarkan satu juta peminat bola sepak akan memuat turun aplikasi tersebut pada tahun ini menerusi Google Play (untuk platform Android) atau Apps Store (menerusi platform iOS),” katanya ketika ditemui selepas pelancaran aplikasi itu.

Majlis disempunakan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini, malam tadi.

Farouk berharap teknologi masa kini menerusi plikasi yang ditawarkan secara percuma selama setahun itu akan menjadi motivasi tambahan kepada pemain dalam usaha mengembalikan kegemilangan industri bola sepak tanahair.

Beliau berkata Fanskick juga menawarkan berita terkini menerusi pasukan editorialnya mengenai isu semasa dunia bola sepak tempatan, maklumat terkini mengenai statistik serta jadual permainan setiap pemain dan pasukan.

Aplikasi yang mendapat pengiktirafan rasmi FAM dan Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Bhd (FMLLP) itu turut menyediakan elemen ‘Buddy System’ serta ‘Live Chat’ bagi mendekatkan jurang antara peminat dan pemain.

Selain itu, pengguna juga akan dapat menikmati perlawanan bola sepak yang tidak disiarkan menerusi arus perdana secara langsung, katanya.

Beliau berkata antara lain pengguna turut berpeluang ‘menguruskan’ kelab kegemaran mereka menerusi elemen FK Manager, iaitu simulasi pengurusan bola sepak, namun setiap pembelian tambahan akan dikenakan caj.

— BERNAMA



Source link

read more

Turki mahu lanjutkan lagi perintah darurat



ANKARA: Turki dijangka umum lanjutan perintah darurat buat kali keenam sejak ia dilaksanakan susulan cubaan rampasan kuasa pada  Julai 2016.

Perintah itu yang pertama kalinya berkuat kuasa pada 15 Julai 2016, memberikan kuasa kepada kerajaan memburu suspek penyokong ulama Fethullah Gullen yang didakwa pentadbiran Presiden Recep Tayyip Erdogan sebagai dalang rampasan kuasa.

Gullen bagaimanapun sehingga kini mempertahankan beliau tidak mempunyai kaitan langsung dengan cubaan rampasan kuasa tersebut.

Lanjutan perintah darurat bagi tempoh tiga bulan disarankan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Kebangsaan Turki yang berlangsung pada Rabu.

Ia kemudian perlu mendapat kelulusan Majlis Menteri-menteri dan dikemukakan ke parlimen untuk diluluskan.

Perintah darurat sedia ada bakal tamat pada Jumaat, 19 Januari ini.

Ankara mempertahankan  tindakan melanjutkan perintah darurat atas alasan cubaan rampasan kuasa berkenaan disifatkan terlampau serius dan rangkaian penyokong Gullen masih mengancam keselamatan negara itu.

Cubaan rampasan kuasa menyaksikan tentera pro pembangkang menyerang bangunan Parlimen dan beberapa bangunan kerajaan, hingga menyebabkan 250 nyawa terkorban.

Pelaksanaan perintah darurat juga menyebabkan Kesatuan Eropah (EU) menangguhkan rundingan keanggotaan blok itu dengan Turki.



Source link

read more

20 Tahun Titanic Pelakon extra dibayar RM100 ribu dan enam lagi fakta menarik


JIKA ada filem yang masih mengaut keuntungan selepas 20 tahun diterbitkan, salah satu filem itu ialah “Titanic”.

Percaya atau tidak, filem lakonan Leonardo DiCaprio dan Kate Winslet itu masih membuat kutipan sekurang-kurangnya £15,000 (hampir RM82,000) di United Kingdom sahaja, setiap tahun.

Sempena ulang tahun filem hebat ini, kami kongsikan beberapa perkara yang anda, peminat tegar “Titanic”, tidak pernah tahu selama ini.

TAK ADA REZEKI

Watak kapten kapal Titanic, Kapten Smith, sepatutnya menjadi milik Robert de Niro. Namun de Niro mengalami masalah kesihatan dan terpaksa menolak tawaran tersebut.

Pelakon Lindsay Lohan hampir menjadi sebahagian daripada keluarga besar “Titanic” kerana dia merupakan pilihan utama untuk melakonkan watak Cora Cartmell, sahabat cilik Jack Dawson, lakonan DiCaprio.

Namun cadangan untuk mengambil Lohan yang ketika itu berusia 9 tahun dibatalkan kerana warna rambutnya yang sama dengan watak Rose deWitt Bukater, lakonan Winslet.

Titanic antara filem yang tidak banyak menggunakan kemudahan teknologi CGI.

WATAK TAMBAHAN, BAYARAN MEWAH!

Sukar untuk dipercayai, namun seorang lelaki Reece Thompson III, yang membawakan watak penumpang kanak-kanak tanpa nama dan hanya melontarkan satu baris dialog, mengakui menerima bayaran royalti £20,000 (RM109,223) yang membantunya menjelaskan yuran pengajian kolej dan membeli sebuah kereta.

“Jumlahnya memang banyak, dan ia membantu saya. Saya baru berusia lima tahun ketika itu dan pengalaman berlakon dalam Titanic sangat hebat,” kata Thompson, kini 25 tahun, kepada majalah Cosmopolitan.

PENGARAH HEBAT, FILEM LUAR BIASA

Pengarah Titanic, James Cameron, menerima tiga anugerah peribadi di Anugerah Akademi menerusi hasil kerjanya dalam Titanic iaitu Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Suntingan Terbaik.

Untuk mendapatkan hasil terbaik, bukan satu perkara pelik apabila Winslet mendedahkan Cameron seorang pengarah yang tegas.

“Ada kalanya dia menakutkan saya. Baran dia boleh tahan juga, semuanya kerana dia mahu hasil yang terbaik,” kata Winslet seperti yang dipetik daripada portal Daily Mail.

Bahagian depan kapal dipasang dengan satu mekanisme yang membolehkannya tenggelam 30 kaki sementara bahagian dek dapat dinaikkan sehingga 90 darjah, yang merupakan babak penting ketika Titanic tenggelam.

BUKAN CGI

Pernah terfikir bagaimana babak kapal Titanic di Lautan Atlantik dijalankan? Tentu ramai yang mengandaikan ia menggunakan teknik CGI, bukan?

Jika itu tanggapan anda, anda silap!

Untuk babak tersebut, produksi telah membeli sebuah tanah seluas 40 ekar di Mexico, di mana sebuah tangki sedalam 90 kaki dan mampu menampung 17 juta gelen air, dibina.

Airnya pula, diambil dari Lautan Pasifik, dan set penggambaran dipasang pada bicu hidraulik supaya ia boleh dimiringkan sehingga enam darjah, mirip ombak laut.

Bahagian depan kapal dipasang dengan satu mekanisme yang membolehkannya tenggelam 30 kaki sementara bahagian dek dapat dinaikkan sehingga 90 darjah, yang merupakan babak penting ketika Titanic tenggelam.

“Anda takkan jumpa lagi filem seperti ini. Jika kapal yang anda saksikan itu bersaiz 800 kaki, saiznya memang 800 kaki. Jika anda saksikan 500 orang pelakon tambahan berlari, memang 500 orang pelakon yang terlibat,” kata pengarah fotografi Titanic, Russell Carpenter.

Kate Winslet mengalami hypothermia kerana enggan memakai sut khas untuk babak di lautan.

JATUH SAKIT DEMI ROSE

Winslet, yang enggan memakai sut khas untuk babak di lautan, mengalami hipotermia selepas selesai melakonkan babak itu.

Hipotermia merupakan satu keadaan di mana badan kehilangan haba lebih cepat daripada ia menghasilkan haba, menyebabkan suhu badan menjadi rendah.

“Saya mahu betul-betul menggigil kerana bimbang ia nampak tidak natural,” itu alasan Winslet.

Babak itu dilakukan dalam tangki air sedalam 3 kaki dengan suhu 26 darjah Celsius, menyamai air kolam.

LAGU TEMA DIBENCI?

Siapa tidak tahu lagu “My Heart Will Go On” nyanyian Celine Dion? Ia diiktiraf sebagai Lagu Asal Terbaik di Anugerah Akademi, selain beberapa lagi trofi di Anugerah Grammy.

Cameron, seorang peminat muzik heavy metal, pada awalnya berikrar tidak akan memasukkan apa-apa jenis skor muzik yang ‘lemau’ dalam filem itu.

Namun selepas menerima tekanan dari produksi, dia akhirnya bersetuju untuk menerima lagu ciptaan James Horner dan Will Jennings itu sebagai lagu tema.

Cameron tidak keseorangan kerana Winslet pernah membuat pengakuan tidak pernah mendengar lagu itu dalam versi penuh, dan tidak akan sekali-kali melakukannya.

Dion, ketika diberitahu tentang apa yang dikatakan Winslet, berkata, “Untunglah dia tak perlu menyanyikan lagu itu!”

Ia sekali gus membayangkan yang Dion juga tidak menyukai lagu berkenaan.

11 OSCAR, DAN AS$2.4 BILION KEUNTUNGAN

Selepas 20 tahun, Titanic mencatat keuntungan kira-kira AS$2.4 bilion, antara yang tertinggi dalam sejarah perfileman. Ia menerima 14 pencalonan di Anugerah Akademi 1998, dan menang 11 daripadanya.

Ia satu rekod yang belum dapat dipecahkan. Setakat ini hanya dua filem yang menyamai rekod itu, iaitu Ben-Hur (1959) dan The Lord Of The Rings: The Return of the King (2003).



Source link

read more

Hina Sultan Pahang Satu lagi laporan polis terhadap Mahfuz


KUALA LUMPUR: Gabungan Anak Daerah-Daerah Pahang di Lembah Klang pada Selasa membuat satu laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berhubung tindakannya menghina dan menjadikan video Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang sedang gering sebagai bahan ceramah politiknya.

Pengerusi Anak Pekan Di Lembah Klang, Datuk Shahruddin Ahmad, yang mewakili gabungan itu, memohon pihak berkuasa mengambil satu tindakan sewajarnya dengan segera bagi memberikan pengajaran kepada Mahfuz dan individu yang lain.
.
“Kami berharap ia akan memberi pengajaran kepada beliau supaya tidak mengulanginya dan orang lain supaya menghormati institusi raja,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini.

“Janganlah kita membabitkan institusi raja dalam kempen politik… sepatutnya rakyat mendoakan Sultan agar terus sihat untuk memerintah negeri tetapi kita lihat dia memperlekehkan tuanku yang mempunyai darjat tersendiri,” katanya.

Turut hadir ialah Pengerusi Anak Maran di Lembah Klang, Datuk Jasri Jamaludin dan Presiden Kelab Anak Jerantut di Lembah Klang, Datuk Rozilan Salleh serta kira-kira 15 wakil gabungan itu daripada setiap daerah di Pahang.

Semalam, empat laporan polis dibuat terhadap Mahfuz berhubung isu yang sama masing-masing di IPD Kuantan dan Pekan, Pahang.

Laporan tersebut dibuat berikutan klip video ceramah politik Mahfuz bersama Pakatan Harapan berdurasi 6.38 minit tular di laman media sosial.

Dalam ceramah tersebut, Mahfuz antara lain mengulas kewajaran Tun Dr Mahathir Mohamad berusia 92 tahun dipilih sebagai calon perdana menteri dan membandingkannya dengan Sultan Ahmad Shah yang kekal menjadi Sultan Pahang walaupun sedang gering.

Sementara itu,  Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata Mahfuz perlu dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan 1948 atas sikap keterlaluannya menjadikan Sultan Pahang sebagai bahan jenaka dalam ceramah politiknya.

Menurutnya, sebagai seorang anggota Parlimen, Mahfuz seharusnya tahu tentang kedudukan Raja-Raja Melayu dan lebih arif mengenai perlembagaan Malaysia.

“Tindakan beliau ini mencerminkan sikap sebenar pemimpin pakatan pembangkang yang sering melakukan provokasi dengan meluaskan lagi sentimen benci kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

“Kita khuatir, sikap pakatan pembangkang yang tanpa segan silu mempersendakan institusi raja ini bakal meninggalkan contoh yang tidak baik kepada generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau turut menggesa Mahfuz memohon maaf kepada Sultan Pahang atas kebiadapan beliau itu.

— BERNAMA



Source link

read more

Tiada lagi diplomasi konfrontasi dalam hubungan Malaysia-Singapura – Najib



SINGAPURA: “Kami tidak sekali-kali ingin kembali kepada era diplomasi konfrontasi dan gemar melaungkan kata-kata retorik antara kedua-dua negara,” demikian ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila merujuk kepada hubungan antara Malaysia dan Singapura.

“Kami mahu melupakan era itu dan tidak ingin sekali-kali kembali kepada era tersebut.

“Kami percaya kedudukan kerajaan sekarang merupakan kedudukan yang akan membawa manfaat bersama kepada Singapura dan Malaysia dan kami sentiasa berpegang kepada dasar kami, agenda kami dan kemampuan kami untuk menyampaikan manfaat sebenar dan ketara kepada rakyat Malaysia serta Singapura,” kata beliau pada sidang media bersama bersempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura kelapan di Istana di sini, hari ini.

Najib dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong ditanya sama ada kerajaan kedua-dua negara boleh memberi jaminan bahawa Sistem Transit Rapid (RTS) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) akan tetap diteruskan sekiranya berlaku perubahan dalam persekitaran politik berikutan pilihan raya umum yang akan diadakan di Malaysia.

Dalam respons beliau, Lee berkata semua projek yang melibatkan lebih daripada sebuah negara dan memakan masa lebih daripada satu penggal pemerintahan “memerlukan komitmen jangka panjang”.

BACA: Pemukiman bermula pertemuan antara Najib dan Hsien Loong

BACA: Malaysia-Singapura meterai perjanjian RTS 

“Komitmen itu diberi secara formal, manakala perjanjian yang ditandatangani antara dua kerajaan hari ini merupakan suatu ikatan perjanjian yang terus terpakai, dan tidak kiralah siapa jua yang menjadi kerajaan di sebelah sana, perjanjian ini perlu mereka warisi dan menjadi pihak kepadanya.

“(Bagaimanapun) bagi pihak Singapura, saya tidak mempunyai sebarang keraguan tentang hasrat kami untuk melaksanakan apa yang telah kami tandatangani dan beri komitmen hari ini,” katanya.

Malaysia dan Singapura menandatangani dua perjanjian dua hala berkaitan projek RTS dan HSR, yang masing-masing dijangka siap pada 2024 dan 2026.

— BERNAMA



Source link

read more

LAGI LAPORAN POLIS DIBUAT TERHADAP MAHFUZ BEAN!!! ~ SEMUT HITAM


Bak kata orang tua – tua, Terlajak Perahu boleh diundur. Tapi bila terlajak kata, buruk padahnya. Itulah nasib malang yang sedang menimpa Si Mahfuz Bean pada ketika ini.

Dek kerana kecabulan mulutnya sendiri yangterlalu taksub berpolitik sehingga sampai ke dalam longkang menyebabkan dirinya kini berhadapan dengan tindakan undang – undang.

Satu lagi laporan polis dibuat terhadap Si Mahfuz Bean tu kerana memperlekeh dan menghina Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah sebagai bahan jenaka dalam ceramah politiknya.

 

Laporan berkenaan dibuat Badan Kebajikan dan Kerabat Pahang (BKKP) hari ini di ibu pejabat polis Daerah Kuantan.

Ahli Jawatankuasa BKKP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, pihaknya tidak berpuas hati dengan kenyataan tersebut dan menggesa tindakan berlandaskan peruntukan undang-undang dikenakan ke atas Mahfuz.

“Sebagai badan yang mewakili kerabat-kerabat, saya kesal dengan kenyataan tersebut. Saya turut membuat laporan polis agar tindakan dikenakan ke atas individu yang menyebarkan video Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di bilik beradu baginda.

“Saya harap polis menyiasat siapa individu yang bertanggungjawab menyebarkan video berkenaan sehingga menjadi tontonan umum,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah di sini hari ini.

Semalam Ketua Pemuda UMNO Pahang, Shahar Abdullah menggesa Mahfuz membuat permohonan maaf kepada Sultan Ahmad Shah secara terbuka atas tindakannya yang dangkal itu.

Dan lewat petang tadi, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bentong bersama dengan 28 NGO diseluruh daerah yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama membuat laporan yang sama terhadap Si Mahfuz Bean tu.

Tapi, tak heran la kenapa Si Mahfuz Bean tu bertindak menghina dan memperlekehkan institusi Raja – Raja Melayu secara terbuka sedemikian rupa. Orang yang setakat LULUS SRP ni memang tak boleh berfikir panjang!!!




Source link

read more

Pesaing saya bukan lagi bank di sebelah tetapi… – Raja Teh Maimunah


“MY competition today is no longer the bank next door. It can be anybody. It can be the tech giants, it can be the telco companies.”

Ketua Pegawai Eksekutif AmInvestment Bank Bhd, Raja Teh Maimunah berkata demikian kepada AWANI REVIEW.

Raja Teh Maimunah berkongsi pendapat beliau tentang persaingan dalam dunia kewangan.

Malah kata beliau, pesaingnya kini bukan lagi bank di sebelah tetapi gangguan digital terutamanya dalam sektor perbankan Malaysia.

Itu antara intipati artikel versi Bahasa Inggeris yang diterbitkan di AWANI REVIEW berjudul Raja Teh Maimunah: Competition is No Longer from the Bank Next Door.

Layari http://awanireview.com untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang kemahiran yang diperlukan untuk mengurus sesebuah bank pada masa akan datang.



Source link

read more

Tiga wanita ditahan berbogel di khalayak umum lima lagi kerana dadah



SINGAPURA: Tiga daripada lapan wanita ditahan kerana berbogel di khalayak umum dalam satu serbuan di premis hiburan, kata polis dalam kenyataan media pada Isnin.

Lima lagi wanita ditahan atas kesalahan dadah.

Operasi bersepadu yang dilakukan Biro Narkotik pada minggu lalu selama enam jam bermula 11 malam.

“Tiga daripada wanita yang ditahan dikatakan berbogel di khalayak ramai. Manakala dua daripada mereka didapati melanggar undang-undang imigresen dan pekerjaan,” lapor portal Channel News Asia.

Portal itu difahamkan, kesemua wanita terbabit ditahan di Plaza Cuppage.

Siasatan ke atas suspek sedang dijalankan, kata polis.



Source link

read more

Peru dilanda gempa lagi Presiden Pablo Kuczynski tinjau kawasan terjejas



Arequipa: Presiden Peru Pablo Kuczynski meninjau tahap kerosakan di kawasan pantai di Peru yang terjejas akibat gempa bumi kuat pada Ahad yang mengorbankan satu nyawa dan berpuluh-puluh yang lain hilang selain mengakibatkan ramai cedera.

Gempa bumi berukuran 7.1 magnitud itu meranapkan 63 buah rumah sekali gus menyebabkan 130 mangsa kehilangan tempat tinggal.

Kajian geologi Amerika Syarikat merekodkan, gempa berpusat di 40 kilometer dari Acari di Arequipa barat daya Peru.

Menurut Gabenor Arequipa, Yamila Osorio, mangsa yang maut merupakan seorang lelaki berusia 55 tahun menemui ajal akibat dihempap oleh runtuhan batu dalam insiden itu.

Institut Pertahanan Awam Kebangsaan di sana turut melaporkan gempa juga menyebabkan 57 orang cedera dan 23 daripadanya ialah penduduk di daerah Chala.

“Bantuan sedang dikerah dan mangsa yang terjejas akan menerima bantuan dengan segera, ”  kata Kuczynski selepas selesai meninjau kesan-kesan gempa di pantai negara itu.

Dalam hal ini, kata beliau, pasukan penyelamat bertungkus lumus di kawasan bencana bagi membuat taksiran tahap kemusnahan dan mengenal pasti mangsa terjejas.

Hasil penilaian awal mendapati, kawasan terjejas adalah di luar bandar dengan runtuhan menghalang jalan raya sekali gus menjejaskan proses penghantaran bantuan.

“Khemah, selimut dan bantuan kemanusiaan lain turut digerakkan menerusi udara,” kata beliau.

Pada 2007, ratusan penduduk terbunuh akibat gempa bumi yang melanda wilayah Ica.

 



Source link

read more

Terowong dasar laut: SPRM rakam percakapan 11 lagi saksi – Jenayah


KUALA LUMPUR 13 Jan. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini merakam percakapan 11 lagi saksi bagi membantu siasatan berhubung projek terowong dasar laut yang dirancang kerajaan DAP Pulau Pinang.



Azam Baki

Azam Baki

Jumlah itu menjadikan sebanyak 31 saksi telah dipanggil setakat ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya akan menyiasat kes ini daripada semua aspek dan secara adil. 



Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada pasukan siasatan telah menemui bukti-bukti baharu dalam proses siasatan.



“Biarlah kami jalankan siasatan secara terperinci dan mengenal pasti sama ada wujud elemen rasuah dan salah guna kuasa seperti yang didakwa,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons