Isu Rohingya Usaha PM Najib di pentas antarabangsa membuahkan hasil – Anifah



PUTRAJAYA: Usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memperjuangkan isu Rohingya di pentas antarabangsa mula membuahkan hasil apabila Myanmar sedang mengambil langkah menyelesaikan krisis Rohingya di Wilayah Rakhine, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata Malaysia berpuas hati dengan jaminan yang diberikan Penasihat Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi, yang mengetuai delegasi negara itu ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 di Manila baru-baru ini.

Menurut Anifah, Pemenang Hadiah Nobel itu antaranya memberi jaminan cadangan-cadangan Laporan Suruhanjaya Penasihat Rakhine yang dipengerusikan bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Kofi Annan itu akan dilaksanakan.

“Malaysia mengetengahkan isu Rohingya di peringkat ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan PBB. Tidak salah kalau saya katakan ia adalah usaha Najib,” katanya dalam taklimat media pasca Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 di sini.

Anifah berkata Aung San Suu Kyi turut menyatakan bahawa Myanmar dan Bangladesh dijangka menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) untuk penghantaran semula pelarian Rohingya kembali ke tempat asal.

“Beliau (Aung San Suu Kyi) menyatakan MoU itu akan dapat dilaksanakan secepat mungkin selepas ditandatangani Bangladesh dan Myanmar. Kemungkinan Myanmar akan dapat melaksanakan penghantaran balik (pelarian) Rohingya dalam tempoh masa tiga minggu.

“Perdana Menteri juga memaklumkan saya supaya mengikuti perkembangan antara Bangladesh dan Myanmar.

“Oleh itu, kita tunggu dan lihat sekiranya ia dapat dilakukan. Saya akan menghubungi Menteri Luar Bangladesh untuk mengetahui syarat-syarat yang dikenakan Myanmar supaya mereka boleh kembali ke negara itu,” katanya.

Anifah berkata Perdana Menteri membangkitkan agar MoU tidak meletakkan syarat-syarat yang sukar untuk pelarian Rohingya kembali ke tempat asal.

“Sekiranya Myanmar mahu dokumentasi tertentu, ini tidak dapat dilaksanakan kerana mereka ini tidak mempunyai sebarang dokumen,” katanya.

Lebih 600,000 penduduk Rohingya di wilayah Rakhine, Myanmar, telah melarikan diri ke Bangladesh berikutan serangan tentera Myanmar terhadap orang awam dengan alasan memerangi militan bersenjata, sejak 25 Ogos lalu.

— BERNAMA



Source link

read more

Isu Rohingya Perjuangan Malaysia mula membuahkan hasil – PM Najib



MANILA: Myanmar telah menyatakan komitmen awal dan langkah yang sedang diambil oleh kerajaan tentera negara itu dalam menyelesaikan krisis Rohingya di wilayah Rakhine pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 di sini hari ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata Penasihat Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi, yang mengetuai delegasi negara itu berkata demikian ketika beliau membangkitkan isu Rohingya pada sidang pleno ASEAN itu.

“Bila saya bangkitkan isu Rohingya, Suu Kyi dalam respons beliau telah menyatakan beberapa perkara yang sedang dilakukan Myanmar…ini penting kerana beliau tidak menyatakan apa-apa langsung pada sidang lalu di Manila pada April lepas,” katanya pada sidang media bersama media Malaysia di sini.

Najib berkata Myanmar kini sedang berunding dengan Bangladesh, yang menjadi tumpuan lebih 600,000 pelarian sejak krisis ini bermula Ogos lalu, bagi mengadakan satu memorandum persefahaman (MoU) untuk menentukan penghantaran balik pelarian tersebut dari sempadan kedua-dua negara.

“Beliau nyatakan MOU ini akan ditandatangani tidak lama lagi. Saya terima baik apa yang dinyatakan oleh beliau, namun kita nak tengok soal MoU itu dan syarat-syarat penghantaran balik, sama ada munasabah atau terlalu ketat,” katanya.

Najib berkata jika syarat syarat terlalu ketat yang menyebabkan dari realitinya ia tak benarkan terlalu ramai pulang semula ke Rakhine, ia mungkin tidak memberi penyelesaian sepenuhnya seperti yang dikehendaki Malaysia dan negara-negara ASEAN lain.

Selain menyuarakan isu pelarian Rohingya di peringkat antarabangsa dan memberikan bantuan kemanusiaan, Malaysia juga akan menyediakan Hospital Lapangan untuk etnik Rohingya di Bangladesh.

Najib juga berkata Suu Kyi pada sidang pleno itu telah menyatakan kesediaan kerajaan beliau untuk memberi kerjasama kepada misi bantuan kemanusiaan kepada penduduk Rohingya yang masih berada di Rakhine.

Pemenang Hadiah Nobel itu juga telah menyatakan perlunya satu penyelesaian jangka panjang berdasarkan “kepercayaan dan keharmonian” tetapi menegaskan ia tidak boleh dicapai semalaman kerana ia akan mengambil masa, tambah beliau.

Ia akan mengambil kira dan berpaksikan laporan mantan setiausaha agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBBB) Kofi Annan yang telah menyerahkan laporan terakhirnya mengenai negeri Rakhine, di mana Rohingya Islam menghadapi pelanggaran yang meluas, kepada pemerintah Myanmar.

“Semua ini merupakan kemajuan yang signifikan…beliau beri satu pendirian dan jaminan lebih jelas dan positif daripada forum ASEAN sebelumnya,” katanya.

Najib berkata beliau memberitahu pemimpin ASEAN lain bahawa Malaysia dan ASEAN sebagai sebuah pertubuhan tidak mampu berdiam diri terhadap krisis ini kerana ia telah memalukan blok serantau itu dan telah menjadi isu antarabangsa sehingga Majlis Keselamatan PBB mengeluarkan kenyataan presiden.

“Saya kata sebagai satu pertubuhan, kita tak mampu berdiam diri, tak boleh berdiam diri. Apa respons ASEAN terhadap krisis yang melibatkan Rohingya di Rakhine?” katanya.

Katanya, ia bukan hanya masalah Myanmar semata-mata kerana kesannya melimpah keluar, sehinggakan penduduknya menjadi pelarian di Malaysia dan Bangladesh.

Lebih membahayakan, kata beliau, mereka yang kecewa mungkin menjadi rekrut kepada kumpulan pengganas seperti IS dan Daish jika tiada penyelesaian cepat dicapai.

— BERNAMA



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons