Jalan runtuh Mersing Laluan alternatif terlalu jauh – Penduduk


MERSING: Penduduk sekitar Jemaluang meminta pihak yang terbabit supaya segera membaik pulih laluan yang terlibat dengan jalan runtuh di KM16 Jalan Jemaluang-Mersing di sini.

Tinjauan Astro AWANI di lokasi mendapati jalan tersebut tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan kerana retakan melibatkan kedua-dua hala.

Penduduk Tenggaroh 6, Mohd Kassim Yusoff berkata laluan ini adalah jalan utama yang menghubungkan penduduk dengan bandar Mersing.

Katanya, perjalanan dari Jemaluang ke Mersing hanya mengambil masa 20 minit tetapi akibat kejadian ini, penduduk terpaksa mengikut jalan alternatif Jalan Jemaluang-Jalan Nitar Utama yang mengambil masa hampir satu jam.

“Memang susah kerana jarak perjalanan sudah berganda-ganda. Saya pula kena pergi buat rawatan dialisis tiga kali seminggu, kini terpaksa mengikut jalan jauh kerana tiada alternatif lain,” katanya.

BACA: Kereta jatuh gaung akibat jalan runtuh, warga emas cedera

Bagi penduduk Jemaluang, Lee Ah Chong berharap pihak bertanggungjawab tidak mengambil masa yang lama untuk membaiki jalan terbabit.

Katanya, mereka boleh menggunakan jalan alternatif untuk tempoh dua atau tiga hari tetapi bukan untuk tempoh yang lama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Supt Cyril Edward Nuing menggesa orang awam supaya mematuhi nasihat jalan raya yang telah dikeluarkan.

“Saya ingin menasihati pengguna jalan raya supaya mematuhi tanda-tanda jalan dan bagi elakkan kemalangan, pandu dengan berhati-hati. Elakkan daripada memerhati atau melengahkan perjalanan di jalan alternatif yang ada,” katanya.

Dalam kejadian 2.30 pagi pada Isnin, berlaku kejadian tanah runtuh di jalan utama Jemeluang-Mersing yang melibatkan kedalaman cerun 15 meter dengan keluasan 70 meter.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki berumur 60 tahun cedera ringan apabila kereta yang dipandunya masuk ke dalam gaung akibat tanah runtuh.



Source link

read more

Mangsa banjir di Mersing Segamat meningkat


JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Segamat dan Mersing terus meningkat kepada 527 orang pagi ini berbanding 160 malam tadi dengan pembukaan dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) di Mersing.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Datuk Ayub Rahmat berkata setakat 7 pagi tadi, seramai 430 mangsa daripada 106 keluarga di Mersing berada lima PPS manakala 97 mangsa daripada 20 keluarga pula ditempatkan di empat PPS di Segamat.

Beliau berkata PPS Sekolah Agama Mersing Kanan dibuka pada 12 malam tadi dan menempatkan 123 mangsa dan PPS Sekolah Kebangsaan Labong pula dibuka 2 pagi tadi dengan menempatkan 109 mangsa.

“Kawasan terjejas di Mersing juga bertambah apabila sebelum ini hanya Kampung Tenglu Besar dan Kampung Air Papan, namun kini turut berlaku di Kampung Baru Jemari, Kampung Sungai Muka Dua, dan Kampung Orang Asli Labong,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Di Segamat pula, kawasan terjejas adalah Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Pogoh Tengah dan Kampung Tekam.

Beliau berkata Jalan Telok Arong di Mersing ditutup sepenuhnya akibat runtuhan cerun dan pemantauan sedang dilakukan oleh agensi berkaitan.

Orang ramai yang ingin ke Mersing-Endau boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Tanjung Resang-Jalan Mersing atau Endau-Jalan Air Papan, katanya.

— BERNAMA



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons