[VIDEO] Ibu bapa sambut baik PPSR 2017 – Nasional


PELABUHAN KLANG 23 Nov. – Rata-rata ibu bapa yang menemani anak-anak mereka mengambil keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2017 di Sekolah Kebangsaan (SK) Pelabuhan Klang dekat sini menyambut baik Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR).



Video oleh SHAHARANI SAIBI

Bagi Ahmad Soffi Kadri, 49, laporan pentaksiran ini sangat baik kerana ianya tidak memfokuskan kepada pencapaian akademik anak-anak sahaja.

“Kita akui mungkin tugasan seorang guru bertambah dengan adanya PPSR ini, namun sebenarnya pentaksiran itu membuka minda ibu bapa supaya tidak bergantung kepada jumlah A diterima tetapi melihat bakat atau kebolehan anak mereka dalam bidang lain.

“Kadang-kadang anak-anak tidak menunjukkan bakat mereka di rumah, tetapi di sekolah anak-anak bersama rakan menunjukkan kebolehan dalam bidang yang diminati,” katanya yang juga Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Sementara itu, Jafri Hassan, 51, menyifatkan PPSR yang dilaksanakan kerajaan itu dilihat lebih holistik dan integriti dalam merumuskan penilaian murid darjah enam.

“Ini kerana guru-guru akan memberi penilaian setiap murid mengikut subjek sekaligus berupaya mendidik murid supaya lebih belajar bersungguh-sungguh,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Malaysia, Indonesia tangani kempen antisawit – Nasional


KUALA LUMPUR 22 Nov.- Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk terus berganding bahu bagi menangani kempen antiminyak sawit dan meningkatkan imej global industri sawit secara strategik dan efektif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, isu tersebut dibawa kepada Presiden Kesatuan Eropah (EU), Donald Tusk untuk dibincangkan secara lebih terperinci.

Menurutya, kempen tersebut yang diadakan di negara EU disifatkan sebagai tidak adil memandangkan jumlah pekebun kecil di Malaysia sebanyak 600,000 manakala Indonesia pula mempunyai 17.5 juta bergantung kepada industri kelapa sawit.

“Kerjasama dalam isu ini adalah penting bagi memastikan pekebun-pekebun kecil di Malaysia dan juga Indonesia akan terbela,” kata Perdana Menteri menerusi catatan di blog wwww.najibrazak.com.

Catatan itu dibuat sempena Majlis Perundingan Tahunan Malaysia-Indonesia Ke-12 yang diadakan di Kuching, Sarawak hari ini dengan kehadiran Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi.

Perdana Menteri berharap perjumpaan tahunan antara jiran serumpun itu yang disifatkan penting dapat mengekalkan hubungan erat antara kedua-dua negara lebih-lebih lagi sempena ulang tahun hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia ke-60.

Dalam pertemuan itu juga, Najib berkata, kerjasama pertahanan juga diharapkan kekal baik dengan memberi tumpuan dalam isu keselamatan sempadan dan bidang pertahanan khususnya menangani ancaman pengganas. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Inisiatif pelbagaikan tarikan ekopelancongan – Jeanne – Nasional


KUALA LUMPUR 22 Nov. – Buku My Green Sanctuary yang dilancarkan hari ini amat penting dalam usaha mencambahkan lagi destinasi tarikan ekopelancongan negara.

Presiden Landskap Malaysia, Tun Jeanne Abdullah berkata, buku tersebut bukan sahaja menonjolkan keindahan semula jadi negara dengan alam flora serba unik, malah berpotensi dijadikan sebagai rujukan penting destinasi pelancongan.

Beliau berkata, setiap kelebihan serta keistimewaan pokok dan tumbuhan herba tempatan adalah antara tarikan yang perlu diketengahkan sebagai usaha memulihara keindahan alam sekitar Malaysia yang masih menghijau.

“Usaha memperkenalkan destinasi ekopelancongan, kepelbagaian pokok dan tumbuh-tumbuhan amat baik bukan sahaja sebagai salah satu keunikan di Malaysia, tetapi ia baik bagi mendidik pelancong dan masyarakat tempatan mengenai kepentingan memelihara alam sekitar.

“Selain keunikan flora dan fauna, buku ini turut mengetengahkan 30 lokasi taman landskap menarik seperti Taman Botani Perdana dan Taman Hijau Saujana Putrajaya; Taman Tasik Taiping dan juga Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) yang berpotensi dijadikan antara tarikan baharu destinasi ekopelancongan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran buku My Green Sanctuary dan pengenalan Taman Landskap Telang 18 berserta Villa Sang Turi, dekat sini hari ini. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Nama bapa biologi anak tidak sah taraf disaran tambah nama ‘Abdullah’ – Nasional


KUALA LUMPUR 22 Nov. – Bagi mengurangkan tekanan dan kesan psikologi kepada anak-anak tidak sah taraf, bapa biologi disarankan mendaftarkan nama tambahan iaitu @ “Abdullah” atau lain-lain nama Allah (Asmaul Husna) pada namanya sendiri.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, dengan menambahkan nama-nama tersebut membolehkan si anak dianggap berbin atau berbintikan nama bapa kandung yang juga mempunyai persamaan dengan nama “Abdullah” apabila anak itu didaftarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara sebagai anak tidak sah taraf. 

“Inilah sedikit pengorbanan yang perlu dilakukan oleh si ayah untuk anaknya yang terhasil dari hubungan dengan si ibu sebelum mereka menikah.

“Namun usaha menambahkan nama si bapa ini perlu dilakukan segera terutama sebelum si anak memasuki alam persekolahan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai panelis di Forum Bicara Ilmiah 2.0: “Anak Tidak Sah Taraf” anjuran Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Malaysia bantu kesan tahan Uighur lari ke Malaysia – TPM – Nasional


KUALA LUMPUR 22 Nov. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia menjalin kerjasama dengan Polis ASEAN (Aseanapol) dan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan saki baki tahanan etnik Uighur yang meloloskan diri dari Pusat Tahanan Imigresen Sadao,Thailand awal pagi Isnin.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, PDRM sedia untuk berkongsi maklumat risikan dengan pihak keselamatan Thailand untuk membolehkan semua tahanan terbabit ditahan semula.


“Kita (PDRM) akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Thailand, Aseanapol dan Interpol khasnya dalam perkongsian maklumat risikan berkaitan kes itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Menangani Pembiayaan Pengganas Kali Ketiga 2017 di sini hari ini.


Sejurus kejadian itu, Thailand memohon kerjasama Malaysia untuk mengesan tahanan Uighur berkenaan yang meloloskan diri dari Pusat Tahanan Imigresen Sadao berhampiran sempadan Malaysia-Thailand. 


Menurut Timbalan Perdana Menteri Thailand Jen Prawit Wongsuwan, lima daripada 20 etnik Uighur yang melepaskan diri itu telah ditahan semula manakala baki tahanan dipercayai telah merentasi sempadan untuk memasuki Malaysia.


Dalam insiden pukul 2 pagi (waktu tempatan) semalam, 20 etnik Uighur Muslim, China yang menunggu untuk dihantar pulang ke negara asal mereka meloloskan diri dari pusat tahanan itu. 


Pada masa ini kira-kira 200 etnik Uighur sedang ditahan di pusat-pusat imigresen Thailand bagi menunggu dihantar pulang selepas Beijing mendesak mereka dihantar pulang. – BERNAMA



Source link

read more

Jeddah dinaiki air, aliran trafik terjejas – Nasional


RIYADH 21 Nov. – Hujan lebat pada awal pagi ini di Jeddah mengakibatkan banjir kilat di kebanyakan jalan di bandar itu sehingga menjejaskan aliran trafik.

Portal Saudi Gazette melaporkan, sebuah bangunan meteorologi berhampiran Lapangan Terbang King Abdul Aziz turut dipanah petir sehingga mengakibatkan beberapa peralatan rosak namun pejabat itu masih beroperasi seperti biasa.

Ketua Perhubungan Awam lapangan terbang Jeddah, Turki Al-Deeb berkata, hujan lebat tidak menjejaskan jadual penerbangan pada hari itu.

Namun, hanya lima penerbangan ditunda kerana beberapa orang penumpang dan krew tidak dapat sampai ke lapangan terbang pada masa yang ditetapkan.

Hujan lebat itu juga turut mengakibatkan mahkamah Jeddah mengalami kebocoran dan fenomena terbabit juga melewatkan jadual perbicaraan kerana kakitangan mahkamah tiba lewat.

Sementara itu, polis Jeddah melaporkan menerima sebanyak 11,000 panggilan kecemasan menerusi talian 911 dengan kebanyakan pemanggil bertanyakan laluan alternatif dan keadaan cuaca semasa. – AGENSI



Source link

read more

Mugabe letak jawatan, tamatkan pemerintahan selama empat dekad – Nasional


HARARE 22 Nov. – Presiden Zimbabwe , Robert Mugabe meletak jawatan semalam, dalam sepucuk surat yang dihantar kepada Parlimen, tidak lama selepas Parlimen negara ini memulakan proses pemecatan beliau sekali gus menamatkan pemerintahan hampir empat dekad pemimpin itu.

Keputusan itu yang diumumkan oleh Speaker Zimbabwe, Jacob Mudenda diraikan dengan meriah oleh sidang dewan Parlimen sekali gus menghentikan prosedur pemecatan tersebut.

Bekas ketua keselamatan yang dikenali sebagai `Buaya’, Emmerson Mnangagwa dijangka mengambil alih tempat Mugabe. – REUTERS



Source link

read more

Palestin bekukan pertemuan dengan Amerika – Nasional


RAMALLAH 22 Nov. – Palestin membekukan semua pertemuan dengan Amerika Syarikat (AS) selepas pihak berkuasa itu memutuskan untuk menutup pejabat perwakilan mereka di Washington.

Menteri Luar Palestin, Riyad al-Malki mempersoalkan kepentingan untuk mengadakan pertemuan dengan Amerika ketika negara itu menutup pejabat mereka di Washington.

“Secara praktikalnya dengan menutup pejabat itu, mereka membekukan kesemua mesyuarat dan kami menjadikan perkara itu sebagai rasmi,” katanya, semalam.

Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang dianggap masyarakat antarabangsa mewakili Palestin perlu mendapatkan kebenaran untuk beroperasi di Washington dan permit itu diperbaharui setiap enam bulan oleh Jabatan Negara AS.

Namun minggu lalu, jabatan itu enggan memperbaharui permit berkenaan. – AFP



Source link

read more

Badak Jawa sudah pupus, badak Sumatera tinggal dua ekor – Nasional


SEREMBAN 21 Nov – Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dr Hamim Samuri hari ini berkata mengikut rekod terkini hidupan liar di Malaysia, badak jawa didapati sudah pupus.

“Malaysia melalui senarai terkini merekodkan badak Jawa sebagai pupus, sementara empat spesies lain iaitu badak Sumatera, Harimau Malaya, tenggiling dan seladang  dinilai sebagai spesies terancam kritikal,” katanya dalam ucapan perasmian Seminar Biodiversiti 2017 di sini, hari ini

Selain  itu, beliau berkata, sebanyak 12 spesies dinilai sebagai terancam, 14 spesis (rentan), 33 spesies  (hampir terancam).

“Hidupan liar kita menghadapi pelbagai ancaman disebabkan pengecilan habitat dan kawasan rayau ekoran aktiviti pembukaan kawasan hutan dan perubahan guna tanah. Selain kehilangan habitat, populasi  hidupan liar juga turut merosot terutamanya bagi spesies harimau dan gajah ekoran aktiviti pemburuan dan perdagangan haram hidupan liar akibat permintaan yang tinggi di pasaran gelap,” katanya.

Hamim dalam sidang media kemudiannya berkata pada 2010 Jabatan Perhilitan berjaya merekodkan tiga ekor spesies badak Jawa di negara ini namun spesies itu gagal dikesan dan direkodkan tahun ini menerusi pemantauan yang dijalankan menggunakan pelbagai kaedah termasuk pemasangan kamera.

“Bagi badak sumatera, tenggiling dan banteng (seladang), spesies itu kini sangat sedikit berbanding dengan  sepatutnya  yang ada…contohnya badak Sumatera tinggal dua ekor sahaja dan dua ekor ini sudah tua dan tidak boleh membiak, bagi harimau Malaya ada 250 ekor sahaja yang sepatutnya ada 1,000 lebih,” katanya.

Di dalam ucapannya, Hamim juga berkata, sejumlah 2,130 spesis hidupan liar direkodkan mati akibat  kemalangan  jalan raya bagi tempoh lima tahun sejak 2012,

Beliau berkata, bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini pula, sejumlah 212 hidupan liar  direkodkan  terkorban oleh Jabatan Perlidungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan).

“Kebanyakan hidupan liar yang terbunuh adalah daripada spesies terancam seperti tapir, beruang matahari, gajah, kambing gurun dan harimau. Saya dimaklumkan bahawa spesies tapir antara yang tertinggi menjadi mangsa dilanggar kenderaan.

Rekod Jabatan Perhilitan menunjukkan bahawa 43 tapir terbunuh dalam kemalangan  jalan  raya  dalam tempoh lima tahun yang lalu,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Biodiversiti dan Perhutanan Kementerian, Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian.

Terdahulu, Seminar Biodiversiti 2017 yang berlangsung selama tiga hari sejak semalam disertai 118 pegawai agensi kerajaan persekutuan dan negeri, penyelidik dan individu perseorangan.-BERNAMA



Source link

read more

Perhilitan mahu doktor veterinar secara tetap – Nasional


SEREMBAN 21 Nov. – Kegagalan memahami fungsi hidupan liar terhadap keseimbangan ekologi adalah punca permohonan Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk mendapatkan doktor veterinar secara tetap ditolak oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, sehingga kini jabatan itu mempunyai seramai 16 doktor veterinar yang dipinjamkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Katanya, semua doktor berkenaan hanya biasa mengendalikan haiwan ternakan dan apabila dipinjamkan kepada Perhilitan, mereka terpaksa dihantar menjalani kursus dan latihan termasuk ke luar negara bagi meningkatkan kefahaman mereka berkaitan hidupan liar.

“Kepakaran yang diperoleh ini menjadi tidak lagi relevan apabila mereka dipanggil balik oleh MOA dan ditempatkan semula untuk menjaga haiwan ternakan.

“Kita telah beberapa kali membuat permohonan kepada JPA untuk mendapatkan perjawatan secara tetap tetapi ditolak. Bagi saya, mereka tidak faham apa itu ekologi, apa itu perubahan iklim dan kepentingannya terhadap alam sekitar, sebab itu ditolak,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Biodiversiti 2017 di sini hari ini.

Beliau yang melahirkan kekesalannya terhadap penolakan itu berkata, beberapa cadangan balas daripada pihaknya turut ditolak oleh jabatan berkenaan.

Tambahnya, pihaknya sedia berbincang dengan JPA terhadap isu-isu yang ditimbulkan dalam alasan penolakan itu seperti kenaikan pangkat bagi perjawatan tersebut.

“Kita boleh bincang kerana negara ini telah mempunyai dasar mengenai ekologi termasuk pemuliharaan hidupan liar tetapi tidak dapat dilaksanakan tanpa kerjasama JPA.

“Kita mesti ingat bahawa hidupan liar mempunyai peranan masing-masing dalam mengekalkan keseimbangan ekologi,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons