Sikap Ahli Parlimen punca lewat pembayaran – Politik


KUALA LUMPUR 16 Jan. – Kelewatan pembayaran elaun persidangan Ahli Parlimen untuk bulan November dan Disember tahun lalu berjumlah RM1.2 juta berlaku kerana sikap wakil rakyat yang lambat mengemukakan tuntutan.

Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen dalam satu kenyataan menjelaskan, pihak pengurusan Parlimen telah meminta semua Ahli Parlimen mengemukakan tuntutan pada tahun semasa, namun sehingga ke hari ini saranan itu masih tidak dipatuhi.

Kata kenyataan itu, berikutan kelewatan tersebut, tuntutan itu terpaksa dibayar menggunakan peruntukan tahun semasa setelah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.

“Bagi bulan November dan Disember 2017, terdapat 299 tuntutan daripada Ahli Dewan Rakyat diterima. Bagaimanapun, pihak Parlimen terpaksa mendahulukan pembayaran ke atas tuntutan-tuntutan tahun 2015 dan 2016 yang dikemukakan Ahli Parlimen berjumlah RM1.33 juta.

“Oleh kerana tuntutan tersebut lewat dikemukakan kepada pihak Parlimen, akibatnya ada urusan-urusan tahun 2017 terutamanya elaun persidangan pada November dan Disember berjumlah RM1.2 juta terpaksa ditangguhkan pembayarannya ke tahun 2018,” kata kenyataan itu.

Isu pembayaran elaun dan tuntutan Ahli Parlimen itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Taiping daripada DAP, Nga Kor Ming yang disiarkan di muka depan akhbar China Press, semalam. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Isu terowong dasar laut Siasatan SPRM tumpu pada pembayaran RM305 juta


KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pelaksanaan kajian terowong dasar laut di Pulau Pinang kini menjurus kepada pembayaran RM305 juta kepada syarikat-syarikat yang dilantik untuk membuat kajian tersebut oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Menurut sumber, pasukan penyiasat kini sedang merakam percakapan saksi-saksi dalam syarikat-syarikat yang dilantik itu bagi mengenal pasti proses pembayaran untuk kajian kebolehlaksanaan tersebut.

Kata sumber itu lagi, menerusi penelitian dokumen-dokumen yang dirampas dalam proses siasatan, maka dipercayai dapat membantu untuk mengenal pasti sama ada bayaran tersebut (RM305 juta) adalah nilai sebenar atau yang telah dinaikkan.

Selain itu, SPRM juga sedang menyiasat sama ada syarikat-syarikat tersebut mempunyai pengiktirafan untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut.

“Kita juga perlu lihat sama ada pakar-pakar yang dilantik untuk membuat kajian tersebut mempunyai kepakaran khusus dalam membuat kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut.”

“Tidak kira sama ada pakar-pakar yang dilantik itu adalah terdiri daripada kerajaan mahupun pihak swasta, apa yang penting mereka perlu mempunyai kepakaran untuk menjalan kajian terowong dasar laut,” katanya ketika dihubungi di sini.

Difahamkan, kerajaan telah menetapkan piawaian kepakaran untuk menjalankan semua kajian kebolehlaksanaan termasuk kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi berkata pihaknya sedang membuat siasatan secara terperinci berhubung pembayaran penganugerahan pelaksanaan kajian terowong dasar laut tersebut.

BACA: Terowong dasar laut Pulau-Pinang: SPRM ambil keterangan 12 saksi

Menurut beliau, ini kerana ia melibatkan aspek-aspek teknikal yang perlu dilihat secara mendalam, justeru pasukan penyiasat memerlukan masa bagi menyiasat kes tersebut.

Azam meminta semua pihak memberikan ruang dan peluang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan dan pihaknya masih dalam proses merakam percakapan saksi-saksi penting yang dipercayai dapat membantu melengkapkan siasatan ini.

“Kita akan panggil beberapa individu penting dalam masa terdekat untuk merakam percakapan,” ujarnya lagi.

Pada hari ini, SPRM juga telah merakam percakapan lapan individu termasuk setiausaha syarikat, penasihat dan perunding-perunding syarikat serta menggeledah sembilan syarikat di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan .



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons