Pendapatan isi rumah naik dua kali ganda – PM Najib



KUALA LUMPUR: Kemajuan ekonomi bumiputera menampakkan peningkatan memberangsangkan apabila pendapatan kasar bulanan isi rumah meningkat daripada RM3,624 pada tahun 2009 kepada RM6,267 tahun lalu dengan peningkatan hampir dua kali ganda.

Malah, perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sejak beliau mula memegang tampuk pemerintahan negara, kadar kemiskinan bumiputera juga berjaya diturunkan daripada 5.3 peratus pada tahun 2009 kepada 0.5 peratus pada tahun lalu.

“Semenjak saya mengambil alih tampuk kepimpinan pada 2009, pelbagai inisiatif telah Kerajaan Barisan Nasional laksanakan, ada yang kita tambah baik daripada kepimpinan terdahulu, untuk terus memperkasa Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional.

“Kita akan pastikan Melayu dan bumiputera terus berdaya saing, sama ada dari segi pendidikan, pekerjaan, pemilikan aset dan banyak lagi.

“Semua ini saya rangkumkan dalam Transformasi Kesejahteraan Bumiputera yang dilancarkan pada awal tahun ini, yang menyingkap segenap pencapaian dan juga aspirasi masa hadapan kita untuk Melayu dan bumiputera di Malaysia,” kata beliau menerusi blog najibrazak.com.

Mesej tersebut dibuat sempena Perhimpunan Agung UMNO ke-71 yang akan bermula pada 5 sehingga 9 Disember ini.

Tambah beliau, perjuangan UMNO yang sentiasa berteraskan rakyat memungkin semua kejayaan itu dikecapi pada masa kini.

“Kesemua kejayaan ini adalah hasil perjuangan UMNO, atau lebih tepat lagi, hasil kesanggupan, hasil titisan darah dan keringat, hasil kesetiaan dan wala’ tidak berbelah bahagi kesemua ahli-ahli UMNO, dari setiap lapisan masyarakat, dari akar umbi ke pucuk kepimpinan.

“Kerana UMNO adalah parti yang bertunjangkan kepentingan rakyat, memperjuangkan nasib rakyat. UMNO adalah parti yang cintakan negaranya, yang sanggup berkorban hingga ke titisan darah terakhir demi Malaysia. UMNO adalah parti rakyat, hak dan milik ahli-ahlinya, bukan parti milik mana-mana individu,” ujar beliau.



Source link

read more

Suri rumah jana pendapatan hingga RM30000 menerusi e-Usahawan



NILAI: Seorang suri rumah sepenuh masa tidak menyangka bakat menjahit dan mereka beg tangan untuk dijual menerusi media sosial Facebook berjaya merubah pendapatan diri serta keluarga.

Dengan hanya meraih RM1,000 sebulan, Siti Nor Hanir Zanar Misro, 44, kini boleh tersenyum apabila pendapatan bulanan menjual produk itu mampu mencecah RM30,000.

Bukan setakat itu, rekaan dan jahitan beg tangan yang kemas berjaya menarik perhatian bukan sahaja peminat tempatan tetapi turut mendapat permintaan luar negara seperti Brunei Darussalam.

Namun, semua kejayaan dan pendapatan ribuan ringgit itu tidak akan tercapai tanpa bantuan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menerusi kempen #YouCanDuit, Siti Nor Hanir mencuba nasib dengan menyertai platform e-Usahawan itu.

Bermula dengan minat pada tahun 2013, ibu kepada enam orang anak ini mula memberanikan diri untuk terus berkecimpung dalam dunia perniagaan pada 2016 dan seterusnya mengiklankan beg tangan hasil jahitannya di laman Facebooknya.

Bukan sekadar menjual beg tangan, malah wanita ini turut menjual aksesori-aksesori untuk membuat beg tangan.

“Saya mengetahui mengenai program e-Usahawan melalui Facebook dan telah pergi mendapatkan latihan selama satu hari di Cyberjaya.

“Di sana saya telah diberi latihan yang mendalam mengenai cara menggunakan pengiklanan Facebook, pemasaran melalui Instagram, copyrighting dan banyak lagi,” katanya.

Siti Nor Hanir ditemui pada kempen #YouCanDuit anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, Negeri Sembilan.

Kini beliau mampu menjana pendapatan hampir 30 ribu ringgit sebulan dan perniagaannya kini telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Menariknya, Siti mengusahakan perniagaannya ini tanpa bantuan pekerja kerana beliau khuatir kualiti yang dihasilkan tidak menepati cita rasanya.

Beliau dan suaminya kini merancang untuk membangunkan laman web khas bagi memudahkan pelanggan untuk menempah dan membeli beg tangan jenamanya ini.

Kempen ketujuh ini merupakan penutup tirai bagi edisi 2017 sebelum diteruskan pada tahun hadapan.



Source link

read more

Program solar beri pendapatan tambahan kepada komuniti – Devamany



KUALA LUMPUR: Pelaksanaan program solar untuk komuniti memberi pendapatan tambahan kepada kumpulan itu untuk menjalankan aktiviti masing-masing.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri SK Devamany berkata, selain itu ia memastikan organisasi bukan komersial terutamanya berpeluang membangunkan projek berasaskan solar.

Jelasnya, ia memberi peluang organisasi berkenaan tidak bersaing dengan syarikat komersial di bawah mekanisme berkenaan yang ditetapkan.

“Ia mengurangkan kebergantungan komuniti kepada peruntukan daripada pihak Kerajaan, memberi pendedahan dan pendidikan mengenai penjanaan tenaga elektrik dari sumber Tenaga Boleh Baharu.

“Ia juga meningkatkan kesedaran kepada komuniti mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dan juga teknologi-teknologi baharu yang boleh menjaga alam sekitar,’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Langat Che Rosli Bin Che Mat (Pas) mengenai perkembangan dan pencapaian projek solar komuniti yang sedang berjalan di seluruh Malaysia dan manfaat yang diperoleh oleh pelbagai komuniti.

Dalam pada itu, kata Devamany, sejumlah 10.51 MV telah diluluskan bagi program solar komuniti sejak 2014 sehingga September tahun ini.

Daripada jumlah itu jelasnya, sebanyak 4.96 MV telah mula menjana dan menjual elektrik kepada pihak utiliti.



Source link

read more

Ahmad Husni jangka Bajet 2018 tingkatkan pendapatan rakyat



KUALA LUMPUR: Pendapatan rakyat dijangka meningkat lebih tinggi dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang hasil pelbagai dasar yang diperkenalkan kerajaan termasuk inisiatif-inisiatif yang dicadang dalam Bajet 2018 yang dibentang Jumaat lalu.

Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (BN-Tambun) berkata kerajaan telah menetapkan sasaran untuk meningkatkan pendapatan rakyat kepada 42 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), selari dengan negara-negara maju.

“Saya bersama Bank Negara membuat kajian pada 2009 dan kita dapati kenaikan harga barang sebelum tahun itu cukup tinggi tetapi kenaikan gaji kita cukup rendah, jadi dengan inisiatif seperti terkandung dalam bajet ini hasratnya adalah untuk menaikkan gaji rakyat.

“Dulu gaji kita berbanding KDNK adalah 33 peratus dan kemudian naik kepada 35 peratus dan hasrat kita adalah untuk meningkatkannya kepada 42 peratus supaya sama dengan negara-negara maju,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Husni yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan II dari tahun 2009 hingga 2016, menyatakan keyakinan menerusi Bajet 2018 dan bajet-bajet akan datang, kenaikan pendapatan rakyat akan meningkat.

Beliau berkata semua pihak termasuk pembangkang perlu menyokong bajet itu kerana ia mengandungi inisiatif-inisiatif untuk membangunkan negara yang akan memberi manfaat kepada keseluruhan rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Saya menjadi Menteri Kewangan Kedua dari 2009 hingga 2016. Saya tidak mahu cakap besar kerana saya ingin menyatakan Bajet 2018 adalah yang terbaik yang diperkenalkan di negara ini sebab kita berdepan dengan gelombang ekonomi dunia yang persaingannya begitu tinggi tetapi kita berjaya menghasilkan bajet yang begitu holistik,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Husni berkata semua pihak harus mengakui bahawa pembangunan positif yang dikecapi Pulau Pinang dan Selangor adalah hasil pelaksanaan dasar di peringkat persekutuan seperti Pelan Transformasi Ekonomi yang telah membantu negara menghadapi cabaran ekonomi dunia.

Katanya kedua-dua negeri itu adalah sebahagian daripada Malaysia dan secara tidak langsung menikmati kesan pelaksanaan dasar-dasar yang diperkenalkan di peringkat persekutuan.

Persidangan dewan bersambung esok.

— BERNAMA



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons