Pengkorporatan kastam ditangguh – KP JKDM – Nasional


KUBANG PASU 13 Jan. – Keputusan untuk mengkorporatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang sepatutnya dilaksanakan pada bulan ini ditangguhkan sementara menanti hasil kajian yang sedang dijalankan pengurusan tertingginya.



Penswastaan kastam ditangguh - KP JKDM

Subromaniam Tholasy 

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, penangguhan itu dibuat bagi memastikan sebarang tindakan diambil selepas ini benar-benar memberi manfaat kepada JKDM, rakyat serta negara.

“Setakat ini masih belum ada sebarang perubahan terhadap JKDM sehingga satu tarikh yang akan diberitahu kelak. Kami masih melakukan penilaian berhubung perkara tertentu dan melihat kesesuaian untuk melaksanakan perkara tersebut.

“Untuk itu kami akan mengunjungi beberapa negara antaranya Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Singapura dan Afrika Selatan bagi tujuan penilaian dan rujukan. Setelah semuanya selesai, kami akan sediakan kertas Kabinet dan kita tunggulah nanti apa hasilnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Diploma Eksekutif Pengurusan Perniagaan Ke-12 di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.

Pada majlis itu seramai 50 pegawai dan kakitangan JKDM menerima diploma berkenaan yang julung-julung kali disertai oleh warga agensi kerajaan tersebut.

Mengulas lanjut katanya, pihaknya tidak mahu terburu-buru dalam melaksanakan perkara itu kerana terlalu banyak perkara yang perlu diperhalusi.

“Di Amerika Syarikat contohnya, selepas kejadian 11 September 2001, pihak kastam mereka berpecah kepada dua iaitu Perlindungan Sempadan dan Kastam (CBP) serta Agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam Persekutuan (ICE). Jadi kita sendiri perlu buat penelitian sebaik mungkin bagi mendapatkan model terbaik mengikut kesesuaian semasa.

“Sebelum ini apabila cadangan pengkorporatan kastam diumumkan, banyak cakap-cakap tidak betul mengenainya tersebar. Apa yang diperkatakan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam videonya baru-baru ini mengenai pengkorporatan kastam juga semua tidak betul,” katanya.



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons