Baitulmaqdis bukan milik Israel isytihar Perjanjian Damai Oslo gagal – Hamas



PRESIDEN Palestin Mahmoud Abbas diminta isytihar Perjanjian Damai Oslo 1993 sebagai gagal.

Gesaan dibuat pegawai kanan Hamas, Ismail Radwan, pada Rabu, susulan pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengenai pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Berdasarkan perjanjian berkenaan, status akhir berhubung Baitulmaqdis sepatutnya dibincangkan dalam siri rundingan damai seterusnya.

Hamas dalam pada itu menolak keputusan Trump itu dan menyifatkan ia sebagai satu tindakan pencerobohan.

Menurut Ismail, keputusan Trump itu perlu dihalang dengan apa juga cara.

“Kami menolak keputusan ini yang jelas satu pencerobohan ke atas rakyat, bangsa, sebab dan prinsip. Ia juga satu langkah bahaya dalam berdepan konflik pencerobohan Zionis,” kata Ismail pada satu sidang media di Gaza.

Baitulmaqdis ditawan Israel dalam pencerobohan tentera Zionis pada 1967.

Terdahulu, Trump mencipta sejarah sebagai presiden pertama AS mengiktiraf secara rasmi Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

BACA: Suara dari Tel Aviv: Iktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, AS cari pasal

Pada masa sama, beliau mengumumkan pelan memindahkan pejabat kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.



Source link

read more

Perjanjian Malaysia Abang Johari enggan layan jemputan Pandikar Amin untuk berdebat


KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata beliau tidak gentar dengan cabaran Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk berdebat mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak-hak Sarawak, tetapi menegaskan bahawa kerajaan negeri akan berunding mengikut undang-undang dan perlembagaan.

“Pendirian saya tegas dan saya tidak takut walaupun hilang jawatan, daripada saya melayan perdebatan yang tidak berfaedah,” katanya ketika berucap menyempurnakan perasmian Mesyuarat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon 1 Kuching di Penview Convention Centre (PCC) di sini hari ini.

BACA: Najib jelaskan pendirian kerajaan persekutuan berhubung Perjanjian Malaysia

Pandikar Amin sebelum ini mengajak Abang Johari berdebat mengenai MA63, dan kenyataan beliau itu menimbulkan kemarahan rakyat Sarawak sambil beberapa pemimpin negeri menyifatkan Pandikar Amin sebagai angkuh.

Pandikar Amin sebelum ini mengajak Abang Johari berdebat mengenai MA63, dan kenyataan beliau itu menimbulkan kemarahan rakyat Sarawak . - Foto Astro AWANI

Abang Johari berkata kerajaan negeri Sarawak akan tetap meneruskan rundingan peringkat tertinggi dengan kerajaan Persekutuan mengenai pengembalian kuasa dan hak-hak negeri Sarawak serta rakyat negeri ini seperti yang termaktub dalam MA63.

Menurut ketua menteri, dua minggu lepas ketika melakukan lawatan ke Sarawak, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan perjumpaan dengan anggota Dewan Undangan Negeri Sarawak dan pada pertemuan itu, beliau sekali lagi menyatakan bahawa kerajaan Persekutuan akan mengembalikan hak negeri Sarawak.

“Kita ada hak untuk berunding. Kita Sarawak ada maruah, kita ada cara kita untuk berunding. Kita hendak mempertahan hak kita,” tegas beliau dan mendapat tepukan gemuruh daripada para perwakilan.

Abang Johari sekali mengulangi janji beliau untuk meneruskan dasar bekas Ketua Menteri Allahyarham Tan Sri Adenan Satem untuk menuntuk kembali hak negeri ini.

Sebagai buktinya, katanya, kerajaan negeri telah menghantar satu rombongan ke London untuk meneliti fail dan hak-hak Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63 serta hak-hak negeri Sarawak ketika ditadbir oleh kerajaan British.

“Apabila kita semak, didapati banyak hak diberi kerajaan British kepada orang Sarawak. Kita mendapat bukti mengenai hak kita mengenai minyak kerana kita masih ada Ordinan Perlombongan Minyak.

“Gabenor orang putih beri hak kepada Sarawak untuk Sarawak Oil Limited menerokai minyak dan hasil bumi ini,” tambah beliau.

Beliau berkata Barisan Nasional Sarawak yang bertunjangkan PBB mempunyai asas perjuangan untuk berunding bagi mendapatkan kembali hak negeri ini, namun beliau memberi jaminan Sarawak akan terus berada di dalam Malaysia.

— BERNAMA



Source link

read more

11 negara capai persetujuan umum berhubung perjanjian baharu TPP



DA NANG: Jepun, Australia dan sembilan negara lain dalam pakatan perdagangan bebas Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) pada Khamis telah mencapai persetujuan umum dalam rundingan bagi memuktamadkan satu perjanjian baharu tanpa Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita Jepun Jiji Press.

Kesemua negara bersetuju untuk menggantung sebahagian daripada peraturan perdagangan dan pelaburan yang termasuk dalam permuafakatan 12 negara asal TPP, sehingga AS kembali kepada rangka kerja pelbagai hala itu.

Mereka bersetuju untuk melaksanakan akses pasaran asal TPP, termasuk penghapusan atau pengurangan tarif dalam sektor pertanian dan perindustrian, secara am.

Kesemua negara mencapai persetujuan umum itu dalam mesyuarat peringkat menteri yang bermula di Da Nang pada Rabu.

Perjanjian baharu TPP itu amat penting dalam membentuk peraturan baharu di rantau Asia-Pasifik yang bebas dan adil, kata Menteri Ekonomi dan Polisi Fiskal Jepun Toshimitsu Motegi pada satu sidang berita.

Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe telah melahirkan pandangan bahawa persetujuan umum itu adalah satu langkah penting ke arah strategi pertumbuhan beliau, menurut Motegi.

Perbincangan berkaitan TPP asal bermula pada bulan Mac 2010. 

Jepun, AS dan 10 negara lain telah mencapai persetujuan umum berhubung perjanjian itu pada Oktober 2015 dan telah memeterainya pada Februari 2016.

Bagaimanapun, Presiden AS Donald Trump telah menarik negaranya keluar dari TPP selepas pelantikannya dalam bulan Januari tahun ini, menyebabkan 11 negara yang masih kekal mempertimbang satu perjanjian baharu.

TPP asal diperlukan untuk disahkan oleh enam negara yang menyumbang 85 peratus daripada gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara anggota.

Negara lain menyumbang 14 peratus daripada KDNK global, berbanding 38 peratus di 11 negara termasuk AS.

Kesemua 11 negara dijangka memeterai perjanjian baharu TPP menjelang akhir separuh pertama tahun 2018. 

Bagaimanapun, pakatan baharu itu tidak akan berkuat kuasa sekurang-kurangnya sehingga dua tahun kerana sesetengah negara berdepan kesulitan dalam mengesahkannya, kata sumber yang sudah biasa dengan situasi tersebut.

— BERNAMA



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons