PEMBANGKANG UMPAMA PIL KURUS | Merdeka Online


index

MO, 12/1/2018 – KEHIDUPAN hari ini sebenarnya adalah jauh sangat mudah berbanding zaman dahulu. Tiada apa yang rumit, kompleks atau sukar. Hanya kita sajalah yang membuatkan hidup kita tidak gembira, rumit, tegang dan bermasalah.

Sikap dan pandangan kitalah yang membuat kehidupan kita menjadi rumit. Kita menjadi emosional dan menyalahkan faktor sekeliling, sedangkan masalah itu sedia ada dalam diri kita. Masalah itu adalah kita sendiri, Jika apa yang ada dalam diri kita tidak diubati, ke mana pun kita pergi, kita akan tetap bermasalah.

Ambil sahaja contoh dalam isu-isu politik semasa. Kita menyibukkan diri dengan pelbagai isu negara yang kita tidak faham pun. Kita seperti dihasut, dirangsang dan diprovokasi untuk memberi reaksi emosi marah dan negatif, sedangkan kita tidak tahu pun apa sebenarnya sesuatu isu itu.

Minda bawah sedar kita seolah-olah meletakkan segala masalah kita akan selesai dengan pertukaran kerajaan. Kita setiap hari didedahkan dengan pelbagai salahlaku dan penyelewengan kerajaan yang kita sendiri tidak pasti kebenarannya.

Kerana ramai orang mempercayainya dan ia pula selalu diulang-ulang, maka anda juga turut mempercayainya sebagai benar.

Saya fikir hidup ini mudah sahaja jika kita tahu caranya. Jangan sakitkan kepala dengan perkara-perkara yang kita tidak faham, yang tiada kaitan, dan yang tidak mampu kita ubah secara langsung. Hiduplah dalam realiti. Kawallah lingkungan yang anda mampu kawal.

Mendengar cakap-cakap pembangkang tentulah mereka tidak akan memuji atau menyokong kerajaan. Itu perkara normal kerana pembangkang itu kerjanya membangkang. Mereka sebaliknya akan memberikan pelbagai janji dan tawaran yang mempesona.

Saya ambil contoh keadaan ini dengan suatu anologi yang mudah dan sinis. Di dalam negara ini, yang kononnya rakyat tertindas, ramai orang menghadapi masalah obesiti.

Banyak pula ubat-ubatan untuk mengatasinya yang dipromosikan. Ubat-ubat yang kononnya berkesan untuk menguruskan badan dengan tidak perlu mengawal permakanan. Harganya tidaklah murah.

Bolehkah tubuh kita kurus dengan ubat-ubat itu? Mungkin boleh. Walau bagaimanapun, ia sebenarnya bergantung pada diri anda juga. Adakah anda akan kurus dengan mengambil ubat-ubat sebegitu, sedangkan dalam masa yang sama anda tidak menjaga permakanan anda dari segi kuantiti dan jenis makanan?

Tentulah tidak.

Kita selalu mendengar ramai orang yang mengambil ubat-ubatan ini menghadapi pelbagai masalah sampingan. Mereka mahu kurus dengan cara yang mudah, maka mereka mengambil ubat-ubat seperti ini.

Begitu juga dengan masalah negara. Anda mahukan kehidupan yang lebih baik. Kononnya kerajaan hari ini tidak mentadbir dengan baik, maka kerana itu kehidupan anda terjejas. Itu kesimpulan anda.

Cara mudah yang anda fikir ialah dengan menukar kerajaan. Semudah itu pula penyelesaian anda.

Saya fikir keadaan ini sama seperti pengambilan ubat kurus tadi. Anda ingin mengubah nasib anda dengan mengubah negara. Mungkinkah ia berlaku? Apa yang sepatutnya anda ubah adalah gaya hidup anda.

Sekalipun kerajaan bertukar, ia tidak dapat mengubah apa-apa selagi anda sendiri tidak berubah.

Ia adalah perkara yang mudah untuk dikaitkan persamaan. Sama seperti ubat kurus, anda boleh mengambilnya, tetapi anda tidak akan kurus jika anda tidak mengubah gaya hidup anda. Tidak ada perkara yang mudah dalam dunia ini melainkan anda kena sedikit berusaha untuk mendapatkannya.

Sesuatu yang segera itu selalunya banyak yang tidak eloknya.

Bukanlah saya katakan anda tidak perlu mengambil tahu langsung berkenaan politik. Sama seperti saya juga tidak menolak pengambilan ubat kurus, tetapi anda tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada ubat tersebut.

Dalam konteks negara hari ini, janji-janji pembangkang ini boleh dikatakan seperti iklan-iklan ubat kurus. Pengeluarnya mempromosikannya habis-habisan. Begitu jugalah pembangkang, mereka menjanjikan banyak perkara yang kelihatan menyeronokkan kepada orang ramai. Tawaran-tawaran yang menarik bagi yang tidak mahu berfikir panjang. Ya, siapa yang tidak mahu perkara yang mudah sebagaimana ramai orang mahu kurus dengan cara yang mudah.

Katakanlah anda berkeras menyatakan pembangkang akan berjaya menunaikan semua janji mereka, ia tidak mengubah apa-apa juga dalam hidup anda, melainkan anda mengubah sikap anda.

Anda sendiri telah membaca ramai orang yang menghadapi masalah dengan pelbagai ubat kurus ini. Yang lebih kronik, ada yang meninggal dunia kerana pengambilan ubat-ubatan ini.

Begitu juga anda telah melihat bagaimana keghairahan rakyat sesebuah negara mahu menukar kerajaan telah membawa mudarat dan kerosakan pada negara mereka. Keadaan negara menjadi bertambah buruk. Sebagai contoh anda boleh melihat Iraq, Libya, Mesir, Tunisia. Apakah yang telah berlaku kepada negara-negara ini?

Ini adalah kerana ketidaksabaran dan ketidakbijaksanaan mereka. Mereka mahukan ia berlaku segera. Mereka memilih jalan pintas. Mereka terpedaya dengan hasutan dan khayalan-khayalan indah.

Ringkasnya, jika anda berasa anda gemuk dan tidak sihat, belajarlah bersenam, jalani gaya hidup yang betul, dan jagalah permakanan anda.

Dan jika anda berasa ekonomi anda teruk, belajarlah berhemat dalam berbelanja. Kawallah perbelanjaan anda. Janganlah harapkan ekonomi anda menjadi lebih baik dengan bertukarnya kerajaan baru.

Ia sama seperti anda mengambil ubat kurus, tetapi anda tidak mahu menjaga corak permakanan anda.

Pilihlah pemulihan secara alami, bukan dengan dipaksa-paksa dengan mengambil ubat yang belum tentu terjamin keselamatannya yang boleh menimbulkan kesan-kesan sampingan yang buruk. Bahkan cara ini adalah percuma. Ubahlah cara hidup masing-masing ke arah yang lebih baik.

Bahkan jika setiap individu mengubah pemikiran dan gaya hidup mereka, negara juga akan berubah sesuai dengan pemikiran dan sikap rakyatnya.

Jadilah warganegara yang sihat dan matang. Tidak terpengaruh dengan iklan dan janji-janji yang tidak masuk akal.

Bukan bermaksud memperkecilkan ubat-ubatan dan pembangkang seratus-peratus, tetapi perkara ini adalah kenyataan. Anda sendiri kena mengubah sikap, pemikiran dan gaya hidup anda untuk mengubah kehidupan, bukannya bergantung kepada faktor luaran semata-mata.

Seperti yang kita semua ketahui. banyak perkara yang indah-indah yang akibatnya berakhir dengan perkara yang buruk. Hiduplah dalam realiti.

 

Oleh: AZMAN HUSSIN



Source link

read more

JKDM Sabah rampas ribuan pil ekstasi tahan lelaki tempatan


KOTA KINABALU: Taktik sindiket pengedaran dadah untuk menyeludup 10,196 pil ekstasi yang diletakkan di dalam sebuah beg berisi pakaian terpakai berjaya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Cawangan Bungkusan Pos Kota Kinabalu, di sini baru-baru ini.

Beg yang diubah suai sebelum disembunyikan dadah seberat empat kilogram dan disimpan di dalam kotak itu berjaya ditemui pasukan JKDM pada jam 12 tengah hari Selasa lalu.

Pengarah JKDM Sabah, Datuk Hamzah Sundang berkata kesemua dadah itu ditemui sepasukan pegawai JKDM hasil daripada pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas di lokasi berkenaan.

Menurutnya, JKDM turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun yang datang pada hari sama (Selasa) di lokasi kejadian bagi menuntut bungkusan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menggunakan mesim pengimbas, kita mendapati ada imej mencurigakan di dalam beg yang disimpan di dalam kotak besar itu.

Dua plastik berisi pil ekstasi berjaya dirampas JKDM Sabah.

“Pemeriksaan lanjut ke atas bagasi itu kemudian mendapati ada ruang khas dipercayai untuk menyembunyikan dadah-dadah terbabit ditemui,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JKDM Sabah di sini pada Isnin.

Tambah Hamzah, siasatan awal mendapati bungkusan itu dipercayai dikirim daripada Belanda dan pakaian terpakai yang terdapat dalam beg tersebut dipercayai hanya untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Kata beliau, bungkusan itu dialamatkan untuk dihantar ke Sandakan tetapi dibawa ke Kota Kinabalu terlebih dahulu bagi tujuan pemeriksaan.

HAMZAH (dua dari kanan) berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun ketika cuba menuntut bungkusan itu.

“Lelaki tempatan yang mahu menuntut bungkusan itu kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Hamzah berkata, kes itu juga adalah yang pertama pihaknya membabitkan cubaan menyeludup dadah menerusi bungkusan pos pada tahun ini.



Source link

read more

ANAK HUSAM DITAHAN KERANA MILIKI 200 PIL KUDA??? ~ SEMUT HITAM


Polis menahan seorang anak lelaki pemimpin tertinggi PAN yang juga seorang wakil rakyat kerana dipercayai memiliki 200 biji pil kuda di hadapan sebuah rumah di Jalan Pasir Mas-Salor Kampung Jelutong di sini semalam.

Suspek berusia 29 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kota Bharu, Kelantan kira – kira pukul 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik yang mengesahkan mengenai tahanan tersebut berkata, “suspek dibawa ke Mahkamah Kota Bharu untuk mendapatkan perintah reman.”

“Suspek direman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan berhubung penemuan 200 pil kuda di poket hadapan sebelah kanan seluar panjang yang dipakainya,” katanya dipetik Utusan.

Sementara itu, Naib Presiden PAN, Husam Musa membuat pengakuan secara terbuka bahawa anaknya adalah individu yang telah ditahan Polis kerana memiliki 200 pil kuda.

Walaubagaimana pun ADUN Salor itu berkata, pihak Polis masih belum memberikan sebarang makluman mengenai penangkapan tersebut kepadanya.

“Saya hanya mendapat tahu anak saya, Ahmad Syafi direman di Mahkamah Kota Bharu atas tuduhan memiliki pil kuda jam 5.22 petang tadi, apabila seseorang menghantar imej laporan Malaysiakini melalui WhatsApp.

“Sehingga kini, tiada pemakluman rasmi oleh polis dibuat kepada saya mengenai penahanan itu.

“Juga tiada pemakluman polis bahawa beliau akan dibawa ke mahkamah untuk tahanan reman pagi tadi. Saya juga tidak diberitahu sehingga kini di mana anak saya ditahan,” katanya dalam catatan di Facebooknya. 

Husam berkata, jirannya memaklumkan anaknya ditahan sekumpulan lelaki petang semalam. Katanya,dia akan mengeluarkan kenyataan penuh selepas mendapat maklumat penuh daripada polis dan dibenarkan menemui anaknya.




Source link

read more

Anak lelaki ADUN ditahan reman miliki 200 biji pil kuda



KOTA BHARU: Anak lelaki seorang Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) di negeri ini ditahan polis kerana memiliki 200 biji pil kuda pada Sabtu.

Suspek berusia 29 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di di hadapan sebuah rumah di Jalan Pasir Mas – Salor, kira-kira pukul 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, setelah pihak polis membuat pemerhatian kira-kira lima minit mendapati seorang lelaki sedang berdiri di hadapan sebuah rumah di Kampung Jelutong di sini.

Sebaik memperkenalkan diri sebagai polis, tiba-tiba suspek itu melarikan diri ke bahagian tepi rumah.

Suspek terjatuh ke atas tanah dan berlaku pergelutan, bahkan suspek melawan semasa polis cuba menahannya dan enggan memberikan kerjasama semasa pemeriksaan hendak dilakukan.

Ismail berkata, polis sekali lagi menunjukkan kad kuasa polis sebelum suspek melawan dan agresif hingga berlaku pergelutan lagi.

Hasil pemeriksaan terhadap suspek menemui satu balutan kertas tisu berwarna putih yang mengandungi sepeket plastik berwarna biru berisi 198 biji pil warna merah dan dua biji pil warna hijau disyaki dadah.

Bungkusan itu disorokkannya di dalam poket hadapan sebelah kanan seluar panjang berwarna kelabu yang dipakai suspek.

Sehubungan itu, katanya, suspek dibawa ke Mahkamah Kota Bharu hari ini untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Perintah tahanan reman selama empat hari yang bermula hari ini  terhadap suspek dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret, Amni Mat Jahari.

Suspek kemudian dibawa menaiki trak polis ke IPD Kota Bharu untuk siasatan selepas selesai mendapatkan reman.



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons