Pegawai polis tembak teman wanita di muka sebelum bunuh diri



PARIS: SEORANG pegawai polis di Perancis menembak mati tiga orang awam dan mencederakan teman wanitanya dalam kejadian di bandar Sarcelles, dekat sini, pada Ahad.

Arnaud Martin, 31, sebelum itu dipercayai bertemu teman wanitanya selepas tamat syif untuk memutuskan hubungan mereka.

Namun, pertengkaran tercetus di antara mereka sebelum Martin menembak teman wanitanya di bahagian muka.

Dua orang awam yang cuba meleraikan pergaduhan mati ditembak oleh Martin.

Martin kemudian menuju ke rumah keluarga teman wanitanya sebelum bertindak menembak mati bapa wanita itu dan mencederakan ahli keluarga yang lain.

Laporan portal berita tempatan, The Local, menyebut ibu wanita itu cedera parah manakala kakaknya pula ditembak di bahagian kaki.

Martin ditemukan mati di belakang rumah dipercayai menembak diri sendiri di bahagian kepala.

Teman wanita Martin yang tidak didedahkan identitinya itu bagaimanapun selamat dan sedang dirawat di hospital.



Source link

read more

Cedera ketika jayakan babak Aksi Polis Evo 2 Zizan Razak mohon doa peminat



PELAKON dan pengacara Zizan Razak cedera ketika sedang menjayakan sebuah babak aksi dalam filem terbaru lakonannya, Polis Evo 2.

Zizan atau nama sebenarnya, Mohd Razizan Abdul Razak, 33, berkongsi berita tersebut menerusi sebuah entri di laman Instagram miliknya, @zizanrazak869.

“Jadi nasihat Zizan kepada semua tolonglah jangan ada cetak rompak lagi atau curi-curi rakam kerana bukan senang nak hasilkan sesebuah filem.

“Hari ini Zizan cedera dalam satu babak aksi. Dan doakan Zizan cepat sembuh. Amin,” tulis Zizan.

Entri tersebut turut disertakan dengan hashtag #getwellsoon #zizanrazak #action #film #movie #love #live #polisevo2 #kitaok.

Di ruangan komen, rata-rata peminat Zizan mendoakan agar artis kesayangan mereka lekas sembuh dari kecederaan.

Zizan kini sedang giat menjalani penggambaran filem Polis Evo 2 disamping Shaheizy Sam, Raline Shah, Erra Fazira, Hairul Azreen dan ramai lagi.

 



Source link

read more

Gaji kecil bukan faktor utama polis terlibat rasuah – Parlimen


KUALA LUMPUR 20 Nov. – Isu gaji kecil pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan faktor utama menyebabkan mereka terlibat dalam gejala tidak berintegriti seperti rasuah dan salah guna kuasa.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam jawapan bertulis kepada Datuk Raime Unggi (BN-Tenom), semasa persidangan Dewan Rakyat hari ini berkata, penglibatan sebilangan kecil mereka itu lebih terdorong kepada desakan peribadi seperti inginkan kehidupan mewah, berbelanja di luar kemampuan seperti membeli kereta, pakaian dan perabot rumah, hingga menyebabkan perbelanjaan menjadi tidak seimbang.

“Statistik penglibatan anggota PDRM dalam gejala rasuah bagi tahun 2016 yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya 187 kes atau 0.15 peratus daripada keseluruhan keanggotaan dalam PDRM,” ujar jawapan tersebut bagi menjawab soalan Raime yang ingin mengetahui usaha kementerian dalam mengkaji semula skim gaji dan kebajikan anggota polis sebagai usaha membendung gejala rasuah dan salah guna kuasa.

KDN berkata, kerajaan telah mengambil inisiatif menambah baik sistem gaji khusus bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PDRM dengan memperkenalkan Sistem Saraan Transformatif berkuat kuasa 1 Januari 2013.

Melalui inisiatif berkenaan, gaji ATM dan PDRM diseragamkan dan menjadikan ia lebih berdaya saing.

“Kementerian sedar dan prihatin tentang peningkatan kos sara hidup masa kini yang membebankan penjawat awam, termasuk anggota PDRM.

“Pengurusan PDRM telah mengemukakan pelbagai cadangan untuk meringankan perbelanjaan harian anggota, antaranya kenaikan kadar elaun yang diterima ketika ini, atau memperkenalkan elaun baharu untuk pertimbangan pihak berwajib.

“PDRM juga telah mencadangkan 13 jenis elaun untuk diselaraskan semula kepada kerajaan sesuai dengan beban tugas kini,” tambah KDN. – BERNAMA



Source link

read more

Polis Thailand tahan dua rakyat Malaysia disyaki anggota Macau Scam



BANGKOK: Dua lelaki rakyat Malaysia yang disyaki anggota sindiket “Macau Scam” antarabangsa ditahan polis Thailand di Bangkok ketika asyik mengeluarkan wang mangsa dari Mesin Pengeluaran Automatik (ATM).

Kedua-dua lelaki tersebut dikenali sebagai Saw Chooi Hock, 41 dan Saeo Wei Jack, 35.

“Kedua-dua lelaki rakyat Malaysia itu mengaku tersebut terdiri daripada 10 anggota termasuk rakyat Malaysia, warga Thailand dan Taiwan. Sindiket itu berpangkalan di Taiwan,” kata ketua pemangku Bahagian Anti Jenayah Thailand, Kolonel Maitri Chimcherd di sini hari ini.

Kedua-dua rakyat Malaysia yang ditahan di daerah Prawet di Ramkhamhaeng, Bangkok dijejaki selepas seorang mangsa sindiket membuat aduan di Rayong baru-baru ini.

Seorang anggota sindiket yang menyamar sebagai pegawai polis berpangkat tinggi berkata Chimcherd, menghubungi menghubungi mangsa dengan mendakwa akaun bank mangsa mempunyai kaitan dengan seorang pengedar dadah dan diminta memindahkan 2.7 juta Baht (kira-kira RM360,000) kepada sindiket itu.

Mangsa kemudian mendapati bahawa ia adalah satu penipuan dan membuat laporan kepada CSD yang mengambil tindakan segera.

Chimcherd berkata CSD menjejaki transaksi kewangan wang tersebut yang akhirnya membawa mereka kepada kedua-dua lelaki tersebut, yang ditahan semasa mengeluarkan wang dari mesin ATM.

Beliau berkata, kedua-dua mereka mendakwa bahawa peranan mereka hanya untuk mengeluarkan wang seperti diarahkan dan tidak pernah bertemu dengan dalang sindiket tersebut.

“Mereka juga mendakwa bahawa mereka dibayar 30,000 Baht (kira-kira RM4,000) sebulan untuk peranan mereka,” kata beliau sambil menambah polis juga merampas tujuh kad ATM, empat slip ATM, wang tunai 61,000 Baht (kira-kira RM8,100) dan empat telefon bimbit.

Kedua-dua lelaki tersebut kini ditahan untuk membantu siasatan.

— BERNAMA



Source link

read more

Tertuduh warga Vietnam ditahan dalam kereta Uber – polis



SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu bahawa tertuduh warga Vietnam Doan Thi Huong yang didakwa membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam, ditahan polis ketika berada di dalam kereta Uber, dua hari selepas kematian Kim Chol.

Pegawai Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang Inspektor Husny Hussein berkata perkara itu dimaklumkan oleh anggota Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) yang kemudiannya membawa Doan ke balai polis itu.

“Pada 15 Februari 2017, saya menerima maklumat bahawa seorang wanita warga Vietnam, Doan yang ketika itu dipercayai terbabit dengan kes pembunuhan dibawa ke balai polis klia2.

“Selepas menerima maklumat itu, saya bersama empat anggota lagi pergi ke klia2 untuk membuat tangkapan terhadap wanita itu.

“Saya diberitahu bahawa wanita itu sedang berada di dalam kereta Uber yang tidak mempunyai pemandu ketika diambil oleh anggota polis di sana. Mereka (anggota polis balai polis KLIA 2)  membawa dia ke balai untuk siasatan lanjut.

“Saya dan anggota menahan wanita itu dan membawanya ke IPD Sepang,” katanya ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad.

Saksi ke-17 itu berkata, sebaik sahaja melihat wanita itu, beliau mendapati dia (Doan) sama dengan imej wanita yang melakukan serangan terhadap Kim Chol seperti terpapar dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV). 

“Saya melihat wanita itu dan membuat perbandingan dan dia sama dengan rupa paras dan bentuk badan wanita yang berada di dalam CCTV itu.

“Seterusnya saya dan anggota menangkap wanita itu dan merampas beg berwarna biru dan putih berjenama Dior serta kasutnya.

“Selepas membuat laporan polis saya menyerahkannya  kepada pegawai penyiasat ASP Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz pada jam 6 petang,” katanya.

Beliau memberi keterangan dalam perbicaraan kes warga Indonesia Siti Aisyah, 25, dan Doan, 28, yang didakwa bersama empat lagi masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas klia2, pada 9 pagi, 13 Feb lepas.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Doan, menyatakan anak guamnya (Doan) tidak menyerang Kim Chol sehingga meninggal dunia, saksi itu menjawab “tidak pasti”.

Hisyam: Apa yang dibuat oleh Doan adalah satu ‘prank’ (aksi gurauan)?.

Husny: Saya tak tahu.

Hisyam: Saya mengatakan Doan pergi ke klia2 pada 15 Feb 2017 adalah untuk berjumpa Mr Y bagi tujuan membuat video prank?  

Husny: Tak tahu. 

Saksi ke- 18, Sarjan Shamsul Bahrin Abdullah, 42, yang bertugas di Balai Polis klia2 pula  memberitahu bahawa Kim Chol membawa sejumlah wang yang banyak dalam pelbagai mata wang asing termasuk 1,240 keping mata wang US$1,000.

Beliau berkata, pada 13 Feb 2017pada 12.30 tengah hari, beliau yang berada di pejabat pentadbiran Balai Polis klia2 menerima maklumat daripada kaunter aduan berhubung satu kematian di Hospital Putrajaya.

“Saya dimaklumkan bahawa mangsa yang merupakan seorang lelaki sudah meninggal dunia ketika dalam perjalanan dari klia2 ke Hospital Putrajaya. Saya kemudian terus pergi ke Jabatan Kecemasan hospital itu.

“Setibanya di sana saya ditunjukkan mayat si mati yang berada di atas pengusung beroda dan ditutup dengan kain putih. Saya membuat pemeriksaan secara rambang terhadap si mati yang badannya gempal atau berisi,” katanya.

Shamsul Bahrin berkata, dia ditunjukkan pasport atas nama Kim Chol serta barangan peribadi lain milik si mati oleh kakitangan  hospital itu.

“Saya melihat kakitangan hospital itu sedang memeriksa barangan si mati. Saya lihat ada cermin mata, beberapa mata wang asing, pakaian, dua telefon bimbit jenama Nokia dan Iphone, komputer riba jenama Dell, cincin dan rantai leher berwarna kuning, ubat-ubatan, seluar pendek, seluar denim, kemeja T, topi, seluar dalam, stokin, dompet, pencukur, pengecas telefon bimbit dan minyak wangi.

“Semua barangan itu diserahkan kepada saya dan kemudiannya disimpan di dalam peti besi milik Ketua Balai Polis Daerah (IPD) Sepang. Terdahulu, saya juga memaklumkan perkara itu kepada Ketua Balai Polis klia2, ASP Awang Adnan dan Timbalan Ketua Polis klia2, Superintendan Zulkifli Adam Shah,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung 27 Nov.

— BERNAMA

 



Source link

read more

Pita data CIMB hilang Polis buka kertas siasatan kemungkinan cuai



KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan berhubung kehilangan pita data sokongan CIMB Bank yang hilang pada 13 November lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata siasatan awal polis mendapati kecuaian menjadi punca kehilangan pita tersebut.

“Kita telah buka kertas siasatan dan menjalankan siasatan. Setakat yang kita tahu berdasarkan siasatan, kita belum terima apa-apa petunjuk lagi.

“Mungkin ada sedikit unsur kecuaian melibatkan kakitangan yang mengendalikan pita data tersebut,” katanya pada sidang media selepas program Perhimpunan Pegawai Awam Ke-11 bersama Ketua Polis Negara di Maktab PDRM Kuala Lumpur, Cheras hari ini.

BACA: Pita data sokongan hilang, CIMB tingkatkan langkah keselamatan

Beliau pada masa sama menafikan sebarang unsur sabotaj dalam kes itu.

Ujarnya, orang awam tidak perlu khuatir akan kes tersebut kerana ia tidak mendatangkan masalah kepada pelanggan.

Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Kes dikendalikan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.



Source link

read more

46 juta data peribadi bocor Polis kenal pasti sumber



KUALA LUMPUR: Polis telah mengenal pasti dan sedang mengambil tindakan terhadap sumber yang membocorkan maklumat lebih 46 juta data peribadi pelanggan syarikat komunikasi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata kebocoran data itu berlaku semasa proses transaksi penukaran data oleh pihak yang mengambil kesempatan.

“Ini berlaku semasa ada satu syarikat yg terlibat ini dalam membuat pemindahan data itu, mungkin ada dalam kalangan kakitangan mengambil kesempatan daripada transaksi yang berlaku.

“Data ini melibatkan syarikat komunikasi, jadi kita sedang bekerjasama dengan semua penyedia perkhidmatan berkaitan untuk kenal pasti punca kejadian ini berlaku,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bagaimanapun, Mohamad Fuzi berkata sebarang motif mahupun tujuan suspek membocorkan maklumat tersebut tidak boleh didedahkan pada ketika ini.

Katanya, pihaknya menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) sedang bekerjasama erat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung siasatan itu.

Beliau pada masa sama menafikan kebocoran maklumat itu dibuat oleh sindiket.



Source link

read more

Polis kenal pasti suspek pembunuh tiga beranak – Jenayah


TUMPAT 16 Nov. – Polis telah mengenalpasti suspek utama yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan kejam tiga beranak di sebuah rumah di Taman Bahagia, Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu semalam.

Timbalan Ketua Polis, Datuk Din Ahmad berkata, suspek Sharat Eh Wang @ Pot, 31 , berasal dari Kampung Jubakar Darat, Tumpat dikatakan bekerja sebagai pemandu kepada pasangan yang dibunuh itu.

Beliau berkata, siasatan pihaknya juga mendapati susupek telah bekerja dengan mangsa sejak empat tahun lalu.

“Maklumat ini kita peroleh hasil daripada temubual dengan anak mangsa yang kini berada dalam keadaan stabil di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selepas dipukul dengan tukul di kepala.

“Suspek merupakan pemandu van yang membantu mengedarkan barang perkakasan selain turut mempunyai hubungan rapat dengan keluarga mangsa.

“Setakat ini, polis percaya kejadian bunuh ini bermotifkan dendam disyaki berkaitan dengan kewangan atau perselisihan faham antara suspek dengan keluarga mangsa sebelum ini,” katanya di sini hari ini.

Semalam, pasangan suami isteri, Kha Eng Ni, 42, dan Chua Joo Seok, 37, ditemukan mati selepas ditikam beberapa kali di dada serta badan dengan pisau dan besi tajam di sebuah rumah di Taman Bahagia, Kota Bharu.

Seorang anak lelaki mangsa yang berumur 13 tahun, Kha Zee Hanz turut maut akibat dihentak dengan di belakang kepala manakala kakaknya, Kha Xing Rhuu, 15, yang turut dipukul cedera parah. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Polis siasat laporan perkahwinan sejenis tular di Facebook



TAWAU: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung laporan perkahwinan sejenis yang tular di media sosial (Facebook) melibatkan dua lelaki disyaki berasal dari Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus dalam kenyataan di sini hari ini berkata pihaknya akan memanggil kedua-dua lelaki tersebut untuk diambil keterangan sekali gus membantu siasatan awal.

Menurutnya, siasatan itu dilakukan susulan polis menerima dua laporan masing-masing di Tawau dan Kota Kinabalu.

Fadil berkata siasatan polis itu turut melibatkan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengenalpasti pemilik akaun Facebook berkenaan.

Pada 12 November lalu, Pengerusi Persatuan Bela Belia Tawau (PEMBELA) M Shamry Sani membuat laporan berhubung perkara itu selepas dua hari sebelumnya melihat satu status di Facebook Tawau atas nama Pui Chi (tulisan Cina) memaklumkan satu upacara pra perkahwinan sejenis dijalankan di Kuala Lumpur melibatkan dua orang lelaki berbangsa Cina dipercayai berasal dari Tawau.

Menurut Shamry laporan polis dibuat kerana tindakan perkahwinan sejenis itu adalah tidak wajar serta tidak bermoral dan dilarang di negara ini.

Dalam status yang tular itu kedua-dua lelaki tersebut dipercayai memiliki sebuah kedai minuman di Pusat Komersil Bintang Kubota di sini.

— BERNAMA



Source link

read more

Dadah babitkan pelajar masyarakat perlu main peranan – Polis



KUALA LUMPUR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan kerjasama semua pihak dalam menangani masalah dadah membabitkan pelajar sekolah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata pihak polis tidak boleh bersendirian dalam menangani isu berkenaan.

“Masalah dadah adalah masalah semua pihak dan polis memerlukan bantuan masyarakat yang bertindak sebagai mata dan telinga kepada pihak berkuasa dalam menangani masalah dadah ini.

“Jadi kita mahu menceritakan realiti sebenar apa yang berlaku agar masyarakat dapat bersama-sama memainkan peranan dalam menangani masalah tersebut,” katanya kepada Astro AWANI.

Tambahnya, polis tidak pernah berselindung dengan mana-mana pihak dalam mendedahkan maklumat dan data sebenar mengenai masalah dadah membabitkan pelajar sekolah dan sentiasa melakukan kempen kesedaran dari semasa ke semasa.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid mengesa polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) agar mendedahkan maklumat dan data sebenar kepada masyarakat berhubung kes dadah membabitkan pelajar.

AADK sebelum ini mendedahkan sejumlah 1,731 pelajar sekolah menengah positif dadah menerusi pelaksanaan ujian saringan air kencing terhadap 36,664 pelajar seluruh negara.



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons