Belang sebenar DAP kuasai gabungan pembangkang PKR – Politik


KUALA LUMPUR 19 April – Naratif-naratif yang cuba dikemukakan oleh portal-portal propembangkang jelas tidak mampu mengalihkan perhatian umum terhadap penguasaan DAP secara terang-terangan dalam gabungan pembangkang PKR.

Hakikatnya, belang DAP yang dibuka ‘tanpa sengaja’ oleh Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng menerusi pengumuman Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong akan dilantik sebagai menteri Kabinet, jelas membuktikan ‘ngauman’ DAP adalah lebih dominan berbanding parti lain dalam gabungan tersebut.

Panel Perunding Politik Demokrasi Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Mazlan Ali berkata, meskipun cuba ‘berselindung’ di sebalik pengagihan kerusi Parlimen yang kononnya sedikit berbanding sekutunya, namun umum mengetahui kerusi-kerusi yang ditandingi DAP adalah kawasan-kawasan kegemaran mereka kerana komposisi tinggi pengundi Cina.

Jelas beliau, pengumuman Guan Eng itu juga menunjukkan cita-cita ‘besar’ DAP yang mempunyai agenda tersendiri dan tidak perlu tertakluk kepada konsensus bersama oleh tiga parti lain dalam gabungan pembangkang PKR.

“Tindakan ‘sesuka-hati’ Guan Eng itu telah menampakkan bahawa DAP merupakan parti lebih dominan dan kuat serta mempunyai keupayaan untuk menentukan hala tuju dalam gabungan pembangkang PKR dengan akhirnya parti-parti lain terpaksa mengikuti sahaja.

“Hal ini sangat berbeza dengan Barisan Nasional (BN) apabila segala keputusan dilakukan secara konsensus, malah diterima oleh semua parti komponen sekali gus menjamin kestabilan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Naratif-naratif ditimbulkan portal propembangkang yang memetik analisis Utusan Malaysia bertajuk ‘D.A.P – Dapat Aku Punya’ dilihat sebagai usaha untuk mengalihkan tumpuan pengundi terhadap siapakah sebenarnya ‘bos besar’ dalam gabungan pembangkang PKR.

‘Topeng sandiwara’ DAP itu bagaimanapun sudah terserlah apabila Guan Eng mengumumkan akan mengangkat Kor Ming dan Chin Tong bagi mengisi jawatan menteri kabinet sekiranya berjaya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Anggap dakwaan kahwin di Thailand kelakar Bienda dedah lokasi sebenar majlis pernikahan



Selepas lapan tahun, Bienda akhirnya mendedahkan punca dia berkahwin dalam diam sehingga kini mempunyai dua cahaya mata.

Penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Penantian ini memberitahu dia bersama suami berusaha kumpul duit sendiri untuk bernikah pada tahun 2009 sebelum mengadakan resepsi setahun selepas itu.

“Masa itu apabila orang tanya kenapa nikah gantung, takkan saya nak cakap tiada duit. Walaupun saya anak perempuan tapi saya tidak mahu menyusahkan mak, ayah atau suami,” katanya kepada Astro Gempak.

Jelasnya, pada masa itu dia tidak menafikan mahupun menidakkan berita dia sudah berkahwin.

“Tujuan saya dengan suami tak nak susahkan keluarga. Jadi, kami sama-sama ‘struggle’ masa nikah awal-awal.

“Saya berniaga di Downtown Cheras jual tudung kemudian kami simpan duit pada setiap tahun untuk akad nikah pada tahun pertama dan tahun kedua untuk majlis persandingan,” katanya.

Sebagai persediaan masa depan, penyanyi berusia 33 tahun ini mengambil keputusan membeli rumah selepas berkahwin.

“Ada cerita kelakar saya berkahwin di Thailand tapi sebenarnya di Gombak dekat rumah mak. Untuk kehidupan Bienda, suami adalah orang yang sangat penting yang banyak menyokong saya.

“Pada semua yang ada perancangan nak berkahwin tak payah membazir, dahulukan yang wajib, simpan duit beli rumah,” katanya.



Source link

read more

WAWANCARA KHAS: KISAH SEBENAR DI SEBALIK AZMIN ALI BAWA PETA IJOK DI DUN SELANGOR


KUALA LUMPUR 27 AUGUST 2015. Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. NSTP/AZHAR RAMLI

KUALA LUMPUR 27 AUGUST 2015. Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. NSTP/AZHAR RAMLI

Isu skandal tanah di mukim Ijok telah menimbulkan pelbagai misteri. Paling ketara munculnya istilah runding tepi.

AIDC menemui ADUN Dengkil, YB Shahrum Mohd Sharif untuk memahami dan merungkai isu tersebut.

Ikutilah wawancara AIDC bersama YB Shahrum berkaitan dengan isu yang sedang hangat diperkatakan ini.

AIDC : Difahamkan Isu Ijok turut dibangkitkan dalam sidang DUN Selangor minggu lepas ? Boleh YB ulas lanjut.

YB Shahrum : Assalamualaikum w.b..t, saya ingin mengulas semula apa yang berlaku semasa sidang dewan baru-baru ini di mana dalam perbahasan titah ucapan tuanku itu hanya dibenarkan seorang sahaja wakil parti untuk berucap dan berbahas.

Kebetulan pada ketika itu banyak isu-isu yang kita nak bangkitkan untuk dijawab oleh kerajaan negeri, namun hanya seorang sahaja wakil daripada UMNO, BN iaitu Y.B. Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak, itupun diberikan tempoh 20 minit untuk sahaja.

Dalam sidang DUN tempoh 3 hari, termasuklah ucapan titah tuanku pada hari Isnin, 2 hari untuk perbahasan, kita mendengar Yang Amat Berhormat Menteri Besar mengulas isu Ijok dan cuba menerangkan hujah-hujah di sebelah pihak semata-mata.

Dengan kata lain, ‘he is trying to explain his side of the story’, padahal kita sendiri tidak dibenarkan untuk berbahas, disebabkan kekangan masa.

Jadi, pada masa proses penggulungan YAB Menteri Besar, beliau berkata isu Ijok sudah lama, bermula sejak dari zaman BN, iaitu pada zaman Tan Sri Abu Hassan Omar pada tahun 2000.

Ketika itu, tanah milik peneroka di bawah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) telah membuat tawaran yang disetujui peneroka, bahawa tanah itu akan dimajukan oleh dua syarikat.

Peneroka akan mendapat sejumlah pampasan berbentuk wang dan berbentuk nilai sebuah rumah disediakan, RM180 000 duit tunai dan RM180 00 harga nilai rumah.

Tanah ini dianugerahkan kepada dua syarikat , Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCN Development Sdn Bhd, namun kedua-dua syarikat itu tidak dapat deliver.

Pada tahun 2005, semasa zaman BN lagi, beberapa tindakan sudah diambil membawa perkara ini ke mahkamah, untuk memastikan dua syarikat ini, mengotakan janji sebagaimana di dalam perjanjian mereka dengan peneroka.

Pada tahun 2008, kerajaan negeri bertukar tangan. Menteri Besar Selangor ketika itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga ADUN Ijok, meneruskan langkah yang pernah dibuat oleh BN iaitu membawa kes ini ke mahkamah.

Adakah YB sempat bertanya soalan kepada Menteri Besar berkaitan isu Ijok ini ?

Ya. Misalnya saya tanya, mengapa proses mahkamah dihentikan padahal sudah sampai ke tahap sudah menang di peringkat mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan dan sudah semestinya kerajaan negeri mempunyai peluang yang cukup besar untuk menang di peringkat mahkamah persekutuan.

Saya juga tanya mengapa tanah yang bernilai, RM1.18 bilion, tanah yang dikatakan milik kedua-dua syarikat itu yang diperuntukkan kepada taman, lebih kurang 1000 ekar yang dipanggil Alam Perdana, mengapa ia telah dijual kepada syarikat berwibawa, pada harga di bawah pasaran, iaitu lebih kurang RM12/kaki per segi.

Kalau diukur panjang, RM1.18 bilion, untuk tanah seluas 1000 ekar, Alam Perdana itu, ianya jatuh kepada RM12 sekaki persegi, padahal nilai tanah di kawasan berkenaan sudah mencecah 35-60 Ringgit kaki per segi. Kenapa dijual di bawah harga pasaran.

Sepatutnya kerajaan negeri mengamalkan tender terbuka, seperti mana yang dilaung-laungkan selama ini.

Adakah YAB Menteri Besar menjawab pertanyaan itu ?

Beliau menjawab tetapi dengan nada sinis. Beliau kata, soalan saya itu akan ditertawakan oleh pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Beliau memberi alasan tanah itu tidak boleh dijual secara tender terbuka kerana hanya satu alam sahaja yang dimiliki oleh kerajaan negeri, sedangkan dua alam lagi bukan milik kerajaan negeri.

Alasan yang saya kira seolah-olah mahu menepis segala permasalahan yang ada.

Selaku Yang Amat Berhormat Menteri Besar, beliau sudah tentu arif tentang pengurusan hal ehwal tanah.

Walaupun saya baru berkhidmat 5 tahun sebagai wakil rakyat tetapi saya sedikit sebanyak tahu bahawa urusan yang berkaitan dengan tanah merupakan urusan kerajaan negeri.

Kerajaan negeri yang mempunyai hak sepenuhnya ke atas tanah-tanah yang ada di dalam Negeri Selangor di bawah akta kanun tanah negara ini seperti mana yang telah dilakukan oleh Tan Seri Abdul Khalid Ibrahim.

Apabila dua syarikat ini tidak perform, memungkiri janji kepada peneroka, projek perumahan itu dikategorikan sebagai perumahan terbengkalai sedangkan ramai pembeli-pembeli sudah pun mendapat pinjaman daripada bank, dan terpaksa membayar pinjaman kepada bank, maka Tan Seri Abdul Khalid telah merampas tanah 1000 ekar yang diperuntukkan untuk Alam Perdana.

Rampasan adalah bahasa akta kanun tanah. Kalau bahasa lembut ia dipanggail pengambil alihan. Kerajaan negeri berhak merampas balik tanah-tanah yang dimilik oleh pihak-pihak yang tertentu, dengan cara pampasan, membayar semula dan sebagainya.

YAB Menteri Besar kata, kita tak paham tentang isu ini. Dia kata tanah itu ada tiga Alam iaitu Alam Utama, Alam Perdana dan Alam Mutiara.

Jadi apabila Tan Seri Abdul Khalid mahu merampas dua lagi tanah, Alam Utama dan Alam Mutiara, ketika proses itu sedang berjalan, namun pada 2016, ia telah ditarik balik oleh kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali.

Maksudnya, Tan Seri Abdul Khalid sahaja telah merampas tanah di Alam Perdana, tetapi beliau juga berusaha untuk merampas Alam Utama dan Alam Mutiara, cuma kes kedua-dua Alam itu tidak masuk mahkamah kerana telah ditarik balik oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali.

Satu kes (Alam Perdana) sudah masuk mahkamah, sudah menang di peringkat mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan tetapi apabila di peringkat mahkamah persekutuan, Menteri Besar Azmin Ali telah menarik balik kes dengan perjanjian secara runding tepi.

Maknanya Azmin mahu selesaikan di peringkat luar mahkamah.

Satu perkara lagi, Tan Seri Abdul Khalid menangguhkan rampasan terhadap Alam Utama dan Alam Mutiara kerana kedua-dua tanah itu masih lagi belum dibangunkan oleh syarikat.

Tetapi Tan Seri Abdul Khalid telah bawa kes Alam Perdana ke mahkamah sebab sudah ada pembeli, sedikit sebanyak kemudahan asas, infrastruktur, telah dibuat oleh syarikat untuk membangunkan Alam Perdana itu.

Jadi, pelbagai pertanyaan boleh kita lontarkan semula kepada kerajaan negeri, khususnya YAB Menteri Besar, kerana kalau dikira dari segi ‘Legal precedent’ (kes terdahulu) untuk Alam Perdana, yang telah menang di peringkat mahkamah tinggi dan rayuan dan insya allah akan menang di peringkat mahkamah persekutuan, maka kes Alam Utama dan Alam Mutiara juga akan menyusul sekiranya apa yang dirancangkan oleh Tan Seri Abdul Khalid pada ketika itu berjaya.

Jika berjaya, kesemua tiga-tiga alam ini bakal menjadi milik kerajaan negeri semula, maknanya 3200 ekar bakal menjadi milik kerajaan negeri. Apabila kerajaan negeri dapat balik tanah-tanah ini, maka sudah tentu nilaiannya bukannya 12 Ringgit kaki per segi, jika kerajaan negeri boleh buat tender terbuka, saya kira boleh mencapai 35 Ringgit kaki persegi.

Kalau 3000 ekar pembangunan ia menghasilkan pendapatan melebihi 9 atau 10 bilion, dan mungkin lebih lagi. Kalau itu berlaku maknanya kita sudah menyelamatkan harta kerajaan negeri, dan boleh memulangkan semula hak untuk peneroka, dan mungkin bukan lagi pada nilaian yang sama pada tahun 2000.

YB ada sebut tadi berkenaan runding tepi. Ada dakwaan mengatakan runding tepi itu bersyarat dengan diuruskan oleh satu syarikat guaman tertentu. Adakah perkara ini benar?

Saya pun difahamkan perkara yang sama. Saya rasa syarikat guaman itu disebut sebagai Daim and Gamany yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen PKR Subang, Sivarasa Rasiah.

Tetapi apa yang saya nak bangkitkan di sini, mengapa terdapat percanggahan keterangan di antara syarikat dengan Menteri Besar Selangor.

Peguam Sivarasa begitahu, kalau kerajaan negeri merampas ketiga-tiga Alam tadi, jumlah yang kena bayar kepada dua syarikat, Mujur Zaman dan LBCN ialah sebanyak 2.7 bilion.

Alam Perdana sahaja dia kata kena bayar 860 juta sebab kena bayar ikut nilaian komersial dan bayar balik kos infrastruktur yang telah dibuat oleh syarikat tersebut.

Tetapi dalam nota penjelasan kepada wartawan, Menteri Besar menyatakan, kalau kerajaan negeri ambil balik tanah ini, kerajaan negeri kena bayar pampasan kepada syarikat sebanyak 4.4 bilion.

Jadi, yang mana satu yang betul, yang peguam Sivarasa beritahu iaitu 2.7 bilion kah ataupun yang Menteri Besar maklumkan iaitu 4.4 bilion.

Persoalannya jika dua syarikat itu tahu bahawa mereka boleh mendapat pampasan sebanyak 4.4 bilion jika ketiga-tiga alam itu dirampas, mengapa pula mereka bersetuju dengan rundingan hanya berharga 1.18 bilion?

Dari segi logik, lebih baik kedua syarikat itu menunggu tanah mereka dirampas untuk membolehkan mereka lawan di mahkamah.

Jadi, pada saya, ini adalah momokan yang sengaja dibuat oleh kerajaan negeri, nilaian pun bercanggah, 2.7 billion dengan 4.4 bilion.

Hakikatnya, Tan Seri Abdul Khalid telah mengambil Alam Perdana dengan membayar pampasan sebanyak RM160 juta.

Harga pampasan itu dianggap munasabah untuk syarikat berkenaan kerana syarikat itu belum lagi membayar premium dan juga cukai penukaran status.

Ini berbeza dengan apa yang diterangkan oleh Menteri Besar di dalam sidang DUN, di mana Menteri Besar berkata kerajaan negeri kena bayar 700 juta untuk infrastruktur dan kena bayar mengikut nilai komersial padahal kerajaan negeri mempunyai alasan yang kukuh untuk lawan di mahkam bahawa syarikat itu masih lagi belum membayar premium.

Oleh kerana syarikat itu belum lagi membayar premium maka pampasan yang dikenakan perlulah mengikut nilai pertanian.

Saya sebutkan tadi, bila bertukar Menteri Besar, akhirnya cara penyelesaian bertukar, tetapi yang rugi adalah kerajaan negeri dan rakyat Selangor sendiri.

Kalau saya kira, jika diteruskan dengan urusan mahkamah untuk ketiga-tiga Alam ini, saya yakin 3200 ekar ini boleh menjadi milik kerajaan negeri boleh menjadi milik rakyat negeri Selangor. Tetapi perkara ini tidak dilakukan.

Menteri Besar kata kerajaan negeri tidak perlu membayar satu sen pun untuk runding tepi tetapi telah mendapat 1000 ekar.

Saya nak jelaskan di sini, konsep runding tepi sepatutnya kerajaan negeri mendapat 3200 ekar dan bukannya hanya 1000 ekar.

Pampasan ataupun risiko daripada runding tepi ini adalah 2200 ekar terpaksa diserahkan kepada pemaju wibawa dengan nilaian yang rendah.

Jadi tidak benar jika Menteri Besar beritahu tidak ada satu sen pun keluar daripada kantung kerajaan negeri untuk membayar pampasan kepada dua syarikat itu, tetapi saya nyatakan di sini kerajaan negeri telah hilang 2200 ekar daripada 3200 ekar yang sepatutnya diperolehi.

Hanya dapat 1000 ekar yang telah pun dimiliki sebelum ini pada zaman Tan Seri Abdul Khalid, tetapi 2200 ekar telah masuk ke kantung kontraktor ataupun pemaju wibawa dan ini yang saya sebutkan tadi bahawa soal runding tepi ini sebenarnya merugikan rakyat dan merugikan Negeri Selangor.

Maksudnya, konsep runding tepi itu seolah-olah kerajaan negeri berpihak kepada syarikat pemaju dan bukannya kepada peneroka ?

Itulah, di dalam dewan, Menteri Besar begitu bersungguh-sungguh mengatakan bahawa inilah penyelesaian global, beliau tidak mengutamakan pemaju malah beliau memberikan sepenuh keutamaan kepada peneroka.

Tetapi pada hakikatnya bila kita lihat soal runding tepi, kita dapat melihat dua pemaju yang sudah gagal 18 tahun ini diberikan semula nafas baru oleh kerajaan negeri.

Maknanya dengan menjual 1.18 bilion dan 360 juta diberikan kepada peneroka, mana pergi yang bakinya dan sekarang ia telah menjadi kes SPRM.

Saya rasa pemaju-pemaju yang terlibat, LBCN dan Mujur Zaman juga akhirnya mendapat durian runtuh walaupun mereka gagal selama tempoh 18 tahun.

Sepatutnya ia dihukum dengan membawa mereka ini ke mahkamah, tetapi disebabkan kerajaan negeri, YAB Menteri Besar Dato Seri Azmin Ali memikirkan juga nasib syarikat-syarikat berkenaan, akhirnya terpaksa tunduk kepada mereka.

Jadi saya harap bukan peneroka sahaja yang diberikan keutamaan, kalau nak selesaikan masalah peneroka, 18 tahun mereka dah tunggu, kalau nak selesaikan cepat, kerajaan negeri boleh gunakan dulu reserve daripada duit kerajaan negeri sendiri yang berjumlah 4 bilion. Itupun kalau nak selesai cepat.

Tetapi dalam hal ini, kerajaan negeri mahu menyelamatkan dua syarikat berkenaan, tetapi menggunakan alasan bahawa peneroka sudah menunggu lama, nak bayar peneroka itu secepat yang boleh.

Dalam sidang dewan baru-baru ini kelihatan Azmin membawa peta, dan ‘menikam-nikam’ peta tersebut, adakah tindakan itu merungkai kes Ijok ?

Berkenaan dengan isu peta ini, seolah-olah Yang Amat Berhormat Menteri Besar, cuba meyakinkan kami di dewan dan juga masyarakat di luar sana.

Seolah-olah nak memberi syarahan atau dalam bahasa lainnya, nak menyekolahkan kami ADUN-ADUN BN dan pihak yang membangkitkan isu Ijok tersebut.

Padahal apa yang kita tahu adalah sebaliknya. Menteri Besar boleh menerangkan hujah-hujah tetapi banyak persoalan-persoalan yang belum dijawab termasuklah persoalan-persoalan; mengapa dijual di bawah harga pasaran, mengapa tidak meneruskan lagi tindakan mahkamah kepada dua Alam dan mengapa tidak dibuka tender terbuka untuk pemaju wibawa yang dipilih.

Walaupun Dato Menteri Besar cuba menerangkan dengan emosi tetapi lebih banyak persoalan yang timbul.

Pembentangan dan syarahan daripada Menteri Besar itu sendiri, menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.

Khabarnya orang kuat Tun Dr Mahathir Mohamad adalah dalang di sebalik dua syarikat pemaju itu. Adakah faktor ini menyebabkan Menteri Besar mengambil keputusan yang berpihak kepada kedua syarikat berkenaan ?

Itu saya nak lontarkan semula kepada kerajaan negeri khususnya Menteri Besar.

Kita sedia maklum di belakang syarikat ini ialah Datuk Khairuddin Abu Hassan yang pada ketika dulu merupakan orang kuat penyokong tegar UMNO dan BN.

Pada masa beliau dikurniakan tanah ini kerajaan negeri ditadbir BN dengan mengambil kira segala pengorbanan beliau, segala jasa yang telah dicurahkan untuk membantu rakyat khususnya di Selangor dan mengambil kira beliau mungkin mempunyai kapasiti untuk membina projek perumahan di Ijok.

Namun, akhirnya ia tidak menjadi kenyataan dan berita ini timbul semula selepas YAB Menteri Besar Datuk Seri Azmin mengambil alih tampuk pentadbiran Negeri Selangor.

Kebetulan pula kita lihat seperti Datuk Khairuddin bersama-sama dengan Datuk Seri Azmi yang bertanggungjawab membawa Tun Dr Mahathir Mohamad ke dalam Pakatan Harapan. Ini persepsi yang orang ramai nampak.

Persepsi itu masih meluas dan turut dikaitkan dengan perjanjian runding tepi dalam isu tanah Ijok.

Ini persepsi yang sedang berlegar yang perlu dinafikan kerajaan negeri. Persepsi rakyat mengatakan kerajaan negeri mahu menyelamatkan kroni-kroni mereka, yang dulu bukan dianggap kroni tetapi musuh.

Sekarang ini musuh sudah dianggap sebagai kroni, sudah dianggap sebagai sahabat rapat, lebih-lebih lagi bila pada masa menghadapi pilihan raya.

Saya tak tuduh tetapi persepsi orang ramai kata bahawa kerajaan negeri sekarang ini cuba untuk mengkayakan kroni-kroni mereka dan cuba untuk mencari dana untuk menghadapi pilihan raya.

Ini persepsi orang ramai. Ini bukan tuduhan saya. Jadi saya minta Menteri Besar jawablah isu ini. Apa peranan Datuk Khairudin ? Apa peranan Sivarasa?. Apa peranan firma guaman Daim and Gamany dalam isu ini.

Semua isu ini harus diperjelaskan kerana ia tidak dijelaskan di dalam sidang dewan baru-baru ini.

Ada Menteri Besar Selangor sebut, beliau kata UMNO mempergunakan SPRM untuk menjatuhkannya dalam isu Ijok. Apa pandangan YB ?

Menteri Besar ada memaklumkan di dalam dewan bahawa UMNO menggunakan SPRM untuk menjatuhkan beliau dalam isu Ijok ini, tetapi pada hakikatnya SPRM menjalankan tugas di bawah bidang kuasa yang diberikan.

SPRM di bawah Yang di-Pertuan Agung, mengapa pula dikaitkan dengan UMNO.

Yang membuat laporan awal tentang isu Ijok bukannya dari kalangan orang UMNO, tetapi dari kalangan bekas aktivis PKR sendiri, CheguBard.

Beliau, yakni CheguBard adalah individu paling awal membuat laporan kepada SPRM, kemudian diikuti dengan NGO-NGO lain.

Mengapa Menteri Besar mengaitkan dengan UMNO padahal SPRM menjalankan tugas mereka berdasarkan laporan dan maklumat yang diterima daripada pengadu-pengadu yang kebanyakannya bukan terdiri daripada kalangan orang UMNO.

Sebenarnya tuduhan seperti itu tidak patut keluar daripada mulut seorang Menteri Besar.

Saya cukup yakin dengan konsep ‘you are considered innocent unless proven guilty’ dan kita juga yakin dengan konsep ‘may the truth prevail’.

Jangan risau, jika tidak bersalah, ‘there’s nothing to hide. So, let the court’ membuktikan sama ada bersalah ataupun tidak .

Sebagai penutup, ada apa-apa pesanan terakhir daripada YB ?

Okay, alhamdulillah. Kita sebenarnya sudah hendak sampai ke D-Day. Bila-bila masa sahaja PRU14 ini akan berlansung.

Suka saya nak mengingatkan di sini, selama 5 tahun kita sudah memainkan perananan sebagai check and balance, semak dan imbang apabila kita lihat banyak kelemahan-kelemahan yang dilakukan kerajaan negeri.

Jika kita diberi mandat oleh rakyat untuk mengambil balik kerajaan negeri, kita akan buat dengan lebih baik, kita akan baiki segala kelemahan-kelemahan, yang baik kita akan tambah menjadi lebih baik.

Umpamanya, dalam isu berkenaan belia dan sukan, hari ini tiada lagi jalan penyelesaian dengan Red Giant, pasukan bola sepak Selangor.

Red Giant itu adalah ikon peminat bola sepak Selangor tetapi tidak dibenarkan untuk bermain di stadium Shah Alam.

Seperti yang telah dimaklumkan oleh Tan Seri Noh Omar, bila BN menang di Selangor, Red Giant akan diberikan hak di stadium Shah Alam.

Kerajaan negeri menyalahkan kerajaan persekutuan kerana tidak dapat menangani masalah kos sara hidup yang tinggi di kalangan rakyat, tetapi dalam masa sama, kerajaan negeri tidak melakukan apa-apa untuk menangani masalah tersebut.

Misalnya membiarkan harga rumah melambung naik, kata nak beri pendidikan percuma, tetapi tidak buat, di peringkat sekolah rendah agama, terpaksa juga membayar buku teks dan yuran yang tinggi.

Insya Allah jika BN menang, sekolah rendah agama akan diberi pendidikan percuma dan harga rumah juga akan dikawal.

Kerajaan negeri hari ini tidak mengendahkan untuk membina rumah mampu milik, PKNS sudah lari dari tanggungjawab, hanya 10% bina rumah mampu milik di Selangor, selebihnya dijual pada harga bebas.

Kita juga mahu kembalikan peranan PKNS, kita nak lihat nanti kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri berganding bahu, bergerak seiring demi untuk kebaikan rakyat.



Source link

read more

Jabra Elite 65t – Pengalaman Audio Tanpa Wayar Sebenar – Amanz


Seribu lagu dalam poket anda. Itu mungkin satu slogan yang kerap dalam benak fikiran anda sekiranya anda peminat lagu dan senantiasa menggunakan fon telinga dimana-mana saja baik sewaktu pergi dan pulang ke ke pejabat, sewaktu bekerja, bersukan dan pelbagai lagi. Fon telinga merupakan satu aksesori yang penting bagi golongan sebegini dan untuk merasa pengalaman yang lebih bebas tanpa wayar, fon telinga tanpa wayar menjadi pilihan masa kini.

Peranti fon telinga tanpa wayar bukanlah sesuatu yang baru di pasaran namun permintaan terhadap peranti ini semakin meningkat apabila telefon-telefon pintar kelas premium sudah mula membuang bicu audio. Dipopularkan Apple iPhone 7, disusuli Google Pixel 2 dan yang terkini Huawei P20 telahpun membuang bicu audio, menjadikan fon telinga tanpa wayar satu keperluan bagi mereka yang inginkan pengalaman audio tanpa wayar.

Jabra Elite 65t telah diperkenalkan pada awal tahun ini, dan kini telah hadir ke pasaran Malaysia. Ia menjanjikan pengalaman tanpa-wayar yang sebenar, merujuk kepada ketiadaan wayar. Ia perlu diletakkan di corong telinga, dan mempunyai rekaan seumpama ‘in-ear’. Memandangkan tiada wayar yang bersambung diantara kedua-dua fon telinga ini, rekaannya sedikit besar bagi memuatkan bateri dan juga butang-butang kawalan.

Rekaan

Dari segi rekaan, pada fon telinga sebelah kiri terdapat butang kawalan tahap suara dan juga boleh digunakan untuk meneruskan ke lagu seterusnya, atau melakukan ulang dengar. Hanya satu butang terletak untuk sebelah kanan, dan boleh digunakan untuk menjawab panggilan, menghentikan lagu, dan melancarkan pembantu maya bergantung kepada sistem operasi telefon pintar yang digunakan.

Salah satu kekurangan padanya adalah apabila butang kawalan diletakkan pada badan fon telinga tersebut, pengguna mungkin akan berasa kurang selesa sewaktu menekan butang kawalan. Namun anda mungkin tidak akan berasa masalah sekiranya anda menambat peranti ini secara Bluetooth kepada jam tangan pintar anda dan dalam penggunaan saya, saya lebih kerap mengawal peranti ini menggunakan Apple Watch.

Bersama-sama Jabra Elite 65t, adalah pilihan earbud yang boleh digunakan bagi menyesuaikan peranti ini dengan lubang telinga pengguna. Kabel USB-Mikro turut disertakan bagi tujuan pengecasan bekas simpanannya. Rekaan bekas simpanannya tidaklah rumit, dan tidak terdapat sebarang butang. Hanya terdapat lampu yang menunjukkan status peranti tersebut sedang dicaj, atau sedang dikemaskini. Apabila meletakkan fon telinga ini kedalamnya, lampu pada fon telinga akan berkelip menandakan pengecasan sedang berlaku.

Menggunakan peranti ini secara berterusan, dari segi rekaan boleh dikatakan ia sedikit besar dan pengalaman memakainya membuatkan telinga berasa ‘penuh’ walaupun menggunakan corong earbud paling kecil. Tetapi dengan perasaan ini, memakainya tidak berasa ia akan tertanggal sewaktu melakukan aktiviti riadah seperti berlari.

Peranti ini mempunyai ketahanan IP55 yang membuatkannya sesuai digunakan ketika beriadah kerana pada ketahanan ini, ia sekurang-kurangnya dapat bertahan dari cuaca hujan namun tidak kalis air sepenuhnya.

Kualiti Bunyi & Prestasi

Salah satu perkara yang konsisten dengan Jabra adalah kualiti audionya yang bagus dan jelas. Tidak kira lagu jenis apa yang dimainkan, tahap Bass dan Treble yang dijana oleh peranti ini agak baik dan seimbang diantara keduanya. Tidak berlaku kes kejadian terlebih Bass atau terlebih Treble.

Bass yang dihasilkannya sedikit ‘punchy’, boleh dikatakan melebihi jangkaan saya untuk peranti mudah alih sebegini. Ia mungkin tidak dapat menyaingi fon telinga berjenis over-ear yang selalunya mempunyai corong pembesar suara yang lebih besar bagi memberikan lebih bass namun tidak menjanjikan kebebasan bergerak buat pengguna.

Pengguna perlu memuat-turun aplikasi Jabra+ bagi mengawal fungsi-fungsi tambahan yang terdapat pada Jabra Elite 65t. Menggunakan apikasi ini, pengguna dapat melaraskan bunyi mengikut kesukaan, seperti menginginkan lebih treble atau bass. Namun salah satu kekurangan yang nyata adalah pilihan yang boleh dilakukan pengguna terhadap tetapan sedia ada seperti Acoustic, Bass, Jazz, Pop, Loud dan sebagainya. Sekiranya pilihan tetapan ini tersedia, ia lebih memudahkan pengguna yang tidak biasa menetapkan Equalizer secara manual.

Menggunakan peranti ini yang berjenis ‘in-ear’, ia boleh membuatkan bunyi dari luar tidak dapat didengari kerana earbud yang disumbatkan bertindak sebagai peredam pasif untuk bunyi. Ini mungkin boleh membahayakan pengguna sekiranya sedang melakukan sesuatu dan tidak akan mendengar bunyi-bunyi luar, seperti bunyi kereta, bunyi pengumuman di lapangan terbang dan bunyi telefon pejabat.

Terdapat fungsi HearThrough pada Jabra Elite 65t, yang akan merakam bunyi persekitaran dan boleh digabungkan dengan lagu yang sedang dimainkan. Sekiranya fungsi ini dimatikan, maka pengguna tidak akan mendengar sebarang bunyi persekitaran. Pengguna juga boleh menetapkan kadar penggabungan antara bunyi persekitaran dengan bunyi lagu menerusi pilihan Mix.

Apapun apabila fungsi ini diaktifkan, boleh dikatakan bunyi dari persekitaran sedikit janggal. Ini mungkin kerana bunyi tersebut sebenarnya didengari oleh mikrofon peranti ini, dan dicampur-adukkan dengan lagu yang sedang dimainkan. Pada kebanyakan masa, saya mematikan fungsi ini kecuali sewaktu memandu kerana saya perlu mendengar bunyi enjin untuk mengagak kelajuan atau mendengar sekiranya terdapat motorsikal di sudut pandangan buta pemanduan.

Dari segi ketahanan bateri, ia boleh beroperasi selama 5 jam dan bekas pengecasan memberikan tambahan caj selama 15 jam. Pengguna perlu mengecas bekas pengecasan menggunakan kabel Mikro-USB yang disediakan. Pengguna juga boleh memilih sekiranya ingin menggunakan fon telinga pada sebelah kanan sahaja bagi pengoperasian seumpama fon bluetooth.

Kesimpulan

Pada harga RM 799, Jabra Elite 65t ini dilihat tampak berbaloi sebagai alternatif kepada pesaing terdekatnya seperti Apple AirPods. Malah, kualiti audionya yang terjamin dari Jabra yang mempunyai lebih pengalaman dari segi kualiti audio. Ia juga hadir dengan jaminan selama 2 tahun.

Mungkin terdapat sedikit kelemahan dari segi rekaan yang sedikit besar dan mungkin boleh membuatkan pengguna yang tidak biasa menyumbatkan telinga dengan peranti sebegini akan mengambil sedikit masa untuk membiasakannya.

Sewaktu artikel ini ditulis, pra-tempah untuknya adalah menerusi halaman 11Street dan pembeli akan turut menerima baucar RM50 yang boleh digunakan.

Pro

  • Kualiti bunyi yang sangat baik
  • Fungsi HearThrough boleh membantu pendengaran persekitaran
  • Ketahanan bateri yang baik

Kontra

  • Rekaannya membuatkan telinga berasa penuh
  • Aplikasi Jabra+ yang kadangkala mempunyai pepijat (Aplikasi yang dikemaskini tidak disertakan fungsi HearThrough)
  • Mungkin lebih baik jika kawalannya berasaskan sentuh (Seperti Jabra Revo Wireless atau Apple AirPods)

Beli: Jabra Elite 65t di 11Street



Source link

read more

APA AGENDA SEBENAR PEMBANGKANG? | Merdeka Online


APA AGENDA SEBENAR PEMBANGKANG copy(1)MO, 23/3/2018 – BENARKAH pembangkang mahu menyelamatkan Malaysia? Dan apa masalah Malaysia sehingga ia perlu diselamatkan?

Setiap orang akan memberikan alasan untuk mewajarkan tindakan mereka, begitu juga ahli politik.

Mari kita lihat perkara-perkara yang telah lepas untuk menilai apa yang berlaku hari ini.

Kita lihat akta ISA, suatu akta undang-undang pencegahan, sebagaimana akta Patriot di Amerika.

Jika kita lihat, sekiranya akta ISA masih wujud, ramai orang yang mungkin akan dikenakan tahanan atas akta ini. Namewee dan ramai lagi misalnya akan ditahan di bawah ISA. Banyak tindak-tanduk mereka ini telah mencetuskan ketidaktenteraman awam. Isu-isu sensitif yang ditimbulkan mereka mengacau keharmonian negara. Sebaliknya hari ini dia bebas dan bermaharajalela mengacau perpaduan di negara ini dengan aksi videonya.

Apa yang anda baca daripada situasi ini?

Ketidakwujudan akta ISA telah digunakan oleh puak-puak tertentu untuk menggoncang negara ini dengan menimbulkan persoalan-persoalan yang senstif yang menyentuh bangsa, agama, dan raja-raja Melayu.

Mansuhnya ISA suatu masa dahulu adalah kejayaan besar mereka. Orang-orang bukan Islam semakin berani mempersoalkan hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu, agama Islam dan raja-raja Melayu.

Jika anda dapat menghadam perkara ini, gerakan menuntut akta ISA ini dimansuhkan dahulu adalah bertujuan untuk mencetuskan apa yang berlaku hari ini, di mana pelbagai kemudaratan dan keburukan telah berlaku.

Ia bukanlah bertujuan untuk melindungi orang ramai daripada kezaliman akta tanpa bicara ini.

Kita dapat melihatnya sendiri hari ini dengan mansuhnya akta ini, suasana semakin kecamuk.

Termansuhnya ISA, adalah seperti tumbangnya satu tembok. Terbukalah kebebasan kepada puak-puak tertentu untuk menggoncang negara ini.

Apabila isu-isu sensitif ditimbulkan di tengah-tengah masyarakat tanpa kawalan, ia akan menyebabkan keamanan negara tergugat.

Orang ramai akan perlahan-lahan mempersoalkan apa sahaja tanpa rasa takut.

Akibat daripada keadaan ini, negara akan tercampak ke dalam anarki politik. Hari ini orang-orang bukan Islam, malah orang-orang Melayu sendiri semakin berani membangkitkan isu-isu sensitif dalam masyarakat.

Bagi yang dapat melihat jauh ke hadapan, mereka akan tahu gerakan yang mahu memansuhkan ISA ini adalah golongan yang terkurung di belakang tembok ISA. Mereka tidak dapat keluar selagi tembok ISA ini tidak dapat diruntuhkan

Maka, tidak hairanlah hari ini apabila pelbagai puak telah muncul menunjukkan belangnya.

Sekiranya ISA masih ada, orang-orang ini pasti akan ditahan tanpa bicara di bawah ISA.

Hari ini mereka mungkin ditangkap, disiasat dan didakwa, kemudian akan berjaya melepaskan diri dengan kebijaksanaan para peguam mereka.

Lainlah dengan ISA, ia tidak ada pembicaraan

Sekiranya kes-kes yang rumit ini dihadapkan ke muka pengadilan, mereka lebih mudah membela diri mereka.

Apabila ia suatu tahanan tanpa pembicaraan, tentulah ia tidak adil, kejam dan tidak bertamadun. Semua orang patut diberi peluang membela dirinya atas sebarang tuduhan.

Atas premis inilah mereka menyakinkan orang ramai bahawa ISA perlu dimansuhkan. Mereka mengeksploitasi perkara ini ke atas minda orang ramai.

Sebaliknya, apa yang mereka mahukan dengan mansuhnya akta ini adalah untuk lebih berleluasa membangkitkan perkara-perkara yang sensitif berkaitan hak-hak orang Melayu, raja-raja dan agama Islam, terutamanya.

Jadi, anda patut faham, akta ISA mahu dihapuskan adalah untuk menyebarkan dakyah-dakyah jahat mereka tanpa takut ditahan di bawah ISA.

Maka, hari ini pakatan pembangkang melaungkan untuk menyelamatkan negara. Apakah yang mahu diselamatkan mereka? Apakah agenda mereka?

Ia sebenarnya lebih kurang sama seperti kes di atas. Mereka menyebarkan propaganda dan persepsi bahawa kerajaan sedia korup, zalim dan tidak amanah.

Orang ramai akan terpukau dengan permainan mereka ini sehingga melupakan agenda sebenarnya di belakang tabir. Seperti akta ISA yang dilihat kejam, kerajaan hari ini digambarkan oleh mereka sebagai jahat dan buruk yang perlu ditumbangkan.

Sentimen yang dibangkitkan ini membuatkan orang ramai akan membenci kerajaan.

Jika anda melihat dalam skop yang luas, anda akan faham keadaan ini.

Sama seperti ISA, kewujudan UMNO dan Barisan Nasional sebenarnya menahan gerakan yang berselindung di sebalik parti-parti politik pembangkang untuk meruntuhkan asas negara ini.

Gerakan dan parti politik ini saling bersekutu untuk mencapai matlamat mereka.

Selagi UMNO masih kekal, mereka tidak dapat merombak negara ini kepada sebuah negara yang sekular, liberal dan plural.

Kerana itu kita sepatutnya faham kenapa barisan pemimpin pembangkang tidak lagi bersuara apabila dibangkitkan isu-isu yang sensitif berkenaan agama, bangsa dan raja-raja Melayu. Bahkan dalam kalangan mereka sendiri telah wujud pemikiran sesat ini.

Naratif mudahnya adalah begini: untuk merombak negara ini dan menjatuhkan raja-raja Melayu, kerajaan Barisan Nasional perlu ditumbangkan. Untuk menumbangkan kerajaan ini, akta ISA perlu ditumbangkan. Apabila ISA tidak ada lagi, kerajaan akan lemah dalam menangani cubaan golongan yang mahu mengacau kestabilan politik negara.

Apa yang kita lihat hari ini adalah dalam gambaran yang salah. Aksi yang sama, tetapi kita dikelirukan agar melihatnya dengan sudut yang salah.

Kita sedang dikelirukan bahawa pakatan pembangkang sedang menentang kerajaan yang zalim sebagaimana akta ISA yang ditentang dahulu.

Hakikatnya, kerajaan hari ini sedang cuba digulingkan oleh suatu pakatan jahat untuk meruntuhkan asas negara ini kepada sebuah negara sekular.

Kita sedang diperkudakan untuk menumbangkan sebuah kerajaan yang ditadbir oleh Melayu-Islam.

Sebagaimana ISA digambarkan zalim, begitulah kerajaan dipersepsikan sebagai korup. Dan sebagaimana ISA menghalang aktiviti mereka, begitulah kerajaan hari ini menjadi penghalang kepada cita-cita mereka untuk mengubah negara ini.

Kezaliman akta ISA bukanlah sebab mereka mahu memansuhkannya, dan keburukan kerajaan seperti yang digambarkan mereka, bukanlah sebab mereka mahu menumbangkan kerajaan.

Mereka mempunyai misi yang lain seperti yang dikatakan di atas. Ia agak mustahil berlaku selagi kerajaan sedia ada hari ini tidak berjaya ditumbangkan.

Oleh: AZMAN HUSSIN



Source link

read more

Uji Rashid tak kena halau – Wakil keluarga tampil beri penjelasan sebenar



WAKIL keluarga penyanyi popular 1970-an, Uji Rashid tampil menjelaskan situasi sebenar yang berlaku kepada mereka sekeluarga.

Baca: Diarahkan Keluar Dari Rumah Sewa, Uji Rashid Mohon Rumah PPR

Kata individu yang menggunakan nama Rehan Ismail di Facebooknya, Uji Rashid tidak dihalau dari kediaman yang sedang disewanya sekarang namun mencari alternatif untuk terus menyara keluarga.

“Nak beritahu juga, bukan kena halau. Sekarang menyewa apartment RM1,500, tak beli sebab banyak dokument melibatkan slip gaji dan sebagainya.

“Dia menjaga Cico yang sakit sejak setahun lalu.

“Dia seorang yang menyara keluar dia (anak dan cucu). Walaubagaimanapun, kami turut membantu mana yang perlu,” jelasnya.

Rehan memohon agar situasi yang berlaku kepada Uji dan keluarganya tidak ditularkan dan dibandingkan dengan arwah biduanita negara, Datuk Sharifah Aini.

“Jangan bandingkan dia dengan arwah Sharifah Aini sebab dia single sejak Cico bayi lagi. 

“Menanggung arwah ibu dia dan keperluan keluarga. Dia sepatutnya sudah berehat senang lenang tetapi musibah yang melanda Cico adalah dugaan yang dia harus hadapi.

“Apa yang tersiar dan viral dalam media saya pasti amat perit bagi dia yang selama ini tidak pernah meminta-minta bantuan,” tambahnya.

Beberapa hari lalu, penyanyi yang popular dengan lagu Semakin Hari Semakin Sayang itu dilaporkan terpaksa keluar daripada rumah sewanya di Ampang, Kuala Lumpur dan memohon rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Berita sedih itu dikongsikan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar baru-baru ini.

Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: FB Rehan Ismail



Source link

read more

Spesifikasi Sebenar Vivo V9 Tersenarai Awal Di Laman Rasmi Vivo India – Amanz


Semalam kami melaporkan spesifikasi penuh Vivo V9 tertiris menerusi laman jual beli atas talian Indonesia. Tetapi nampaknya laporan ini kurang tepat kerana laman rasmi Vivo India telah memuat naik spesifikasi penuh sebenar peranti ini lebih awal dari majlis pelancaran.

Vivo V9 sebenarnya dilengkapi skrin 6.3″ IPS LCD FHD+, pemproses Snapdragon 626, memori sebesar 4GB RAM, storan 64GB, kamera utama 16+5 Megapixel f/2.0, kamera hadapan 24-Megapixel f/2.0 dan bateri sebesar 3650 mAh. Sistem operasi Android 8.1 digunakan dengan pelancar Funtouch OS 4.

Masih terdapat bicu audio 3,5mm pada bahagian bawah dan juga pengimbas nadi di bahagian belakang. Peranti ini juga mengekalkan sistem nyahkunci menggunakan wajah dan A.I Face Beauty. Fungsi baru AR Stickers bakal diperkenalkan. Akhir sekali peranti menyokong dwi-SIM nano dan mempunyai slot berasingan untuk kad mikro-SD.



Source link

read more

Wang kripto tidak penuhi ciri mata wang sebenar


KUALA LUMPUR 28 FEBRUARI 218. Ahli Lembaga Pengarah IKIM, Prof Datuk Dr Syed Othman Alhabshi (tengah), Pengerusi Eksekutif Amanie Group, Datuk Dr. Mohd Daud Bakar (kanan) dan Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik (SYARAK) IKIM, Dr Mohd Farid Mohd Shahran (tiga kanan) beramah mesra dengan peserta yanga hadir pada Persidangan Meja Bulat Mata Wang Kripto & Sistem Kewangan Digital di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). NSTP/ASWADI ALIAS.

MO, 28/2/2018, KUALA LUMPUR: Mata wang kripto lebih menepati ciri sebagai medium pertukaran dan belum menepati ciri sepenuhnya menjadi mata wang.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Amanie Group, Datuk Dr Mohd Daud Bakar, berkata untuk menjadi mata wang, ia perlu mempunyai tiga ciri utama iaitu sebagai medium pertukaran, nilai penyimpanan dan medium pengukuran.

Beliau berkata, setakat ini, mata wang digital itu hanya menepati satu ciri utama iaitu medium pertukaran.

“Saya merumuskan kripto bukan mata wang, ia diciptakan bersifat alat pertukaran dan tidak sampai ke tahap menjadi mata wang,” katanya pada Persidangan Meja Bulat Mata Wang Kripto dan Sistem Kewangan Digital yang dianjurkan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini, hari ini.

Pada persidangan itu beliau menyampaikan ucaptama bertajuk Sistem Kewangan Digital: Cabaran dan Hala Tuju.

Mohd Daud menjelaskan, mata wang kripto mempunyai kelebihannya yang tersendiri iaitu mempunyai  kemampuan menjejaki transaksi dilakukan dari mula hingga yang terkini.

Beliau berkata, teknologi mata wang digital itu boleh mengenalpasti pembeli dan penjual serta pemegang semasa.

Sistemnya terbuka dan mempunyai lejar yang diagihkan serta sukar digodam, katanya.

Mengulas mengenai Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembanterasan Pembiayaan Keganasan untuk Mata Wang Digital (Sektor 6) yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia semalam, Mohd Daud berkata, beliau menyambut baik dasar itu yang dilihatnya sebagai langkah permulaan kawalan yang baik.

Beliau berkata, dasar yang dikeluarkan itu menjadikan aktiviti pelaburan dalam mata wang digital itu lebih telus dan mampu mengekang aktiviti penggubahan wang haram.

Mohd Daud juga mencadangkan penubuhan agensi pemantau bagi memantau aktiviti penipuan pelaburan di negara ini.



Source link

read more

Lain yang dilapor lain yang ditahan – Farid Kamil dedah dua individu sebenar


SHAH ALAM: Pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil menafikan dua individu yang diminta tampil bagi membantu siasatan polis dalam kes melibatkan dirinya bukanlah individu yang dimaksudkan.

Dalam satu sidang media di Setia Alam dekat sini hari ini, Farid berkata nama dan foto dua individu terbabit telah diserahkan kepada pihak polis ketika laporan dibuat, namun sebaliknya siasatan dilakukan ke atas dua individu berbeza.

“Dua individu yang ditahan untuk siasatan polis dalam kes saya bukan individu yang saya maksudkan dalam laporan polis.

“Mereka mempunyai nama yang sama. Walaupun telah diberi foto kepada polis untuk membantu siasatan, saya pelik bagaimana orang lain yang disiasat,” jelasnya yang turut tidak menafikan ia mungkin komplot yang telah dirancang.

Farid mendedahkan foto dua individu yang dimaksudkan di dalam laporan polis yang dibuatnya sebelum ini.

Pada 4 Februari lalu, Farid membuat laporan polis menyatakan dirinya telah dianiaya tiga rakan artis yang dikatakan mencemarkan minumannya dengan dadah sehingga mendorongnya berkelakuan ganas.

Farid bagaimanapun enggan menyatakan motif di sebalik kejadian tersebut kerana kes masih lagi di bawah siasatan pihak berkuasa.

Selepas laporan polis dibuat ketika itu, beliau berharap ada kawad cam dilakukan ke atas suspek, namun reman dan siasatan telah dibuat ke atas individu yang tidak dimaksudkannya beberapa hari kemudian.

Sebelum ini, pelakon Sofi Jikan ditahan bagi membantu siasatan selepas dia didapati positif dadah jenis ganja sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi netizen.

BACA: Pelakon filem KL Gangster bebas dengan jaminan polis

Sofi bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis tiga hari selepas penahanannya.

Pada 11 Februari, penyanyi nasyid kumpulan Firdaus, yang juga pengarah dan penerbit pengiklanan, Ahmad Fairuz Ahmad Rosli atau Osh telah tampil memberi keterangan di balai polis namun tiada penahanan dibuat.

BACA: Didakwa aniaya Farid Kamil, Taj beri kerjasama kepada polis

Pada 20 Februari, penyanyi kumpulan Innuendo, Ahmad Tajuddin atau Taj telah tampil ke balai polis bersama peguamnya namun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

BACA: Firdaus sudah tampil, Taj bila lagi?

Justeru Farid meminta pihak berkuasa untuk melihat semula kes berkenaan.

Bercerita mengenai apa yang berlaku berhubung kes menampar polis dan menendang orang awam di Balai Polis Kota Damansara tempoh hari, Farid turut mendedahkan bahawa dirinya telah dianiaya oleh kelompok ‘kongsi gelap’ atau gangsterisme yang berada dalam industri seni.

BACA: Berkelakuan ganas, Farid Kamil dakwa 3 rakan artis masukkan dadah dalam minuman?

Farid didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya namun mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan iaitu menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu penjawat awam.

Kemudian, pada 17 Februari, dia dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM12,000 dan kes dibicarakan pada 5 Mac nanti.

Farid sekali lagi dihadapkan ke mahkamah pada 25 Februari lalu atas pertuduhan menggunakan dadah berbahaya jenis tetra hydrocannabinol atau THC.



Source link

read more

Sanggup berdepan peluru demi keselamatan orang lain pelajar ini digelar Black Panther sebenar



FLORIDA: Insiden tembakan rambang yang mengorbankan 17 pelajar sekolah di Marjory Stone Douglas High School, Parkland, Florida baru-baru ini meninggalkan kesan yang amat dahsyat.

Pada masa ini, pelaku serangan sedang berdepan tindakan undang-undang, manakala komuniti setempat menjalankan protes untuk mendesak perubahan dalam sistem keadilan, keselamatan dan pemilikan senjata di Amerika Syarikat.

Sewaktu kekecohan tersebut, sebenarnya ada wira yang muncul dari kalangan orang biasa. Dia merupakan seorang pelajar yang cuba melakukan segalanya, malah di luar kemampuannya, demi menyelamatkan orang lain sewaktu keadaan sedang genting.

Netizen memuji tindakan Anthony Borges, 15 tahun, dan mengatakan remaja tersebut adalah wira sebenar selepas menyelamatkan 20 pelajar yang lain, hingga ada yang meggelarkannya ‘Black Panther’ sebenar.

Anthony adalah salah seorang mangsa kejadian tembakan di sekolah tersebut.

Remaja tersebut menerima lima tembakan ditubuhnya ketika menghalang sebuah pintu daripada dibuka, sekali gus menjadikan dirinya sebagai pelindung bagi puluhan pelajar lain.

Kedua-dua belah kaki, bahagian belakang dan tulang peha kiri remaja tersebut ditembak.

Borges kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital dan menurut doktor, dia sedang pulih dari kecederaan.

Dalam sekeping gambar yang ditularkan di internet, kelihatan Borges dilawati ketua sherif yang amat menghargai usahanya meletakkan diri dalam risiko demi keselamatan rakan-rakan sekolahnya.

Tindakan Borges itu disifatkan sebagai simbol pengorbanan dan keberanian yang amat luar biasa berbanding remaja yang sebaya dengan dirinya.



Source link

read more