Selepas 35 tahun diharamkan Arab Saudi kembali benarkan panggung wayang



RIYADH: Buat pertama kalinya, kerajaan Arab Saudi akan membenarkan panggung wayang dibuka semula selepas ianya diharamkan lebih 35 tahun.

Panggung wayang pertama itu dijangka dibuka Mac depan.

Perkara itu diumumkan Menteri Kebudayaannya, Awwad Alawwad dalam satu kenyataan rasmi pada Isnin.

Lebih 300 panggung bakal didirikan, dengan 2,000 skrin yang bakal ditempatkan dalam tempoh 12 tahun.

Ia sebahagian daripada Visi 2030 diperkenalkan Putera Mahkota Mohammad Salman, termasuk menarik balik larangan ke atas wanita memandu tahun hadapan.

Langkah pembaharuan sosial yang diperkenal pewaris taktha berusia 23 tahun itu, bertujuan meningkatkan perbelanjaan tempatan serta mewujudkan peluang pekerjaan sebagai langkah menangani isu harga minyak menurun. 

Kali terakhir Arab Saudi membenarkan panggung wayang beroperasi adalah sekitar 1970-an sebelum diharamkan pada tahun 1982 oleh golongan ulama kerana ia dianggap sebagai maksiat.



Source link

read more

Selepas dakwaan salah laku seks Trump berdepan pula saman oleh kanak-kanak



SAN FRANCISCO: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump kini bukan sahaja berdepan dengan tuduhan salah laku seksual terhadap wanita tetapi mungkin bakal berdepan dengan tindakan saman oleh kumpulan kanak-kanak.

Mahkamah Rayuan Persekutuan mendengar hujah itu pada Isnin mengenai sama ada Trump dan pentadbirannya boleh didakwa oleh sekumpulan kanak-kanak atas dasar alam sekitar.

Peguam untuk kumpulan “anak-anak tanggungjawab kita” berhujah di Mahkamah Rayuan di San Francisco bahawa penolakan Trump mengenai perubahan iklim dan kekurangan tindakan untuk mencegah pemanasan global adalah tidak berpelembagaan.

Melalui peguam mereka, 21 plaintif dari seluruh negara itu mendakwa presiden mereka telah melanggar hak perlembagaan mereka untuk hidup, kebebasan dan harta benda.

Pentadbiran Trump dalam reaksinya meminta mahkamah membatalkan kes itu.

Mahkamah dijangka membuat keputusan sama ada kes itu boleh terus dibicarakan lewat bulan ini.



Source link

read more

Ibu saudara tempat menumpang kasih selepas kematian ibu bapa



SITIAWAN: Anak-anak pasangan mangsa kemalangan jalan raya di KM21 Sitiawan-Teluk Intan, berhampiran Kampung Kayan di sini, minggu lalu kini mengharapkan ihsan ibu saudara sebagai tempat mereka bermanja dan menumpang kasih.

Nor Alvina Abdullah, 31, berkata sejak kemalangan tersebut anak ketiga mangsa Muhammad Daris Amsyar, 5, atau panggilan manja Kinta menjadi sangat manja dengannya, malah memanggilnya ‘mommy’.

“Kinta sangat manja malah mahu tidur dengan saya dan turut memanggil saya ‘mommy’, sebelum ini dia panggil Mak Uda,” kata Nor Alvina yang merupakan adik ipar Sairulazuwan Nadzim, yang maut dalam kemalangan tersebut,” katanya.

Nor Alvina bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Cek Pampasan dan Pencen Ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada keluarga dan waris mangsa di Kampung Batu 9 Lekir di sini, pada Ahad.

Pada 3 Dis lalu, Sairulazuwan, 37, dan isterinya Azilina Abdul Aziz, 37, serta anak bongsu pasangan tersebut Muhamad Daris Iffat, tiga bulan, maut selepas kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Wish yang dinaiki terbabas sebelum terbalik ke dalam sebuah parit.

BACA: Tiga termasuk bayi tujuh bulan maut dalam kemalangan di Sitiawan 

Selain Muhammad Daris Amsyar, pasangan tersebut meninggalkan dua lagi anak iaitu Muhammad Daris Wafiy, 10; dan Muhammad Daris Rayyan, 9.

Nor Alvina berkata, Kintan tidak boleh berenggang dengannya sejak ketiadaan ibu bapanya sehingga menyebabkan dia mengambil keputusan untuk tinggal di rumah mentuanya itu untuk sementara waktu.

“Mungkin dia masih lagi kecil, dia rindukan kedua ibu bapanya cuma dia tidak dapat meluahkannya. Saya juga perasan air mata Kintan akan mengalir setiap kali dia tengah tidur,” katanya.

Nor Alvina yang mempunyai dua orang anak berkata dia menganggap ketiga-tiga anak saudaranya itu seperti anak sendiri dan mahu kesemuanya menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain selain berjaya dalam pendidikan.

“Saya dan suami, Jazli Nadzim, ada juga merancang untuk berpindah ke sini (rumah bapa Sairulazuwan) selepas melihat keadaan Kintan kerana saya mahu memberi sokongan dan perhatian kepadanya yang masih lagi terlalu kecil.

“Sedikit sebanyak dengan kehadiran kami dapat mengubati rindu Kintan dan juga abang-abangnya. Kami menganggap ia sebagai satu amanah dan tanggungjawab kepada kami untuk membesarkan mereka,” katanya.

Sementara itu, ayah kepada Sairulazuwan, Nadzim Mohd Taib, 68, berkata sumbangan yang diterima daripada orang ramai akan digunakan untuk keperluan tiga beradik tersebut.

“Semoga Allah berikan kesihatan yang baik untuk kami terus kuat menjaga mereka,” katanya.

Menurutnya, Muhammad Daris Wafiy dan Muhammad Daris Rayyan akan berpindah ke Sekolah Kebangsaan Batu 10 Lekir, manakala Muhammad Daris Amsyar akan memasuki tadika berhampiran rumahnya, tahun hadapan.

— BERNAMA



Source link

read more

Bantuan baik pulih disalurkan selepas banjir selesai – Terkini


MACHANG 10 Dis.- Segala bentuk bantuan dan proses baik pulih sebarang kerosakan akibat banjir di negeri ini akan disalurkan selepas musim bencana alam tersebut berakhir.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, langkah itu diambil disebabkan berkemungkinan berlaku gelombang kedua atau ketiga banjir di Kelantan seperti tahun-tahun sebelum ini.

Beliau berkata, sememangnya menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu membaik pulih segala kerosakan yang berlaku akibat banjir.

“Setakat ini, kita telah menerima aduan daripada pemimpin tempatan mengenai kerosakan yang berlaku namun kita tidak mahu mengambil tindakan terburu-buru.

“Saya risau kalau kita baik pulih waktu ini, akan berlaku kerosakan lagi apabila berlaku banjir selepas ini. Jadi kita tunggu sehingga banjir selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Hari Inovasi 2017 UiTM Cawangan Kelantan di Dewan Profesional di sini hari ini.

Yang turut hadir, Rektor UiTM cawangan Kelantan, Dr. Tuan Mohd. Rosli Tuan Hassan.

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan berkata, pihaknya akan melihat secara menyeluruh segala bentuk bantuan yang diperlukan untuk tujuan baik pulih ini.

“Kita akan meneliti semua aspek bukan sahaja jalan malah sistem perparitan juga akan dilihat jika ia menyebabkan masalah banjir.

“Ini kerana kita tidak mahu membelanjakan untuk perkara yang sama setiap tahun,” katanya. -UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Peragut Lone Ranger tewas selepas lapan jam meragut



KUALA TERENGGANU: Peragut ‘Lone Ranger’ yang menjadikan kaum wanita di sekitar Kuala Terengganu sebagai sasaran utama tumpas selepas meragut dua pelajar.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Idris Abd Rafar berkata suspek yang berusia 24 tahun itu diberkas selepas lapan jam melakukan aktiviti tersebut.

Katanya suspek diberkas kira-kira jam 10 malam di Taman Permint Jaya, Chendering bersama rakannya yang berusia 17 tahun pada Khamis.

“Suspek aktif melakukan kegiatan tersebut secara bersendirian dengan menunggang motosikal dan hasil siasatan awal rakan mangsa tidak terbabit dengan kejadian ragut berkenaan.

“Suspek yang dikenali dengan ‘Abang Sang’ juga memfokuskan kaum wanita yang menunggang motorsikal secara berseorangan tanpa mengira waktu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang Khamis lalu, seorang pelajar diragut ketika menaiki motosikal bersama rakannya di Kampung Kolam, Kuala Ibai.

Kira-kira 30 minit selepas itu, beg tangan seorang penuntut sebuah kolej yang diletakkan di dalam raga motosikal dilarikan dalam kejadian di Kampung Pasir Panjang.

Idris berkata suspek yang juga seorang penganggur bertindak mencampakkan beg mangsa selepas mengambil barangan berharga.

Menurutnya, suspek yang berasal dari Chendering itu dipercayai aktif dalam kegiatan ragut sejak April lalu.

Jelasnya, susulan tangkapan itu pihaknya percaya dapat menyelesaikan lapan kes ragut di sekitar Kuala Terengganu.

Pihak polis juga turut merampas dua buah motosikal,sebuah telefon bimbit jenis iPhone, kad sim dan dompet.

Beliau berkata suspek juga positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai lima kes lampau bersabit kes samun dan barang-barang curi.

Suspek ditahan reman selama lima hari mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana meragut.



Source link

read more

Trump cuba buat baik selepas cetuskan api kemarahan umat Islam



SELEPAS beberapa jam membuat pengisytiharan yang penuh kontroversi tentang Baitulmaqdis, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump cuba mengalih pandangan dunia.

Dari bersifat tidak berperikemanusiaan, Trump seakan bertukar menjadi insan paling suci di muka bumi apabila menzahirkan rasa ihsannya terhadap hampir 8 juta penduduk Yaman.

Menurut Trump, beliau telah berhubung dengan rakan pakatannya Arab Saudi agar membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan di Yaman.

“Saya telah mengarahkan pentadbiran saya untuk berhubung dengan kepimpinan Arab Saudi agar membenarkan sepenuhnya kemasukan bantuan seperti makanan, air dan ubat-ubatan ke Yaman.

“Ini perlu dilakukan Arab Saudi demi kemanusiaan,” jelasnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

BACA: Majlis Keselamatan PBB bersidang Jumaat ini, bincang isu Baitulmaqdis

BACA: Perancis tolak keputusan Trump berhubung Baitulmaqdis

BACA: Baitulmaqdis bukan milik Israel, isytihar Perjanjian Damai Oslo gagal – Hamas

BACA: Suara dari Tel Aviv: Iktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, AS cari pasal

Penganalisis antarabangsa melihat langkah Trump terbabit sebagai ‘gula-gula’ buat Arab Saudi selepas Riyadh mengecam tindakannya berhubung pengisytiharan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Semalam, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Arab Saudi membuka laluan air dan udara yang dikuasainya di Yaman, bagi memberi laluan kepada saluran bantuan kemanusiaan.

Dua perkara digariskan buat Riyadh iaitu membuka pintu pelabuhan di Hodeidah dan kebenaran mendarat di lapangan terbang Sanaa bagi kemasukan barangan bantuan kepada hampir 8 juta penduduk Yaman.



Source link

read more

Ditikam selepas berselisih faham di media sosial – Jenayah


KUALA LUMPUR 7 Dis. – Pertemuan enam wanita untuk menyelesaikan perselisihan faham berakhir dengan tragedi selepas salah seorang daripada mereka cedera ditikam dalam kejadian di Stesen Kereta api Tanah Melayu (KTM) Seri Setia, Sungai Way, Petaling Jaya dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, dalam kejadian pada pukul 11.30 malam itu, sekumpulan empat wanita bertemu dengan dua lagi wanita di lokasi untuk menyelesaikan perselisihan faham berkaitan kata-kata di dalam media sosial sebelum berlakunya pergaduhan.

“Dalam pergaduhan tersebut, kesemua wanita berusia lingkungan 20-an itu turut menggunakan pengunci kereta, topi keledar, kayu dan pisau sebelum salah seorang daripada mereka ditikam dengan sebilah pisau.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Ujar Mohd. Zani, suspek berusia 20 tahun kemudian ditahan di Little India, Klang Selatan pada pukul 12.50 tengah hari semalam dan suspek akan direman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Diberkas dalam 24 jam selepas pecah masuk 2 rumah – Jenayah


KUALA TERENGGANU 4 Dis. – Polis berjaya memberkas seorang buruh selepas terbabit dalam dua kes pecah rumah di daerah Setiu melibatkan nilai kerugian kira-kira RM22,000 dalam kejadian kelmarin dan semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Polis (ACP) Fazlisyam Abd. Majid berkata, lelaki berusia 25 tahun itu ditangkap di tepi Jalan Banggol di sini pukul 5.30 petang semalam.

Menurutnya, dalam kejadian pertama kira-kira pukul 10 pagi, suspek memecah masuk sebuah rumah di Rhu Tapai, Merang, Setiu Sabtu lalu dan melarikan sejumlah barangan termasuk barangan kemas bernilai kira-kira RM20,000.

Katanya, suspek kemudian melakukan pecah rumah di Taman Roselle di Setiu pada kira-kira pukul 5.15 pagi semalam dan melarikan barangan serta wang tunai bernilai kira-kira RM2,000.

“Bertindak atas maklumat hanya dalam tempoh 24 jam, sepasukan anggota dari IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Terengganu berjaya menangkap suspek berusia 25 tahun berhubung kes terbabit dan dia disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita di IPK Terengganu di sini hari ini.

Berdasarkan siasatan, Fazlisyam berkata, pihaknya mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan juga kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah. – UTUSAN ONLINE




Source link

read more

Upiak tidak sangka lagunya popular selepas tiga tahun



KUALA LUMPUR: Penyanyi dari Sumatera Barat, Upiak Isli, tidak menyangka lagu yang dihasilnya pada 2014 ‘Tak Tun Tuang’ menjadi terkenal selepas seorang daripada peminatnya memuat naik lagu itu dalam laman sosial baru-baru ini.

Lagu hasil nukilan Upiak, atau nama asalnya Silvia Nanda, 32, yang berbentuk jenaka dan menghiburkan itu telah ditonton di YouTube oleh lebih sejuta penonton sejak video tersebut diviralkan dua minggu lepas.

“Saya telah menghasilkan 19 buah album sejak aktif menyanyi ketika berusia 13 tahun, Saya tidak menyangka hanya lagu dalam album ke-14 menjadi popular,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program ‘Nine 11’ terbitan Bernama News Channel (BNC) di Wisma Bernama, di sini hari ini.

Beliau juga tidak silu mengakui menangis kerana terharu dengan sambutan luar biasa terhadap lagu berkenaan.

Anak sulung daripada tiga beradik yang berasal dari Padang, Sumatera Barat, Indonesia itu, berkata lagu berkenaan dihasilkan pada 2014 bersama-sama rakannya Ardi Tanjung yang bermain gitar.

Lagu itu menceritakan kisah lawak mengenai seseorang yang tidak mandi turut mendapat sambutan di luar negara, katanya.

Lagu ‘Tak Tun Tuang’ yang berdurasi 3:35 saat itu kini berada di bawah naungan MVM Production Sdn Bhd.

Sementara itu, walaupun terpisah jauh, penyanyi Najwa Mahiaddin, 31 serta penyanyi dan penulis lirik Singapura Imran Ajmain, 36 memanfaatkan pelbagai platform media sosial untuk berkolaborasi menghasilkan album pertama mereka.

‘Sentiasa Merinding’ yang mengabungkan unsur muzik Melayu klasik dengan R

“Biarpun berada di luar negara dan perbezaan waktu tetapi kami menggunakan kemudahan Internet untuk berinteraksi,” kata Imran yang pernah popular dengan lagu ‘Seribu Tahun’.

Imran berkata walaupun beliau telah mengenali Najwa sejak 11 tahun lalu, hanya baru-baru ini mampu berduet dan menghasilkan lagu bersama.

— BERNAMA



Source link

read more

Rempuh MPV polis Suspek masih bolos selepas 9 das tembakan



KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu seorang suspek lelaki dipercayai warga Indonesia yang dipercayai telah melanggar kereta peronda polis (MPV) dalam kejadian diJalan Klang Lama kira-kira 4.25 pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim dalam satu kenyataan berkata, anggotanya terpaksa melepaskan tembakan selepas suspek enggan memberhentikan kenderaan dan melanggar kenderaan MPV terbabit.

“Anggota MPV telah mengarahkan suspek memberhentikan kenderaannya dan ketika dihampiri suspek tiba-tiba bertindak melanggar kenderan MPV beberapa kali.

“Anggota polis kemudiannya melepaskan sembilan das tembakan dalam usaha menghalang suspek daripada melarikan diri.

“Suspek kemudiannya meninggalkan kenderaan yang dinaiki di Taman Medan dan melarikan diri ke kawasan semak berhampiran,” katanya.

Rakaman kejadian tembakan berkenaan turut tular di media sosial.

Siasatan awal polis terhadap kenderaan jenis Proton Persona yang dibawa suspek mendapati ia dicuri di Subang Jaya pada 2015 dan menemui empat kesan cap jari.

Tambah Mazlan, pihaknya masih menyiasat mofis suspek melarikan diri dan usaha memburu suspek yang dipercayai masih berada di kawasan sekitar sedang giat dijalankan.



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons