Tanah Felda Audit forensik siasatan polis diteruskan – PM Najib


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan audit forensik dan siasatan polis berhubung isu tanah milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Jalan Semarak, di sini akan tetap diteruskan walaupun Felda telah mendapat kembali hak milik tanah itu.

“Alhamdulillah, tanah Jalan Semarak Felda telah dikembalikan tanpa sebarang kos. Walaupun begitu, saya tegaskan bahawa audit forensik dan siasatan polis akan tetap diteruskan,” kata perdana menteri di laman Twitternya, hari ini.

Semalam, Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad mengesahkan Felda telah mendapat kembali hak milik tanah di Jalan Semarak daripada Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB), tanpa melibatkan apa-apa kos.

Pemilikan semula hak milik kesemua 16 plot tanah, yang melibatkan empat transaksi jual beli dilakukan pada Disember 2015 dan November 2016, diperoleh menerusi perjanjian persefahaman yang ditandatangani antara Felda dan SPSB di ibu pejabat Felda.

Pada 21 Dis lepas, media melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya. — Bernama

BACA: Isu tanah Felda – Isa Samad hadir beri keterangan di Bukit Aman

BACA: Felda ditipu: Jual tanah, tapi tak dapat duit

BACA: ‘Saya terpegun begitu mudah untuk pindah milik tanah dalam institusi seperti Felda’ – Shahrir



Source link

read more

Siasatan pembelian tanah di Tongod selesai SPRM tunggu tindakan selanjutnya


KAJANG: Suruhanjaya  Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melengkapkan siasatan berhubung pembelian tanah ladang kelapa sawit bernilai kira-kira RM155 juta di Tongod, Sabah, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Seri Azam Baki.

Beliau berkata pihaknya telah mengemukakan kertas siasatan berkenaan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Kita sudah serahkan (kertas siasatan) pada minggu lepas untuk keputusan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Gerakan Revolusi Antirasuah (Gerah) bersama komuniti pemandu teksi dan kereta sewa, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Zulkifli Ahmad.

Pada 5 Jan lepas, Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Peter Anthony, 46, ditahan SPRM ketika hadir di pejabat agensi itu untuk memberi keterangan berhubung isu pembelian tanah berkenaan.

Peter bagaimanapun dibebaskan pada 12 Jan oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu dengan ikat jamin RM55,000 selepas  tempoh tahanan remannya tamat.

Sementara itu, mengenai siasatan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan berhubung projek terowong dasar laut di Pulau Pinang, beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan akan membuat tangkapan terhadap beberapa lagi individu untuk membantu siasatan.

Katanya, setakat ini sekurang-kurangnya 20 saksi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketika ditanya sama ada SPRM akan memanggil Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, beliau berkata tidak ada keperluan berbuat demikian buat masa ini.

“Kita masih siasat, masih terlalu awal saya nak kongsi dapatan kita dalam siasatan ini, kita akan lakukan secara terperinci,” katanya.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, yang terdiri daripada beberapa syarikat.

— BERNAMA



Source link

read more

Isu terowong dasar laut Siasatan SPRM tumpu pada pembayaran RM305 juta


KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pelaksanaan kajian terowong dasar laut di Pulau Pinang kini menjurus kepada pembayaran RM305 juta kepada syarikat-syarikat yang dilantik untuk membuat kajian tersebut oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Menurut sumber, pasukan penyiasat kini sedang merakam percakapan saksi-saksi dalam syarikat-syarikat yang dilantik itu bagi mengenal pasti proses pembayaran untuk kajian kebolehlaksanaan tersebut.

Kata sumber itu lagi, menerusi penelitian dokumen-dokumen yang dirampas dalam proses siasatan, maka dipercayai dapat membantu untuk mengenal pasti sama ada bayaran tersebut (RM305 juta) adalah nilai sebenar atau yang telah dinaikkan.

Selain itu, SPRM juga sedang menyiasat sama ada syarikat-syarikat tersebut mempunyai pengiktirafan untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut.

“Kita juga perlu lihat sama ada pakar-pakar yang dilantik untuk membuat kajian tersebut mempunyai kepakaran khusus dalam membuat kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut.”

“Tidak kira sama ada pakar-pakar yang dilantik itu adalah terdiri daripada kerajaan mahupun pihak swasta, apa yang penting mereka perlu mempunyai kepakaran untuk menjalan kajian terowong dasar laut,” katanya ketika dihubungi di sini.

Difahamkan, kerajaan telah menetapkan piawaian kepakaran untuk menjalankan semua kajian kebolehlaksanaan termasuk kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi berkata pihaknya sedang membuat siasatan secara terperinci berhubung pembayaran penganugerahan pelaksanaan kajian terowong dasar laut tersebut.

BACA: Terowong dasar laut Pulau-Pinang: SPRM ambil keterangan 12 saksi

Menurut beliau, ini kerana ia melibatkan aspek-aspek teknikal yang perlu dilihat secara mendalam, justeru pasukan penyiasat memerlukan masa bagi menyiasat kes tersebut.

Azam meminta semua pihak memberikan ruang dan peluang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan dan pihaknya masih dalam proses merakam percakapan saksi-saksi penting yang dipercayai dapat membantu melengkapkan siasatan ini.

“Kita akan panggil beberapa individu penting dalam masa terdekat untuk merakam percakapan,” ujarnya lagi.

Pada hari ini, SPRM juga telah merakam percakapan lapan individu termasuk setiausaha syarikat, penasihat dan perunding-perunding syarikat serta menggeledah sembilan syarikat di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan .



Source link

read more

Samun TKPN sahkan pegawai anggota polis Perak ditahan bantu siasatan



IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan penahanan seorang pegawai  polis berpangkat Inspektor dan dua anggotanya yang bertugas di Perak serta seorang orang awam bagi membantu siasatan kes kejadian samun berkumpulan dan memeras ugut di sebuah rumah di sini, awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata kesemua suspek direman enam hari bermula hari ini.

Katanya pegawai dan anggota berkenaan mendakwa mereka membuat serbuan ke rumah terbabit di Persiaran Rapat Baru 1, Taman Lapangan Permai kira-kira pukul 2 pagi semalam.

“Bagaimanapun, mereka tidak membuat laporan (serbuan) yang merupakan prosedur setiap kali selepas selesai serbuan. Sebaliknya, kita syaki mereka mengambil kesempatan meminta wang, memeras ugut dan menyamun mangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

BACA: Tiga anggota polis ditahan terlibat kes samun 

Noor Rashid berkata semua yang terlibat kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan tanpa senjata api. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Omar Mammah ketika dihubungi berkata kejadian itu melibatkan seorang pegawai, tiga anggota dan dua orang awam.

“Seorang lagi anggota serta seorang orang awam  masih bebas dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan,” katanya. 

Semalam, seorang lelaki berusia 54 tahun membuat laporan polis mendakwa didatangi enam lelaki mengaku sebagai anggota polis yang ingin membuat pemeriksaan di dalam rumahnya selain diperas ugut untuk menyerahkan RM12,300.

Dipercayai wang tersebut diminta sebagai melepaskan mangsa daripada dibawa ke balai polis kerana penemuan dadah di rumahnya. 

— BERNAMA

 



Source link

read more

Isu FELDA Isa Samad individu penting bantu siasatan – DIG



KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad merupakan individu penting yang boleh membantu siasatan kes pindah milik tanah FELDA di Jalan Semarak.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, kenyataan Isa penting bagi membantu siasatan kes tersebut kerana beliau adalah antara individu yang menjawat jawatan pengurusan tertinggi FELDA ketika itu selain mempunyai kaitan dengan keputusan melabur.

Sehubungan itu, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Isa bagi membantu siasatan berhubung isu tersebut, minggu depan.

“Kita sudah rakam keterangan lima saksi terdiri daripada pegawai FELDA, pejabat tanah dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta yang penting adalah pengadu itu sendiri esok atau lusa kita rakam percakapan apabila dia berada di Kuala Lumpur.

“Kita akan tengok segala dokumen berkaitan bagaimana keputusan dibuat dan sebagainya. Kalau kita tahu (Mohd Isa) ada kaitan dengan keputusan untuk melabur, kita akan ambil keterangan beliau,” katanya.

BACA: Polis tubuh pasukan khas siasat kes Felda

BACA: Isu tanah Felda: Isa Samad sedia disiasat pihak berkuasa

BACA: Isu tanah Felda: Polis buka kertas siasatan, panggil pengadu, pegawai Felda

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis di Bukit Aman di sini pada Rabu.

Tambah Noor Rashid, siasatan dijangka akan lebih rancak minggu depan apabila polis mengambil keterangan individu penting selain memperoleh dokumen berhubung kes itu.

Kata beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana penipuan serta pemalsuan dokumen.



Source link

read more

Perancis buka kertas siasatan susulan kes pencemaran susu bayi



PARIS: Pihak berkuasa dan pendakwa raya Perancis telah membuka kertas siasatan berikutan kes pencemaran salmonella dan penarikan semula besar-besaran susu formula bayi oleh syarikat gergasi Lactalis, lapor AFP.

Siasatan itu memfokuskan pelbagai dakwaan antaranya menyebabkan kecederaan tanpa sengaja, membahayakan nyawa, unsur penipuan dan kegagalan dalam melaksanakan tindakan menarik balik produk.

Laporan mengenai kira-kira 20 kanak-kanak jatuh sakit selepas meminum susu serbuk Lactalis, yang dijual di bawah beberapa jenama berbeza di Perancis dan negara-negara lain, mula mencetuskan panik sejak awal Disember lalu.

Syarikat tersebut, yang merupakan antara pengeluar produk tenusu terbesar dunia, telah menarik balik produk mereka secara besar-besaran pada 10 Disember.

Hampir 7,000 tan paket susu yang dikeluarkan kilang tercemar di Craon, barat laut Perancis.

Ketika itu, syarikat berkenaan tidak dapat mengesahkan jumlah kandungan yang mungkin membahayakan, atau yang telah dijual di seluruh dunia. Pada 21 Disember, arahan penarikan semula kedua telah dilaksanakan.

Sejak 15 Februari, semua produk yang dikeluarkan kilang Craon telah ditarik balik, dengan laporan pencemaran dikatakan berpunca daripada kerja-kerja renovasi awal tahun ini.

Arahan penarikan balik itu telah menjejaskan konsumer di beberapa negara seperti China, Pakistan, Bangladesh, Britain dan  Sudan.

Simptom salmonella termasuk cirit-birit, kekejangan di perut dan muntah-muntah. Keadaan itu disebabkan aktiviti bakteria dalam usus yang datangnya daripada haiwan ternakan.

Simptom itu menjadi  berbahaya jika berlanjutan kerana boleh menyebabkan dehidrasi teruk , terutamanya pada golongan berusia dan kanak-kanak.



Source link

read more

Kongsikan hasil siasatan terhadap pembunuhan spesis terancam – MNS



KUALA LUMPUR: Persatuan Pencinta Alam Malaysia mahu siasatan mengenai kematian haiwan terancam dikongsikan, jelas presidennya Henry Goh.

Beliau juga mendesak pihak berkuasa untuk mempertingkatkan usaha pemantauan dan siasatan bagi menghentikan aktiviti haram ke atas spesis berkenaan

Henry berkata demikian sebagai reaksi kepada beberapa kes kematian haiwan terancam baru-baru ini yang melibatkan kes kemalangan jalan raya dan pembunuhan melibatkan haiwan terancam seperti tapir dan beruang matahari. 

Baca: Beruang maut dilanggar motosikal 
Baca: Tapir mati dilanggar Saga
Baca: Kereta berpusing dan terbalik selepas terlanggar tapir

“Berapa banyak lagi haiwan terancam harus terbunuh sebelum perkara ini dapat diselesaikan?” soal Henry.

Katanya, selain kemalangan yang mengakibatkan kematian haiwan terancam, binatang tersebut turut diancam pihak yang tidak bertangungjawab yang menjual bahagian badan binatang terbabit.

“Usaha sama yang tersusun antara agensi-agensi dan jabatan-jabatan kerajaan seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara, Jabatan Perhutanan, Polis dan Pejabat Peguam Negara diperlukan untuk mencari penyelesaian jangka panjang berhubung isu ini,” katanya.



Source link

read more

Isu tanah Felda Polis buka kertas siasatan panggil pengadu pegawai Felda



KUALA LUMPUR: Polis telah membuka kertas siasatan berhubung isu pindah milik tanah Felda di Jalan Semarak, di sini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim mengesahkan perkara ini ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini dengan berkata pihaknya kini sedang mendapatkan pengadu untuk dirakam percakapan serta beberapa individu lain.

“Polis telah membuka kertas siasatan dan kes dikendalikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK).

“Kita masih belum dapat kenyataan daripada individu yang membuat aduan kepada pihak polis dan kita sedang berusaha untuk mendapatkan kenyataan pengadu.

“Buat masa ini belum ada sebarang rakaman percakapan dibuat,” katanya.

Sementara itu, Noor Rashid sebelum ini memaklumkan polis telah menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat kes tersebut.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan iaitu berhubung penipuan dan pemalsuan dokumen.

TONTON: Isu tanah Felda Jalan Semarak, polis akan panggil Isa Samad

TONTON: ‘Saya terpegun begitu mudah untuk pindah milik tanah dalam institusi seperti Felda’ – Shahrir

Pada Khamis lalu, Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad akui empat lot tanah Felda di Jalan Semarak di sini telah dipindah milik kepada sebuah syarikat pemaju swasta.

Syarikat tersebut dipercayai melakukan pindak milik tanah selepas menerima surat kuasa wakil penuh daripada Felda.

Felda dilaporkan berisiko kehilangan hak ke atas kawasan strategik yang dianggar bernilai RM270 juta itu susulan urusan pindah milik tanah yang mencurigakan pada 2015 tersebut.



Source link

read more

Isu Felda Pemuda UMNO percaya siasatan dilakukan PDRM telus



IPOH: Pergerakan Pemuda UMNO percaya siasatan terhadap isu pemilikan tanah melibatkan Felda di Jalan Semarak akan dilaksanakan secara telus serta terperinci oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun berkata, jika betul wujud unsur penyelewengan dalam isu berkenaan, dalang yang terlibat tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Kita beri kepercayaan sepenuhnya kepada pihak polis dan berharap ia akan diselesaikan secara segera kerana ia tidak sihat untuk Felda serta kerajaan.

“Kalau wujud manipulasi atau penipuan mereka terlibat pasti akan dihadapkan ke mahkamah.

“Dalam masa sama kita mahu semua pihak jangan membuat spekulasi kerana ia akan menganggu siasatan,” katanya pada satu sidang media di sini pada Ahad.

BACA: Isu tanah Felda-Jalan Semarak: Polis akan panggil Isa Samad

BACA: Polis tubuh pasukan khas siasat kes Felda

BACA: ‘Saya terpegun begitu mudah untuk pindah milik tanah dalam institusi seperti Felda’ – Shahrir

BACA: Felda yakin dapat kembali hak milik tanahnya di Jalan Semarak

BACA: Felda ditipu: Jual tanah, tapi tak dapat duit

Dalam pada itu, beliau juga percaya kemelut yang melanda Felda ketika ini akan dapat diatasi oleh Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

“Kita percaya dengan kepimpinan beliau tetapi isu ini perlu diselesaikan secepat mungkin dan jangan dipandang mudah kerana ia bukan melibatkan nilai yang sedikit,” ujar beliau.



Source link

read more

Polis tidak pernah hentikan siasatan kes Wang Kelian – Noor Rashid



GEORGE TOWN: Polis tidak pernah berhenti atau cuba menutup sebarang siasatan mengenai penemuan kem pemerdagangan manusia dan kubur di kawasan berbukit di Wang Kelian, Perlis seperti dilaporkan sebuah akhbar baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata siasatan kes itu masih berjalan dan pihaknya dalam proses mendakwa beberapa lagi suspek yang terlibat dalam kes berkenaan.

“Sebenarnya polis tidak pernah berhenti atau terdapat cubaan untuk menutup kes berkenaan sebaliknya siasatan masih diteruskan cuma kita tidak menguar-uarkan (berhubung siasatan itu) kepada orang ramai mengenai perkara berkenaan.

“Siasatan masih berterusan dan setakat ini empat orang sudah didakwa dan beberapa lagi dalam proses didakwa malah polis juga telah kenal pasti 10 lagi suspek dipercayai mempunyai kaitan berhubung kes tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kayuhan Basikal Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang di sini Jumaat malam.

Beliau berkata polis juga sedang bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan 10 individu yang dipercayai berada di beberapa negara jiran.

Noor Rashid berkata pihak polis juga akan mengadakan satu sidang akhbar khas berhubung kes itu dalam masa terdekat bagi menjelaskan perkara sebenar supaya semua pihak terutama orang ramai faham situasi terkini mengenainya.

“Polis akan beri penjelasan mengenai perkembangan kes itu dalam masa terdekat cuma saya nak tegaskan kami tidak pernah cuba untuk tutup atau hentikan siasatannya,” kata beliau.

Media melaporkan siasatan hampir dua tahun oleh pasukan projek khas sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan mengenai penemuan kem pemerdagangan manusia dan kubur di kawasan berbukit di Wang Kelian, mendedahkan bukti baharu yang cukup mengejutkan.

Hasil siasatan laporan eksklusif itu mendapati wujudnya cubaan untuk menutup kes berprofil tinggi berkenaan yang dilakukan dengan terancang.

Paling mengejutkan, kem pemerdagangan manusia dan kubur di kawasan berbukit sempadan negara itu ditemui pada Januari 2015, namun hanya diumumkan polis pada 25 Mei.

Satu lagi persoalan yang dibangkitkan laporan itu adalah mengenai arahan polis supaya kem itu dimusnahkan sebelum siasatan pihak forensik, sedangkan lokasi tersebut berpotensi sebagai lokasi kejadian jenayah. — Bernama



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons