Lapan bayi HKL terima sijil ADAM50 – Nasional


KUALA LUMPUR 1 Jan. – Seramai lapan bayi yang dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini antara generasi pertama penerima Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui pembentangan Bajet 2018 lalu.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, setiap bayi yang dilahirkan bermula 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2022 akan diberikan unit amanah percuma bernilai RM200.

Katanya, jumlah berkenaan akan dikreditkan secara terus ke dalam akuan Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk bayi bumiputera dan akaun Amanah Saham 1 Malaysia (AS1M) pula untuk bayi bukan bumiputera.

“Alhamdulilah usaha yang diperkenalkan kerajaan ini membawa satu lembaran baharu untuk mendidik masyarakat terutama golongan muda mengenai kepentingan melabur dan membuat simpanan.

“Saya meminta ibu bapa yang layak agar memanfaatkan skim ini di mana tempoh pendaftaran adalah sah dalam masa satu tahun bermula dari tarikh bayi dilahirkan,” ujarnya ketika sidang akhbar selepas menyampaikan sijil ADAM50 di Hospital Bersalin HKL, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir ialah Pengarah HKL, Datin Dr. Nor Akma Yusof. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Dua lelaki didakwa miliki sijil cuti sakit palsu – Melaka


MELAKA 14 Dis. – Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 15 keping sijil cuti sakit palsu, awal bulan ini.

Muhammad Yusran Jusoh, 19, dan Muhammad Raman Omar, 21, yang didakwa secara berasingan, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Norma Ismail.

Muhammad Yusran, pelajar politeknik di Melaka, menghadapi lima pertuduhan memiliki sijil cuti sakit yang digunakan sebagai tulen di hadapan Stesen Minyak Petron Peringgit, LT 1678 Jalan Tun Abdul Razak Peringgit, di sini pada pukul 9.10 malam, 4 Disember lalu.

Muhammad Raman, penjaga stor, pula menghadapi 10 pertuduhan memiliki sijil cuti sakit yang digunakan sebagai tulen di sebuah rumah di No. 229-1 Jalan Melati 3, Taman Peringgit Jaya, di sini pada pukul 10.10 malam, 4 Disember lepas.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 474 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Norma membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Januari ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shazreen Nadia Saaban, manakala Muhammad Yusran diwakili peguam Fahmy Sulaiman dan Muhammad Raman oleh peguam Sulaiman Harmain Shah. – BERNAMA



Source link

read more

KPDNKK serbu kilang mi dan kuetiau tiada sijil halal sah



BUTTERWORTH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang hari ini menyerbu sebuah kilang memproses mi dan kuetiau di Mak Mandin, di sini kerana menyalah guna logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Bertindak hasil maklumat daripada orang awam yang curiga dengan status halal produk yang dikeluarkan kilang itu, sepasukan penguatkuasa KPDNKK Seberang Perai Utara (SPU) bersama pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menyerbu premis berkenaan kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.

Ketua Cawangan KPDNKK SPU Zalina Aziz berkata ketika serbuan ke atas kilang itu terdapat beberapa pekerja sedang membungkus mi dan kuetiau menggunakan plastik tertera logo halal.

Katanya siasatan awal mendapati produk mi dan kuetiau yang dikeluarkan premis terbabit dipasarkan sekitar Pulau Pinang.

“Produk berkenaan dibungkus menggunakan plastik tertera logo halal JAKIM tetapi pemeriksaan awal mendapati premis berkenaan tidak mempunyai sijil halal sah.

“Berikutan itu, kami menyita 175.1 kilogram plastik bercetak logo halal dan 15,600 keping pelekat logo halal dari premis berkenaan,” katanya di sini pada Khamis.

Zalina berkata pihaknya turut mengarahkan kilang itu untuk memberhentikan kerja-kerja memproses mi dan kuetiau sehingga siasatan dijalankan selesai.

Katanya siasatan lanjut masih dijalankan dan pihaknya turut mengambil keterangan pemilik premis berkenaan berusia 50-an untuk membantu siasatan.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

— BERNAMA



Source link

read more

Bekas isteri dakwa Adi Putra palsukan sijil nikah – Nasional


SEREMBAN 9 Dis. – Bekas isteri kedua Datuk Adi Putra membuat laporan polis di sini baru-baru ini, mendakwa pelakon itu pernah membuat sijil nikah palsu membabitkan diri mereka pada awal Januari lalu untuk urusan visa dan perniagaan di luar negara.

Norshahida Zolkifly, 34, berkata, dua laporan dibuat di Balai Polis Nilai di sini pada 30 November lalu untuk tindakan lanjut kedutaan negara berkenaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, dia bimbang jika namanya terpalit dalam sebarang urusan perniagaan pelakon ‘KL Gengster’ itu atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim, 36.

Beliau mendakwa, Adi Putra mengubah suai sijil nikah milik pelakon itu bersama bekas isteri pertamanya, Zuhaidah Yusof, 42, dengan meletakkan namanya (Norshahida) di dalam sijil nikah tersebut.

“Saya membuat laporan kerana tidak mahu ada sebarang kaitan dengan beliau dan bimbang jika visa itu disalah guna untuk tujuan lain,” katanya di sini hari ini.

Jelasnya, dia tidak membuat laporan polis sebelum Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memutuskan pernikahan mereka berdua tidak sah pada Julai lalu kerana bimbang berlaku pergolakan rumah tangga antara mereka berdua.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintenden Azrul Hisham Mohd. Shaffei ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima laporan tersebut dan siasatan sedang dijalankan. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Dua sahabat ditahan palsukan sijil cuti sakit



MELAKA: Dua sahabat ditahan polis selepas disyaki terlibat sindiket pemalsuan sijil cuti sakit klinik kesihatan dalam dua serbuan berasingan di Melaka pada Isnin.

Suspek masing-masing berusia 19 dan 21 tahun dipercayai menjalankan kegiatan tersebut sejak Jun lalu.

Menurut Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Sun Teoh Tia, suspek pertama berusia 19 tahun yang merupakan penuntut sebuah institusi pengajian tinggi di Melaka ditahan ketika sedang menunggu pelanggan di sebuah stesen minyak di Peringgit sekitar jam 9.10 malam.

Sementara suspek kedua yang merupakan dalang kegiatan tersebut ditahan ketika sedang mencetak sijil sakit palsu di rumahnya di Taman Peringgit Jaya.

Susulan itu polis merampas 15 salinan sijil cuti sakit yang tertera cop rasmi ‘Klinik Kesihatan Peringgit’ serta cop nama ‘Rohaiza Binti Roslan MBB (Malaya) Pegawai Perubatan U-D 54’.

“JSJK Melaka telah pun berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan sijil cuti sakit yang menyerupai sijil cuti sakit Klinik Kesihatan Peringgit selepas menahan dua lelaki dalam serbuan sekita Melaka.

“Digunakan mencetak dan menjual sijil tersebut dan menyerupai sijil asal serta mnyerupai cop nama doktor dan pembeli hanya perlu mengisi nama sendiri dan tarikh cuti yang diperlukan,” katanya.

Turut dirampas satu set komputer, tujuh helai kertas A4 berwarna kuning serta pelbagai cop nama yang dipalsukan.

Berdasarkan siasatan awal, 300 sijil cuti sakit palsu telah dijual kedua-dua suspek untuk pasaran sekitar Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.

Katanya, sindiket berkenaan dipercayai dijual melalui orang tengah dengan harga berbeza iaitu RM10 kepada orang tengah yang akan menjualnya sekitar RM35 sekeping.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.



Source link

read more

Peserta Ekspedisi Kayak Merentasi Sungai Nil terima sijil MBO – Nasional


SEPANG 19 Nov. – Sebanyak tujuh peserta Ekspedisi Kayak Merentasi Sungai Nil 2017 berjaya mencatat nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) atas kejayaan menamatkan ekspedisi berkayak sejauh 200 kilometer (km) secara berkumpulan dari Aswan ke Luxor, Mesir.

Ekspedisi itu yang disertai oleh Mohd. Haniff Muhamad Zain, Wan Zulhamli Wan Abdul Rahman, Izwan Md Sumairi, Shamsudduha Junaidi dan Ahmad Iqbal Khairi Ismail turut disertai dua peserta wanita iaitu Hasnida Hanim Ahmad Kamil serta Rosliza Saad.

Sijil MBOR itu diserahkan oleh Wartawan Penyelidik Kanan MBOR, Nurasyikin Ramli kepada kesemua peserta tersebut sambil disaksikan oleh Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles.

Menurut Mohd. Haniff, biar pun terpaksa berhadapan dengan cuaca sejuk dan panas yang melampau, kesemua peserta ekspedisi tersebut tetap berjaya mengharungi cabaran itu dalam tempoh masa ditetapkan.

“Cuaca di sana sangat mencabar kerana ketika waktu siang suhu panasnya mencecah sehingga 34 darjah celcius dan apabila malam suhunya jatuh sehingga 10 darjah celcius.

“Keadaan ini menyebabkan kami berhadapan dengan keadaan cuaca yang melampau dan mengalami masalah kulit kering,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Berikutan itu, Mohd. Haniff berkata, kesemua peserta terpaksa melakukan persiapan rapi sebelum memulakan ekspedisi termasuk dengan melakukan senaman dan regangan otot bagi mengelakkan daripada mengalami kecederaan serius. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons