Kasihan Nicolas Cage tak sempat jadi Superman



SKRIP dah dapat, kostum pun sudah lekat di badan, malangnya filem dibatalkan beberapa minggu sebelum penggambaran bermula.

Itulah nasib Nicolas Cage yang tidak sempat menjadi Superman meskipun segala persiapan untuk menjayakan watak ‘Man of Steel’ itu telah dibuat.

Cage menerima watak adiwira kesukaan ramai itu pada 1997. Ketika itu namanya memuncak menerusi filem-filem aksi ‘Con Air’ dan ‘The Rock’.

‘Superman Lives’ sepatutnya diarahkan oleh pengarah kreatif Tim Burton yang sebelum itu pernah menghidupkan watak Batman ke layar perak menerusi fiem ‘Batman’ (1989) lakonan Michael Keaton.

Menerusi filem ini, watak Superman digambarkan berambut panjang dan bertubuh kurus.

Video Cage ketika mencuba kostum adiwira itu dimuatnaik di YouTube menerusi akaun Flashback FilmMaking pada Oktober tahun lalu. Klip itu berdurasi hampir lima minit.

 

Filem ‘Superman Lives’ ini diinspirasikan sebagai kesinambungan daripada komik The Death of Superman pada 1992 yang menyaksikan watak adiwira itu dimatikan. Komik itu mencatat rekod tersendiri apabila enam juta salinan terjual.

Namun, nasib filem Superman Lives tidak seperti komik berkenaan. Warner Bros selaku penerbit membuat keputusan mengejut apabila membatalkan projek itu. Bajetnya digunakan untuk menerbitkan filem ‘Wild Wild West’ lakonan Will Smith.

Hasrat Cage untuk menjadi pengganti Christiopher Reeves sebagai Superman dan Clark Kent berkecai.

Mungkin sebagai memperingati impian yang tidak kesampaian, pada 2005 Cage menamakan anaknya yang baru lahir sebagai Kal-El iaitu nama asal Superman di planet Krypton.



Source link

read more

Harapnya ada Superman ganti saya – TMJ rancang tinggalkan FAM selewatnya 2019



SELAIN membantu pasukan-pasukan Liga Malaysia mencari dana yang mencukupi, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tiada matlamat lain dalam peranannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Hal itu penting, kata Tunku Ismail atau TMJ, kerana kewangan yang stabil menjadi titik tolak pembangunan dan kemajuan sesebuah pasukan.

Perkara itu diluahkannya dalam satu video bertajuk “Azam Tahun Baru 2018 – DYAM Tunku Mahkota Johor” yang dimuat naik ke akaun Facebook rasmi Johor Southern Tigers hari ini.

Beliau juga mendedahkan perancangannya untuk meninggalkan kerusi Presiden FAM, selewat-lewatnya tahun hadapan.

“Saya takkan lama di FAM, saya merancang untuk meninggalkan FAM pada 2018 atau 2019.

“Lagi cepat, lagi bagus. Harapnya, ada ‘Superman’ yang akan menggantikan tempat saya nanti,” kata TMJ.

Bagi perancangannya untuk pasukan Johor Darul Takzim (JDT) pula, beliau mahu melihat kelab itu lebih berjaya dan dihormati pada masa akan datang.

“Saya teruja menantikan 2019 kerana saya yakin kualiti JDT ketika itu akan bertambah baik,” ujarnya.

Selain isu bola sepak, video berdurasi kira-kira lima minit itu turut menyaksikan TMJ diajukan pelbagai pertanyaan, dari warna kegemarannya sehinggalah ke pekerjaan yang mungkin dilakukannya sekiranya beliau bukan Tunku Mahkota Johor.

TMJ juga sempat memberikan jawapan sinis yang ditujukan kepada haters beliau.

“Kalau jumpa mereka (haters), saya nak masukkan mereka dalam kandang buaya, nak tengok berapa laju mereka boleh berenang.

“Atau, mungkin mereka boleh berlari di atas air?” katanya.



Source link

read more

Superman dikepung polis trafik di Lebuh Raya Persekutuan



KUALA LUMPUR: Lebuh Raya Persekutuan malam tadi umpama pentas tontonan filem aksi apabila menjadi lokasi aksi-aski berbahaya sekumpulan samseng jalanan.

Kelibat mereka dikesan memenuhi bahu jalan di lebuhraya tersebut seawal pukul 11 malam sebelum memulakan lumba haram.

Hasil pemerhatian di lokasi mendapati beberapa buah motosikal ditunggang melulu secara berkumpulan dari arah Kuala Lumpur ke Klang sebelum berpatah balik serta membuat beberapa pusingan dengan menunjukkan aksi-aksi berbahaya ‘zig-zag’ dan menundukkan kepala seperti ‘superman’.

Malah, lebih mengejutkan apabila dalam kalangan samseng jalanan itu saling cabar mencabar siapa yang lebih hebat beraksi di pentas jalanan.

Bagaimanapun, keseronokan mat rempit mempamerkan aksi berbahaya ini tidak bertahan lama apabila Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Penguat Kuasa Trafik Bukit Aman menjalankan operasi membanteras aktiviti tersebut.

Menurut Pegawai Turus Risikan dan Operasi Bukit Aman, Asisten Supritendan Khuzir Abd Majit berkata, operasi itu disertai 15 anggota yang dibantu peronda lebuhraya zon tengah B3, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, dan anggota Plus Malaysia Berhad (PLUS).

Kata beliau, pasukan risikan telah mengekori suspek tanpa terputus dari pandangan bagi tujuan pengecaman.

“Susulan itu, 15 penunggang motosikal berjaya ditahan di stesen minyak Petronas Lebuh Raya Persekutuan hala ke Klang.

“Seramai 14 yang ditahan berusia 15 hingga 21 tahun dan disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan.

Tambah Khuzir, hasil saringan ujian air kencing mendapati seorang daripada 15 yang ditahan positif dadah jenis syabu.

Katanya, kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk tindakan lanjut.



Source link

read more

PM Kanada dedah identiti diri sebagai Superman



PERDANA Menteri Kanada Justin Trudeau membuat kejutan apabila mendedahkan ‘identiti sebenar’ beliau sebagai Superman.

Berpakaian formal, lengkap dengan jaket dan tali leher, pemimpin sensasi itu kelihatan hadir ke bangunan Parlimen di Ottawa sebelum mula menyapa kumpulan wartawan.

Huffington Post Canada melaporkan, sebaik sahaja bertemu dengan kumpulan wartawan berkenaan, beliau membuka butang baju kemejanya dan mendedahkan kostum adiwira Superman.

Ini adalah sebahagian daripada gimik semperna sambutan Hari Halloween.

Ini bukan kali pertama Trudeau kelihatan menyambut Halloween.

Tahun lalu, Trudeau mengenaka kostum Hans Solo, sementara isterinya Sophie Trudeau mengenakan kostum Puteri Leia.



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons