PM nyatakan iltizam terus bantu Kedah tingkat ekonomi – Nasional


PENDANG 22 April – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan iltizam kerajaan pusat untuk terus membantu Kedah agar tidak tercicir dalam arus pembangunan negara yang semakin pesat.

Beliau berkata Kedah sewajarnya mendapat bantuan kerajaan Persekutuan untuk terus berkembang memandangkan negeri itu mempunyai hasil yang terhad dengan hanya bergantung kepada sektor pertanian.

“Kalau (terus) bagi mandat kepada kita (Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14) kita akan terus membantu negeri Kedah.

“Macam-macam projek lain lagi kita akan bagi termasuk untuk meningkat ekonomi negeri seperti Zon Ekonomi Sempadan Khas Bukit Kayu Hitam, naik taraf lapangan terbang di Alor Setar termasuk penambahan loji air,” katanya ketika berucap melancarkan Projek Pembinaan Hospital Pendang dan Majlis Bersama Rakyat di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Perdana menteri berkata ia turut disokong dengan kemampuan ekonomi negara kini yang semakin mengukuh.

“Dijangkakan pada tahun ini ekonomi negara akan berkembang lagi sejajar dengan pengiktirafan badan antarabangsa seperti Bank Dunia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan Persekutuan terus komited melaksanakan pembangunan secara inklusif supaya tiada mana-mana pihak tercicir dalam arus pembangunan itu.

“Inilah politik BN untuk menolong dan membantu rakyat dan bukannya politik pembangkang yang mai (datang) sekali-sekala (untuk membantu rakyat),” katanya.

Berhubung Hospital Pendang, Najib berkata projek pembinaan hospital itu akan bermula pada 7 Mei ini dengan melibatkan peruntukan berjumlah RM210 juta. – BERNAMA



Source link

read more

Terima Anugerah, Pemangkin Ahmad Idham Terus Berjaya – MYNEWSHUB


PENGARAH dan penerbit Ahmad Idham menyifatkan Anugerah Personaliti Industri Usahawan Malaysia 2018 diterima sebagai pemangkin untuk terus capai kejayaan dalam industri perfileman tempatan pada masa depan.

Idham dipetik portal  Astro Gempak berkata pengiktirafan itu amat bermakna selain menyifatkan ia sebagai hadiah istimewa buat dirinya.

“Apabila menerima anugerah dari orang luar bukan dalam industri hiburan ini, mungkin menjadi petanda yang menjawab persoalan saya selama ini berjuang dalam industri yang seringkali menerima kecaman dan tiada sokongan,” kata Idham.

Tambah Idham lagi, anugerah tersebut juga sebagai bukti kepada usahanya yang berterusan tidak kira sama ada apa yang dilakukannya mungkin selama ini betul atau tidak.

“Hari ini kita harus melahirkan lebih ramai pejuang industri untuk kemajuan bidang seni dan menghapuskan permainan kroni yang selama ini kita tahu,” tambahnya.

Selain daripada itu, Idham secara peribadi juga berpandangan bahawa industri perfileman tanah air sebenarnya sudah bersih. Namun katanya, masih wujud segelintir pihak yang bertindak ‘mengotorinya’.

Sehubungan itu, pengarah tersebut menggesa agar semua pihak tidak gentar untuk memperjuangkan kebenaran demi memajukan industri seni filem tempatan. – MYNEWSHUB.CC/AM



Source link

read more

Pelabur asing terus yakin dasar ekonomi BN – PM – Nasional


KUALA LUMPUR 21 April – Walaupun gabungan pembangkang PKR asyik menyebarkan berita palsu mengenai ekonomi Malaysia, pelabur asing dan pengurus-pengurus dana terus yakin kepada Malaysia dan dasar ekonomi yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, setakat 13 April lalu, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia telah mencecah paras AS$110.0 bilion (RM 428.725 bilion).

Beliau memberitahu, ini satu lagi bukti keyakinan kepada kedudukan ekonomi kita dan dasar ekonomi kerajaan BN yang berkesan.

“Dalam pembangkang asyik sebar berita palsu mengenai ekonomi negara, pelabur asing dan pengurus dana terus yakin kepada Malaysia dan dasar ekonomi Barisan Nasional. Setakat Khamis, aliran masuk dana asing ke Bursa Malaysia cecah rekod tertinggi satu tahun, RM429.80 juta!,” katanya menerusi laman Twitternya, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

MCA Terus Komited Tingkat Pendidikan Masyarakat Cina – MYNEWSHUB


JOHOR BAHRU – MCA terus komited dalam usaha membantu meningkatkan keperluan pendidikan khususnya kepada masyarakat Cina di negeri ini.

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata usaha itu tidak akan terlaksana jika bukan kerana pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sebelum ini turut meluluskan pembinaan 10 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) iaitu masing-masing lima di Johor dan Selangor.

“Ini bukan usaha secara solo MCA, kerajaan negeri menerusi pentadbiran Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga perlu diberi pujian kerana sentiasa prihatin terhadap pendidikan masyarakat Cina, malahan semua kaum.

“Kita dapat lihat sendiri dalam manifesto Barisan Nasional (BN) Johor yang menyasarkan kesemua sekolah termasuk Cina, Tamil dan Sekolah Agama siap dibina menjelang 2023,” katanya yang ditemui selepas merasmikan majlis pecah tanah cawangan ketiga Sekolah Menengah (SM) Foon Yew di Bandar Seri Alam, di sini hari ini.

Terdahulu, dalam majlis pecah tanah itu Wee yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata SM Foon Yew Stulang dan Kulai setakat ini mempunyai hampir 11,000 pelajar dan pembinaan cawangan ketiga di Seri Alam itu dijangka dapat menampung kira-kira 5,000 pelajar.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penyelenggara Penubuhan SM Foon Yew Seri Alam Tong Sing Chuan berkata pembinaan sekolah berkenaan memerlukan peruntukan RM80 juta dan setakat ini sebanyak RM20 juta sudah terkumpul hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan PBT.

“Bagi fasa pertama, kita memerlukan RM50 juta dan ia dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020 serta boleh digunakan pada tahun berikutnya,” katanya. – BERNAMA



Source link

read more

Apple Terpaksa Terus Menggunakan Skrin OLED Samsung Kerana LG Tidak Mampu Memenuhi Permintaan – Amanz


Kos skrin OLED yang mahal adalah sebab mengapa iPhone X dijual pada harga yang tidak mampu milik. Apple terpaksa membeli panel dari Samsung kerana mereka adalah pengeluar skrin OLED yang terbaik dan terbesar di dunia. Bagi mengurangkan pergantungan kepada pesaing terdekat mereka, Apple cuba mendapatkan skrin OLED dari LG. Tetapi nampaknya untuk tahun ini mereka masih perlu bergantung kepada Samsung.

Menurut laporan Wall Street Journal, LG menghadapi masalah menghasilkan skrin OLED untuk Apple. Masalah-masalah pengilangan ini membuatkan mereka gagal memenuhi permintaan dari Apple. Mereka juga dikatakan perlu menghasilkan prototaip skrin sebanyak tiga kali yang tidak pernah berlaku kepada pengeluar komponen yang lain. Ini memaksa Apple untuk terus mendapatkan bantuan dari Samsung.

Oleh sebab ini harga iPhone X tahun ini dipercayai akan kekal seperti tahun lalu. Bagi mereka yang masih inginkan peranti bertakuk dengan kamera Face ID, iPhone dengan skrin LCD 6.1″ akan dilancarkan pada harga yang lebih mampu milik sekitar RM 2200 sebuah tahun ini.



Source link

read more

Anifah Aman terus dahulukan hak Sabah jika dicalonkan semula


KIMANIS – Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman akan terus mendahulukan hak dan kepentingan Sabah dalam perjuangan politiknya jika dicalonkan semula sebagai anggota Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

Beliau yang menyandang kerusi Parlimen Kimanis selama tiga penggal itu berkata beliau akan memperjuangkan jaminan hak kepada wilayah Borneo itu sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta melindungi Sabah daripada tuntutan negara luar.

Beliau berkata sebagai wakil rakyat, tugasnya tidak mengenal masa dan tempat malah bukan sahaja sewaktu musim pilihan raya tetapi sepanjang masa.

“Saya akan terus bekerja walau sekarang saya penyandang kerusi Parlimen Kimanis, bukan waktu PRU sahaja, tapi ia (kerja) berterusan. Sebab itulah falsafah saya ialah (apabila) di dalam negara, saya akan mendahulukan Sabah dan di luar negara pula, saya akan dahulukan negara kita Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pemberita selepas merasmikan Karnival Mini Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT4U), di sini hari ini.

Anifah berkata untuk memastikan hak dan kepentingan Sabah terus terpelihara, rakyat harus bijak memilih parti yang boleh menunaikannya seperti kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah terbukti melaksanakan segala janjinya.

Menurutnya, wakil rakyat dari Sabah yang dipilih pada PRU14 tidak harus berharap kepada wakil rakyat dari negeri lain untuk memperjuangkan hak dan kepentingan negeri ini, sebaliknya mengambil langkah aktif dalam memperjuangkan hak Sabah.

Bagaimanapun, katanya, rakyat Sabah perlu berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memperakui ada unsur-unsur asas dalam tuntutan negeri itu dalam MA63.

Sama ada dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi itu atau sebaliknya, Anifah berkata beliau akan terus bekerja bagi memastikan kemenangan BN pada PRU14 ini.- BERNAMA



Source link

read more

Penduduk Sepanggar yakin BN terus jadi pilihan


KOTA KINABALU – Penduduk Sepanggar dekat sini yakin kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus menjadi pilihan rakyat di kawasan itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini.

Menurut mereka, ini kerana Sepanggar merupakan satu daripada kawasan yang mempunyai institusi pendidikan tinggi, industri perkilangan, penempatan dan keselamatan, sekali gus membuktikan kerajaan BN sentiasa mengutamakan kepentingan rakyatnya.

Noriah Abdullah, 60, peniaga produk kecantikan di Indah Permai berkata pembangunan Sepanggar merupakan hasil inisiatif kerajaan yang mahu kemajuan kawasan itu seiring dengan peningkatan taraf hidup penduduknya.

“Kami mahu Sepanggar terus berada di bawah pemerintahan kerajaan yang sedia ada kerana sudah nampak perubahan pembangunan itu berbanding jika berada di bawah pemimpin yang belum pasti kewibawaannya.”

“Memang merisaukan jika kawasan ini ditadbir oleh pihak lain (pembangkang), pembangunan di Sepanggar akan lambat dan apa yang kita impikan selama ini tidak akan tercapai…biasanya wakil pembangkang hanya pandai bermain kata-kata (retorik) tetapi tidak mampu membawa apa-apa pembangunan,” katanya kepada Bernama.

Nur Izman Abdul Razak, 58, berkata sebagai rakyat di Sepanggar mereka turut merasai kemajuan di kawasan itu dengan bermulanya pembinaan pelabuhan Sepanggar yang mampu menyediakan peluang pekerjaan.

“Sekarang sudah nampak kemajuannya, ada pelabuhan, kilang, Taman Perindustrian Kota Kinabalu pun di sini dan macam-macam lagi. Kami sokong apa juga kerajaan aturkan kerana kami tahu ia sentiasa yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Sementara itu, pemandu teksi Abdul Hamid Imam Gulam, 33, mahu perkhidmatan teksi dapat dinaik taraf supaya dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik khususnya kepada pelancong tempatan dan luar negara.

“Kami berharap kemudahan perkhidmatan teksi akan dapat ditambah baik lagi untuk kebaikan rakyat Sabah…insya-Allah,” katanya.

Bagi Anwar Moktar, 26, beliau merasa amat teruja pada pilihan raya kali ini kerana buat pertama kalinya akan membuang undi.

“Selain teruja saya dapat menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat untuk mengundi,” katanya.

Sepanggar yang terletak di pantai barat bandar raya Kota Kinabalu merupakan Parlimen yang mempunyai dua kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Karambunai dan Inanam.

Anggota Parlimen Sepanggar, Datuk Jumat Idris, mengetuai UMNO Sepanggar sejak 2008, memenangi kerusi itu dengan majoriti 9,442 undi, menewaskan calon DAP Jeffrey Kumin pada PRU13.

Turut mencuba nasib di kerusi Sepanggar ketika itu ialah calon SAPP, Chong Hon Kiong yang meraih 4,070 undi dan Daniel John Jambun daripada STAR yang terpaksa berpuas hati dengan 1,931 undi.

— BERNAMA



Source link

read more

BN komited terus perkasa sistem pendidikan tinggi


KUALA LUMPUR 13 FEBRUARI 2018. [SUMBANGAN VARSITI INOVASI] Para penyelidik sedang melaksanakan penyelidikan di makmal berteknologi tinggi di Fakulti Kejuruteraan UM.  Cecair ionik dan pelarut eutektik sebagai alternatif kepada pelarut konvensional. NSTP/EMAIL

MO, 19/4/2018, MANIFESTO Barisan Nasional (BN) bertemakan ‘Bersama BN, Hebatkan Negaraku’ bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), antara yang terbaik pernah dikemukakan kerana menyentuh semua aspek penting kepada seluruh lapisan rakyat.

Menerusi menerusi 14 teras dan 364 inisiatif, sesungguhnya BN merancang jauh ke hadapan demi kesejahteraan Malaysia.

Saya tertarik dengan aspek pendidikan tinggi dan yakin manifesto ini berupaya memperkasakan lagi sistem pendidikan tinggi negara. Ini termasuk menyediakan internet berkelajuan tinggi di setiap institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memperkasakan ekosistem menghadapi Revolusi Perindustrian 4.0 serta memperkenalkan Kad Diskaun buat pelajar.

Selain itu, mewujudkan Universiti al-Quran dan Universiti P Ramlee serta memberi bantuan kepada anak penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mendapat tempat di IPT dan pelbagai lagi.

Pembudayaan penyelidikan

Kerajaan BN pada 2007 memperkenal inisiatif Universiti Penyelidikan yang tertumpu kepada pembudayaan penyelidikan agar mampu memberi manfaat kepada masyarakat akan datang.

Alhamdulillah, kini hampir 10 tahun selepas inisiatif itu dilancar, kita dapat lihat universiti awam tempatan masyhur pada peringkat dunia, antaranya Universiti Malaya (UM) yang kini di tempat ke-114 dunia, iaitu peningkatan 53 anak tangga sejak 2013.

Ini bermaksud UM mengatasi universiti terkemuka dunia lain seperti Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT), Georgetown University (yang pernah dihadiri Presiden Amerika Syarikat), Cardiff University, Vanderbilt University dan Kyushu University di Jepun.

Ia pencapaian yang harus dibanggakan dan saya positif UM bakal memasuki senarai 100 universiti terbaik dunia tidak berapa lama lagi. UM juga mencipta sejarah tersendiri apabila fakulti kejuruteraannya disenaraikan di tangga ke-10 terbaik dunia oleh ‘US World News and World Report Best Global Universities 2018′.

Pencapaian 10 tahun ini diperkukuhkan lagi dengan lima daripada lapan universiti terbaik di ASEAN ialah universiti negara kita dan 10 program ditawarkan tersenarai dalam kelompok 50 terbaik dunia. Tidak ketinggalan juga universiti lain termasuk Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang turut sama menempa nama sebagai antara satu peratus universiti terbaik dunia.

Manfaat untuk rakyat

Lebih penting lagi ialah hasil penyelidikan yang membawa manfaat kepada rakyat. Contohnya, penyelidik UTM dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) membina loji nyah garam yang menggunakan teknologi membran membekalkan air bersih secara percuma kepada penduduk di Bachok, Kelantan.

Selain itu, UPM memperkenalkan baka padi hibrid yang lebih sedap dan berdaya tahan tinggi serta penggunaan dron untuk proses penuaian padi. Di Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS) bekerjasama dengan pakar perikanan dari Jepun untuk menternak ikan berkualiti tinggi yang boleh diternak pengusaha tempatan.

Saya akui, tempoh lima tahun ini membuatkan saya rasa cukup bangga dengan pencapaian ini. Tambahan pula, pengiktirafan oleh badan antarabangsa seperti Bank Dunia dengan Ketua Sektor Pendidikan Tingginya, Francisco Marmolejo menulis di Twitter beliau bahawa pendidikan tinggi Malaysia ialah ‘rujukan kes inovasi global yang wajar diikuti’.

Pada Januari 2018, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching dijemput ke London untuk berkongsi pengalaman Malaysia pada Forum Pendidikan Dunia 2018. Beliau berkongsi bersama ahli panel lain, iaitu orang ternama seperti bekas Perdana Menteri Australia, Menteri Pendidikan Finland dan juga Ketua Teknologi dan Inovasi Bank Dunia.

Kejayaan Malaysia juga ingin diikuti negara lain. Saya sering dijemput ke luar negara, antaranya Arab Saudi, Senegal, Latvia dan Turki untuk berkongsi pengalaman Malaysia. Alhamdulillah, mereka mengiktiraf Malaysia dan melihat sistem pendidikan tinggi kita negara sebagai satu-satunya contoh terbaik dari segi perancangan, kemajuan dan pencapaian yang diperoleh.

BN berwawasan

Saya yakin, Kerajaan BN satu-satunya kerajaan mempunyai pandangan jauh ke depan dalam aspek mengharumkan nama negara dalam aspek pendidikan tinggi. Semua ini tidak dapat dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan jika tiada perancangan teliti, seiring pembangunan negara sebagai satu usaha jangka panjang.

Sesungguhnya, Kerajaan BN tidak menabur janji manis dan populis yang akan menyebabkan banyak kelompongan dan kekurangan untuk meraih sokongan masyarakat. Pencapaian Kerajaan BN dalam pendidikan tinggi seiring dengan pelaksanaan yang dibuktikan dalam manifesto terdahulu apabila mencapai 99.4 peratus dalam tempoh satu penggal.

Umum mengetahui pendidikan di Malaysia diberi subsidi oleh Kerajaan BN antara 85 hingga 95 peratus. Setiap pelajar hanya membayar yuran pada kadar minimum. Sebagai contoh, pelajar perubatan di UM hanya membayar RM15,300 untuk untuk pengajian lima tahun, berbanding jumlah sebenar sekiranya tanpa subsidi kerajaan, iaitu melebihi RM500,000 sepanjang pengajian.

Kerajaan BN juga tidak sewenang-wenangnya menaikkan yuran pengajian seperti yuran bagi program kejuruteraan di UM yang langsung tidak pernah dinaikkan hampir 22 tahun. Meskipun begitu, Kerajaan BN sentiasa berusaha mengurangkan beban pelajar dengan memperkenalkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sejak 1997 dengan tujuan asal agar tiada pelajar gagal ke IPT atas alasan masalah kewangan.

Setiap tahun, PTPTN memberi tidak kurang 200,000 pinjaman kepada pelajar dengan pelaburan lebih RM5 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan pelajar mendapat manfaat PTPTN seramai 2.8 juta orang, dengan peruntukan dana keseluruhan RM50.93 bilion.

Bagi mereka yang cemerlang dalam akademik, PTPTN juga memberi pengecualian bayaran balik dan hampir 46,000 pelajar mendapat manfaat itu. Bagi pelajar lain, PTPTN memberi pelbagai kelonggaran bayaran balik termasuk diskaun, lanjutan masa sehingga 12 bulan selepas tamat pengajian dan juga penggabungan pinjaman bagi mereka yang melanjutkan pelajaran.

Manifesto pembangkang tak munasabah

Dalam erti kata lain, pendidikan Malaysia terbukti satu-satunya sistem pendidikan tinggi yang hampir percuma dan BN tidak pernah mempolitikkan pendidikan negara seperti pembangkang.

Pembangkang gemar mempolitikkannya dengan menabur janji seperti memansuhkan PTPTN dan memberi pendidikan percuma. Saya tertanya-tanya, bagaimana caranya untuk memberi pendidikan percuma sedangkan apa yang sudah BN berikan selama ini tiada di negara lain.

Di Barat yang memberi pendidikan percuma, kadar cukai pendapatan sangat tinggi, iaitu sehingga 55 peratus setahun, sedangkan di Malaysia, kadar cukai tertinggi sekitar 25 peratus sahaja dan itu pun subsidi pendidikan mencapai 95 peratus. Adakah ini bermaksud pihak pembangkang akan menaikkan cukai pendapatan sekiranya membentuk kerajaan? Terus-terang saya katakan, manifesto mereka tidak logik sama sekali.

Saya berharap agar rakyat dapat melihat dengan mata sendiri kejayaan BN dalam membangunkan sistem pendidikan negara. Saya mendoakan BN terus diberikan mandat untuk membawa sistem pendidikan tinggi Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi. ‘Bersama BN, Hebatkan Negaraku’.



Source link

read more

Miqdad tidak tentang Abdul Hadi walaupun terus dipujuk – Politik


MARANG 17 April – Sudah hampir setahun nama Miqdad Zakaria terus dijaja dengan desas-desus sebagai calon PAN di bawah gabungan pembangkang PKR untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Marang.



MIQDAD ZAKARIA

MIQDAD ZAKARIA

Tentunya atas kapasiti kedudukannya sebagai Ketua PAN Marang, sementelahan pula dia adalah anak saudara kepada isteri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dijangka akan terus mempertahankan kerusi itu.

Jika tidak memberikan kemenangan sekali pun bagi Mirdad, dan itu pun tidak diletakkan harapan tinggi, namun cabaran terhadap Abdul Hadi oleh anggota keluarga sendiri sudah memberikan kemenangan awal kepada gabungan pembangkang itu.

Kemunculan Miqdad tentunya dilihat boleh menjejaskan lagi reputasi pemimpin itu dan partinya di seluruh negara dengan memberi gambaran betapa pengaruhnya dan kepercayaan dalam keluarga juga sudah cukup terhakis.

Namun Miqdad hari ini mengesahkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dinyatakan melalui surat terbuka kepada rakan-rakan dalam partinya menerusi akaun facebook hari ini.

Dia yang memohon maaf kepada semua ahli parti khususnya jawatankuasa PAN Marang mengatakan sejak dari dahulu lagi tidak berminat untuk bertanding dalam PRU-14, tetapi tetap dipujuk oleh pucuk pimpinan parti.

Menurutnya, dia sangat menghargai usaha dan pengorbanan semua ahli jawatankuasa dan ahli parti tetapi untuk kebaikan bersama agenda untuk bertanding perlu dibatalkan.

Sambil meminta rakan-rakannya mengingati semula matlamat penubuhan PAN kawasan tidak lama dahulu, Miqdad berkata, isu bertanding semua sudah sedia maklum bahawa dia tidak berminat sehingga ramai pemimpin menghantar orang untuk cuba memujuk.

“Ketika itu saya tetap dengan keputusan untuk tidak bertanding, kalian semua sangat mengetahui alasan kuat saya kenapa menolak untuk bertanding kerana matlamat sebenar wujudkan PAN Marang semata-mata untuk memecahkan minda taksub yang ada.

“Sekarang kita sudah dapat apa yang diimpikan, dulu ramai yang membenci, sekarang sudah beransur baik. Dulu tidak bertegur sapa, sekarang sudah boleh senyum balik, Itulah kemenangan yang Allah kurniakan kepada kita, kita sudah dapat kemenangan itu,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Keselamatan Negara Terus Terpelihara Bersama BN



17 April, 2018


Tengah hari semalam saya melawat Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2018 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) 2018, acara yang menjadi tumpuan ramai dari seluruh dunia. Saya dimaklumkan bahawa pameran ini disertai oleh 1,500 syarikat berkaitan pertahanan dan 350 anggota delegasi asing dari 45 negara.

Selain menjadi pentas untuk penggiat industri memasarkan produk masing-masing, pameran ini juga memainkan peranan untuk pengurusan tertinggi pertahanan dan keselamatan dari seluruh dunia untuk berbincang dan bertukar-tukar pandangan.

Bila berbicara mengenai bidang pertahanan dan keselamatan, tentu sekali kita semua sedar bahawa isu yang kita hadapi hari ini adalah lebih mencabar dan jauh berbeza berbanding dahulu.

Oleh itu, Kerajaan Barisan Nasional pimpinan saya telah melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan negara dan rakyat Malaysia dapat terus hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

Antara lain, kita telah meluluskan Akta Majlis Keselamatan Negara dan Akta Pencegahan Keganasan atau Prevention of Terrorism Act (POTA), kerana kita bertekad untuk terus memastikan rakyat Malaysia dilindungi dan pasukan keselamatan kita dapat berkhidmat dan bekerja dengan bebas.

Ini juga termasuk melindungi rakyat Malaysia daripada tempias kesan dan akibat berita palsu, atau Fake News yang semakin hari semakin berleluasa. Inilah juga sebabnya mengapa baru-baru ini kita meluluskan Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

Berita palsu dan tidak benar ini mungkin nampak remeh, tapi sebenarnya membawa ancaman keselamatan yang besar, sepertimana yang dapat kita lihat di seluruh dunia di mana berita palsu dan tak benar digunakan sebagai alat campur tangan proses demokrasi oleh kuasa luar – dan yang menghairankan perkara ini disokong oleh sesetengah pemimpin pembangkang!

Masa depan negara kita perlu ditentukan oleh rakyat Malaysia berasaskan fakta, bukan berita, janji atau harapan palsu semata-mata!

Alhamdulillah, melalui usaha yang telah Kerajaan Barisan Nasional di bawah kepimpinan saya laksanakan, kita berjaya memelihara kedaulatan, keamanan dan keharmonian di negara Malaysia yang kita cintai sehingga hari ini.

Namun begitu, malang sekali usaha-usaha ini sedikit sebanyak diganggu oleh tindakan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang sanggup membelakangkan negara dan meminta campur tangan negara asing ke dalam urusan kita hanya kerana tamakkan kuasa.

Sebagai rakyat Malaysia yang patriotik, saya dan kepimpinan Barisan Nasional tidak akan sekali-kali berkompromi hal kedaulatan negara!

Pada masa sama, Kerajaan Barisan Nasional juga sedar bahawa menjaga keselamatan negara adalah usaha berterusan dan kita tidak boleh leka walau sesaat. Oleh itu, dalam Manifesto Barisan Nasional terdapat banyak usaha dan insiatif yang akan kita laksanakan jika terus diberi mandat. Antaranya:

→Menambah pos kawalan dan sistem pemantauan di sepanjang sempadan Malaysia – AKSEM dan AKSEMNET.

→Mentransformasi pasukan elit khas PDRM seperti Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING), Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) demi keamanan rakyat.

→Menyebarluas usaha menentang keganasan dan ekstremisme melalui Gerakan Kesederhanaan Global (GMM).

→Meningkatkan pembabitan masyarakat dalam pencegahan jenayah menerusi inisiatif PDRM menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol.

→Menubuhkan Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) di bawah Kementerian Pertahanan.

→Meluaskan diplomasi pertahanan serantau dengan negara-negara jiran yang berkongsi sempadan.

→Meneruskan usaha menyebarluas idea keamanan dan kesederhanaan dalam negara dan antarabangsa menerusi penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman.

→Meneruskan usaha pemodenan PDRM ke seluruh negara.

Dan banyak lagi yang boleh saudara dan saudari baca di sini.

Sesungguhnya saya yakin dan percaya, selagi mana Barisan Nasional terus menerajui kepimpinan Malaysia, dengan izin Allah, negara akan terus aman makmur dan sejahtera malah makin berjaya di masa hadapan.

Bersama BN, Hebatkan Negaraku!



Source link

read more