Tujuh peratus pelajar lepasan tingkatan tiga ikuti TVET – Parlimen


KUALA LUMPUR 20 Nov. – Hanya tujuh peratus daripada pelajar lepasan Tingkatan 3 sedang mengikuti Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di seluruh negara.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan, pelbagai langkah telah dilaksanakan bagi meningkatkan kemasukan pelajar ke bidang TVET dan Kolej Vokasional (KV), termasuk program khidmat bantuan di seluruh negara dan pendedahan mengenai prospek kerjaya yang boleh diceburi graduan KV.

“Kementerian Pendidikan telah melaksanakan transformasi TVET sejak 2012 untuk mengangkat martabat aliran itu sebagai aliran perdana untuk merealisasikan hasrat kerajaan dalam memenuhi keperluan tenaga mahir negara menjelang 2020,” katanya menjawab pertanyaan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) pada sesi soal jawab lisan dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan tambahan Dr. Mansor Abd Rahman (BN-Sik), strategi kementerian dalam meningkatkan enrolmen pelajar luar bandar ke KV, Kamalanathan berkata, antara langkahnya ialah membuat hebahan melalui radio negeri, pengiklanan di suratkhabar serta bekerjasama dengan badan bukan kerajaan.

Katanya, permohonan dalam talian bagi kemasukan ke institusi TVET sesi 2018 telah dibuka dan banyak permohonan diterima setakat ini.

Selain Kementerian Pendidikan, enam lagi kementerian yang turut terlibat dalam melakasanakan TVET ialah Kementerian Sumber Manusia (KSM), Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. – BERNAMA



Source link

read more

Bapa gantung diri selepas bunuh tiga anak



SUNGAI PETANI: Seorang lelaki dipercayai membunuh tiga anaknya berusia lima hingga lapan tahun sebelum menggantung diri di sebuah rumah di Lot 88, Jalan Perdana Height, Sungai Petani di sini

Mayat lelaki berusia 48 tahun itu ditemui tergantung di dalam bilik tidurnya di tingkat atas rumah terbabit, manakala mayat tiga anaknya berada di atas katil dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Atrash Wahid mengesahkan kejadian itu.

Kesemua mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.



Source link

read more

Bunuh kejam tiga beranak Lori suspek ditemui



KOTA BHARU: Polis telah menemui sebuah lori berwarna putih yang dilarikan suspek kes pembunuhan tiga beranak pada Rabu lalu.

Lori terbabit ditemui di kawasan berhampiran Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Fakri Che Sulaiman ketika dihubungi berkata, kenderaan tersebut dijumpai dalam keadaan berkunci.

BACA: Bunuh tiga beranak: Pasukan petugas khas ditubuh jejaki suspek utama

Ia ditemui oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu semasa melakukan rondaan di kawasan itu sekitar pukul 8.30 malam tadi.

Bagaimanapun katanya, suspek tidak berada di dalam lori tersebut.

Lori kemudian dibawa ke IPD Kota Bharu di Pengkalan Chepa untuk pemeriksaan forensik.

Dalam kejadian Rabu lalu, pasangan suami isteri yang menjalankan perniagaan alat perkakasan, Kha Eng Ni, 42, dan isterinya, Chua Joo Seok, 37, ditemui mati selepas ditikam beberapa kali di dada serta badan dengan senjata tajam di sebuah rumah di Taman Bahagia, Wakaf Mek Zainab di sini.

Manakala seorang lagi anak mangsa, Kha Zee Hanz, 13, terbunuh dipercayai akibat hentakan kuat di kepala dengan tukul oleh seorang suspek lelaki yang bekerja sebagai pemandu van dengan pasangan itu.

Pihak polis sehingga kini masih mengesan suspek yang berasal dari Tumpat itu dan tidak menolak kemungkinan suspek sudah berada di negara jiran.



Source link

read more

Bunuh tiga beranak Imigresen perketat pintu sempadan halang suspek bolos



KOTA BHARU: Jabatan Imigresen memperketatkan pemeriksaan di pintu sempadan negara bagi membantu polis menyekat suspek dalam kes pembunuhan tiga sekeluarga di sini, Rabu lepas, bolos ke luar negara.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali berkata pihaknya sudah mendapatkan maklumat terperinci berkaitan suspek yang kini sedang dijejaki polis bagi membantu sisatan kes itu.

“Dalam soal jenayah, kita sentiasa bekerjasama dengan polis, dan sentiasa kita perketatkan pintu masuk, dan kita sudah dapat perincian bagi memastikan tiada pembolosan berlaku di sempadan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Futsal Jasa Perwira Piala Ketua Pengarah Imigresen 2017 di sini, hari ini.

Mustafar berkata, kawalan sempadan akan dipertingkatkan sekiranya berlaku apa juga kes, sama ada di negara ini atau negara jiran, melalui kerjasama bileteral yang telah terjalin sekian lama.

Dalam kejadian Rabu lepas, mangsa Kha Eng Ni, 42, isterinya, Chua Joo Seok, 43, dan anak lelaki mereka, Kha Zee Hanz, 13, dibunuh di sebuah rumah yang dijadikan stor barangan perkakas rumah di Taman Bahagia, Wakaf Mek Zainab di sini.

Polis kini sedang mencari seorang lelaki yang bekerja dengan mangsa dikenali sebagai Sharat a/l Eh [email protected], 31, bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu.

Sementara itu, Jabatan Imigresen turut melancarkan Skuad Cakna Bah sebagai persiapan pihaknya menghadapi musim tengkujuh yang berkemungkinan berlaku banjir di pantai timur.

“Skuad proaktif ini diwujudkan bagi menangani bencana banjir serta menjaga kebajikan pegawai dan anggota jabatan ini,” kata Mustafar.

Di Kelantan, antara kawasan yang sering terlibat dengan banjir ialah Rantau Panjang, Pengkalan Kubor, Bukit Bunga dan Tanah Merah.



Source link

read more

Tiga cedera dalam kemalangan libat lima kenderaan – Nahas & Bencana


SUNGAI PETANI 18 Nov. – Tiga lelaki cedera dalam kemalangan yang melibatkan lima kenderaan termasuk dua treler di Kilometer 90.4 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Gurun di sini pagi tadi.

Dalam kejadian pada pukul 6.45 pagi itu mengakibatkan pemandu treler, Rosli Hamid, 54, cedera parah selain kenderaan dipandunya itu terputus dua dan hancur pada bahagian depan.

Turut cedera dalam kemalangan itu, dua pemandu kereta iaitu, Lim Sew Peng, 50, dan R. Thanabala, 67.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah treler dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun melanggar treler Rosli yang kemudian terbalik dan terputus dua.

“Rempuhan itu menyebabkan tiga kereta yang melalui kawasan itu turut melanggar enjin treler berkenaan yang terjatuh di jalan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Tiga bandar Yemen berdepan masalah bekalan air bersih – Luar Negara


GENEVA 17 Nov. – Tiga bandar di Yemen berdepan masalah kekurangan bekalan air bersih susulan sekatan minyak import yang diperlukan untuk tujuan pengepaman dan kebersihan, dilakukan oleh pasukan pakatan diketuai Arab Saudi.

Menurut Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), perkembangan itu dilihat mengeruhkan lagi keadaan di negara tersebut yang turut berdepan masalah wabak penyakit taun.

Tambah ICRC, selain tiga bandar yang terjejas iaitu Taiz, Saada dan Hodeidah, Sanaa di Syria bakal berdepan isu sama dalam tempoh dua minggu akan datang. – REUTERS



Source link

read more

Tiga lagi kes baharu penyakit Legionnaire yang dikaitkan dengan Disneyland



LOS ANGELES: Tiga lagi individu telah didiagnosis menghidap penyakit Legionnaire selepas mereka berkunjung ke Anaheim, Daerah Orange, California, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang dijangkiti setakat ini ialah 15 orang, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan pegawai kesihatan.

Dua daripada tiga kes baharu itu membabitkan individu yang berkunjung ke Disneyland di Anaheim manakala 11 daripada 15 kes tersebut melibatkan pengunjung taman tema berkenaan pada bulan September, termasuk seorang yang bekerja di situ, kata pegawai kesihatan Daerah Orange.

Disneyland telah menutup dua menara penyejuk selepas mendapati ia mempunyai tahap bakteria Legionella yang tinggi susulan penularan penyakit Legionnaire di rantau ini. 

Pegawai Disneyland berkata mereka telah berganding bahu dengan agensi penjagaan kesihatan daerah dan merawat menara terbabit dengan bahan kimia yang boleh menghapuskan bakteria itu.

Agensi terbabit dilaporkan telah bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Awam California serta Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) bagi membantu pegawai perubatan dan jabatan kesihatan awam mengenal pasti jangkitan dalam kalangan orang ramai yang mungkin jatuh sakit selepas berkunjung ke Anaheim, terutama Disneyland, sebelum 7 Nov.

Mereka yang didiagnosis menghidap penyakit Legionnaire adalah dalam lingkungan usia 52 hingga 94 tahun.

Penyakit Legionnaire adalah sejenis wabak bawaan udara yang mengakibatkan radang paru-paru akut kepada mereka yang berusia lebih 50 tahun, atau yang mempunyai sistem imun lemah.

Menurut CDC, Legionella adalah sejenis bakteria yang terdapat secara semula jadi dalam persekitaran air tawar. 

Keadaan akan berubah menjadi teruk dan menjejaskan kesihatan manusia apabila bakteria Legionella membiak serta merebak di dalam sistem pengairan buatan manusia seperti pancuran dan kepala paip, menara penyejuk serta air pancut hiasan.

Orang ramai boleh dijangkiti penyakit Legionnaire apabila mereka bernafas dalam titisan kecil air yang terdapat dalam udara, yang mengandungi bakteria tersebut.

— BERNAMA



Source link

read more

Polis kenal pasti suspek pembunuh tiga beranak – Jenayah


TUMPAT 16 Nov. – Polis telah mengenalpasti suspek utama yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan kejam tiga beranak di sebuah rumah di Taman Bahagia, Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu semalam.

Timbalan Ketua Polis, Datuk Din Ahmad berkata, suspek Sharat Eh Wang @ Pot, 31 , berasal dari Kampung Jubakar Darat, Tumpat dikatakan bekerja sebagai pemandu kepada pasangan yang dibunuh itu.

Beliau berkata, siasatan pihaknya juga mendapati susupek telah bekerja dengan mangsa sejak empat tahun lalu.

“Maklumat ini kita peroleh hasil daripada temubual dengan anak mangsa yang kini berada dalam keadaan stabil di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selepas dipukul dengan tukul di kepala.

“Suspek merupakan pemandu van yang membantu mengedarkan barang perkakasan selain turut mempunyai hubungan rapat dengan keluarga mangsa.

“Setakat ini, polis percaya kejadian bunuh ini bermotifkan dendam disyaki berkaitan dengan kewangan atau perselisihan faham antara suspek dengan keluarga mangsa sebelum ini,” katanya di sini hari ini.

Semalam, pasangan suami isteri, Kha Eng Ni, 42, dan Chua Joo Seok, 37, ditemukan mati selepas ditikam beberapa kali di dada serta badan dengan pisau dan besi tajam di sebuah rumah di Taman Bahagia, Kota Bharu.

Seorang anak lelaki mangsa yang berumur 13 tahun, Kha Zee Hanz turut maut akibat dihentak dengan di belakang kepala manakala kakaknya, Kha Xing Rhuu, 15, yang turut dipukul cedera parah. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Bunuh tiga beranak Pasukan petugas khas ditubuh jejaki suspek utama



KOTA BHARU: Polis Kelantan sudah mengenal pasti suspek utama yang dipercayai terbabit dalam kes bunuh tiga beranak di Taman Bahagia, Jalan Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, semalam.

Justeru Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Din Ahmad memaklumkan pihaknya sedang menjejaki seorang lelaki berusia 31 tahun, bagi membantu siasatan.

Lelaki terbabit juga merupakan pekerja mangsa sejak tiga tahun lalu.

Katanya, usaha memburu suspek yang berasal dari Kampung Jubakar Darat, Tumpat sedang giat dijalankan.

“Suspek utama adalah pekerja kepada bapa, si mati dan untuk itu kita sudah kenal pasti dan kita sudah kenal pasti secara fizikal. Kita tubuhkan task force mengesan dan kita akan tangkap,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat, hari ini.

Kes katanya kini disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam tiga beranak dilaporkan maut, manakala seorang lagi kritikal selepas dikatakan ditikam dengan pisau dan dihentak dengan tukul serta besi di rumah di Taman Bahagia, Wakaf Mek Zainab sekitar jam 2.30 petang.

Dalam kejadian 2.30 petang itu mereka yang maut adalah Kha Eng Ni, 42; isterinya Chua Joo Seok, 37, dan anak lelaki mereka, Kha Zee Hanz, 13.

Sementara itu, anak perempuan mangsa, Kha Xing Rhuu, 15, parah dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan mangsa keadaannya dilaporkan stabil.

Menurut beliau lagi, kes ini melibatkan hanya seorang individu dan suspek merupakan pekerja yang menghantar barangan mangsa yang mempunyai hubungan baik dengan keluarga mangsa.

Polis katanya tidak menolak kemungkinan kejadian berkaitan soal kewangan namun siasatan lanjut masih dijalankan.

Suspek dikatakan berjaya melarikan diri selepas kejadian tersebut bersama kenderaan jenis pikap milik mangsa.



Source link

read more

Tiga sekeluarga maut dibunuh menggunakan pisau tukul



KOTA BHARU: Tiga sekeluarga ditemui mati dibunuh di kediaman mereka dekat Taman Bahagia, Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu pukul 1.30 petang, Rabu.

Pasangan suami isteri itu masing-masing berusia 42 dan 37 tahun serta anak lelaki mereka berusia 13 tahun maut ditikam menggunakan pisau dan dihentak dengan tukul.

Motif pembunuhan dipercayai akibat dendam.

Bagaimanapun, anak perempuan pasangan itu yang berusia 15 tahun mengalami cedera parah.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Din Ahmad berkata, pihak polis menerima maklumat tentang kejadian itu daripada jiran mangsa pada pukul 2.30 petang.

Menurut beliau, polis percaya suspek merupakan pekerja kepada pasangan suami isteri itu yang menjalankan perniagaan perkakas rumah.

Suspek lelaki kini menghilangkan diri dengan van milik mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons