Isu terowong dasar laut Siasatan SPRM tumpu pada pembayaran RM305 juta


KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pelaksanaan kajian terowong dasar laut di Pulau Pinang kini menjurus kepada pembayaran RM305 juta kepada syarikat-syarikat yang dilantik untuk membuat kajian tersebut oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Menurut sumber, pasukan penyiasat kini sedang merakam percakapan saksi-saksi dalam syarikat-syarikat yang dilantik itu bagi mengenal pasti proses pembayaran untuk kajian kebolehlaksanaan tersebut.

Kata sumber itu lagi, menerusi penelitian dokumen-dokumen yang dirampas dalam proses siasatan, maka dipercayai dapat membantu untuk mengenal pasti sama ada bayaran tersebut (RM305 juta) adalah nilai sebenar atau yang telah dinaikkan.

Selain itu, SPRM juga sedang menyiasat sama ada syarikat-syarikat tersebut mempunyai pengiktirafan untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut.

“Kita juga perlu lihat sama ada pakar-pakar yang dilantik untuk membuat kajian tersebut mempunyai kepakaran khusus dalam membuat kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut.”

“Tidak kira sama ada pakar-pakar yang dilantik itu adalah terdiri daripada kerajaan mahupun pihak swasta, apa yang penting mereka perlu mempunyai kepakaran untuk menjalan kajian terowong dasar laut,” katanya ketika dihubungi di sini.

Difahamkan, kerajaan telah menetapkan piawaian kepakaran untuk menjalankan semua kajian kebolehlaksanaan termasuk kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi berkata pihaknya sedang membuat siasatan secara terperinci berhubung pembayaran penganugerahan pelaksanaan kajian terowong dasar laut tersebut.

BACA: Terowong dasar laut Pulau-Pinang: SPRM ambil keterangan 12 saksi

Menurut beliau, ini kerana ia melibatkan aspek-aspek teknikal yang perlu dilihat secara mendalam, justeru pasukan penyiasat memerlukan masa bagi menyiasat kes tersebut.

Azam meminta semua pihak memberikan ruang dan peluang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan dan pihaknya masih dalam proses merakam percakapan saksi-saksi penting yang dipercayai dapat membantu melengkapkan siasatan ini.

“Kita akan panggil beberapa individu penting dalam masa terdekat untuk merakam percakapan,” ujarnya lagi.

Pada hari ini, SPRM juga telah merakam percakapan lapan individu termasuk setiausaha syarikat, penasihat dan perunding-perunding syarikat serta menggeledah sembilan syarikat di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan .



Source link

read more

PAU2017 Pembahas harus tumpu suara denyut nadi rakyat



KUALA LUMPUR: Perwakilan harus menumpukan kepada suara dan denyutan nadi rakyat ketika perbahasan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2017 selama lima hari bermula hari ini.

Itu adalah pesanan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden parti dalam satu perjumpaan tertutup di sini dengan perwakilan yang akan membahaskan ucapan dasar presiden dan tiga usul utama iaitu ekonomi, agama dan pendidikan.

Menurut Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Datuk Seri Ahmad Zahid berpesan supaya semua jurucakap dan pembahas menggunakan kesempatan dan platform itu menyuarakan isu termasuk masa depan negara.

“UMNO  tidak boleh tercabut daripada suara hati dan denyutan nadi rakyat. UMNO harus terus menjadi penyambung kepada lidah perjuangan agama, bangsa dan negara,” katanya selepas menghadiri majlis tertutup itu di sini, hari ini.

Beliau berkata, Datuk Seri Ahmad Zahid juga berpesan agar usul yang akan dibahaskan nanti dapat mengukuhkan lagi solidariti dan kekuatan anggota serta pendukung parti dalam berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Jurucakap harus memainkan peranan menyemarakkan obor-obor idealisme dan semangat perjuangan UMNO kerana parti tunjang Barisan Nasional ini telah tujuh dekad berada di persada perjuangan memartabatkan bangsa, agama dan negara.

“Adalah penting bagi jurucakap dan wakil menyemarakkan dan menyuburkan idealisme supaya ia bukan hanya didakap anggota parti di dalam dewan tetapi kepada rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

— BERNAMA



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons